Berjaya Tioman Resort yang sudah beroperasi selama 50 tahun ditutup sepenuhnya bermula 15 Jun 2020 selepas terkesan dengan penularan COVID-19 dan akan menjalani aktiviti pembangunan semula.
Semua kakitangan di resort itu akan diberhentikan dan akan diberi pampasan sewajarnya membabitkan kos RM8 juta. Selepas selesai kerja pembangunan semula dibuat, pihak pengurusan akan mempertimbangkan untuk menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada semua pekerja terjejas.
Ads
“Dengan berat hati diumumkan bahawa Berjaya Tioman Resort akan menghentikan operasinya berkuat kuasa 15 Jun 2020, disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang memberi kesan buruk kepada industri pelancongan. Sepanjang penutupan ini, pihak pengurusan akan menjalankan pembangunan semula yang amat diperlukan untuk menghidupkan semula resort ini, yang berusia lebih 50 tahun. Kami mengucapkan terima kasih di atas kesungguhan mereka untuk terus bersama dengan kami ketika di waktu susah dan senang,” kata pengurusan Berjaya Tioman Resort.
Ads
Berjaya Tioman Resort adalah sebahagian daripada portfolio yang dimiliki oleh Berjaya Land Bhd. Di Malaysia, Berjaya Land turut mempunyai resort lain di Langkawi, Pulau Redang, Bukit Tinggi, serta hotel di beberapa kawasan di Asia dan Eropah. Kumpulan itu memiliki dan mengendalikan 13 hotel dan resort di dalam dan di luar negara.
Bagi generasi hari ini, cerita-cerita rakyat mungkin tidak popular. Namun bagi generasi 90-an ke bawah yang belum terlalu terdedah kepada dunia internet, cerita-cerita begini amat popular sekaligus masih berbekas dalam ingatan.
Dalam satu perkongsian dari fb Laksamana Studio, penulis berkongsi kisah Sang Kelembai yang bertukar menjadi batu dan bongkah-bongkah batu ini jelas ketara di beberapa buah negeri. Bagi korang yang mungkin berminat meneroka lokasi pelancongan ini, boleh memilih ke lokasi dinyatakan. Mana tahu, korang lebih berminat dengan sejarah dan cerita zaman lalu.
Berikut adalah perkongsian dari Laksamana Studio
Sang Kelembai atau Sang Gedembai begitu sinonim dalam cerita-cerita rakyat dalam masyarakat melayu yang sering diceritakan mempunyai kuasa sakti dan kebolehannya menyumpah manusia atau haiwan menjadi batu ketika dia sedang marah.
Menurut cerita lagenda, apa sahaja yang ditegur oleh Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu.
Makhluk ghaib ini sering digambarkan dengan fizikal yang bersaiz gergasi, berwajah hodoh, berperwatakan bengis, berambut merah dan panjang. Ia amat digeruni oleh makhluk-makhluk lain.
Sang Kelembai biasanya tinggal di dalam hutan belantara dan berhampiran sungai. Ia juga dikatakan gemar makan pucuk buluh dan menyebabkan orang kampung pada masa itu sukar mendapatkan buluh.
Cerita Sang Kelembai sangat popular dikalangan masyarakat melayu yang tinggal di Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang dengan masing-masing mempunyai versi cerita yang berbeza.
Versi Perak Diceritakan, pada suatu hari Sang Kelembai sedang membuat belat ikan merentangi Sungai Perak tiba-tiba turun lima ekor gajah untuk mandi-manda disitu dan membuat bising hingga mengganggu ikan yang ingin ditangkap oleh Sang Kelembai. Lantaran daripada itu, ia hilang sabar lalu bertempik menyebabkan 5 ekor gajah sekali gus menjadi batu. Batu itu masih ada di Kampung Ara Panjang. Pekan Kampung Gajah di Teluk Intan mendapat nama daripada batu di kaki Bukit Tunggal yang menyerupai bentuk gajah. Kewujudan batu ini dikatakan kerana gajah-gajah di situ telah membuat bising dan telah ditegur oleh Sang Kelembai yang tidak suka dengan suasana bising. Akibatnya gajah tersebut dikatakan menjadi batu.
Dikatakan juga, pemukaan berbatu di sekitar air terjun Lata Kinjang di Tapah dan Lata Batu Hampar di Padang Rengas terbentuk hasil sumpahan Sang Kelembai selepas berang ekoran anaknya mati dihempap pokok.
Versi Pahang Menurut cerita orang-orang tua di Kampung Batu Sawar, terdapat sebuah batu berbentuk sawar iaitu sejenis alat menangkap ikan di dalam Sungai Pahang. Para pengunjung boleh melihat sendiri batu sawar ini lebih-lebih lagi menjelang air surut. Batu ini dikatakan terkena sumpahan Sang Kelembai kerana menghalang laluannya. Batu tersebut kemudiannya digelar Batu Sawar dan akhirnya menjadi nama rasmi bagi kampung tersebut.
Kisah Sang Kelembai di Kuala Tahan biasa diperkatakan dikalangan masyarakat kampung dan orang asli suku kaum Batek dan Semelai. Di khabarkan, ia suka singgah di kawasan air terjun 4 tingkat dan sebuah taman yang kini digelar sebagai ‘Wray’s Camp’ disebabkan keindahannya. Terdapat juga kesan tapak kakinya di puncak Gunung Tahan.
Banyak kawasan kampung dikaitkan dengan kisah Sang Kelembai. Antaranya ialah Batu Papan, Gua Kota Gelanggi dan Batu Katak.
Di Gua Kota Gelanggi ia sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai. Di situ juga wujud batu menyerupai pengantin bersanding, ular dan singa yang dipercayai akibat sumpahan Sang Kelembai.
Versi Kedah Di Kodiang, terdapat batu seperti seekor kerbau yang dikatakan di sumpah oleh Sang Kelembai di Gua Kerbau yang mana, satu daripada gunung disitu menjadi destinasi pelancongan terkenal.
Versi Pulau Pinang Pulau Pinang juga turut mendapat tempias Sang Kelembai. Di Batu Maung, Pulau Pinang, kesan tapak kaki sepanjang 33 inci yang ditemui dan dipercayai tapak kaki Sang Kelembai. Kesan tapak kaki yang sama turut ditemui di Bayan Lepas, Pulau Jerejak dan Pulau Aman.
Memandangkan kesan tapak kaki Sang Kelembai sudah wujud beratus tahun di beberapa pulau sekitar Pulau Pinang, penduduk berbilang bangsa di sana mempunyai pelbagai cerita dan kepercayaan tentang Gedembai, mengikut budaya masing-masing.
***** Masyarakat Melayu dahulu sering mengaitkan sesuatu penyakit atau kejadian pelik dengan alasan yang tidak rasional. Contohnya, bentuk batu-batu aneh dan batu menyerupai manusia yang dikatakan telah 'ditegur' oleh Sang Kelembai akibat melanggar pantang larang orang tua-tua.
Mungkin cerita mengenai Sang Kelembai direka bagi menakut-nakutkan kanak-kanak supaya tidak bermain jauh dari rumah hingga ke kawasan hutan.
Kini, kisah Sang Kelembai dan sumpahannya kian dilupakan saban hari, namun namanya masih menjadi cerita lagenda yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Nak lari dari kesibukan kota dan kerja, tak payah pergi jauh-jauh, kat Selangor pun banyak sebenarnya resort yang tak mahal dan tenang untuk pergi bercuti.
Dengan harga bermula dari RM100 semalam, Eco Murai Rimba yang terletak di Batang Kali Selangor pilihan sesuai untuk anda staycation dengan keluarga ataupun rakan-rakan.
Berkonsepkan mesra alam, tempat ini merupakan lokasi ideal untuk anda berkelah
melihat burung, berenang atau mencuba nasib memancing di kawasan air terjun yang dikelilingi alam semulajadi.
Oleh kerana Eco Murai Rimba terletak di pinggiran hutan, pengunjung yang hadir di sini bakal disajikan dengan suasana hutan yang nyaman serta mereka juga boleh menikmati kedinginan air sungai dan air terjun yang terletak berhampiran dengan chalet tersebut.
Terletak tidak jauh dari pusat peranginan, Genting Highland, kalau tak ada apa-apa aktiviti di malam hari bolehlah jalan-jalan ke sana. Perjalanan hanya mengambil masa 15 hingga ke 20 minit sahaja.
Alamat : B66, Jalan Lama Genting, Sungai Pinang, Batang Kali
Destinasi mesra muslim berdasarkan kepada kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan negara-negara berkenaan kepada pengunjung Islam seperti makanan halal, restoran bersijil halal, kemudahan masjid dan tempat tarikan keluarga.
Selepas beberapa penelitian di buat, 10 negara ini telah dicadangkan sebagai destinasi mesra muslim pilihan pelancong dunia.
Penekanan terhadap produk halal terutama makanan membuatkan pelancong tidak gusar atau risau untuk melancong di Malaysia. Kebanjiran restoran berasaskan makanan Timur Tengah juga antara faktor tarikan pelancong dari negara tersebut memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.
Selain mudah mendapat akses makanan halal, Malaysia merupakan antara negara yang mudah bagi pelancong Islam menunaikan solat tidak kira di mana mereka berada, termasuk di kompleks membeli-belah dan juga di lapangan terbang.
Pelancong sememangnya amat kagum dengan produk Islam yang ada di Malaysia. Kebiasaannya pelancong Muslim yang datang akan dibawa ke Taman Tamadun Islam di Terengganu, melawat seni bina bangunan di Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan Muzium Kesenian Islam di Masjid Negara. Rata-rata pelancong luar juga amat tertarik dengan kraftangan dan produk kesenian Melayu seperti batik yang menjadi pilihan utama untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.
Mesir terletak di utara benua Afrika antara negara yang begitu dekat di hati para pelancong Muslim dari serata dunia. Tentunya kerana kota ini memiliki salah satu daripada mercu keajaiban dunia, iaitu piramid yang mencetuskan seribu satu misteri. Di bahagian utara Mesir pula, Iskandariah, iaitu bandar raya kedua terbesar selepas ibu negaranya, Kaherah terkenal sebagai bandar pelabuhan antara yang paling sibuk di dunia. Iskandariah turut memukau pandangan dengan keindahan pesisiran pantai Laut Meditteranean yang indah membiru dan sering menjadi pilihan utama kepada pasangan untuk berbulan madu!
Selain keunikan alam semula jadi, negara ini menyimpan beribu-ribu artifak khazanah berharga dan bersejarah dari zaman purba, zaman Firaun yang mencapai taraf peradaban dunia sehinggalah kepada pelbagai dinasti kerajaan Islam yang sangat gemilang suatu masa dahulu. Kelebihan Mesir adalah mempunyai suhu udara dan laut yang menyenangkan terutama di musim sejuk, keramahan penduduk tempatan, cahaya matahari sepanjang tahun, pantai indah, hidupan akuatik, gunung bibikal, keindahan gurun yang romantis, lembah subur sungai Nil sungai kedua terpanjang di dunia, dan sejarah.
Gabungan unik moden dan tradisional menjadikan UAE antara destinasi pelancongan paling digemari pelancong Muslim di dunia pada masa kini dengan tawaran pelbagai pakej pelancongan yang pastinya memuaskan. UAE kini muncul sebagai negara yang mempunyai bandar paling moden di dunia, tempoh pembangunan terpantas yang pernah dilakukan dalam tamadun manusia. Tidak hairanlah jika rekod kemasukan pelancong melalui aktiviti pelancongan dan perdagangan di UAE khususnya di Dubai sejak beberapa tahun kebelakangan ini mencecah angka jutaan orang setiap tahun. Tarikan sebenar semestinya pada struktur tertinggi di dunia, Burj Dubai (818 meter) yang menjadi binaan paling kerap dirakamkan gambar.
Satu lagi tarikan adalah Burj Al-Arab, hotel bertaraf tujuh bintang yang pernah menjadi hotel tertinggi di dunia (333m). UAE menawarkan pelbagai tarikan pelancongan bagi pengunjungnya. Keseronokan bercuti bersama keluarga di negara ini dapat dipastikan dengan membawa mereka ke Taman Tema yang terdapat disana seperti Al-Nasr Leisure Land , Wild Wadi Water Park dan Aquaventure (Atlantis The Palm). Tidak ketinggalan, bermandi-manda dan bersantai di pesisiran pantai di Jumeirah Beach Park.
Sekiranya anda bercadang melancong ke Turki, rancanglah untuk mengunjung seberapa banyak tempat menarik. Turki merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua. Menikmati pemandangan indah Selat Bosphorus, yang memisahkan benua Eropah dan Asia, dari atas Bukit Camcila di Istanbul, sememangnya memberi satu kepuasan kepada pengunjung. Peluang berdiri di atas bukit di benua Asia, menghadap ke bahagian Eropah, sudah pasti mata akan terpaut dengan keindahan dan pembangunan pesat Istanbul, sebuah kota yang mempunyai peninggalan sejarah empayar-empayar terdahulu seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.
Lokasi ini menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan pelancong, tetapi penduduk tempatan untuk bersantai terutama pada hujung minggu. Selain itu jangan lupa untuk berkunjung ke Istana Sultan zaman Ottoman yang telah dijadikan muzium. Terdapat pelbagai barangan yang tidak terhitung nilainya seperti emas permata, intan berlian, pakaian raja, pedang sahabat Nabi serta peralatan yang pernah digunakan oleh Rasulullah. Janggut Rasulullah juga disimpan di dalam muzium tersebut. Ini menjadikan Turki sebagai lokasi idaman setiap pelancong yang mencakupi dari pelbagai keindahan khususnya seni bina, budaya, tamadun serta tarikan alam semula jadi. Oleh itu, tidak hairanlah Turki menjadi destinasi yang paling gemar dikunjungi pelancong selain sebagai negara mesra Muslim.
Dua kota suci, Mekah dan Madinah yang terletak di Arab Saudi sentiasa menerima tetamu Islam dari seluruh pelusok dunia. Rata-rata mula memasuki kedua-dua kota suci ini sebagai persiapan untuk menunaikan ziarah umarah atau ibadah haji. Walaupun berkunjung ke Madinah bukanlah sesuatu yang diwajibkan, namun ia menjadi satu kemestian bagi jemaah umrah atau haji. Ini kerana di Madinah banyak kesan sejarah peninggalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Di kota ini juga terletak Masjid Nabawi, masjid kedua termulia selepas Masjidil Haram yang di dalam kawasannya terletak makam Rasulullah SAW dan para sahabat iaitu Saidina Abu Bakar dan Umar Al Khattab. Selain daripada itu, di Madinah juga letaknya tanah perkuburan Baqi, Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud dan pelbagai lagi tempat bersejarah.
Di samping itu, kota yang semakin pesat membangun ini juga mempunyai banyak pusat membeli-belah sesuai buat pelancong yang mahu membawa pulang cenderamata kepada keluarga dan sahabat handai. Bagi yang berkesempatan, bolehlah berkunjung ke bazar kurma atau terus ke ladang kurma untuk membeli pelbagai jenis kurma yang segar. Begitu juga dengan pelbagai jenis kacang.
Rata-rata masyarakat Muslim dunia apabila menyebut tentang Bali, Jakarta dan Bandung, Indonesia semua sudah mengenalinya. Boleh dikatakan itu sudah menjadi destinasi perlancongan wajib jika teringin ke Indonesia. Bali merupakan sebuah pulau di Indonesia yang masyhur sebagai pulau yang memiliki pantai-pantai yang indah dan bersih serta pemandangan alam yang cantik. Bali kini turut dikenali sebagai pusat pelancongan utama bertaraf antarabangsa. Terdapat banyak pantai perkelahan utama di Bali seperti Kuta, Ubud, Nusa Dua, Sanur, Seminyak, Denpasar, Candidasa dan Lovina. Manakala Jakarta pula sememangnya mempunyai daya pesona luar biasa kerana kedudukannya sebagai ibu kota negara Indonesia telah perkembangan sebagai pusat pemerintahan, perindustrian dan kebudayaan.
Selain itu daerah Bandung di Indonesia pula terkenal dengan elemen kebudayaan dan kekayaan alam semula jadinya. Bandung menyediakan peluang membeli-belah dari gedung terbesar hingga ke deretan kedai di lorong-lorong seperti di Chiampelas dan Jalan Riau. Jika ke Bandung, kunjungan pelengkap semestinya lawatan ke gunung berapi Tangkupan Perahu yng mana pengunjung boleh melihat pemandangan di permukaan kawah gunung berapi dan panorama indah di sekelilingnya.
Maghribi atau Morocco dalam bahasa Inggeris, merupakan negara yang cukup indah untuk dilawati. Kedudukannya di utara benua Afrika menyaksikan kepelbagaian bentuk muka bumi daripada kehangatan gurun Sahara, kedinginan banjaran Atlas sehinggalah kepada kedamaian cuaca pesisiran laut Mediterranean. Khazanah yang paling istimewa di negara ini pastinya adalah peninggalan tamadun Islam yang masih kekal berdiri. Pelancong pasti teruja dapat melawat Makam Sultan Mohammed V di bandar ini. Tarikan yang tidak kurang menariknya di kawasan makam itu adalah Menara Hassan yang merupakan menara daripada masjid yang tidak pernah lengkap pembinaannya sejak 1196 masihi.
Menara yang ketinggian 400 meter itu merupakan sebahagian daripada masjid yang diarahkan bina oleh Sultan Yacoub al-Mansour. Masih kekal sehingga kini adalah ratusan tiang masjid serta bahagian dinding masjid itu yang tidak disiapkan, namun ia tetap menjadi tumpuan para pelancong. Struktur binaan masjid ini juga diiktiraf oleh UNESCO dalam senarai warisan dunia.
Jangan lupa juga untuk singgah di Marrakesh, bandar yang dikatakan paling pesat dengan industri pelancongan bukan sahaja di Maghribi tetapi di benua Afrika. Kedudukan bandar ini adalah di utara kaki bukit pergunungan Atlas yang bersalji. Bandar ini menjadi kegemaran pelancong kerana kedamaian cuacanya serta lokasi strategiknya iaitu untuk resort ski di gunung Atlas atau ke kawasan padang pasir Gurun Sahara.
Di Jordan, ada beberapa kisah sejarah yang masyhur sebagaimana yang dicatatkan di dalam Al-Quran. Demikian juga Laut Mati yang berkait dengan kekuasaan Allah terhadap kaum Nabi Luth yang mengamalkan kegiatan homoseksual. Justeru bagi pelancong Muslim, menjejak kaki ke Jordan sudah pasti detik yang ditunggu-tunggu untuk melihat sendiri kesan kedua-dua peristiwa tersebut. Destinasi utama mesti anda singgah jika berada di Jordan adalah Gua Ashabul Kahfi iaitu suatu kisah benar mengenai tujuh pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan cuma bangun 309 tahun kemudian.
Lokasi gua yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Amman ini bersemadinya ketujuh-tujuh pemuda tersebut. Turut dipamerkan adalah artifak seperti takar daripada tembikar selain terdapat sebuah batu bersurat. Satu lagi destinasi wajib jika ke Jordan adalah Laut Mati. Ia terletak kira-kira 50 km dari Amman. Laut Mati bersebelahan dengan negara Palestin yang kini ditakluki oleh Yahudi jelas boleh dilihat dari sini. Terletak di Great Rift Valley, di mana punca airnya dari Sungai Jordan. Ia adalah laut termasin di dunia. Tiada hidupan laut yang hidup di dalamnya kerana kemasinannya yang lima kali ganda laut biasa.
Brunei di dalam bahasa Arab membawa maksud tempat tinggal yang aman. Tarikan Brunei bagi pelancong beragama Islam semestinya Masjid Omar Ali Saifuddien dan perkampungan Kampung Ayer. Masjid ini diiktiraf sebagi masjid terunik di Asia Pasifik selain menjadi mercu tanda Brunei. Masjid yang menjadi tumpuan ini dibina di dalam sebuah lagun di tepi Sungai Brunei. Menara dibuat daripada marmar manakala kubah utama bersalut emas. Kampung Ayer pula mempunyai tarikan sendiri apabila terdapat rumah terapung milik penduduk yang sangat teratur, terancang dan bersih. Anda tidak akan bosan apabila berkunjung ke Brunei kerana antara tarikan lain adalah Jerudong Park, Muzium Royal Regalia, Istana Nurul Iman dan beberapa pusat beli belah seperti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Hua Ho Department Store dan The Mall. Percutian ke Brunei tidak akan lengkap jika tidak singgah di Pasar Gadong. Di sinilah pelancong boleh mengenali dan merasai sendiri hidangan tradisi masyarakat Brunei seperti Nasi Katok, Selurut, Penyaram dan banyak lagi.
Qatar merupakan negara kecil yang mempunyai lebih kurang 1.6 juta populasi penduduk yang berpusat di Doha. Qatar bakal menjadi tuah rumah Piala Dunia 2022 mempunyai kemudahan sukan yang lengkap dan menganjurkan banyak acara bertaraf dunia seperti Sukan Asean 2006. Buat pelancong Muslim yang pertama kali menjejak kaki ke bumi Qatar terutama Doha, pasti terkejut melihat kepesatan ekonomi bandar raya ini. Ia kini di sekeliling dengan pembinaan banyak bangunan mencakar langit. Cultural Village Doha yang terletak bersebelahan Pusat Konvensyen Doha menjadi pusat kesenian dengan berbagai aktiviti kesenian. Antara yang menarik adalah Coliseum dimana banyak aktiviti kesenian dijalankan seperti persembahan nyayian dan teater.
Antara binaan unik terdapat di Cultural Village Doha adalah menara burung merpati yang menempatkan beribu-ribu burung merpati membuat sarang di dalam menara berlubang. Jika ingin membeli-belah, tempat paling ideal adalah di Souk Waqif yang terkenal dengan sejarah pembinaannya. Souk Waqif telah dibina semula mempunyai tiga jenis ruang perniagaan, iaitu pasar besar yang menempatkan peniaga borong dan runcit. Kemudian, kedai hasil kraftangan, jahitan, tenunan serta pertukangan serta gerai terbuka untuk peniaga tempatan. Sebaik saja memijak kaki di Souk Waqif, anda akan terpegun dengan kecantikan hasil seni bina warisan Qatar. Anda juga boleh bersiar-siar di Porto Arabia tempat persinggahan kapal-kapal mewah dengan pelbagai saiz. Disebelah Porto Arabia tersergam indah The Pearl iatu gabungan pusat berbelanja barang berjenama dan rumah kediaman.
Negara mesra Muslim mana anda dah jejak?
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Tidak semua hubungan berakhir dengan bahagia. Ada cinta yang terhenti di tengah jalan, persahabatan yang semakin jauh dan kenangan yang masih tersimpan walaupun pemiliknya...