
Kala liburan, makanan adalah salah satu cara untuk mengenali dengan lebih dekat sesebuah budaya. Setiap satu menu yang dicuba menjadi manifestasi rasa lantas mengisi perut yang berkeroncong.
Kebelakangan ini, resipi tradisi Melayu semakin diangkat tinggi. Bukan lagi hanya dihidang di gerai biasa, namun ia diangkat tinggi dan sebaris menu fine dining dijual dalam restoran dengan suasana yang mewah.
Biarpun harga lebih mahal dari kebiasaan, namun kualiti, kuantiti dan juga rasa yang dipersembahkan berbaloi dengan wang yang dikeluarkan untuk menikmatinya. Bagi yang tinggal atau mahu berlibur di kawasan Lembah Klang, ini senarai 5 restoran berkonsep makanan melayu yang boleh anda cuba.
Rembayung
Siapa tidak kenal dengan restoran milik usahawan dan pempengaruh terkenal Khairul Aming ini. Dibuka sekitar Januari 2026, restoran yang diberi nama Rembayung ini bagaimanapun hanya dibuka kepada mereka yang melakukan tempahan awal sahaja. No walk in!
Berdasarkan perkongsian ramai, antara menu yang patut menjadi pilihan kala berkunjung ke restoran ini ialah Siakap Sambal Berlada, Cucur Udang dan Sayur Masak Lemak Putih selain pemanis mulut mereka, Tapai Pulut Aiskrim.

Restoran ini cukup strategik berada di tengah-tengah Kuala Lumpur iaitu di Kampung Baru dan hanya berjarak 10 minit sahaja dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Peria
Restoran Peria merupakan restoran yang menyajikan makanan berasaskan masakan tradisi Negeri Sembilan dalam suasana urban dan moden.

Antara menu menraik yang ditawarkan seperti Daging Salai Gulai Lomak Cili Api, Rendang Negeri Smebilan, Asam Pedas dan Udang Masak Merah. Selain itu terdapat juga menu sarapan seperti Lempeng Kelapa, Nasi Lemak dan Lontong.
Memiliki tiga cawangan iaitu di Bukit Jelutong, Taman Tun Dr Ismail dan Cyberjaya, restoran Peria boleh dikunjungi secara walk in mahupun melakukan tempahan. Berdasarkan informasi di laman sesawang mereka, restoran ini hanya ditutup setiap Isnin.
Cili Kampung
Bermula di Langkawi, peminat Cili Kampung sebelum ini perlu ke ke tanah Mahsuri itu untuk menikmati masakan melayu enak yang disediakan. Namun sejak 2022, restoran ini telah melebarkan sayapnya ke Lembah Klang dengan pembukaan di Hartamas.

Penulis sendiri gemar menikmati makanan di restoran ini dan antara menu yang sentiasa menjadi pilihan antaranya Masak Lemak Cili Api Daging Salai, Sambal Cili Api Tenggiri dan Terung Goreng Belacan.
Untuk kawasan Lembah Klang, selain di Hartamas, restoran ini turut memiliki cawangan di Suria KLCC, Sunway Pyramid dan One Utama Shopping centre.
De.Wan 1958 by Chef Wan
Bagi yang mahu menikmati masakan dalam kuliti citarasa cef terkenal Malaysia, Chef Wan, De.Wan 1958 seharusnya menjadi pilihan anda. Sesekali berliburan di ibu kota, restoran ini harus dikunjungi.

Setiap hidangan yang disajikan mencerminkan kepelbagaian rasa dari pelbagai wilayah di Malaysia, dari utara hingga ke selatan, sekali gus menzahirkan kekayaan budaya makanan dan warisan cita rasa.
Restoran ini ada di tiga lokasi di sekitar Lembah Klang iaitu The LINC Kuala Lumpur, Bangsar Shopping Centre dan The Exchange TRX Mall.
Hidang KL
Terletak di Jalan Damai, Kuala Lumpur, Restoran Hidang KL menjadi pilihan penggemar masakan Melayu asli dengan konsep sajian ringkas tetapi dekat di hati, di mana setiap hidangan dimasak panas selepas tempahan dibuat sebelum dihidangkan di meja.

Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kesegaran makanan, malah mencipta suasana seolah-olah menjamu selera di rumah sendiri. Antara menu popular termasuk Masak Lemak Cili Api Siput Sedut, Ikan Bakar Siakap, Sotong Sambal Petai, Udang Masak Lemak dan Pucuk Paku Masak Lemak.
Restoran ini beroperasi dari Sabtu hingga Khamis, bermula jam 11 pagi hingga 10 malam, dan menerima pelanggan secara walk-in dengan tempahan awal digalakkan.
Jadi, sekiranya anda berkesempatan berkunjung ke sekitar Lembah Klang, jangan lepaskan peluang untuk mencuba sendiri pelbagai hidangan istimewa yang ditawarkan oleh lima restoran pilihan ini.
Bukan sahaja menyajikan cita rasa autentik masakan Melayu, malah menjanjikan pengalaman menjamu selera yang mampu meninggalkan kesan tersendiri buat setiap pengunjung.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!




