Kejadian ribut debu didorong oleh angin kencang yang membawa tanah kering sering melanda Australia dengan menghamburkan debu membadai kawasan sekitar sehingga menjadikan langit bertukar jingga dan jarak penglihatan sangat buruk.
Penduduk tempatan disarankan supaya kekal berada di dalam rumah jika fenomena ini berlaku, terutamanya kanak-kanak, orang tua dan mereka yang mengalami masalah pernafasan. Kejadian itu juga boleh menyebabkan beratus-ratus orang yang mengalami kesukaran bernafas, dan memaksa pembatalan penerbangan.
Rabu lalu, ribut debu yang biasanya berlaku ketika musim panas melanda sebuah bandar kecil di barat laut Victoria di Australia telah menukar keadaan sekitarnya menjadi malam.
Ribut merah yang turut membawa angin kencang itu berjaya dirakamkan Biro Meteorologi (BOM) ketika ia melepasi Lapangan Terbang Mildura pada jam 5 petang (waktu tempatan). Tahap penglihatan dilaporkan juga merosot ketika kejadian itu.
Ads
Ia adalah ribut debu terburuk pernah berlaku di Mildura dalam tempoh 40 tahun. Ia adalah fenomena kitaran yang biasa berlaku ketika musim panas dan kering yang membawa angin dan debu melebihi 30 kilometer sejam dari barat ke timur.
Orang awam yang menyaksikan fenomena tersebut, Lisa Guarnaccia berkata dia sedang memandu ke Mildura ketika fenomena tersebut terjadi secara tiba-tiba.
“Saya dapat melihat langit berubah warna secara tiba-tiba dan cuaca agak berangin. Langit siang terus menjadi gelap dan jarak penglihatan hilang, hanya beberapa ratus meter sahaja nampak. Fenomena itu sangat menakutkan saya,” katanya.
Walau bagaimanapun, difahamkan, langit kembali cerah kira-kira 20 minit kemudian. Sementara itu, peramal cuaca kanan BOM, Dean Stewart memaklumkan keadaan cuaca itu adalah agak luar biasa pada tahun ini.
Rakyat Malaysia ingin bercuti ke destinasi antarabangsa, namun, faktor keadaan ekonomi pada masa ini memaksa mereka memilih tempat percutian yang lebih dekat. Menurut analisis terkini oleh HotelsCombined, sebuah platform perbandingan harga hotel yang terkemuka di dunia, carian untuk hotel antarabangsa antara 1 Januari hingga 1 Jun 2017 telah meningkat sebanyak 1% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016, manakala tempahan antarabangsa telah menurun sebanyak 3%.
Data ini juga menunjukkan bahawa dalam tempoh setengah tahun pertama 2017, tempahan domestik melebihi tempahan antarabangsa – iaitu sebanyak 61% dan 39%. Destinasi domestik yang digemari rakyat Malaysia pada tahun 2017 setakat ini adalah Kuala Lumpur, Melaka, Kota Kinabalu, George Town dan Johor Bahru, di mana secara purata mereka berbelanja sebanyak USD$58 (MYR246) bagi satu malam untuk hotel domestik, ianya kira-kira USD$47 (MYR200) lebih murah bagi satu malam berbanding harga hotel antarabangsa.
“Pada tahun 2016, disebabkan nilai Ringgit yang lemah, rakyat Malaysia lebih suka destinasi domestik berbanding dari pelancongan antarabangsa untuk mengurangkan kos. Setakat ini, bagi tahun 2017, kami menyaksikan trend yang sama di mana lebih ramai memilih untuk melancong dalam negara,” kata Jenna Lee, Pengurus Pemasaran – Malaysia & Singapura daripada HotelsCombined.
Analisis oleh HotelsCombined juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia merancang lebih awal apabila membuat tempahan hotel untuk mengurangkan kos. Pada tahun 2017, masa yang diambil untuk membuat tempahan domestik telah meningkat sehingga 17.9 hari sebelum mendaftar-masuk, berbanding dengan 16.6 hari pada tahun 2016. Masa tempahan yang diambil untuk percutian luar negara turut meningkat ke 62.4 hari pada tahun 2017 berbanding dengan 59.5 hari pada tahun 2016.
“Oleh sebab rakyat Malaysia mula merasai kesan kenaikan kos harian, mereka kini mencari pelbagai cara untuk mengurangkan perbelanjaan atas faktor Ringgit yang semakin lemah. Perancangan awal adalah satu cara untuk mengurangkan kos percutian. Dengan membuat penempahan awal, pelancong-pelancong boleh menggunakan fungsi amaran harga kami untuk memastikan mereka mendapat tawaran terbaik untuk bilik hotel pilihan mereka,” tambah Jenna.
Walaupun destinasi dalam negara merupakan pilihan popular rakyat Malaysia, rantau Asia Pasifik juga turut menjadi pilihan destinasi percutian mereka. Buat masa ini, lima negara utama bagi tahun 2017 (mengikut tempahan) yang dipilih pelancong Malaysia untuk bercuti adalah Malaysia, Thailand, Jepun, Indonesia dan Singapura.
Wabak koronavirus tidak hanya dijangkiti manusia, tetapi juga haiwan.
Di sebuah zoo di New York, beberapa ekor harimau dan singa turut dijangkiti pandemik ini. Terbaharu, 2 ekor kucing juga di New York menjadi haiwan peliharaan pertama di Amerika Syarikat yang disahkan positif COVID-19.
Kedua-dua kucing itu pada awalnya mengalami simptom penyakit pernafasan, namun pemeriksaan lanjut kemudian mendapati haiwan terbabit dijangkiti COVID-19. Dua kucing yang berada di lokasi berbeza itu disyaki telah dijangkiti COVID-19 daripada pemilik atau individu di sekelilingnya.
Kedua-dua haiwan itu mempunyai peluang besar untuk pulih selepas diberi rawatan lanjut.
Pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, Dr. Casey Barton Behravesh yang mengesahkan kes itu dan meminta semua pemilik haiwan supaya tidak bimbang.
“Kita merekodkan kes pertama haiwan peliharaan dijangkiti COVID-19 di Amerika Syarikat. Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa haiwan ini berkemungkinan besar dijangkiti daripada manusia. Sehingga kini belum ada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan virus ini kepada manusia,” katanya.
Pakar penyakit berjangkit AS, Dr Anthony Fauci, berkongsi pendapat sama dan menegaskan tiada bukti menunjukkan virus itu boleh disebar dari haiwan peliharaan kepada manusia.
Mendapat skor melebihi 80 peratus dalam indeks kebahagiaan 2021 bagi bandar-bandar di Malaysia, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis antara yang tersenarai sebagai negeri ‘bahagia’ di Malaysia.
Menurut Jabatan Perancangan dan Desa (PLANMalaysia) ketiga-tiga negeri tersebut tersenarai sebagai negeri bahagia apabila mendapat skor melebihi 80 peratus dalam indeks kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia.
Antara yang dinilai adalah aspek yang berkaitan tahap dan kualiti perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan pepejal dan kutipan sampah.
PLANMalaysia menyenaraikan 80 daripada 114 PBT di Semenanjung dan sabah, ketiga-tiganya antara yang mendapat skor tertinggi daripada kesemua PBT yang dinilai.
Di Negeri Sembilan, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik, berkata pembangunan setiap bandar di negeri itu berdasarkan kekuatan dan keupayaan masing-masing, berpaksikan tiga teras pembangunan menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.
“Tiga teras itu adalah daerah Seremban dan Port Dickson sebagai pembangunan ‘Malaysia Vision Valley 2.0’, iaitu bandar metropolis yang berdaya saing inklusif dan bersih. Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jempol, sebagai pembangunan agropolis menerapkan elemen pertanian. Jelebu sebagai pembangunan biodiversiti menerapkan pemeliharaan sumber semula jadi,” katanya
Katanya, terdapat enam indikator utama, dinilai di bawah dimensi komuniti sejahtera berkaitan prasarana bagi mencapai indeks Bandar Bahagia.
Ia membabitkan peratusan liputan kediaman dalam lingkungan 400 meter dari kemudahan masyarakat, kadar liputan jalur lebar, pengurangan gangguan bekalan elektrik, pengurangan kes gangguan bekalan air, bilangan terminal dan stesen pengangkutan awam serta peratusan kediaman mendapat perkhidmatan pembetungan.
Di Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang mencapai skor 91.97 peratus, mengatur pelbagai strategi di samping mempertingkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan kepada masyarakat bagi memastikan negeri itu terus mencapai status bahagia.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu, berkata ia merangkumi perkhidmatan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, antaranya menyediakan infrastruktur, mengambil tindakan segera sekiranya berlaku masalah atau aduan di samping melaksanakan pengindahan kawasan sekitar.
Di Perlis, EXCO Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baharu, Asmaiza Ahmad menyifatkan kemudahan dan prasarana di negeri itu dengan penduduk lebih 254,700 orang itu adalah setara dengan negeri lain.
“Selain itu, cadangan projek ‘Perlis Inland Port’ (PIP) turut memberi nafas baharu kepada Perlis dalam menyokong pembangunan lain di sekitarnya,” katanya sambil memberitahu Perlis di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mencatatkan skor status Indeks Kebahagiaan 80.02 peratus.
Sumber: BERNAMA
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Bila sebut tentang Afrika, mungkin ramai yang terus terbayang padang pasir luas, cuaca panas, kawasan tandus dan kehidupan yang serba kekurangan. Gambaran itu tidaklah...