
Kalau sebut pengalaman menaiki belon udara panas atau hot air balloon, mungkin ramai terus terbayangkan Cappadocia di Turkiye. Deretan belon berwarna-warni yang memenuhi ruang udara ketika matahari terbit memang cukup ikonik.
Tapi siapa sangka, pengalaman menaiki belon udara panas kini turut boleh dimasukkan dalam senarai aktiviti menarik ketika bercuti di Perlis!
Menerusi portal rasmi Tourism Malaysia, terdapat pakej Perlis 2026 Special Edition Hot Air Balloon Flight yang disenaraikan sebagai salah satu pengalaman pelancongan di negeri paling utara Semenanjung Malaysia itu.
Perlis mungkin negeri paling kecil di Malaysia, tetapi landskapnya memang ada tarikan tersendiri.
Sawah padi yang terbentang luas, bukit batu kapur dan suasana kampung menjadikan negeri ini cukup menarik untuk mereka yang sukakan percutian santai serta dekat dengan alam.
Bayangkan pula menikmati panorama sebegini dari udara dengan menaiki belon udara panas. Tentunya pengalaman melihat Negeri Indera Kayangan dari sudut berbeza ini boleh menjadi antara memori percutian yang sukar dilupakan.
Lebih menarik, Tourism Malaysia mengkategorikan Perlis 2026 Special Edition Hot Air Balloon Flight
di bawah aktiviti Outdoor dan lain, menjadikannya satu lagi pilihan untuk pelancong yang mahukan pengalaman berbeza daripada itinerari biasa.Satu perkara menarik tentang pengalaman hot air balloon di Perlis ini ialah perjalanan bermula dari Kopi Khafi, yang menjadi lokasi take-off atau pelepasan belon.
Namun berbeza dengan penerbangan biasa yang mempunyai destinasi pendaratan tetap, lokasi belon udara panas mendarat tidak dapat ditentukan secara tepat lebih awal.
Ini kerana pergerakan belon banyak dipengaruhi oleh arah dan kelajuan angin ketika penerbangan. Juruterbang akan mengawal ketinggian belon untuk mendapatkan aliran angin yang sesuai sebelum memilih kawasan yang selamat untuk mendarat.
Jadi, sebahagian daripada keseronokan pengalaman ini adalah tidak mengetahui dengan tepat di mana perjalanan akan berakhir. Dari Kopi Khafi, belon akan bergerak mengikut keadaan angin sambil membawa penumpang menikmati pemandangan Perlis dari udara sebelum mendarat di lokasi yang bersesuaian.
Pengalaman sebegini tentunya memberikan sedikit elemen pengembaraan kerana laluan penerbangan boleh berbeza mengikut keadaan cuaca pada hari tersebut.
Berdasarkan senarai semasa di portal rasmi Tourism Malaysia, pakej ini dipaparkan pada harga asal RM1,200, manakala harga promosi dengan diskaun 20 peratus adalah dari RM960.
Bagaimanapun, pelancong disarankan menyemak terlebih dahulu butiran pakej, tarikh penerbangan, syarat penyertaan dan ketersediaan sebelum membuat tempahan kerana aktiviti belon udara panas sangat bergantung kepada keadaan cuaca serta aspek keselamatan penerbangan.
Sebenarnya, kemunculan belon udara panas di Perlis bukanlah sesuatu yang benar-benar baharu.
Pada Pesta Angin Timur Perlis 2025, aktiviti hot air balloon turut menjadi sebahagian daripada acara yang dirancang. Ketika festival berlangsung, aktiviti tersebut dipindahkan ke kawasan berhampiran Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di Kangar susulan keadaan tapak asal di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang yang berlumpur selepas hujan lebat.
Ini menunjukkan belon udara panas sudah mula mendapat tempat sebagai salah satu tarikan yang melengkapkan pengalaman pelancongan di negeri tersebut.
Menariknya, hot air balloon bukan satu-satunya pengalaman pelancongan yang sedang ditawarkan di Perlis.
Portal Tourism Malaysia turut menyenaraikan pelbagai pakej lain termasuk Perlis Glamping Sky Experience, Perlis Cycling Experience, Nakawan Kayak Experience, Nakawan Wildlife Tour, Birdwatching Tour di Perlis State Park serta pakej berkaitan Harumanis dan forest bathing.
Jadi, kalau selama ini Perlis hanya dijadikan tempat persinggahan sebelum ke Langkawi atau Thailand, mungkin sudah tiba masanya untuk tinggal lebih lama dan meneroka negeri ini dengan lebih dekat.
Boleh mulakan pagi dengan pengalaman belon udara panas, kemudian sambung menjelajah kawasan desa, menikmati makanan tempatan dan meneroka tarikan alam semula jadi.
Sebelum pergi, pastikan anda membuat tempahan lebih awal dan mendapatkan pengesahan mengenai waktu berkumpul daripada pihak pengendali.
Datang lebih awal ke Kopi Kahfi, terutama jika penerbangan dijadualkan pada waktu pagi, supaya tidak terlepas taklimat keselamatan dan persediaan sebelum belon berlepas.
Aktiviti belon udara panas sangat bergantung kepada keadaan cuaca. Faktor seperti angin, hujan dan jarak penglihatan boleh menyebabkan jadual penerbangan berubah atau ditangguhkan atas faktor keselamatan.
Disebabkan lokasi pendaratan pula bergantung kepada arah angin, pelancong juga perlu mengikuti arahan kru sepanjang aktiviti dan tidak menganggap belon akan kembali mendarat di lokasi pelepasan.
Pakai pakaian yang selesa serta kasut yang sesuai untuk aktiviti luar kerana kawasan pendaratan mungkin berbeza mengikut perjalanan belon pada hari tersebut.
Nota: Harga, jadual penerbangan dan ketersediaan pakej boleh berubah. Semak maklumat terkini dengan Tourism Malaysia atau pengendali pakej sebelum membuat perjalanan.
Perlis mungkin kecil pada peta, tetapi pengalaman yang ditawarkan semakin besar. Bermula dari Kopi Kahfi, kemudian terbang mengikut arah angin sambil menikmati panorama Negeri Indera Kayangan dari udara dan pengalaman ini memang lain daripada percutian biasa.
Kalau teringin merasai pengalaman menaiki hot air balloon tanpa perlu terbang jauh ke luar negara, bolehlah masukkan Perlis dalam bucket list percutian anda selepas ini.