Penduduk Di Sarawak Tak Dibenarkan Rentas Daerah

Share

Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tetap tidak membenarkan pergerakan rentas daerah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Kelulusan pergerakan rentas daerah akan diberikan bagi mereka yang bekerja, kes kecemasan ataupun berkepentingan sahaja. Sebanyak 51 operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) serta Pasukan Polis Pemantau akan dikuatkuasakan mulai 10 Mei sehingga 9 Jun 2020 ini.


Operasi yang dijalankan itu bagi mengawal pergerakan rentas daerah serta memastikan sektor yang dibenarkan beroperasi mengikuti prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Pasukan pemantau akan membuat pemeriksaan pada sektor yang diluluskan operasi, termasuk perkilangan, peruncitan, pengangkutan. Lebih 3,000 anggota polis ditugaskan untuk membuat kawalan mengikut giliran jadual kerja masing-masing sepanjang PKPB dijalankan. Selain polis, operasi turut membabitkan agensi daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setakat ini tiada ketetapan masa bagi orang awam untuk keluar ke tempat awam. Sektor ekonomi masih lagi diarahkan untuk beroperasi dari 7 pagi sehingga 10 malam. Orang ramai di Sarawak diminta supaya terus mematuhi arahan dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan sepenuhnya.


Sumber: Bernama

IKLAN