R&R Di Lebuh Raya Dah Boleh Guna Untuk Solat, Makan & Berehat. Tapi Kalau Tak Patuh SOP, Polis Kompaun!

Share

Bagi yang merancang perjalanan rentas negeri bermula 10 Jun 2020, mereka dibenarkan untuk singgah berehat dan menunaikan solat di surau yang disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya menuju ke destinasi masing-masing.




Sebelum ini, rakyat Malaysia bukan sahaja tidak boleh merentas negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa, malah tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan (R&R) ini disepanjang lebuh raya sebagai usaha kerajaan dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.

Restoran, gerai-gerai makan, semua perniagaan menjual makanan, kedai-kedai serbaneka dan runcit, yang sebelum ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam, kini dibenarkan sehingga pukul 12 tengah malam.


Kepada ibu bapa pula, mereka boleh menghilangkan kebosanan anak-anak yang 'terkurung' hampir tiga bulan di rumah dengan membawa anak-anak beriadah di Zoo Negara dan zoo-zoo lain kerana premis berkenaan sudah dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, pembukaan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk mengamalkan disiplin diri dan penjarakan sosial. Walau bagaimanapun rakyat Malaysia bukan sahaja perlu mematuhi SOP ditetapkan malah mereka perlu beringat bahawa segala aktiviti dilakukan adalah di bawah pemantauan pihak berkuasa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan pemantauan kepada pematuhan SOP di premis-premis perniagaan dan kawasan awam selaras dengan penguatkuasaan PKPP. Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador turut dilaporkan berkata orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP masih boleh dikenakan tindakan kompaun dalam tempoh pelaksanaan PKPP.

Sumber: Bernama

IKLAN