Pernah dengar tentang Ranu Kumbolo? Jika anda seorang pendaki tegar pasti anda tahu tentang Gunung Semeru yang terletak di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, Indonesia. Ranu Kumbolo merupakan syurga dunia yang sering menjadi bualan ramai pendaki yang dalam perjalanan ke puncak Semeru, mahupun di kalangan mereka yang gemarkan aktiviti lasak.
Jadi untuk berkenalan dengan ‘Ranu’ yang membawa maksud tasik atau danau ini, ia memerlukan perancangan bijak. Bukan main redah sahaja kerana perjalanan ke Ranu Kumbolo sangat menguji ketahanan mental dan fizikal. Tak kiralah sama ada kaki gim atau sebaliknya, kalau persiapan tidak kena cara, pasti mengundang insiden tidak diduga.
Terletak di ketinggian 2400 meter daripada paras laut, perjalanan ke Ranu Kumbolo mengambil masa kira-kira lima jam waktu trekking. Itu pun jika anda cukup stamina dan tidak berhenti terlalu lama di setiap pos rehat. Jika tidak, pasti masa perjalanan mengambil masa lebih lama. Tip untuk kekal bertenaga, jangan lupa bawa air minuman secukupnya dan beli beberapa paket madu yang banyak dijual di setiap pos rehat. Tidak mahal harga sepaket hanya Rp2,000. Percayalah madu ini memang sangat membantu kerana ia meningkatkan stamina.
Ads
Sejujurnya, perjalanan menuju ke Ranu Kumbolo bukanlah perjalanan yang mudah, namun berbaloi kerana kanvas alam yang menanti memukau pancaindera. Sukar dilafazkan dengan kata-kata. Cukup indah ditambah suasana hening yang mendamaikan fikiran. Satu perkara yang diidamkan oleh setiap pendaki apabila menjejak kaki sini ialah menyaksikan keindahan mentari di saat ia menyapa pagi.
Biarpun badan terasa penat, otot-otot mula sakit-sakit, jangan sesekali lepaskan saat-saat indah ini. Pengalaman menyaksikan sang mentari terbit dari balik dua bukit di pinggiran tasik, pasti sukar dilupuskan daripada ingatan. Biarpun cuaca sejuk mencengkam tubuh badan, namun cetusan rasa kepuasan mengatasi segalanya. Indah bumi ciptaan tuhan!
Ads
Teruja sepanjang perjalanan ke Ranu Kumbolo
Keterujaan ke lokasi perkhemahan ini sebenarnya bermula seawal perjalanan, iaitu ketika menaiki jip untuk ke Ranu Pani, pos pendaftaran dan gerbang ke Taman Nasional Bromo Tengger Semeru. Sebelum memulakan pendakian, anda perlu mendengar taklimat keselamatan terlebih dahulu. Seronok mendengar kisah-kisah yang dikongsi oleh renjer hutan. Banyak juga info berguna untuk dijadikan panduan.
Ads
Dari pos Ranu Pani ini anda perlu berjalan kaki sejauh lima sampai tujuh kilometer menyusuri lereng bukit yang ditumbuhi dengan Bunga Edelweis. Kemudian anda akan tiba di Watu Rejeng. Dari sini anda sudah boleh melihat pemandangan lembah dan bukit yang ditumbuhi pohon cemara dan pines.
Semakin tinggi pendakian, semakin sejuk cuaca, jadi pakai pakaian yang sesuai jika tidak mahu menggigil kesejukan. Sepanjang perjalanan, terdapat empat pos rehat yang membolehkan anda melepaskan lelah. Ada gerai-gerai kecil yang menjual minuman, buah-buahan, makanan ringan dan juga madu. Satu perkara yang anda perlu tahu, semangat untuk sampai ke Ranu Kumbolo akan berkobar-kobar setiap kali berselisih dengan pendaki-pendaki yang mula turun dari gunung.
Mereka memberikan kata-kata semangat agar tidak mudah berputus asa. “Semangat, semangat! Pasti kamu boleh,” itu ucap mereka. Setibanya di Ranu Kumbolo, carilah tempat atau tapak yang dirasakan ideal untuk mendirikan khemah. Kalau gunakan khidmat porter, tak perlu susah-payah sebab mereka yang akan lakukan semua. Sambil menunggu, bolehlah melihat ribuan bintang menghiasi langit. Selamat bereksplorasi!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Orang yang suka travel ini adalah mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman berada di tempat orang. Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman, tinggi pengetahuan.
Pengalaman yang dicari itu bukan sahaja dari segi masyarakat, budaya, dan suasana semata-mata. Antara perkara penting yang perlu dialami sendiri adalah juadah makanan tempatan yang ada di satu-satu tempat itu.
Jadi sewaktu kunjungan saya ke Langkawi baru-baru ini, saya cuba cari di manakah tempat yang best untuk saya menikmati makanan yang popular di negeri jelapang padi tersebut iaitu laksa ikan sekor. Dah alang-alang sampai, kita mesti kena try laksa!
Setibanya di sana, saya dicadangkan oleh beberapa orang rakan untuk makan laksa ikan sekor di Jalan Kuala Muda, bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL). Review di internet dan cerita mulut ke mulut mengatakan laksa yang dijual di sana memang sedap.
Jarak antara Pekan Kuah dengan lokasi kejadian..
Tanpa melengahkan masa, saya berangkat terus ke lokasi yang dicadangkan pada hari kejadian. Memandangkan saya masuk ke Pulau Langkawi menggunakan feri, maka perjalanan saya untuk ke lokasi yang dimaksudkan agak jauh dan perlu menggunakan kenderaan. Jarak dari Pekan Kuah, Langkawi ke kedai-kedai laksa bersebelahan LTAL lebih kurang 18.4 kilometer dan memakan masa pemanduan lebih kurang 30 minit untuk sampai ke destinasi.
Tapi sekiranya anda datang ke Langkawi menggunakan kapal terbang, dekat sahaja untuk makan laksa ikan sekor di sebelah LTAL tu. Mendarat sahaja terus boleh pergi makan laksa.
Setibanya di sana, anda akan dapat lihat deretan gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis juadah makanan yang best di tepi pantai yang dipanggil Pantai Hujung. Ada banyak gerai-gerai yang menggunakan lori dan diletakkan bangku serta meja di sepanjang pantai tersebut.
Ada banyak gerai-gerai yang berniaga di pesisir Pantai Hujung ni..
Anda boleh pilih nak lepak kedai yang mana..
Saya boleh katakan kepada anda, pemandangan di sini sumpah best. Anda makan betul-betul bersebelahan dengan pantai. Kebetulan pula sewaktu kunjungan saya baru-baru ini, air laut tengah pasang, jadi gigi air betul-betul hampir dengan kawasan pantai berdekatan dengan tempat makan. Suasana tenang dan damai sambil terdengar hempasan ombak laut di pantai, membuatkan saya rasa selesa untuk lepak makan di sini.
View dia memang best. Layan je makan laksa dekat sini..
Best lepak waktu petang kat sini, betul tak? Parking space banyak, jangan risau nak park kereta dekat sebelah gerai ni..
Ada banyak meja yang anda boleh hangout dengan member-member atau family..
Saya singgah di satu kedai yang terletak di hujung depan deretan gerai-gerai yang saya katakan tadi, Zam Rojak Madu Cendol Special. Betul-betul berhadapan dengan LTAL, berbumbung khemah berwarna merah. Di sini rakan saya kata ada satu lagi menu special selain daripada laksa ikan sekor yang disediakan iaitu laksa sambal sotong.
Zam Rojak Madu Cendol Special. Mee rojak dia sedap. Rasa menyesal tak order dua..
Wah, sambal sotong. Sambal sotong memang kegemaran saya, jadi tanpa membuang masa, terus saya pesan laksa sambal sotong dengan sambal sotong extra berserta ABC kelapa. Ada rakan saya yang pesan makanan dan minuman lain seperti mee rojak madu dan ABC milo.
Sebaik juadah tiba dan kami makan dengan seleranya, terlupa segala masalah yang sedang bersarang dalam kepala. Dengan suasana tempat makannya yang best, dan dengan makanannya yang sedap, i can say that this is the best spot if you want to try laksa in Langkawi!
Laksa sambal sotong, laksa ikan sekor, mee rojak madu dan bihun sup. Ni menu special yang anda boleh order dekat sini..
Highly recommended untuk anda semua adalah laksa sambal sotong, mee rojak madu sambal sotong, ABC kelapa dan juga ABC milo. Memang sedap dan saya bagi jaminan, anda akan pesan lagi lepas makan semangkuk! Hahaha. Harganya juga saya katakan berbaloi dengan makanan yang anda pesan. Tak mahal, anda mesti puas makan dengan member-member ataupun bawa family.
ABC kelapa ni padu teruk!.
Sambal sotong extra ni anda kena pesan lebih sikit! Sedap...
Cendol durian pun ada kalau anda nak makan cendol durian. Cendol durian ni, cendol durian pulut. Pulut dia warna merah..
Kalau anda nak bawa family makan di sini, anda perlu berhati-hati sedikit dengan anak-anak kecil, lebih-lebih lagi yang aktif, kerana tempat makan ini terletak bersebelahan dengan LTAL, banyak kapal terbang yang turun naik di sini. Tambahan pula, jarak antara LTAL dengan gerai makan hanyalah sebatang jalan yang sibuk dengan kenderaan lalu lalang. Jadi pastikan keselamatan anak-anak anda terjaga di sini.
Gerai ni sebelah dengan LTAL..
Kapal terbang turun naik di LTAL. Satu lagi view yang menarik nak lepak sini..
Yang kedua, bawak baju lebih. Sebab takut nanti lepas makan laksa sambal sotong dengan ABC milo, ada budak-budak yang terjun terus kelaut! Hahaha.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Untuk perancangan cuti hujung tahun nanti, mungkin kebanyakan daripada kita sudah pun merancang tarikh percutian untuk sepanjang tahun ini lebih awal selalunya 6 bulan sebelum. Ada yang sudah menempah tiket percutian atau sekadar mencari-cari lokasi terbaru untuk diterokai bersama keluarga, sahabat handai mahupun insan tersayang.
Jika masih tertanya-tanya apakah lokasi terbaik untuk dikunjungi ke luar negara pada hujung tahun ini, Libur cadangkan destinasi percutian sepanjang hayat terbaik buat anda untuk dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup sebelum menutup mata.
1. Fenomena Aurora Tasik Myvatn, Iceland
Bagi yang suka kepada alam sekitar, apa kata anda cuba kelainan percutian pada kali ini dengan berkunjung ke Tasik Myvatn, Iceland. Aurora merupakan fenomena alam yang terjadi di ruang atmosfera bumi di bahagian Kutub Utara. Ia terhasil daripada interaksi di antara medan magnetik bumi dengan partikel-partikel daripada pancaran matahari.
Cahaya yang biasa terhasil adalah bewarna hijau, merah, biru dan ungu. Jadikan kenangan melihat fenomena aurora sebagai yang terindah dalam hidup anda.
2. Penginapan Terapung, Maldives
Berkunjunglah ke Maldives yang terletak di Lautan Hindi, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup anda dan ianya pasti meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. Maldives bukan hanya sebuah pulau tetapi terdiri daripada gugusan 1,192 kepulauan yang terbentuk hasil pergerakan muka bumi dan letusan gunung berapi sejak berjuta tahun lalu. Pulau-pulaunya mendatar, sama ada ditumbuhi pepohon pantai atau pulau pasir sahaja.
Terletak 700 kilometer di barat daya Sri Lanka dan 400 kilometer India, Maldives adalah republik berteras agama Islam sebagai agama rasmi. Ini bermakna mencari makanan halal tidak sukar. Dari lapangan terbang, semua penumpang dihubungkan dengan pengangkutan seperti feri, bot, kapal terbang kecil yang mendarat di atas air untuk membawa tetamu ke pulau dan resort pilihan. Di sebelah pulau ini ada pulau lain iaitu perkampungan nelayan, biarpun dekat, mereka tidak dibenarkan masuk ke pulau ini. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah snorkling tengah lautan, berenang di pantai, berkelah ke sebuah pulau lain atau memancing ikan.
3. Menaiki Belon Panas di Cappadocia, Turki
Turki merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua. Sebahagian besar negara yang didiami 80 juta penduduk iaitu 97 peratus keluasannya terletak di benua Asia, selebihnya terletak di benua Eropah. Aktiviti mesti cuba ketika di Turki adalah menaiki belon panas. Seawal jam 6 pagi, anda dicadangkan ke tempat dikhaskan untuk aktiviti menerbangkan belon panas yang sangat popular di Cappadocia. Belon panas ini akan berlepas tepat jam 7 pagi. Mengikut pengusahanya, masa antara pukul 7 hingga 8 pagi paling sesuai untuk menerbangkan belon panas kerana angin tenang. Jika tiupan angin melebihi 17 kilometer sejam, belon panas tidak dibenarkan terbang oleh pihak berkuasa.
Belon panas yang digunakan datang dalam pelbagai saiz dan boleh menampung 8 hingga 28 penumpang dalam gondola atau bakul mengikut saiz tertentu. Pengalaman menaiki belon panas dan berdiri dalam gondola setinggi paras dada pasti amat mengujakan. Belon panas ini akan berlegar di langit Cappadocia sehingga paras maksimum 610 meter, kemudian turun di beberapa tempat hingga paras terendah 10 meter dari bumi bagi melihat bentuk muka bumi Cappadocia. Satu saranan untuk anda, cari pengendali belon panas yang berlesan untuk mengelakkan berlakunya beberapa perkara yang tidak diingini.
4. Berbasikal di New Zealand
Jika gemar aktiviti sukan berbasikal, apa kata cuba lakukan kayuhan berbasikal, sekurang-kurangnya untuk sekali seumur hidup ke luar negara seperti di New Zealand pada tahun ini. Laluan sepanjang 2500 kilometer Nga Haerenga Cycle Trail di New Zealand baru siap untuk digunakan pada akhir Januari lalu yang mempamerkan landskap, budaya dan warisan terbaik negara tersebut.
Rangkaian laluan itu terdiri daripada 23 laluan mencabar untuk mereka yang lasak serta gemar aktiviti berbasikal. Dalam pada itu, kerajaan New Zealand turut menyalurkan dana untuk menyiapkan binaan tersebut yang turut dilengkapi dengan kereta kabel bagi memudahkan pengunjung bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi berlainan.
5. Teroka Piramid Giza, Mesir
Keindahan kota tinggalan sejarah dan binaan agung menjadikan Mesir antara destinasi yang mesti dikunjungi pelancong. Kehebatan kota ini berjaya menarik berjuta pelancong setiap tahun. Selain itu, Mesir kerap menjadi pilihan pelancong ke sini kerana negara ini sangat kaya dengan tinggalan tamadun silam berharga dan artifak unik. Lebih menarik, negara berkenaan menyajikan lebih daripada apa yang dijangka.
Anda berpeluang menyelongkar khazanah misteri Mesir purba dengan mengunjungi piramid di Giza, Colossi of Memnon, Kuil Karnak, Kuil Kom Ombo, KUil Edfu dan Lembah Raja-Raja. Selain itu, jangan lupa untuk melawat beberapa tarikan menarik lain di sini termasuk ke Kubu Pertahanan Saladin, Istana Gawhara, Masjid Mohamed Ali Pasha, Saidina Hussein dan Imam Shafie.
6. Bersantai di Pantai Playas de Nosara, Costa Rica
Pada yang sukakan aktiviti pantai, boleh singgah ke pantai Playas de Nosara, Semenanjung Nicoya yang terletak di Costa Rica. Pantai ini sangat terkenal lebih-lebih lagi selepas pantai itu menerima anugerah Blue Flag. Ia merupakan sebuah anugerah khas pensijilan antarabangsa yang telah diberikan kepada pantai itu kerana menawarkan perkhidmatan pelancongan kualiti tinggi dan pengalaman mesra alam.
Pantai Playas de Nosara ini amat bersih dan kini merupakan salah satu daripada pantai terbaik di Amerika Latin.
7. Binaan Unik Taj Mahal, India
Semestinya kunjungan ke India tidak akan lengkap tanpa kunjungan ke ikon pelancongan India iaitu Taj Mahal. Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan perasaan kecuali mereka yang pernah merasai sendiri pengalaman berdiri di depan binaan paling ajaib di dunia itu. Selain mahligai hadiah Shah Jehan kepada isterinya iaitu Mumtaz, pelancong ke India juga boleh melawat kehebatan Kota Pertahanan yang terletak di Agra di samping memerhatikan keunikan budaya masyarakatnya
8. Keajaiban Tembok Besar China
Memamng tidak lengkap percutian ke China jika tidak menjejakkan kaki ke Tembok Besar. Binaan yang telah diisytihar sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia merupakan tarikan utama pelancong ke negara itu sejak dulu lagi. Tembok ini mengunjur dari Shanhaiguan di bahagian timur hingga ke Lop Nur di barat. Kajian arkeologi telah mencatatkan bahawa panjang Tembok Besar China bersama cabang-cabangnya adalah 8,851.8 kilometer.
Keunikannya adalah bahagian dalam temboknya berisi tanah yang bercampur dengan batu-batan. Jika anda seorang kaki berjalan, Tembok Besar China merupakan destinasi yang perlu anda jejak dalam hayat ini. Sebagai tanda sudah sampai di sini, pengunjung yang melawat ke Tembok Besar China boleh mendapatkan sijil pendakian beserta gambar peribadi berlatarkan Tembok Besar itu dengan bayaran beberapa yuan sahaja. Pengunjung boleh mendapatkan sijil serta gambar kenangan sebaik sahaja pendakian selesai.
9. Selami Khazanah The Great Barrier Reef, Australia
Apa kata rancang percutian sepanjang hayat ke Australia, pulau negara benua terbesar yang terletak di hemisfera selatan. Australia menjanjikan tempat dan tarikan pelancongan menarik dengan pelbagai keistimewaan yang mungkin tidak dapat dirasai di tempat lain. Selain terkenal sebagai destinasi yang menjanjikan percutian dekat dengan hidupan liar, melancong ke Australia juga bererti merasai keindahan alam sekitar. Bagi yang sukakan aktiviti menyelam skuba atau snorkel boleh melihat keindahan batu karang dan ikan pelbagai warna di The Great Barrier Reef.
The Great Barrier Reef adalah salah satu destinasi yang wajib dikunjungi ketika melancong di Australia. Sepanjang 2300 kilometer dari Cairns ke Bundaberg, The Great Barrier Reff mengandungi 900 pulau menakjubkan dan terumbu karang. Di sini juga anda boleh melihat pemandangan indah pantai di Pulau Lady Elliot dengan terumbu karang yang berwarna warni. Pulau itu dianggap sebagai salah satu destinasi menyelam terbaik di dunia.
10. Menyusuri Terusan Venice, Itali
Sebut sahaja Itali, terbayang kehebatan bangunan bersejarah peninggalan tamadun Empayar Roman di mana ibu kota Itali, Rom telah berkurun dijadikan pusat peradaban politik dan agama. Begitu juga tempat menarik lain seperti Pisa dengan menara condong, Florence dengan Santa Maria del Fiore, Venice dengan terusannya dan Milan, kota fesyen terkenal dunia. Jangan lupa ambil peluang bersiar di lokasi menarik seperti Venice yang terletak di utara pantai timur Itali.
Anda akan tiba di Venice dengan melalui jambatan Ponte della Liberta yang menghubungkan tanah besar dengan bahagian utara Pulau Venice. Dari situ anda boleh berjalan ke Tronchetto Pier untuk menaiki teksi air (Venezia) ke Bandar Venice untuk tiba di jeti Piazza San Marco. Aktiviti yang mesti dilakukan adalah menaiki gondola menyusuri terusan bandar Venice. Alangkah indah dan romantik berada di atas gondola menyaksikan deretan bangunan lama di kiri kanan. Di antara terusan paling sibuk dan terkenal adalah Grand Canal.
11. Kejaiban Air Terjun Niagara, Amerika Syarikat & Kanada
Air Terjun Niagara terletak di kawasan sempadan antarabangsa di antara Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Kawasan air terjun di bahagian AS mempunyai ketinggian 55 meter dan 318 meter lebar. Sementara air terjun di Kanada atau dikenali sebagai Air Terjun Horseshoe pula mempunyai ketinggian 53 meter dan selebar 660 meter. Walaupun bukan air terjun tertinggi atau paling lebar di dunia, ia mampu menghasilkan aliran air untuk janakuasa elektrik.
Perjalanan untuk ke kawasan air terjun itu boleh dimulakan dari mana-mana bahagian iaitu sama ada dari pangkalan di Ontario atau New York. Di Ontario, terdapat tiga buah kapal besar dengan kapasiti 600 orang penumpang disediakan kepada para pengunjung sementara dua buah kapal yang boleh memuatkan 300 orang, setia menanti pengunjung di pangkalan New York.
Sepanjang pengembaraan itu, pengunjung pasti terpesona dengan pemandangan dua buah pulau besar iaitu Grand Island dan Goat Island yang terletak di AS. Lebih menarik lagi, terdapat empat buah jambatan yang merentasi kawasan air terjun tersebut seperti Jambatan Peace, Jambatan Rainbow dan Jambatan Whirpool. Jika melancong ke sini, jangan lepaskan peluang merasai pengalaman menarik ini di Air Terjun Niagara.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Taman Buaya Miri yang terletak di Sarawak sering menjadi tumpuan pelancong pada hujung minggu kerana mempunyai keunikan pusat penempatan pelbagai buaya tersendiri. Taman seluas 9.6 hektar berkenaan yang mempunyai lebih 2,000 buaya pelbagai spesies turut menjadi tempat pelancong mengenali pelbagai spesies haiwan lain.
Selain menjadi taman buaya pertama dan terbesar di wilayah utara Sarawak, ia juga menempatkan pelbagai spesies hidupan lain seperti ular sawa, spesies burung, landak, anak beruang dan monyet.
Kebanyakan pelancong ke sini adalah dari Brunei, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea selain pelancong tempatan dari Semenanjung. Sejak mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 90an, pada mulanya hanya menempatkan 100 ekor buaya namun, mula bertambah setiap tahun sehingga mencecah lebih 100 ekor buaya.
Antara spesies buaya yang boleh didapati di taman buaya ini adalah dari jenis buaya bujang senang, buaya katak, buaya jejulong, buaya albino dan pelbagai lagi. Taman ini juga sering menjadi lokasi penyelidikan reptilia malahan hidupan liar lain yang kian pupus juga menjadi bahan penyelidikan oleh penggemar hidupan liar. Selain menjadi destinasi pilihan untuk bersantai bersama keluarga orang ramai juga boleh mengenali spesies buaya dengan lebih dekat dan disifatkan penuh misteri. Tidak seperti di taman buaya lain, di sini buayanya boleh dikatakan lebih aktif dan adakalanya begitu mendebarkan aksi spontan yang dilakukan secara tiba-tiba.
Info Menarik!
Untuk melihat dengan lebih dekat kerakusan sang buaya melapah daging, pengunjung boleh saksikan dengan lebih dekat pada waktu makan buaya-buaya ini di platform utama pada setiap hari jam 3.30 petang.
Buaya sangat takut akan nyamuk. Menurut pemilik Taman Buaya Miri ini, gigitan nyamuk pada mata sang buaya akan menyebabkan, reptilian ganas ini menjadi buta serta merta.
Walaupun ganas, buaya sebenarnya adalah haiwan yang pemalu. Buaya akan menjadi ganas apabila berasa terancam atau habitat mereka diceroboh.
Seekor buaya Albino menjadi perhatian pengunjung di sini melihat dengan lebih dekat rupa kulitnya yang putih.
Seekor buaya tembaga yang pernah membaham seorang manusia di Sarawak, telah diawet dan dipamirkan kepada pengunjung di Taman Buaya ini.
Sajian Daging Buaya Jadi Tarikan
Taman Buaya Miri bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat haiwan tersebut malah sebuah kafe di sini turut menghidangkan daging buaya untuk dinikmati pengunjung seisi keluarga. Daging buaya dihidangkan melalui tiga cara iaitu sup herba, sate dan masak kicap dengan harga berpatutan. Kebanyakan pengunjung yang gemar memesan daging buaya adalah dari kaum Cina dan Iban. Khasiat memakan daging buaya dikatakan mampu menjadi penawar kepada penyakit-penyakit tertentu seperti Astma. Memiliki lesen sah untuk beroperasi, Taman Buaya Miri juga merupakan satu-satunya premis di Sarawak yang mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa untuk memasak daging buaya.
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...