Mengambil idea dan konsep dari negara Thailand, Kafe Eat & Repeat menjanjikan kepelbagaian makanan yang dihidangkan dalam mangkuk kecil pada harga RM1.90 untuk semua hidangan. Pendekatan yang dilakukan ini bagi memastikan pelanggan dapat mencuba menu yang disediakan bermula dari menu utama, pencuci mulut dan minuman.
Menariknya di kafe ini, makanan yang dihidangkan adalah berasaskan menu tempatan seperti nasi goreng, nasi lemak, mee rebus, laksa utara, soto, pulut mangga, sagu gula melaka dan pelbagai lagi termasuk minuman panas dan sejuk.
Pemiliknya, Izmir Fahmi berkata, sebanyak 22 menu disediakan khusus kepada pelanggan yang ingin mencubanya. Kita menggunakan konsep ini kerana yakin ia mampu menepati citarasa pelanggan.
“Pendekatan ini dilihat sangat relevan kerana jika pelanggan menyukai menu yang ditempah, mereka boleh membuat tempahan semula pada menu yang sama. Jika tidak kena dengan citarasa, pelanggan boleh mencuba menu lain.
“Sekurang-kurangnya mereka tidak berasa rugi untuk membayar bagi setiap satu hidangan yang ditempah. Bagaimanapun, setakat ini kita mendapat maklum balas yang positif dan rata-ratanya menyukai menu yang disediakan.
“Sejak dibuka pada April tahun lalu, sambutan begitu menggalakkan ditambah pula selepas menjadi viral di laman sosial sebulan selepas pembukaan kafe ini. Saya melihat strategi ini berjaya menarik perhatian pengunjung kerana belum ada lagi konsep hidangan tempatan dalam mangkuk kecil melainkan restoran Boat Noodle yang mempunyai beberapa cawangan di pusat membeli-belah seluruh Malaysia,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah, kita telah membuka cawangan kedua di Bandar Baru Bangi. Dalam masa terdekat cawangan di Kuala Selangor dan bandar Melaka akan mula beroperasi.
“Saya yakin cawangan di Melaka ini boleh menarik kehadiran pengunjung dari Johor dan Singapura serta pelancong asing yang sentiasa memilih Melaka sebagai destinasi pelancongan. Manakala di Kuala Selangor kita sasarkan kepada pengunjung luar yang datang berkunjung ke Bukit Melawati.
Ads
Terbaik buat pelanggan
Sejajar dengan pembukaan cawangan baharu dan ulang tahun pertama pembukaan Kafe Eat & Repeat, beberapa penambahan menu baharu akan dibuat bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.
Menu baharu ini akan dipilih bagi menvariasikan pilihan makanan sedia ada terutama kepada anak-anak kecil dan golongan berkeluarga serta penuntut universiti.
Di Kafe Eat & Repeat, setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 3 hingga 6 petang, promosi Happy Hour dibuka kepada semua pelanggan. Pengunjung boleh menikmati satu hidangan percuma dengan membuat lima pesanan.
Selain menu istimewa, pengunjung juga boleh mendapatkan beberapa produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang turut dijual di kafe ini.
Ads
Info:
Alamat: Kafe Eat & Repeat Shah Alam
YG24, Jalan Plumbum, Y7/Y,
Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam
Waktu operasi: 11 pagi hingga 11 malam (Isnin – Sabtu)
Ini tentang Nota Kembara abam membawa diri ke Annapurna Base Camp. Dalam siri Nota Kembara, Abam akan share kan pengalaman abam semoga boleh menjadi rujukan sesiapa yang berhajat nak ke ABC satu hari nanti perkara-perkara yang Do and Don’t, dan tidak ulang kesilapan yang abam tengah lakukan sekarang..
Pendakian hari ini:
7 Dec, Sabtu
Chuile-Sinuwa
2200m-2200m
Jarak: 8.49km
“Go down, then little bit up, then go down down down down down.. then up up up up up.. then easy la abang.. just go straight nepalese flat..”
Haha.. itulah gambaran yang Sudip berikan ketika lepas makan malam.
Pada mulaya, kalau dilihat dari ketinggian lokasi, seolah-olah destinasi kami di Sinuwa adalah sama tinggi dengan tempat kami sekarang di Thadapani.
“Jalan flat je ke?..”
“Jalan mendatar je ke?..”
Begitulah persoalan yang wujud dalam kepala abam. Tapi abam percaya, perjalanan trekking ini tidak akan mendatar.. tidak semudah itu..
Sebelum bertolak, kali ni abam akan pastikan flusk termoss abam berisi dengan air panas. Setelah 2 hari abam tak re-fill air dalam termos flusk, air dalam flusk abam tu dah jadi air sejuk. Untuk bekalan air panas, kami perlu refill dari cafe di guesthouse kami. Dan untuk setiap air panas penuh termos flusk, kosnya adalah dari 70 ke 100 Rupee bergantung kepada size flusk termoss itu. Begitu juga dengan bekalan air minum biasa sepanjang tekking. Untuk penuh 1 botol 1 litter, lebih kurang 100 ke 200 Rupee bergantung kepada guesthouse. Lagi jauh dan tinggi lokasi guesthouse, semakin mahal harga air minuman.
Boleh juga kalau nak ambil air dari paip atau sungai, kemudian letak 1 tablet aqua tab, untuk membersihkan air supaya selamat untuk diminum. Tapi abam prefer untuk beli air mineral yang dah di filter, untuk mengelakkan sebarang kemungkinan.
Air Coke juga sama, semakin jauh atau semakin tinggi lokasi guesthouse, semakin mahal harganya. Kita juga tidak digalakkan untuk bargain atau meminta diskaun untuk setiap harga barang. Yelah, nak bawa barang ke atas pun menggunakan khidmat porter, kita perlu considerate susah payah mereka untuk bawa semua barang itu ke lokasi. Tengoklah gambar-gambar porter yang abam dah share kan tu, dah cukup untuk menunjukkan betapa susahnya untuk membawa semua barang itu ke lokasi yang tinggi dan jauh tu. Paling mahal abam beli Coke botol kecil 250ml, harga dalam 300 Rupee lebih kurang dalam Rm12. Abes tu dah teringin, beli jelah.. Bukan apa, masa sepanjang trekking, kadang-kadang kita perlukan air manis, untuk generate energy, sebab tu lah perlunya kami bawa gula-gula dan coklat juga sepanjang trekking.
Kami singgah di satu perkampungan bernama Chomrong, untuk makan tengahari. Dihidang dengan makanan vegetarian tradsional orang Nepal, dinamakan Dhalbat.
Selesai makan tengahari, perjalanan menurun yang jauh ke bawah. Bagi pendaki yang mempunyai masalah lutut, semasa menurun ni perlu berhati-hati. Berhati-hati untuk menjaga hentakan pada lutut, dan pressure tapak kaki serta buku lali kaki, berhati-hati juga dengan periuk api lepasan sang keldai dan kerbau.. terdapat banyak baja organik yang bertaburan sepanjang trek menurun dari Chomrong dan menaik ke Sinuwa.
Sepnjang perjalanan, kami berselisih dengan 1 group dari Malaysia, Karat Ventures, yang kembali dari ABC menuju ke Poon Hill, sedangkan kami selesai misi di Poon Hill menuju ke ABC. Kami bertukar-tukar ucapan salam dan mengucapkan tahniah setelah mereka selesai misi ke ABC sementara mereka mengucapkan selamat berjaya kepada kami yang menghala ke ABC.
Dari Chomrong inilah, abam termenung seketika apabila melihat laluan yang bakal kami lalui dapat dilihat dengan jelas dan destinasi kami kelihatan samar-samar dari kejauhan iaitu Sinuwa. Dari kejauhan kelihatan halus.. tulus.. mulus je kampung Sinuwa tu. Jauh beb.. jauh nak turun ke bawah.. kemudian jauh juga nak kena naik semula untuk ke Sinuwa.. klau lah ada jambatan gantung terus ke sana.. boleh refer pada attachment gambar. Haa masa ni lah hati bermonolog bermacam-macam..
Sedikit demi sedikit, langkah demi langkah, akhirnya sampai juga kami di Sinuwa, lokasi yang daripada Chomrong tadi kelihatan sebesar semut.. Alhamdulillah!
Nota berikutnya, abam akan kongsikan lagi pengalaman kami dari Sinuwa, menuju ke Duerali. Landskap dan mukabumi sepanjang trek semakin menarik. Sekian dulu buat Nota Kembara kali ini, Salam dari banjaran Himalaya.
Nota Kembara Membawa Diri Siri Ke-6
Khairul Hafiz @carrollapiez
Catatan Kembara di Sinuwa, Nepal.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Siapa yang tidak kenal dengan keindahan Gunung Baling. Dahulunya gunung ini tidak dikenali, namun kini menjadi antara yang terkenal sehingga viral di facebook.
Lokasi Gunung Baling terletak di Mukim Pulai, Daerah Baling, Kedah. Laluan mendaki boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Peringkat pertama laluan hutan sederhana yang bertanah. Di sini trek pendakian bukit yang agak mencabar. Kedua laluan hutan sederhana dan berbatu, dan ketiga laluan berbatu yang ditumbuhi pokok renek.
Kali ini seramai lima anak muda dari Parit Buntar, Perak telah menawan Gunung Baling. Memulakan perjalanan seawal jam 4.30 pagi lagi, perancangan awal untuk sampai ke puncak sebelum matahari terbit.
Permulaan perjalanan, kami terpaksa melalui kawasan tanah laterit yang basah dan berlopak dengan takungan air dek kerana hujan pada sebelah malamnya. Laluan tanah laterit ini adalah kira-kira 600 meter. Sungguh cabaran mendaki di kawasan yang becak amat mencabar sekali.
Setelah melalui kawasan tanah laterit, kami melalui kawasan bertangga. Di kawasan bertangga ini kami sedikit sebanyak dapat merehatkan kaki buat sementara waktu. Hal ini kerana kami tidak perlu lagi memasang kekuda kaki sepertimana mendaki di kawasan tanah laterit. Pembinaan tangga dan selusur untuk ke puncak Gunung Baling amat membantu perjalanan kami. Hampir sejam perjalanan, kami berehat sebentar di pertengahan jalan yang dinamakan Gua Kambing.
Dengan keadaan suhu yang dingin dan kicauan burung memberi 1001 makna ketika berada di hutan ini. Tidak kami menduga, di kawasan Gunung Baling ini juga turut mempunyai kelip-kelip.
Sedia kemudahan
Setelah berehat kami meneruskan perjalanan peringkat yang kedua iaitu melalui kawasan hutan yang sederhana dan berbatu. Laluan ini amat sukar untuk menentukan laluan mana perlu dilalui kerana sesetengah laluan ada dua simpang. Namun situasi ini dapat diatasi kerana di laluan ini juga turut disediakan lampu sebagai petunjuk.
Lampu ini menggunakan kaedah sistem solar yang mana pada waktu siang menyerap tenaga melalui cahaya matahari dan malamnya bercahaya membantu para pendaki. Laluan ini juga turut ditumbuhi dengan pokok-pokok buluh dan pokok-pokok palma. Apa yang menarik perhatian kami adalah di laluan ini juga turut disediakan kawasan solat serta arah kiblat.
Di fasa yang ketiga ini, kami perlu melalui kawasan yang berbatu dan pokok-pokok renek. Laluan berbatu ini amat mencabar. Batu-batu kapur ini berlumut dan permukaannya amat tajam. Setiap langkah kami amat berhati-hati. Kami juga perlu melalui kawasan celah batu. Laluan ini paling mencabar kerana kami perlu mencangkung dan memanjat batu untuk meneruskan perjalanan. Hampir setengah jam daripada kawasan yang mencabar tadi, kami sampai ke kawasan puncak antara jam 6.30 pagi. Tiada kata-kata yang mampu dikeluarkan, melainkan pujian kepada Sang Pencipta.
Sungguh cantik pemandangan dari puncak Gunung Baling. Tanpa berlengah, kami menyelesaikan dahulu perkara wajib, iaitu solat subuh. Dengan udara yang segar dan kabus di atas puncak amat menenangkan hati setiap pendaki. Kesimpulannya perjalanan untuk sampai ke puncak gunung mengambil masa hampir dua jam.
-Perkongsian pengalaman oleh Mohamad Zulfazdli Mohamad Hisam-
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Daerah Sabak Bernam terletak di barat laut Negeri Selangor. Terdapat 3 pekan utama iaitu Sungai Besar, Sekinchan dan Sabak Bernam. Rata-rata masyarakat di Daerah ini terdiri dari kaum Melayu berketurunan Jawa, Banjar, Kampar dan Melayu Bugis.
Sabak Bernam menawarkan pemandangan sawah padi yang menghijau seluas pandangan yang menjadikannya unik dan tersendiri. Jadikan destinasi tersenarai di bawah sebagai pilihan untuk perjalanan seharian anda ke Daerah Sabak Bernam selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti – #ImagineNowExperienceSoon;
8:00 pagi – Sarapan pagi di Restoran Kuala Kurau, Sungai Besar
9:00 pagi – Pelajari cara pemprosesan padi di Paddy Gallery, Sekinchan
11:00 pagi – Lawati Muzium Daerah Sabak Bernam
12:00 tengahari – Singgah ke Ah Ma House, Sekinchan
1:00 petang – Makan tengahari di Restoran Lembah Bernam, Sekinchan
3:30 petang – Singgah ke Ladang Mangga, Sungai Limau
4:30 petang – Bersantai di Coconut Farms, Sekinchan
5:30 petang – Bersiar-siar di Pantai Redang, Sekinchan
7:00 malam – Makan malam di Restoran Mee Udang BNO, Sabak Bernam
Sarapan pagi di Restoran Kuala Kurau
Restoran Kuala Kurau
Tidak tahu mahu sarapan di mana? Sekiranya anda bercuti ke Daerah Sabak Bernam, nikmati pagi anda dengan bersarapan di salah sebuah lokasi yang unik dimana terdapat banyak gerai di restoran ini. Restoran Kuala Kurau terletak di Sungai Besar ini sering menjadi pilihan penduduk tempatan. Restoran ini menyediakan pelbagai jenis juadah seperti Char Kuey Teow, Mee Kari, Cucur Udang dan banyak lagi! Pastikan anda mencuba Cucur Udang di sini kerana ia merupakan menu paling popular dan rasanya cukup enak!
Pelajari Cara Pemprosesan Padi di Paddy Gallery, Sekinchan
Paddy Gallery
Salah satu tarikan yang terdapat di Pekan Sekinchan ini adalah kilang memproses padi; Paddy Gallery. Ia juga merupakan satu-satunya kilang beras yang mengalu-alukan orang ramai untuk membuat lawatan ke sini. Eloklah anda singgah ke kilang ini untuk memahami dan melihat cara pemprosesan padi dengan teknik masa kini. Selain itu, jangan lupa untuk dapatkan Bertih Beras yang dimasak dan disediakan segar untuk para pelanggan. Ianya sangat enak, rangup dan sedap dimakan begitu sahaja!
Lawati Muzium Daerah Sabak Bernam
Sabak Bernam District Museum
Jangan lepaskan peluang untuk mempelajari sejarah warisan industri pertanian dan perikanan khususnya oleh masyarakat setempat di Daerah Sabak Bernam. Muzium Daerah Sabak Bernam mempamerkan tentang aktiviti penduduk awal di Daerah ini. Terdapat pelbagai arca, infografik, replika dan barangan tradisional yang digunakan dalam industry pertanian khususnya dalam sektor penanaman padi. Lawatan ke sini tentunya menyeronokkan, dan masuk adalah percuma!
Singgah ke Ah Ma House
Ah Ma House
Sudah selesai mempelajari sejarah pertanian dan perikanan, teruskan perjalanan anda ke Ah Ma House. Ianya adalah sebuah rumah kampung tradisional yang penuh dengan barang-barang antik seperti telefon, televisyen lama dan kerusi rotan yang membawa anda mengimbau masa lampau dan mengenang memori lalu. Selain itu, anda boleh melihat cara membuat kuih kapit secara langsung dan membelinya di sini kerana ianya sangat popular dan enak!
Makan tengahari di Restoran Lembah Bernam
Restoran Lembah Bernam
Setelah penat dan seronok melihat keindahan sawah padi, pasti perut pun terasa lapar. Jadi, jangan buang masa dan singgah ke salah sebuah restoran yang sangat popular dengan keunikan menunya iaitu Restoran Lembah Bernam. Restoran ini menawarkan seleksi makanan yang berkonsepkan eksotik dan susah didapati seperti masakan berasaskan daging landak, rusa dan kijang. Masakan di sini lebih kepada masakan ala kampung atau masakan Jawa; memang sesuai untuk dijadikan destinasi persinggahan untuk makan tengahari yang lazat.
Singgah ke Ladang Mangga, Sungai Limau
Mango Orchrds, Sungai Limau
Lokasi yang seterusnya ini pula sesuai disinggahi sekiranya anda seorang peminat mangga yang tegar! Ia terletak kira-kira 6 kilometer dari Pekan Sungai Besar. Ladang yang diusahakan oleh penduduk tempatan ini menawarkan buah mangga pelbagai saiz yang boleh dibeli dan dipetik segar dari ladang. Pokok mempelam yang ditanam di Mango Orchards menghasilkan buah yang manis dan sangat sedap dimakan! Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan rasa buah mangga di sini; pasti anda mahu membeli lebih untuk di bawa pulang!
Bersantai di Coconut Farms, Sekinchan
Sekinchan Coconut Farm
Terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Pekan Sekinchan, ianya sesuai dijadikan lokasi untuk berehat sebentar untuk menikmati keenakan air kelapa segar. Bukan itu sahaja, anda juga boleh cuba “Coconut Shake” dan agar-agar kelapa yang dijual di sini. Sangat sesuai anda bersantai di bawah pokok kelapa pada hari yang membahang sambal menikmati air kelapa segar yang sedap. Terdapat juga ladang kelapa yang boleh dijadikan sebagai lokasi fotografi atau “OOTD” yang menarik di sini. Selain itu, anda juga boleh membeli biskut kelapa untuk di bawa pulang.
Bersiar-siar di Pantai Redang, Sekinchan
Pantai Redang
Destinasi ini harus anda singgahi untuk menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Pantai Redang ini terletak tidak jauh dari Pekan Sekinchan. Singgah sebentar ke sini untuk melihat keindahan dan keunikan pantai ini. Anda juga akan dapat melihat pokok-pokok besar di sini yang digantung dengan riben-riben berawarna merah yang dikenali sebagai “Sekinchan Wishing Trees”. Selain itu, terdapat gerai-gerai berdekatan yang menjual minuman dan makanan ringan.
Makan malam di Restoran Mee Bandung BNO, Sabak Bernam
Restoran Mee Bandung BNO
Cara terbaik untuk tamatkan perjalanan seharian anda di Daerah Sabak Bernam adalah dengan menikmati salah satu juadah yang popular di sini iaitu Mee Bandung. Lepas penat bersiar-siar di Pantai Redang, singgah ke Restoran Mee Bandung BNO untuk rasai keenakan Mee Udang, penuh dengan rasa kemanisan udang segar yang mampu meningkatkan lagi selera anda. Harganya amat berpatutan dan anda harus mencuba menu ini sekiranya anda datang ke Pekan Sekinchan!
Semoga tempat-tempat menarik yang tertera menjadi pilihan bermanfaat buat anda untuk perjalanan seharian anda ke Daerah Sabak Bernam kelak. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati sendiri keunikan dan keindahan Daerah ini; anda pasti akan terpegun dengan pemandangannya terutama sekali lapangan sawah padi yang terbentang luas menghijau. Bawa bersama keluarga anda mahupun sahabat handai untuk merasai pengalaman ini kelak selepas tamat tempoh PKP dan mulakan perancangan anda sekarang; #ImagineNowExperienceSoon
Adalah diingatka, ialah adalah tanggungjawab kita semua untuk sentiasa berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka pada setiap masa, menggunakan pembasmi kuman secara kerap serta mendaftar masuk ke premis-premis di Negeri Selangor dengan menggunakan aplikasi “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel
Kredit: Farhana Ain Goldah & Siti Norfadila Ab Wahab dari Selangor Travel
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...