
Scoot, syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, memulakan penerbangan langsung bagi laluan baru dari Singapura ke Kota Kinabalu.
Penerbangan sulung tersebut membawa 178 penumpang dari Singapura dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada kira-kira 11.40 pagi.

Laluan ini telah diperkenalkan kepada pelanggan bermula 3 Disember lalu, menjadikan ibu negeri Sabah itu sebagai destinasi kelapannya di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Ipoh, Kota Bharu, Kuantan, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang.
Scoot gembira dapat menambah perkhidmatan harian ke Kota Kinabalu ke dalam rangkaiannya yang semakin berkembang di Malaysia. Kini, Scoot mengendalikan tujuh penerbangan semingguan secara terus antara Singapura dan Kota Kinabalu.


Laluan ini diharap akan melonjakkan pelancongan daripada Singapura memandangkan Sabah banyak menawarkan destinasi pelancongan terutama pulau-pulaunya yang indah seperti Sipadan dan Mabul sehinggalah Gunung Kinabalu yang gah.
Kalau anda rakyat Malaysia yang menetap di Sabah, boleh cuba menggunakan khidmat penerbangan tambang murah ini dari Kota Kinabalu ke Kota Singa untuk berlibur dan bercuti. Untuk maklumat lanjut boleh layari flyscoot.com
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Semua Nak Dipolitikkan! Rehal Bangunan DBP Akan Dirobohkan Sebab Tidak Selamat

Bentuk seakan rehal yang terletak paling atas di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan ‘hilang’ tidak lama lagi. Sebelum ini rehal tersebut menjadi mercu tanda serta binaan itu dianggap sesuai dengan kedudukan DBP sebagai badan yang mengelolakan hal ehwal bahasa serta persuratan negara.
Selepas berita itu tular di media sosial, ramai warganet memberi kenyataan yang mendakwa replika berbentuk seakan rehal itu dirobohkan kerana ia melambangkan imej Islam. Ada yang melatah dan terus menerus melemparkan pelbagai tuduhan sehingga mempolitikkannya.
Yang sebetulnya, kerja-kerja perobohan replika buku di bumbung menara DBP dibuat atas faktor keselamatan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan berkata keputusan tersebut diambil selepas pakar mendapati bahawa struktur tersebut tidak berada dalam keadaan selamat.
Salam.
Perobohan replika berbentuk buku di Menara DBP banyak ditularkan oleh warga maya dengan berbagai-bagai tanggapan. Saya ingin menjelaskan bahawa perobohan ini dibuat atas faktor keselamatan. Pihak Jabatan Kerja Raya yang melakukan pemeriksaan di Menara DBP mendapati bahawa struktur replika ini tidak kukuh disebabkan hakisan dan karatan yang teruk.
Ini membahayakan staf dan pengunjung DBP serta orang awam secara keseluruhannya. Bagi mengelakkan musibah yang mungkin timbul, kerja-kerja perobohan ini perlu dilakukan dengan segera. Saya juga ingin menjelaskan bahawa, selain replika ini, DBP juga sedang dalam proses penggantian lif dan eskalator.
Kerja-kerja ini sudah tentulah akan menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung dan staf DBP. Untuk itu kami memohon berbanyak-banyak maaf.
Saya berharap, perobohan replika buku ini tidak disalahtafsir dan dikaitkan dengan hal-hal yang tidak berkaitan. Perobohan replika ini berkaitan dengan isu keselamatan staf dan pengunjung DBP dan orang awam. Sebagai organisasi yang bertanggungjawab, kami perlu memastikan staf, pengunjung serta orang awam selamat apabila bekerja, berurusan dengan kami termasuklah orang awam yang melalui kawasan bangunan ini.
Terima kasih.
Ketua Pengarah DBP
8 Ogos 2019
Menurut kenyataan itu lagi, kerja-kerja perobohan replika buku tersebut telah dimulakan dan dijangka siap pada 16 November 2019.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Persembahan Makyung ‘Patuh Syariah’ Diterima Di Kelantan. Tidak Melibatkan Wanita & Unsur Ritual

Umum mengetahui tarian Makyung adalah seni tari tradisional masyarakat Melayu dan bertapak pada mulanya di negeri Kelantan. Malah, seni tari ini dikatakan wujud sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi. Makyung mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila UNESCO mengiktiraf seni tari Makyung sebagai salah satu karya agung warisan.

Elemen yang digunakan dalam seni tari Makyung ini mempunyai unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian sambil diiringi oleh instrument muzik dan vokal. Muzik adalah elemen yang sangat penting dalam setiap pementasan Mak Yong kerana muzik terutama daripada rebab digunakan untuk menarik penonton dan memaklumkan bahawa pementasan Makyung akan bermula.
Makyung pernah diharamkan oleh kerajaan Kelantan pada tahun 1991, seni tari ini menjadi satu pementasan Diraja oleh Kesultanan Kelantan sehingga sekitar 1920-an dahulu. Dek disebabkan oleh seni tari Makyung ini sering dikaitkan dengan unsur-unsur pemujaan dan dilihat memesongkan akidah dan melanggar syariat, menyebabkan seni tari Mak Yong ini diharamkan langsung di Kelantan. Namun selepas 28 tahun Makyung diharamkan, kini persembahan tradisional rakyat Kelantan iaitu makyung dibenarkan yang dipersembahkan secara patuh syariah telah mendapat sambutan daripada masyarakat negeri ini selepas tiga siri jelajah persembahan itu dilakukan.

- Persembahan Makyung patuh syariah itu telah dilakukan di Tanah Merah, Jeli dan terkini di Pasir Mas. Sepanjang siri jelajah itu dilakukan ia mendapat sambutan dan telah diterima oleh masyarakat negeri ini walaupun persembahan seni tradisional itu diubah suai dan diharmonikan.
- Makyung patuh syariah dalam persembahan tiada melibatkan peserta wanita dan jalan cerita memberikan manfaat kepada masyarakat selain tiada unsur-unsur ritual. Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri akan membenarkan persembahan tarian tradisional Mak Yong di Kelantan sekiranya mematuhi syariat Islam.
- Makyung patuh syariah yang dipersembahkan itu dilakukan dengan beberapa penambahbaikan iaitu mengetengahkan pelakon lelaki, penceritaan rakyat dengan unsur nasihat serta elemen kesenian yang menggambarkan kebudayaan Kelantan.
- Ia tidak melibatkan unsur pemujaan dan mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan. Ia tiada seabarang unsur-unsur ritual pembukaan panggung, melibatkan watak-watak perempuan namun struktur asal persembahan masih dikekalkan.

Sumber: Bernama
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Lukisan Purba & Tengkorak Pra Sejarah Berusia Antara 5000 Ke 10,000 Tahun Dijumpai Di Gua Perlis

Penemuan Tengkorak Manusia dan Lukisan Purba oleh Persatuan Mendaki Perlis baru-baru ini merupakan fakta baharu dan data penting kepada pembinaan kronologi sejarah negara yang menjadi bukti kehadiran masyarakat prasejarah dan protosejarah negeri Perlis.
Satu eksplorasi arkeologi telah dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) yang diketuai oleh Pesuruhjaya Warisan, Encik Mohd. Azmi bin Mohd. Yusof bersama-sama Kerajaan Negeri Perlis dan Persatuan Mendaki Perlis.
Eksplorasi ini bertujuan melaksanakan pendokumentasian dan inventori tapak bagi memperoleh data arkeologi terkini tapak di samping menjalankan survei dengan lebih lanjut sebarang kemungkinan jumpaan artifak yang masih belum diterokai oleh penyelidik terdahulu.




Berdasarkan kajian lepas yang telah dibuat di sekitar gua-gua di Perlis, serpihan rangka dan tengkorak yang dijumpai di Bukit Keteri boleh dianggarkan sekitar 10,000 hingga 5,000 tahun lalu.
Gua-gua di Perlis terutamanya di kawasan Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu, Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul telah digunakan sebagai tapak penempatan dan pengebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan jumpaan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.
Kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto-sejarah di mana artifak seperti kalam semah (votive tablet) turut ditemui di kawasan ini.





Eksplorasi di Gua Semadong pula telah menemukan lukisan gua zaman proto sejarah yang mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga abad kesepuluh masihi.
JWN akan menjalankan ekskavasi dan dokumentasi lukisan purba di Gua Semadong serta kerja-kerja penyelamatan tengkorak manusia yang ditemui di Bukit Keteri. JWN juga akan meneruskan eksplorasi secara menyeluruh ke tapak-tapak yang berpotensi sebagai kawasan penyelidikan arkeologi Perlis.
Pesuruhjaya Warisan memohon kepada orang ramai agar mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005) (Akta 645) dengan melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah yang dijumpai di Perlis kepada Pegawai Daerah atau Pesuruhjaya Warisan seperti yang termaktub dalam Seksyen 47 AWK 2005.
Pesuruhjaya Warisan memohon kerjasama Pihak Berkuasa Negeri untuk melindungi tapak tersebut agar kawasan tersebut dipelihara dan dilindungi serta untuk tujuan dan kajian lanjut. Sumber : Jabatan Warisan Negara
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!










