
Sering membaca perkongsian di group tentang perkhemahan di campsite membuatkan Ku Norsiah Ku Saidin teruja untuk membuat aktiviti sebegini.
Persiapan yang dibuat juga tak lama, tiga hari membeli kelengkapan secara online, meskipun ada yang masih tidak cukup, niat untuk camping diteruskan juga.
Memilih tapak perkhemahan di Pantai Merdeka, wanita ini cukup teruja, apa lagi minat yang baru itu turut mendapat sokongan daripada suami tercinta. menurutnya juga dia memilih tapak tersebut kerana lokasi dan fasiliti yang ada di situ lengkap dan terjamin keselamatan kerana berada di kawasan resort.
Daripada pembacaan dan pemerhatian di Family Camping Malaysia (FCM) wanita ini juga membuat cooler boxnya sendiri untuk menyimpan makanan bekalan sepanjang perkhemahan mereka selain rak yang dibuat sendiri oleh suaminya.
Seronok membaca apa yang dikongsikan, lebih-lebih lagi melihat gambar masakan yang dikongsikan sepanjang camping mereka.
First Time Camping, Pilih Pantai Merdeka. Seronok Nak Camping Lagi!
Salam perkenalan semua, first time kak Nor nak kongsi cerita kat group FCM…sebelum-sebelum ni dok jd CCTV saja
Tah mimpi apa dok tak dok tetiba mai semangat nak pi bercamping…ajak En. Heri dia pun onzz….apalagi dalam masa 3 hari pulun order kelengkapan berkhemah kat shopee…ada yang 2 hari order dah sampai dan ada jugak hat tak sampai-sampai lagi…makanya kami pi jugak walaupun tak cukup kelengkapan
Pertama Kali set up auto tent…fuhhh mudah sungguh no…sat saja siap
Walaupun jenis hat biasa-biasa saja tapi puas hati..tak berani nak beli hat kayangan lagi, nanti dah betoi-betoi serius baru upgred len…kerusi order 4 biji masa tu tak sampai lagi, so bawak tikaq getah ja dulu..pun ok pasai boleh dok bersila time makan. Rak gantung kuali tu En. Heri buat sendiri ….cooler box macam biasa kak Nor ambik idea dalam group ni ,diy sendiri jugak…jimatttt
Untuk pengalaman pertama ni kami pilih berkhemah di Pantai Merdeka sebab tau kat situ tempat lapang, bersih dan yang penting ada kelengkapan tandas, surau dan lain-lain…keselamatan pun terjamin sebab berkhemah dalam kawasan resort…Sewa tapak semalam depa ambik RM 30.(tak pasti harga ikut size khemah atau macam mana sebab kami sampai sana pun dah pukul 11+ malam. Kawasan pun cerah elok…ada lampu semua, pihak resort pun baguih, siap pesan apa-apa call depa pasai malam tu kami ja yang pi berkhemah
Ok…tak nak tulis karangan panjang-panjang nanti hampa cemuih….pendek cerita syok pacak khemah kat sini…view lawa, suasana tenang dengan alunan ombak di tepian pantai….hat paling seronok En. Heri la…siang malam lepaih gian memancing,
Kompom lepaih ni dok tunggu hari cuti ja nak pi pacak khemah
Kredit: Ku Norsiah Ku Saidin
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jejak Budaya. Ini 14 Lokasi Wajib Pelancong Singgah Jika Berkunjung Ke Sibu, Sarawak

Sibu, bandar ketiga terbesar di Sarawak subur menghijau di pinggiran Sungai Rajang dan Sungai Igan serta pekan Mukah terletak di persisiran Laut China Selatan.
Pada awal sebelum tahun 1873 bandar Sibu dikenali sebagai ‘Maling’ disebabkan kedudukan geografi Sibu terletak di Tanjong Maling. Ketika itu, Sibu merupakan bandar utama di sepanjang Sungai Rejang dan memiliki sebuah perkampungan Melayu kecil dan pusat perniagaan masyarakat Cina. Nama Maling kemudian diubah kepada Sibu dan digunakan sehingga hari ini berdasarkan sejenis buah rambutan dikenali buah sibau dalam bahasa Iban.
Kunjungan ke daerah di Bumi Kenyalang ini pasti sangat menarik kerana ia bukan sahaja memiliki sejarah yang unik malah kaya dengan alam semula jadi, budaya dan berbilang bangsa termasuk kaum peribumi. Antara lokasi menarik yang wajib singgah jika berkunjung ke Sibu ialah:
- Muzium Budaya Warisan Sibu
Muzium Budaya Warisan Sibu di Jalan Central yang mempamerkan banyak artifak serta warisan masyarakat etnik tempatan selain susur galur sejarah Sibu.
- Rajang Esplanade
Ambil angin dengan bersantai di persisiran Rajang Esplanade berhampiran Terminal Bot Ekspres. Di situ, tersergam patung angsa gergasi, sesuai dengan nama Sibu yang turut digelar sebagai Swan City.
- Taman Bukit Aup Jubilee
Peluang untuk hirup udara nyaman di Taman Bukit Aup Jubilee sambil menikmati landskap hebat termasuk menara setinggi 59 meter, pondok berkelah, titi gantung dan laluan berjoging.
- Lau King Howe Memorial Museum
Satu-satunya muzium hospital di Malaysia dan ia didirikan di atas permukaan air.
- Masjid An-Nur
Bagi pelancong beragama Islam, wajib singgah ke Masjid An-Nur yang tersergam indah di Jalan Kampung Nyabor untuk menunaikan solat
- Kompleks Islam Sarawak Sibu
Tidak jauh dari Masjid An-Nur, terdapat sebuah bangunan Kompleks Islam Sarawak Sibu yang tersergam megah juga menarik untuk dikunjungi.
- Wisma Sanyan
Singgah sebentar mengambil gambar kenang-kenangan di Wisma Sanyan yang menjadi bangunan tertinggi di Sarawak, sekali gus menjadi lambang kemodenan Sibu.
- Kuil Tua Pek Kong
Kuil ini terkenal dengan keistimewaaan pagodanya. Di hadapan kuil ini, terdapat sebatang pokok besar unik yang usianya mencecah 100 tahun.
- Wong Nai Siong Memorial Garden & Sungai Merah Heritage Walk
Rakam swafoto di Wong Nai Siong Memorial Garden dan Sungai Merah Heritage Walk sebagai tanda ingatan.
- Pasar Sentral Sibu
Pasar ini punya sejarah tersendiri sebagai pasar basah dan kering terbesar di Malaysia. Pasar berbumbung ini menawarkan 1001 jenis barang makanan segar, produk hutan hingga cenderahati. Pasar ini juga terkenal dengan jualan ayam hidup yang dibalut kemas dengan suratkhabar.
- Pusat Perusahaan Pasu Sarawak
Jika gemar akan pasu dari negeri ini, jangan lupa untuk singga di Pusat Perusahaan Pasu Sarawak. Di sini juga pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri cara menghasilkan seni pasu yang turut membentuk identiti Sibu.
- Rumah Panjang Bawang Assan
Terletak 40 minit dari Sibu, pengunjung boleh melawat Rumah Panjang Bawang Assan yang dibina sejak kurun ke 18 dan melihat pelbagai aktiviti penduduk seperti menanam padi serta menangkap ikan.
- Menu Tradisi

Jangan lepaskan peluang untuk mencuba juadah wajib melambangkan daerah itu iaitu Mi Kampua, Mi Sua dan kompia berinti daging yang boleh dibeli di pelbagai restoran, kafe serta medan selera di sekitar bandar Sibu.
Jom, cuti-cuti Malaysia~
Sumber: Sabah Tourism Board | iloveborneo | hmonline
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Berlain Langkawi La ni!’ Ini Idea Lengkap Percutian Super Duper Best Di Langkawi

Isi Kandungan
TogglePulau Langkawi tidak perlu diperkenalkan lagi. Destinasi ini sememangnya lokasi pelancongan negara yang terulung bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa. Umum mengetahui keindahan dan kemasyhuran pulau peranginan itu membuatkan ia sering menjadi bualan dan mendapat banyak pengiktirafan.
Boleh dikatakan ramai rakyat Malaysia sudah menjejakkan kaki di tanah yang terkenal sejarah kisah Mahsuri ini. Begitu juga dengan pelancong asing, rata-rata yang datang ke Malaysia pasti mempunyai kenangan tersendiri bercuti di Langkawi.
Kalau sebelum ini, Langkawi sudah pasti menjadi lokasi saban tahun yang akan penulis
kunjungi dan terasa dekat di hati. Namun, jujur penulis katakan hampir tiga tahun tidak
menjejakkan kaki di Langkawi, bukan tidak mahu tapi tidak berkesempatan. Namun jauh sekali melupakan pulau kesayangan Perdana Menteri kita sekarang ini.
Berkesempatan menjelajah Pulau Langkawi baru-baru ini selepas hampir tiga tahun tidak menjengah, penulis melihat ada banyak produk pelancongan yang baru dan lama sedang rancak berjalan menunggu kunjungan pelancong. Percutian penulis lima hari di pulau jolokan bebas cukai atau syurga membeli-belah ini memang cukup puas dan begitu berbaloi.
Nah! Ini cadangan aktiviti dan lokasi penginapan yang boleh anda lakukan ketika bercuti di
Langkawi.
Main Air Di Langkawi
- NAAM Paradise 101
Tidak basah, tidak sah lah percutian anda di Pulau Lagenda ini. Pernah dengar atau tidak ada sebuah pulau umpama syurga dunia berada di Langkawi? Haa..pulau yang dikenali sebagai NAAN Paradise 101, merupakan pulau persendirian untuk anda lakukan pelbagai aktiviti air atau pantai. Pulau ini hanya boleh diakses menggunakan perkhidmatan bot khas di Jeti Telaga Harbour Marina bermula dari jam 10 pagi hingga tengah malam setiap hari.
Antara pakej dan aktiviti yang disediakan adalah mencuba permainan air di Aqua Park, Banana Boat Ride, Parasailing, snorkel atau hanya beristirahat. ‘Pulau Syurga’ ini juga bersedia menerima tetamu yang ingin mengadakan majlis sambutan hari lahir, perkahwinan atau majlis berskala besar.
- Mega Water Sport
Island hopping adalah aktiviti wajib dilakukan di Langkawi. Rutin bagi aktiviti ini adalah menaiki bot laju dan berhenti dari pulau ke pulau. Namun, jika ingin kelainan dalam percutian anda, pilih untuk lakukan island hopping menggunakan pengangkutan air jet ski yang disediakan di Mega Water Sport. Paling best island hopping yang berdurasi 4 jam tidak terasa dek keseronokkan mengendalikan jet ski ini ketika membelah lautan.
Bukan itu sahaja, malah dengan menggunakan jet ski anda lebih mudah untuk di bawa ke lokasi lebih menarik yang susah diakses jika menggunakan bot. Tidak pernah membawa jet ski? Jangan risau, seorang staf terlatih akan membantu dan menemani anda sepanjang trip ini. Sebelum aktiviti bermula, anda akan diberikan sedikit taklimat, praktikal mengendalikan jet ski, keselamatan dan kelengkapan seperti kasut serta beg kalis air.
- Sunset Cruise Fantastic Tour Service
Di Langkawi, antara tarikan yang sudah lama di praktikan di sini adalah pengalaman merasai dan menaiki ‘Sunset Cruise’. Anda boleh dapatkan perkhidmatan daripada Fantastic Tour Services yang dilengkapi pakej makan malam pada waktu petang hingga ke malam. Sambil dihidangkan menu enak yang disediakan di atas kapal, mata anda pasti tidak henti menyaksikan keindahan alam dan lautan terbentang luas dari bahagian deck atas kapal.
Ternyata ia satu detik yang mengujakan dan sukar didapati di tempat lain. Anda juga boleh membawa pakaian bersesuaian sekiranya mahu merasai pengalaman jakuzi asli air laut yang disediakan di bahagian belakang bot cruise. Perjalanan lebih tiga jam mengelilingi lautan dan kemuncaknya adalah ketika menyaksikan matahari terbenam yang sangat mengasyikkan.
Cabar Adrenalin Di Langkawi
Kereta Kabel Langkawi terletak di Gunung Mat Chinchang adalah destinasi wajib cuba di Langkawi. Dari sini anda berpeluang melihat panorama gunung batu kapur zaman geologi Cambrian yang berusia 500 juta tahun. Jika cuaca baik, hampir keseluruhan Pulau Langkawi dapat dilihat dengan jelas dari aras tinggi.
Di sini terletak sebuah jambatan gantung berketinggian 100 meter yang boleh menampung 250 orang dalam satu masa menjanjikan pengalaman unik kerana dikelilingi gunung-ganang menghijau.
Selesai menaiki kereta kabel dan sebelum berlepas balik, jangan lupa untuk berkunjung ke Muzium 3D dan singgah ke premis Sri Kandi. Di sini anda berpeluang untuk mencuba pelbagai pakaian tradisional berserta aksesori sambil mengambil gambar kenang-kenangan di setiap sudut bangunan ini.
- Skytrex Adventure Langkawi
Bagi yang gemar mencabar stamina destinasi ini adalah pilihan terbaik buat anda kerana bentuk landskap pusat rekreasi itu yang berbukit menjadikan aktiviti mendaki lebih mencabar. Namun, cabaran mendaki ke platform lebih tinggi berbaloi kerana pengunjung diberi ganjaran dengan mencuba aktiviti ‘flying fox’ selepas mendaki dan ia memberi kepuasan dan keseronokkan serta lebih relaks.Pusat rekreasi ini bukan saja menawarkan aktiviti lasak, malah bagi mereka yang gemar menikmati alam semula jadi, ia pasti memberi pengalaman unik.
Nature & Animal Lovers Di Langkawi
- Crocodile Adventure Land
Pengakuan ikhlas daripada penulis, taman buaya di Langkawi ini adalah paling menarik yang pernah dikunjungi. Taman buaya ini begitu teratur dan kolam- kolam yang disediakan untuk setiap reptilia ini sangat bersih. Anda boleh melihat haiwan- haiwan di sini terjaga dengan begitu baik dan bebas bergerak dengan aktif. Terdapat sebuah pertunjukan buaya ‘giant’ yang penuh mendebarkan pada setiap hari mengikut masa tertentu. Tarikan paling menarik bagi penulis di sini pengunjung berpeluang untuk memberi anak-anak buaya makan seakan aktiviti memancing. Walaupun hanya anak buaya, tetapi rentapan setiap ekor daripada haiwan ini cukup kuat ketika sesi ini berlangsung.
Pengujung juga diberi kesempatan untuk bergambar dengan buaya sebenar. Uniknya, mulut buaya di sini langsung tidak diikat sebagaimana dilakukan di taman-taman buaya lain di seluruh dunia. Bagi pengurusan taman buaya ini, mengikat mulut buaya melanggar hak asasi haiwan tersebut. Terdapat juga pelbagai produk yang dihasilkan daripada kulit buaya yang dijual di sini.
- Wildlife Park Langkawi
Taman hidupan liar ini merupakan lokasi ideal untuk membawa keluarga bersiar-siar. Di sini menempatkan pelbagai jenis binatang dan spesies burung dari seluruh dunia. Antaranya adalah burung merak dan kakak tua. Pengunjung juga diberi peluang untuk memberi makan dan berinteraksi dengan haiwan yang ada di sini.
Paling unik terdapat sebuah kolam yang menempatkan puluhan ikan koi yang makan menggunakan botol susu. Bunyi semacam pelik bukan? Tapi itu yang boleh anda lihat di sini. Di luar kawasan pintu masuk terletak sebuah lokasi khas untuk pencinta kucing. Anda boleh masuk dan bermain dengan haiwan comel ini sepuas hati.
- Kubang Badak Mangrove
Aktiviti melihat paya bakau banyak dilakukan di negara kita. Penulis sendiri sudah banyak kali berpeluang mengikuti aktiviti ini, tetapi percayalah anda bakal jatuh cinta apabila mengambil pakej ini di sini. Lain daripada yang lain. Bukan sekadar melihat tumbuhan paya bakau semata-mata, tetapi anda di bawa untuk mengimbas sejarah peradaban lampau dan mengenali geografi negara anda dengan lebih lagi seperti Pulau Kubang Badak, Bukit Menora, Sungai Siam, Gua Pinang, Pulau Jemuruk dan Tanjung Buta. Anda akan di bawa untuk melihat lokasi pra sejarah di Bukit Menora.
Lokasi ini merupakan penempatan awal penduduk Siam pada abad ke-18 dan dikatakan sangat masyhur dan terkenal. Anda masih berpeluang melihat tapak kebuk arang lama yang dijumpai di Kampung Siam berusia lebih 100 tahun. Dalam trip ini juga, anda akan dibawa ke Gua Pinang iaitu tinggalan gua laut kuno yang terbentuk oleh proses ombak sekitar 6000 tahun lalu. Di sini terdapat banyak longgokan cengkerang kerang dan tiram pada dinding gua.
Istimewa Di Langkawi
- Galeria Perdana
Galeri Perdana juga cukup sinonim dengan Langkawi. Galeri ini menempatkan pelbagai hadiah pemberian rakyat, ketua negara asing dan pemain pelbagai industri tempatan dan luar negara kepada Tun Dr Mahathir Mohamed ketika bergelar Perdana Menteri keempat dan ketujuh. Semua pemberian itu diterima ketika beliau memegang jawatan berkenaan pada 1981 hingga hingga kini.
Galeria Perdana bukan saja menyimpan pelbagai barangan atau cenderahati Perdana Menteri kita, malah ia antara lokasi terbaik untuk melihat hasil seni dan warisan dari seluruh dunia yang dihadiahkan kepada kita, rakyat Malaysia. Disebabkan cenderahati yang diterima terlampau banyak, maka pihak galeri tidak dapat untuk mempamirkan kesemuanya sekaligus. Dalam setahun, sebanyak tiga kali barang-barang di dalam galeri ini akan bertukar dari sebesar-besar jet pejuang hingga sekecil-kecil batu jed.
- Kota Mahsuri
Bagaikan tidak lengkap apabila berada di Pulau Langkawi sekiranya tidak menjejaki sejarah silamnya di Kota Mahsuri. Rasanya semua mengetahui sejarah lampau Langkawi yang dikatakan disumpah oleh Mahsuri selama tujuh keturunan. Jangan lepaskan peluang menonton teater Mahsuri, menziarahi makam dan merakamkan gambar kenangan di binaan replika rumah serta mengenali sejarah jelitawan yang mati dibunuh akibat fitnah itu di Kompleks Kota Mahsuri.
Di sini terdapat sebuah perigi digelar Telaga Mahsuri dikatakan lokasi Mahsuri untuk membersihkan diri dan membasuh pakaian. Telaga ini dikatakan tidak pernah kering sejak dari dahulu walaupun ketika musim kemarau. Khasiat dari air telaga ini dikatakan mampu menyembuhkan masalah kulit dan memberi kesan awet muda.
- Kompleks Kraftangan
Selama penulis mengenali Langkawi, sekali pun tidak pernah jejak ke sini. Selepas meninjau sendiri lokasi ini, bagi penulis satu kerugian besar jika pelancong yang datang ke Langkawi tidak berkesempatan ke Kompleks Kraf.
Kompleks Kraf Langkawi merupakan salah satu destinasi membeli-belah utama pelancong yang mecari produk kraf keluaran tempatan. Sememangnya tidak rugi untuk dikunjungi kerana terdapat pelbagai daya tarikan jualan hasil kraf setempat termasuk batik, anyaman, ukiran kayu dan logam, seramik serta aneka kraf lain.
Kompleks berkenaan juga mampu membuatkan pengunjung teruja dengan pelbagai persembahan dan aktiviti sampingan. Pada waktu tertentu, pengunjung juga boleh cuba lakukan sendiri pelbagai tutorial kraf seperti mencanting batik, menganyam tikar, membuat kuih tradisional dan banyak lagi.
Cadangan Hotel Pilihan Di Langakwi
Terdapat pelbagai pilihan penginapan di Langkawi daripada hotel berstatus mewah, inap desa (homestay) dan bilik kembara yang menawarkan kemudahan dan keistimewaan menarik kepada pengunjung yang ingin menikmati percutian santai dan menyeronokkan. Jika anda suka percutian yang lebih ‘havoc’ dan meriah di tepian pantai, anda boleh memilih lokasi di Pantai Chenang. Manakala, jika inginkan penginapan ditengah pekan Langkawi atau kawasan tumpuan membeli-belah, anda boleh memilih untuk menginap di Kuah.
(Pantai Chenang)
- Nadias Hotel– Lot 977, Pantai Cenang , Mukim Kedawang , 07000, Langkawi | 049551401
- Adya Hotel Chenang – Jalan Pantai Chenang, Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi | 04-9523890
- Fave Hotel – Lot 119, Pantai Tengah, Mukim Padang Mat Sirat, 07000 Langkawi | 04-9556600
- Salsa Resort Langkawi – Lot 2436, Jln. Pantai Cenang, Langkawi | 04-9556168
- Resort World – Tanjung Malai, 07000, Langkawi | 049555111
- Ombak Villa – Lot 78, Jalan Kuala Muda, Padang Matsirat, 07100 Langkawi | 04-9558181
- Aseania Resort – Simpang Tiga, Jalan Pantai Tengah, Mukim Kedawang, 07100 Langkawi | 04- 9552020
(Pekan Kuah)
- WE Hotel – Lot 2G Mahacity Business Centre Jalan Mahawangsa 1 Kuah, 07000 Langkawi | 04-961 0966
- Adya Hotel Langkawi – No 1 PT 4001 Mukim Darul Aman Persiaran Mutiara 2 Mukim Kuah, 07000 Langkawi | 04-960 8000
- Goldsands Hotel – Lot 557 & 559, Bandar Pusat Kuah, 07000 Langkawi | 04-9666666
- Bayview Hotel – Jalan Pandak Mayah 1, Pusat Bandar Kuah, 07000 Langkawi | 04-9661818
- Royal Langkawi Yacht Club – Jalan Dato Syed Omar, 07000 Kuah | 04-966 4078
Jom! cuti-cuti Malaysia..
Terima kasih pihak Persatuan Pelancongan Langakawi (LTA) & Lembaga Pembangunan Langkawi.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
9 Pulau Paling Cantik Di Johor Untuk Percutian Istimewa Anda!

Isi Kandungan
ToggleMersing pekan kecil yang terletak 136km dari Johor Bahru. Namun, Mersing merupakan tempat mendarat pelancong dari pulau-pulau di Johor. Pulau ini mempunyai tarikan seperti memancing, menyelam skuba, snorkeling dan berehat di pantai. Ia hanya boleh diakses menggunakan bot. Jeti Mersing terkenal sebagai pusat pelepasan bot bagi 9 pulau termasuk Pulau Tioman, kecuali Pulau Sibu.
Terdapat 9 pulau di Johor:
- Pulau Aur
- Pulau Besar
- Pulau Pemanggil
- Pulau Rawa
- Pulau Tinggi
- Pulau Sibu
- Pulau Harimau
- Pulau Dayang
- Pulau Tengah
Pulau Aur
Terletak 80km dari Mersing, Pulau Aur adalah sebahagian dari Taman laut Johor. Ia semakin popular dikalangan pelancong kerana kolam semulajadi di luar pesisir pantai, batu karang berwarna -warni dan pantai yang cantik.
Dari Pulau Aur, anda boleh ke pulau kecil Pulau Dayang. Kedua-dua pulau ini terbaik bagi kaki selam skuba memandangkan Pulau ini jauh dari Pantai, air disini sangat jernih dan banyak spesis hidupan marin termasuk baracuda dan pari besar boleh dijumpai. Ramai pelancong Singapura datang ke sini.
Monsun timur laut membawa hujan lebat ke pulau sekitar November dan Mac, manjadikan pulau sukar diakses dan tidak selamat untuk aktiviti. Monsun tenggara juga hadir sekitar Mei dan September, menjadikan bulan-bulan lain waktu ideal untuk dilawati.
Pulau Besar
Dulu dikenali Pulau Babi Besar. Dipercayai banyak babi hutan liar di sini, namun kini menghilang. Pulau Besar boleh diakses selepas menaiki bot selama 30 minit dari jeti Mersing. Jika anda pernah menonton rancangan realiti TV Expedition Robinson, maka anda tahu anda bakal ke syurga dunia.Pantai yang bersih cantik dan putih serta resort cantik menanti anda, bersama hidupan marin dan kepelbagaian batu karang yang cantik.
Menyelam skuba juga aktiviti yang kerap dilakukan disekitar pulau ini. Anda juga boleh akses Pulau Harimau yang berhampiran.
Walaupun pulau ini agak kecil (4 km panjang , lebar 1km) terdapat 4 resort untuk dipilih. D’Coconut yang paling selesa sementara yang lain menawarkan penginapan asas. Banyak aktiviti dan sukan air di sini. Bola tampar pantai berada di resort Aseana; anda boleh bermain dengan pengunjung lain. Serta padang golf 18 lubang juga ada disini.
Meskipun bahagian tengah pulau berbukit dan curam, terdapat beberapa denai untuk didaki. Anda boleh menggunakan khidmat pemandu arah yang akan membawa anda ke bahagian lain pulau. Anda juga boleh menghabiskan masa dengan penduduk tempatan di kelong mereka dan mempelajari cara menangkap ikan.
Pulau Pemanggil

Pulau ini terletak 45km dari Mersing. Perjalanan mengambil masa sekitar 4-5 jam. Air disini amat jernih dan pasirnya keemasan bersih. Pulau ini menawarkan cerita rakyat tradisi orang kampung, pengalaman memancing dan merasa durian dan mangga dari dusun.
Hikayat pulau ini dipercayai lelaki Indonesia dan keluarganya belayar berhampiran Pulau. Kemudian malamnya bermimpi suara memanggil untuk menghuni pulau ini. Dari sinilah dapatnya nama Pulau Pemanggil. Kemudian semakin ramai orang dari Indonesia dan Pulau Aur datang menghuni disini.
Pulau ini memiliki batu karang cantik, hidupan laut yang banyak dan syurga bagi kaki pancing. Ramai mengatakan Pulau Pemanggil antara spot terbaik memancing laut dalam. Ikan marlin, ikan yu, ikan pari dan tuna antara yang selalu berada disini. Hanya terdapat Lanting Beach Resort di sini jadi pastikan anda menempah awal agar tidak kecewa.
Pulau Rawa


Pulau kecil ini mendapat jolokan Maldives Malaysia. Ia terletak 16km dari Mersing. Tarikan utama ialah pantai bersih putih, hidupan marin dan batu karang cantik. Pulau ini dilitupi hutan yang tebal dan sukar untuk ditembusi. Kerana pulau ini kecil, tidak ada kemudahan pengangkutan di Rawa. Hanya 15 minit perjalanan untuk ke bahagian lain pulau.
Bahagian timur pulau, yang penuh dengan batuan besar tidak boleh diakses. Hanya ketika laut tenang, anda berpeluang berkanu sekitar pulau. Ini cara terbaik untuk melihat keindahan sekeliling pulau yang penuh dengan batuan serta sedikit gua. Anda dilarang melakukan aktiviti air ketika cuaca buruk kerana tidak ada jeti dan angin serta ombak akan menolak anda ke laut terbuka.
Mereka yang menggemari trekking, anda boleh mendaki 270 tangga ke puncak di bahagian timur pulau, memberi pemandangan persisir pantai Johor dan pulau berhampiran serta spot terbaik untuk sunrise dan sunset. Pulau ini juga boleh disinggah selepas melancong Pulau Tioman.
Pulau Tinggi
Juga dikenali sebagai Pulau Topi Jeneral oleh pelayar China beratus tahun dahulu. Ia terletak 32km dan 45 minit perjalanan dari jeti Mersing. Kaya dengan sejarah, dahulunya menjadi tempat singgah pedagang dan nelayan. Pulau ini memiliki pantai berish, bukit yang tinggi dan hutan yang tebal, pusat hidupan marin, kampung nelayan dan resort moden.
Pusat hidupan marin disini memberi pengetahuan yang baik terhadap pulau ini dan terlibat dalam program penetasan penyu dan penternakan kerang gergasi. Seperti biasa, aktivit-aktiviti seperti di pulau lain terdapat disini. Perjalanan 35-40 minit dan anda akan sampai ke air terjun dan kolam kecil yang cantik. Anda perlu mendapat pemandu arah kerana denai yang tidak mempunyai arah yang baik. Dari sini juga , anda boleh akses ke Pulau Sibu.
Pulau Sibu
Pulau SIbu adalah gugusan pulau lain iaitu Pulau Sibu Hujung, Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Kukus dan Pulau Sibu Tengah. Sebahagian pulau ini juga dirakam dalam rancangan TV Expedition Robinson.
Di sebelah timur pulau terdapat 4 lagi pantai utama, yang menawarkan anda pantai putih bersih, air yang sangat jernih dan ketenangan. Pulau ini hanya kurang dari 1km luas dan keseluruhannya rata. Anda mudah akses dari satu tempat ke tempat lain. Tiada jalanraya di sini.
Di selatan pantai, pulau ini terlindung dari angin, menjadikan air seperti di tasik dan spot yang best untuk mandi. Terdapat juga pokok bakau di sekitar. Pulau Sibu hanya boleh diakses dari jeti Tanjong Leman. Bagi kaki skuba, ada pusat skuba, Sea Gypsy Village Resort, dimana kursus PADI boleh ditempah. Kampung Duku disini dikuasa sepenuhnya menggunakan solar.
Pulau Harimau

Pulau ini tidak berpenghuni. Rupa muka bumi pulau ini seolah anda berada di luar negara. Terdapat rumah api di puncak bukit dan dibuka kepada pelawat. Ia juga boleh diakses dari jeti Mersing. Ramai datang ke sini untuk selam skuba dan snorkeling. Pulau ini mempunyai gua ringkas dan mempunyai kolam lagun yang cantik. Menurut penduduk tempatan, dahulu pulau ini dipercayai menjadi lokasi singgah berteduh bagi lanun. Namun, tidak dapat dipastikan kebenaran cerita tersebut.
Pulau Dayang

Pulau Dayang teletak sebelah Pulau Aur. Ia juga antara spot terbaik untuk melihat hidupan marin. Pulau ini juga sempuna untuk anda relaks bercuti sambil melakukan aktiviti air.
Ia juga terkenal dikalangan penyelam skuba kerana lokasi ini mudah dijumpai ikan yu, paus dan ikan pari. Disini disediakan kursus menyelam untuk mereka yang baru dan berpengalaman. Sesi menyelam ini biasanya dijalankan pada Februari – November. Terdapat beberapa hotel dan resort disini.
Pulau Tengah


Pulau Tengah adalah milik peribadi dan terletak 15km dari jeti Mersing. Pulau ini terkenal kerana dahulunya menjadi tempat berlindung pelarian Vietnam pada tahun 70an dan telah ditutup pada tahun 80an.
Ini memberi perspektif sejarah terhadap pulau ini selain ia juga antara lokasi bagi rancangan TV Expedition Robinson. Pulau Tengah antar pulau yang digazet di Johor sebagai Taman Laut kerana hidupan marin yang pelbagai dan kecantikan terumbu karang. Pulau ini lebih popular berbanding pulau lain di Johor. Seperti biasa, anda boleh melakukan aktiviti air seperti di pulau lain.
Jom cuti-cuti Malaysia!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI