Sebut sahaja ingin bercuti di Kuala Lumpur, pasti ramai yang mengeluh terutama pengunjung luar dari kawasan ini untuk datang bercuti. Kebanyakkannya beranggapan bercuti di Kuala Lumpur hanya semata-mata untuk mencari kawasan hiburan atau membeli-belah sahaja.
Silap tu! Di Kuala Lumpur sangat banyak muzium dan galeri yang menawarkan lokasi infomatif yang berguna. Antara yang kurang dan ramai tidak mengetahui kewujudannya seperti:
Muzium Polis Di Raja Malaysia
Mungkin ramai yang tidak menyedari kewujudan Muzium Polis Diraja Malaysia terlatak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur tersimpannya hampir 2,000 artifak dengan nilai sejarah menceritakan zaman dan setiap kegemilangan PDRM untuk dipamerkan kepada umum.
Ia juga menyimpan pelbagai bahan bukti bagi kes-kes jenayah yang pernah berlaku di Malaysia termasuk yang mencetuskan kegemparan seluruh negara seperti aktiviti penjenayah Botak Chin yang digeruni suatu masa dulu selain kegiatan kongsi gelap dan komunis.
Info Ringkas
Penjenayah era 70-an, Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin yang terlibat dalam kes rompakan bersiri ala ‘Robin Hood’ terbesar di negara ini. Nama Botak Chin merujuk kepada gabungan tiga perkataan ‘Bo Tak Chin‘ dalam dialek Hokkien yang membawa maksud ‘Cina tiada kerja’.
Botak Chin dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mempunyai 10 adik beradik di Kuala Lumpur pada 3 Mac 1951, berhenti sekolah pada usia 15 tahun dan bekerja sebagai pembantu di pasar borong Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur selama setahun. Di sinilah, Botak Chin terpengaruh dengan kegiatan jenayah dan menyertai kumpulan kongsi gelap atau Geng 360 yang menguasai kawasan tersebut.
Setahun selepas ditangkap, Botak Chin mencatat sejarah sebagai orang pertama mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori. Ketika menunggu hukuman mati dilaksanakan, Botak Chin bertindak menyerang dan mencederakan warden penjara dengan senjata tajam sebanyak dua kali. Botak Chin dihukum gantung sampai mati pada pukul 3 pagi, 11 Jun 1981 di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.
Ads
Jika pengunjung ke muzium ini, anda pasti teruja dapat melihat pelbagai koleksi senjata, model dan gambar-gambar lama, serta gambar peta dan rajah berkaitan darurat selain kelengkapan balai polis lama sebagai sumber pengetahuan. Muzium ini sangat sesuai dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat.
KL City Gallery
Jika berkunjung ke Kuala Lumpur, jangan lupa singgah sebentar di KL City Gallery sebagai pelengkap percutian anda di sini. Dari koleksi barangan cenderamata yang unik sehinggalah replika model terbesar Bandaraya Kuala Lumpur boleh anda saksikan di banggunan era kolonial yang berusia lebih 100 tahun. Pelbagai maklumat pelancongan serta koleksi lukisan dan gambar-gambar sejarah Kuala Lumpur termasuk hiasan mercu tanda terkenal Kuala Lumpur juga menjadi daya tarikan lokasi ini.
Ads
Untuk membeli koleksi cenderamata yang dihasilkan dengan sentuhan citra tempatan, jangan lupa dapatkan koleksi ARCH yang turut dihasilkan di galeri ini. Pelbagai jenis koleksi cenderamata premium berunsurkan seni yang sarat dengan nilai estetik tersedia untuk dibeli pada harga yang cukup berpatutan. Di hadapan galeri ini terdapat sebuah replika ‘i love KL’ yang boleh diabadikan sebagai lokasi bergambar kenang-kenangan sebagai bukti sudah berkunjung ke Kuala Lumpur.
Muzium Kesenian Islam Malaysia
Muzium Kesenian Islam yang terletak berhampiran Masjid Negara telah dibuka pada tahun 1998 lagi. Sejak itu ia telah menjadi salah sebuah institusi muzium terkemuka bertaraf dunia. Di samping koleksinya yang menarik dan mengagumkan, muzium ini juga terkenal kerana rekaan bangunannya. Terdapat satu gabungan unik reka bentuk kontemporari antarabangsa dan ciri-ciri tradisional yang diambil daripada negara Iran dan Asia Tengah. Terdapat juga pelbagai koleksi artifak dari negara China, India dan Asia Tenggara di pamerkan di galeri muzium ini.
Antaranya seperti seni bina islam, Al-Quran, barang kemas, senjata, manuskrip, tekstil, matawang, seramik dan banyak lagi. Paling menarik anda boleh melihat sendiri kain asal yang pernah digunakan untuk menutup pintu kaabah beberapa tahun yang lalu yang dikenali sebagai Kiswah. Jika ingin merasai hidangan sajian Arab yang lazat, pengunjung boleh ke restoran di tingkat bawah yang terdapat di muzium ini. Pastinya hidangan yang disajikan dapat menambat selera anda.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Sistem air ini dibina oleh British, kemungkinan sekitar 100 tahun dahulu. Ia jelas dilihat dari jenis batu dan rekaannya. Binaan ini untuk menyokong perlombongan industri tin waktu itu dan mengawal banjir yang mudah berlaku di Serendah.
[VIDEO] Perigi usia lebih 100 tahun ini salur air masuk ke bawah tanah & kawal banjir di Serendah, Selangor ?Baca sini http://stg.libur.com.my/perigitujuh/#perigi7 #serendah
Serendah mendapat nama kerana kawasan ini ialah lembah rendah yang dikelilingi kawasan bukit tinggi dan Sungai Serendah yang mengalir di tengah kerap melimpah keluar serta membanjiri kawasan di sini terutamanya selepas hujan.
Biasanya selepas hujan, jumlah air menjadi banyak. Perigi tujuh ini bertujuan mengawal jumlah air mengalir. Pada hari biasa, mungkin 1-2 perigi sahaja yang akan dilalui air, telaga lain pula mungkin tidak. Namun apabila jumlah air banyak, semua telaga akan menyalurkan air keluar.
Pintu air tujuh kesemuanya. Air banyak kolam ni jadi dalam dan bahaya
Air yang jatuh ke bawah tanah ini disalur lebih kurang 5 meter ke bawah seterusnya melalui lorong pintu dan ke kolam sebelum mengalir semula seperti biasa.
Kawasan ini dilarang mandi dikhuatiri tersedut masuk ke dalam lubang pergi.
Belum pernah ada kes lemas di sini. Di sebelah bawah, kolam akan menjadi dalam apabila jumlah air banyak. Waktu ini memang bahaya bagi orang ramai.
Untuk ke sini, cuma cari di Google Map Perigi Tujuh Serendah. Ia diselia oleh Jabatan Pengairan & Saliran Daerah Hulu Selangor. Kawasan ini tidak dikenakan sebarang bayaran untuk masuk. Sesuai bagi mereka yang sukakan alam semulajadi dan mungkin kaki pancing.
Selain Perigi Tujuh, satu lagi lokasi berhampiran untuk dikunjungi adalah Air Terjun Serendah yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Dato’ Harun. Anda mungkin juga mahu ke Sekeping Serendah dan bermalam disitu.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Tarikan utama Belitung terletak pada keindahan pulau dan laut.
Aktiviti menjejak pulau adalah satu daripada acara wajib sekiranya mengunjungi Belitung, yang terletak di Indonesia. Belitung atau Belitong dinamakan sempena sejenis siput laut, terletak di pantai timur Sumatera. Terletak di bawah provinsi Kepulauan Bangka Belitung, pulau ini terkenal dengan penanaman lada hitam dan perlombongan timah.
Penduduk tempatan terdiri daripada suku Melayu, keturunan Tionghua, Hokkien dan Hakka, kebanyakannya menetap di kawasan pesisir pantai dengan menjadikan sumber laut sebagai penjana ekonomi. Apa ada di Belitung?
Pulau Lengkuas
Di sebalik keindahan pantai putih dan laut biru, terletak sebuah rumah api yang mempunyai 18 tingkat dengan ketinggian 65 meter. Jika sampai ke Belitung, rumah api ini adalah mercu tandanya.
Set Pengambaran Laskar Pelangi
Terkenal dengan filem Laskar Pelangi yang mencetuskan fenomena pada 2008 adaptasi tulisan Andrea Hirata, Belitung memanfaatkan lokasi penggambaran menjadi lokasi pelancongan tempatan. Pengunjung berpeluang melihat replika sekolah SD Muhammadiyah, sambil ditemani alunan lagu tema nyanyian Nidji, Laskar Pelangi.
Pulau Kelayang
Dek kerana air yang jernih, perairan Pulau Kepayang menjadi pilihan bagi pengunjung untuk aktiviti snorkeling dan berenang. Terdapat sebuah kawasan kolam tersembunyi yang begitu mempersona iaitu Gua Kelayang. Di sini pengunjung dapat menyaksikan air laut kehijauan yang jernih hingga menampakkan keputihan pasir di dasarnya.
Dermaga Kirana
Dermaga Kirana dikenali sebagai Rumah Rotan atau Rumah Keong yang menjadi tarikan di daerah Belitung Timur ini. Istimewanya, reka bentuk Dermaga Kirana dibina berdekatan tasik mempunyai konsep separa sfera mencetuskan dimensi pemandangan luar biasa.
Sumber Foto: Google Image
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Destinasi mesra muslim berdasarkan kepada kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan negara-negara berkenaan kepada pengunjung Islam seperti makanan halal, restoran bersijil halal, kemudahan masjid dan tempat tarikan keluarga.
Selepas beberapa penelitian di buat, 10 negara ini telah dicadangkan sebagai destinasi mesra muslim pilihan pelancong dunia.
Penekanan terhadap produk halal terutama makanan membuatkan pelancong tidak gusar atau risau untuk melancong di Malaysia. Kebanjiran restoran berasaskan makanan Timur Tengah juga antara faktor tarikan pelancong dari negara tersebut memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.
Selain mudah mendapat akses makanan halal, Malaysia merupakan antara negara yang mudah bagi pelancong Islam menunaikan solat tidak kira di mana mereka berada, termasuk di kompleks membeli-belah dan juga di lapangan terbang.
Pelancong sememangnya amat kagum dengan produk Islam yang ada di Malaysia. Kebiasaannya pelancong Muslim yang datang akan dibawa ke Taman Tamadun Islam di Terengganu, melawat seni bina bangunan di Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan Muzium Kesenian Islam di Masjid Negara. Rata-rata pelancong luar juga amat tertarik dengan kraftangan dan produk kesenian Melayu seperti batik yang menjadi pilihan utama untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.
Mesir terletak di utara benua Afrika antara negara yang begitu dekat di hati para pelancong Muslim dari serata dunia. Tentunya kerana kota ini memiliki salah satu daripada mercu keajaiban dunia, iaitu piramid yang mencetuskan seribu satu misteri. Di bahagian utara Mesir pula, Iskandariah, iaitu bandar raya kedua terbesar selepas ibu negaranya, Kaherah terkenal sebagai bandar pelabuhan antara yang paling sibuk di dunia. Iskandariah turut memukau pandangan dengan keindahan pesisiran pantai Laut Meditteranean yang indah membiru dan sering menjadi pilihan utama kepada pasangan untuk berbulan madu!
Selain keunikan alam semula jadi, negara ini menyimpan beribu-ribu artifak khazanah berharga dan bersejarah dari zaman purba, zaman Firaun yang mencapai taraf peradaban dunia sehinggalah kepada pelbagai dinasti kerajaan Islam yang sangat gemilang suatu masa dahulu. Kelebihan Mesir adalah mempunyai suhu udara dan laut yang menyenangkan terutama di musim sejuk, keramahan penduduk tempatan, cahaya matahari sepanjang tahun, pantai indah, hidupan akuatik, gunung bibikal, keindahan gurun yang romantis, lembah subur sungai Nil sungai kedua terpanjang di dunia, dan sejarah.
Gabungan unik moden dan tradisional menjadikan UAE antara destinasi pelancongan paling digemari pelancong Muslim di dunia pada masa kini dengan tawaran pelbagai pakej pelancongan yang pastinya memuaskan. UAE kini muncul sebagai negara yang mempunyai bandar paling moden di dunia, tempoh pembangunan terpantas yang pernah dilakukan dalam tamadun manusia. Tidak hairanlah jika rekod kemasukan pelancong melalui aktiviti pelancongan dan perdagangan di UAE khususnya di Dubai sejak beberapa tahun kebelakangan ini mencecah angka jutaan orang setiap tahun. Tarikan sebenar semestinya pada struktur tertinggi di dunia, Burj Dubai (818 meter) yang menjadi binaan paling kerap dirakamkan gambar.
Satu lagi tarikan adalah Burj Al-Arab, hotel bertaraf tujuh bintang yang pernah menjadi hotel tertinggi di dunia (333m). UAE menawarkan pelbagai tarikan pelancongan bagi pengunjungnya. Keseronokan bercuti bersama keluarga di negara ini dapat dipastikan dengan membawa mereka ke Taman Tema yang terdapat disana seperti Al-Nasr Leisure Land , Wild Wadi Water Park dan Aquaventure (Atlantis The Palm). Tidak ketinggalan, bermandi-manda dan bersantai di pesisiran pantai di Jumeirah Beach Park.
Sekiranya anda bercadang melancong ke Turki, rancanglah untuk mengunjung seberapa banyak tempat menarik. Turki merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua. Menikmati pemandangan indah Selat Bosphorus, yang memisahkan benua Eropah dan Asia, dari atas Bukit Camcila di Istanbul, sememangnya memberi satu kepuasan kepada pengunjung. Peluang berdiri di atas bukit di benua Asia, menghadap ke bahagian Eropah, sudah pasti mata akan terpaut dengan keindahan dan pembangunan pesat Istanbul, sebuah kota yang mempunyai peninggalan sejarah empayar-empayar terdahulu seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.
Lokasi ini menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan pelancong, tetapi penduduk tempatan untuk bersantai terutama pada hujung minggu. Selain itu jangan lupa untuk berkunjung ke Istana Sultan zaman Ottoman yang telah dijadikan muzium. Terdapat pelbagai barangan yang tidak terhitung nilainya seperti emas permata, intan berlian, pakaian raja, pedang sahabat Nabi serta peralatan yang pernah digunakan oleh Rasulullah. Janggut Rasulullah juga disimpan di dalam muzium tersebut. Ini menjadikan Turki sebagai lokasi idaman setiap pelancong yang mencakupi dari pelbagai keindahan khususnya seni bina, budaya, tamadun serta tarikan alam semula jadi. Oleh itu, tidak hairanlah Turki menjadi destinasi yang paling gemar dikunjungi pelancong selain sebagai negara mesra Muslim.
Dua kota suci, Mekah dan Madinah yang terletak di Arab Saudi sentiasa menerima tetamu Islam dari seluruh pelusok dunia. Rata-rata mula memasuki kedua-dua kota suci ini sebagai persiapan untuk menunaikan ziarah umarah atau ibadah haji. Walaupun berkunjung ke Madinah bukanlah sesuatu yang diwajibkan, namun ia menjadi satu kemestian bagi jemaah umrah atau haji. Ini kerana di Madinah banyak kesan sejarah peninggalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Di kota ini juga terletak Masjid Nabawi, masjid kedua termulia selepas Masjidil Haram yang di dalam kawasannya terletak makam Rasulullah SAW dan para sahabat iaitu Saidina Abu Bakar dan Umar Al Khattab. Selain daripada itu, di Madinah juga letaknya tanah perkuburan Baqi, Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud dan pelbagai lagi tempat bersejarah.
Di samping itu, kota yang semakin pesat membangun ini juga mempunyai banyak pusat membeli-belah sesuai buat pelancong yang mahu membawa pulang cenderamata kepada keluarga dan sahabat handai. Bagi yang berkesempatan, bolehlah berkunjung ke bazar kurma atau terus ke ladang kurma untuk membeli pelbagai jenis kurma yang segar. Begitu juga dengan pelbagai jenis kacang.
Rata-rata masyarakat Muslim dunia apabila menyebut tentang Bali, Jakarta dan Bandung, Indonesia semua sudah mengenalinya. Boleh dikatakan itu sudah menjadi destinasi perlancongan wajib jika teringin ke Indonesia. Bali merupakan sebuah pulau di Indonesia yang masyhur sebagai pulau yang memiliki pantai-pantai yang indah dan bersih serta pemandangan alam yang cantik. Bali kini turut dikenali sebagai pusat pelancongan utama bertaraf antarabangsa. Terdapat banyak pantai perkelahan utama di Bali seperti Kuta, Ubud, Nusa Dua, Sanur, Seminyak, Denpasar, Candidasa dan Lovina. Manakala Jakarta pula sememangnya mempunyai daya pesona luar biasa kerana kedudukannya sebagai ibu kota negara Indonesia telah perkembangan sebagai pusat pemerintahan, perindustrian dan kebudayaan.
Selain itu daerah Bandung di Indonesia pula terkenal dengan elemen kebudayaan dan kekayaan alam semula jadinya. Bandung menyediakan peluang membeli-belah dari gedung terbesar hingga ke deretan kedai di lorong-lorong seperti di Chiampelas dan Jalan Riau. Jika ke Bandung, kunjungan pelengkap semestinya lawatan ke gunung berapi Tangkupan Perahu yng mana pengunjung boleh melihat pemandangan di permukaan kawah gunung berapi dan panorama indah di sekelilingnya.
Maghribi atau Morocco dalam bahasa Inggeris, merupakan negara yang cukup indah untuk dilawati. Kedudukannya di utara benua Afrika menyaksikan kepelbagaian bentuk muka bumi daripada kehangatan gurun Sahara, kedinginan banjaran Atlas sehinggalah kepada kedamaian cuaca pesisiran laut Mediterranean. Khazanah yang paling istimewa di negara ini pastinya adalah peninggalan tamadun Islam yang masih kekal berdiri. Pelancong pasti teruja dapat melawat Makam Sultan Mohammed V di bandar ini. Tarikan yang tidak kurang menariknya di kawasan makam itu adalah Menara Hassan yang merupakan menara daripada masjid yang tidak pernah lengkap pembinaannya sejak 1196 masihi.
Menara yang ketinggian 400 meter itu merupakan sebahagian daripada masjid yang diarahkan bina oleh Sultan Yacoub al-Mansour. Masih kekal sehingga kini adalah ratusan tiang masjid serta bahagian dinding masjid itu yang tidak disiapkan, namun ia tetap menjadi tumpuan para pelancong. Struktur binaan masjid ini juga diiktiraf oleh UNESCO dalam senarai warisan dunia.
Jangan lupa juga untuk singgah di Marrakesh, bandar yang dikatakan paling pesat dengan industri pelancongan bukan sahaja di Maghribi tetapi di benua Afrika. Kedudukan bandar ini adalah di utara kaki bukit pergunungan Atlas yang bersalji. Bandar ini menjadi kegemaran pelancong kerana kedamaian cuacanya serta lokasi strategiknya iaitu untuk resort ski di gunung Atlas atau ke kawasan padang pasir Gurun Sahara.
Di Jordan, ada beberapa kisah sejarah yang masyhur sebagaimana yang dicatatkan di dalam Al-Quran. Demikian juga Laut Mati yang berkait dengan kekuasaan Allah terhadap kaum Nabi Luth yang mengamalkan kegiatan homoseksual. Justeru bagi pelancong Muslim, menjejak kaki ke Jordan sudah pasti detik yang ditunggu-tunggu untuk melihat sendiri kesan kedua-dua peristiwa tersebut. Destinasi utama mesti anda singgah jika berada di Jordan adalah Gua Ashabul Kahfi iaitu suatu kisah benar mengenai tujuh pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan cuma bangun 309 tahun kemudian.
Lokasi gua yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Amman ini bersemadinya ketujuh-tujuh pemuda tersebut. Turut dipamerkan adalah artifak seperti takar daripada tembikar selain terdapat sebuah batu bersurat. Satu lagi destinasi wajib jika ke Jordan adalah Laut Mati. Ia terletak kira-kira 50 km dari Amman. Laut Mati bersebelahan dengan negara Palestin yang kini ditakluki oleh Yahudi jelas boleh dilihat dari sini. Terletak di Great Rift Valley, di mana punca airnya dari Sungai Jordan. Ia adalah laut termasin di dunia. Tiada hidupan laut yang hidup di dalamnya kerana kemasinannya yang lima kali ganda laut biasa.
Brunei di dalam bahasa Arab membawa maksud tempat tinggal yang aman. Tarikan Brunei bagi pelancong beragama Islam semestinya Masjid Omar Ali Saifuddien dan perkampungan Kampung Ayer. Masjid ini diiktiraf sebagi masjid terunik di Asia Pasifik selain menjadi mercu tanda Brunei. Masjid yang menjadi tumpuan ini dibina di dalam sebuah lagun di tepi Sungai Brunei. Menara dibuat daripada marmar manakala kubah utama bersalut emas. Kampung Ayer pula mempunyai tarikan sendiri apabila terdapat rumah terapung milik penduduk yang sangat teratur, terancang dan bersih. Anda tidak akan bosan apabila berkunjung ke Brunei kerana antara tarikan lain adalah Jerudong Park, Muzium Royal Regalia, Istana Nurul Iman dan beberapa pusat beli belah seperti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Hua Ho Department Store dan The Mall. Percutian ke Brunei tidak akan lengkap jika tidak singgah di Pasar Gadong. Di sinilah pelancong boleh mengenali dan merasai sendiri hidangan tradisi masyarakat Brunei seperti Nasi Katok, Selurut, Penyaram dan banyak lagi.
Qatar merupakan negara kecil yang mempunyai lebih kurang 1.6 juta populasi penduduk yang berpusat di Doha. Qatar bakal menjadi tuah rumah Piala Dunia 2022 mempunyai kemudahan sukan yang lengkap dan menganjurkan banyak acara bertaraf dunia seperti Sukan Asean 2006. Buat pelancong Muslim yang pertama kali menjejak kaki ke bumi Qatar terutama Doha, pasti terkejut melihat kepesatan ekonomi bandar raya ini. Ia kini di sekeliling dengan pembinaan banyak bangunan mencakar langit. Cultural Village Doha yang terletak bersebelahan Pusat Konvensyen Doha menjadi pusat kesenian dengan berbagai aktiviti kesenian. Antara yang menarik adalah Coliseum dimana banyak aktiviti kesenian dijalankan seperti persembahan nyayian dan teater.
Antara binaan unik terdapat di Cultural Village Doha adalah menara burung merpati yang menempatkan beribu-ribu burung merpati membuat sarang di dalam menara berlubang. Jika ingin membeli-belah, tempat paling ideal adalah di Souk Waqif yang terkenal dengan sejarah pembinaannya. Souk Waqif telah dibina semula mempunyai tiga jenis ruang perniagaan, iaitu pasar besar yang menempatkan peniaga borong dan runcit. Kemudian, kedai hasil kraftangan, jahitan, tenunan serta pertukangan serta gerai terbuka untuk peniaga tempatan. Sebaik saja memijak kaki di Souk Waqif, anda akan terpegun dengan kecantikan hasil seni bina warisan Qatar. Anda juga boleh bersiar-siar di Porto Arabia tempat persinggahan kapal-kapal mewah dengan pelbagai saiz. Disebelah Porto Arabia tersergam indah The Pearl iatu gabungan pusat berbelanja barang berjenama dan rumah kediaman.
Negara mesra Muslim mana anda dah jejak?
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Kala liburan, makanan adalah salah satu cara untuk mengenali dengan lebih dekat sesebuah budaya. Setiap satu menu yang dicuba menjadi manifestasi rasa lantas mengisi...