River Cruise Sungai Tahan, Aktiviti Menarik Di Taman Negara Pahang Sampai Lata Berkoh

Share

Ramai Tak Tahu Ada River Cruise Dalam Taman Negara, Naik Bot Susuri Sungai Tahan Sampai Lata Berkoh

Kalau bercuti ke Taman Negara Pahang di Kuala Tahan, ramai mungkin terus terbayangkan aktiviti merentas Canopy Walkway, jungle trekking atau melihat keindahan hutan hujan tropika.

Namun, ada satu lagi pengalaman yang cukup menarik untuk dicuba iaitu menyusuri Sungai Tahan dengan bot menuju ke Lata Berkoh.

Bukan seperti river cruise biasa menggunakan bot besar, perjalanan ini lebih dekat dengan alam apabila pengunjung menaiki bot kayu kecil sambil menyusuri sungai yang dikelilingi hutan menghijau.

Susuri Sungai Tahan Dengan Bot

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), perjalanan menyusuri Sungai Tahan merupakan antara aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung di Taman Negara Pahang.

Taman Negara Pahang, Kuala Tahan, Pahang Kredit Foto: taman_negara_pahang / Threads

Sepanjang perjalanan, pengunjung berpeluang menikmati pemandangan hutan semula jadi sambil bot melalui kawasan sungai dan jeram.

Suasananya cukup berbeza daripada kesibukan bandar. Di kiri dan kanan hanya kelihatan kehijauan hutan, pokok-pokok besar serta tumbuhan yang memenuhi tebing Sungai Tahan.

Bagi yang sukakan aktiviti santai dan alam semula jadi, perjalanan bot ini boleh menjadi salah satu cara terbaik menikmati Taman Negara tanpa perlu melakukan trekking yang terlalu jauh.

Menuju Ke Lata Berkoh

Antara destinasi paling popular di sepanjang Sungai Tahan ialah Lata Berkoh, sebuah kawasan lata dan jeram berbatu yang terletak jauh di dalam kehijauan Taman Negara.

Menurut Mutiara Taman Negara, perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira satu jam menaiki bot kayu melalui Sungai Tahan.

Taman Negara Pahang, Kuala Tahan, Pahang Kredit Foto: taman_negara_pahang / Threads

Bot bagaimanapun tidak membawa pengunjung terus ke lata. Ia akan berhenti kira-kira 500 meter dari Lata Berkoh, sebelum pengunjung meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki melalui laluan hutan.

Keseluruhan aktiviti boat cruise ke Lata Berkoh pula dianggarkan mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam.

Singgah Pokok Tualang & Santuari Ikan Kelah

Menariknya, perjalanan ke Lata Berkoh bukan sekadar duduk di dalam bot sehingga tiba ke destinasi.

Pakej perjalanan yang disenaraikan Mutiara Taman Negara turut merangkumi persinggahan di pokok Tualang dan Santuari Ikan Kelah sebelum meneruskan perjalanan menuju Lata Berkoh.

Taman Negara Pahang, Kuala Tahan, Pahang Kredit Foto: taman_negara_pahang / Threads

Sepanjang Sungai Tahan, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan pokok Neram serta orkid yang tumbuh di kawasan sekitar sungai.

Ia menjadikan perjalanan menaiki bot itu sendiri sebahagian daripada tarikan, bukan sekadar pengangkutan untuk sampai ke Lata Berkoh.

Air Jernih, Batu Besar Di Tengah Hutan

Sebaik tiba, pengunjung akan disambut dengan pemandangan sungai yang mengalir di celah batu-batu besar dengan hutan tropika mengelilingi kawasan tersebut.

Namun pengunjung perlu mengutamakan keselamatan. Maklumat semasa Mutiara Taman Negara menyatakan aktiviti berenang berhampiran lata dan kolam utama tidak dibenarkan kerana terdapat arus bawah yang kuat.

Pengunjung masih boleh menikmati air di bahagian sungai cetek yang sesuai di sepanjang laluan, tertakluk kepada keadaan semasa dan arahan petugas.

Maksimum Empat Orang Sebuah Bot

Berdasarkan maklumat terkini yang dipaparkan PERHILITAN, bayaran pengangkutan bot untuk lawatan ke Lata Berkoh ialah RM200 bagi sebuah bot, dengan kapasiti maksimum empat orang

.
Taman Negara Pahang, Kuala Tahan, Pahang Kredit Foto: taman_negara_pahang / Threads

Mutiara Taman Negara turut menyatakan kapasiti maksimum empat orang bagi setiap bot dan tempahan awal amat digalakkan.

Untuk jadual pula, Mutiara Taman Negara menyenaraikan dua waktu pelepasan iaitu sekitar 9.30 pagi dan 2.30 petang.

Bagaimanapun, kadar, waktu pelepasan dan operasi bot boleh berubah mengikut operator, keadaan cuaca, paras sungai serta arahan pihak Taman Negara. Sebaiknya buat pengesahan terlebih dahulu sebelum perjalanan.

Permit Masuk Taman Negara

Pengunjung ke Taman Negara Pahang juga perlu mendapatkan permit masuk.

Menurut maklumat rasmi kerajaan, permit masuk dikenakan RM1 seorang, manakala lesen kamera adalah RM5 bagi setiap unit kamera. Lesen memancing pula berharga RM10 bagi setiap joran.

Taman Negara Pahang dibuka sepanjang tahun, tetapi PERHILITAN memaklumkan sesetengah aktiviti boleh dihadkan bergantung kepada keadaan cuaca, terutama ketika musim tengkujuh pada penghujung tahun.

Cara Ke Kuala Tahan

Bagi yang memandu, Kuala Tahan boleh diakses melalui jalan darat dari bandar Jerantut.

Jarak perjalanan dari Jerantut ke Taman Negara adalah sekitar 68 kilometer

dan mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit.

Satu lagi pengalaman menarik ialah masuk melalui Jeti Kuala Tembeling sebelum menaiki bot menyusuri Sungai Tembeling menuju Kuala Tahan. Perjalanan melalui sungai mengambil masa kira-kira tiga jam.

Jadi kalau bercuti ke Taman Negara nanti, jangan hanya masukkan jungle trekking dan Canopy Walkway dalam itinerari.

Luangkan beberapa jam untuk menyusuri Sungai Tahan menuju Lata Berkoh. Duduk di dalam bot kecil sambil melalui sungai yang dikelilingi hutan tebal mungkin menjadi antara pengalaman paling memorable sepanjang berada di Taman Negara.

INFO RINGKAS

Lokasi: Taman Negara Pahang, Kuala Tahan, Jerantut
Aktiviti: Boat Cruise Sungai Tahan – Lata Berkoh
Tempoh: Sekitar 2–3 jam
Kapasiti bot: Maksimum 4 orang
Bayaran bot Lata Berkoh: RM200/bot berdasarkan paparan semasa PERHILITAN
Permit Taman Negara: RM1/orang
Lesen kamera: RM5/unit
Waktu trip rujukan Mutiara Taman Negara: 9.30 pagi / 2.30 petang
Tarikan: Sungai Tahan, pokok Tualang, Santuari Ikan Kelah & Lata Berkoh
Tip: Tempah lebih awal dan semak keadaan cuaca serta operasi bot sebelum datang.

Oleh
Syahir Hannan