Hobi & Minat

Sunset Town Phu Quoc, Pekan Ala Itali Yang Tengah Viral Di Vietnam

Share

Sekali pandang, mungkin ramai menyangka lokasi ini (Sunset Town Phu Quocterletak) di Itali atau di salah sebuah bandar pesisir Mediterranean.

Hakikatnya, pekan penuh warna pastel ini berada di Phu Quoc, Vietnam.

Sejak kebelakangan ini, Sunset Town semakin menarik perhatian di media sosial, terutama dalam kalangan kaki travel yang sukakan lokasi unik, cantik dan tentunya ‘mesra kamera’.

Terletak di bahagian selatan Pulau Phu Quoc, Sunset Town atau Thị trấn Hoàng Hôn dibangunkan dengan inspirasi seni bina Mediterranean.

BACA JUGA : Mekar Berwarna-Warni, Ini 5 Lokasi Musim Bunga Cantik Untuk OOTD

Port Terbaik Untuk Kaki OOTD

Deretan bangunan pastel, lorong berbatu, tangga bertingkat, arca klasik dan pemandangan laut menjadikan kawasan ini seolah-olah membawa pengunjung bercuti ke Eropah tanpa perlu meninggalkan Asia.

Lebih menarik, hampir setiap sudut Sunset Town boleh dijadikan latar gambar.

Antara mercu tandanya ialah Kiss Bridge atau Cau Hon, jambatan unik rekaan arkitek Itali, Marco Casamonti. Dua bahagian jambatan ini dibina menghampiri satu sama lain tetapi tidak bersambung sepenuhnya, meninggalkan ruang kecil di tengah.

Cara OOTD Terbaik di Sunset Town

Lokasi ini paling menarik dikunjungi ketika lewat petang apabila cahaya matahari terbenam mula memenuhi ruang antara jambatan dan laut.

Bagi yang suka mengambil gambar, tidak perlu terlalu banyak gaya. Berdiri menghadap laut atau ambil gambar dari sudut luas sudah cukup untuk menghasilkan foto yang dramatik.

Selain itu, kawasan sekitar menara jam dan deretan bangunan bergaya Eropah turut menjadi antara sudut yang cukup menarik untuk diterokai.

Gabungan bangunan tinggi, jalan berbatu dan warna pastel memberi suasana seakan berjalan di sebuah pekan kecil di Itali.

Pakaian berwarna putih, beige, merah atau tona lembut pula biasanya lebih menyerlah dengan latar sebegini.

Satu lagi lokasi yang mencuri perhatian ialah Stesen Kereta Kabel An Thoi.

Reka bentuknya yang diinspirasikan daripada seni bina klasik Eropah membuatkan kawasan ini kelihatan cukup gah. Dinding batu, tiang besar dan struktur dramatik menjadikan gambar di sini nampak seperti diambil di kota lama Rom.

Tidak jauh dari kawasan utama, pengunjung juga boleh berjalan santai melalui lorong-lorong kecil dan tangga pastel yang dihiasi bunga bougainvillea.

Inilah antara bahagian Sunset Town yang paling menarik kerana suasananya lebih santai dan tidak terlalu formal.

Cuba ambil gambar secara candid ketika berjalan menuruni tangga atau berdiri di celah bangunan pastel dengan pemandangan laut di hujung lorong.

Kalau sukakan suasana lebih lapang, kawasan waterfront promenade pula menawarkan pemandangan laut luas yang cukup mendamaikan.

Datang ketika golden hour untuk mendapatkan cahaya lembut keemasan. Pantulan cahaya matahari pada permukaan laut bersama deretan bangunan di pesisir memang mudah menghasilkan gambar ala percutian Mediterranean.

Namun keistimewaan Sunset Town tidak berakhir selepas matahari terbenam.

Suasana Malam yang Meriah Dengan Persembahan Multimedia

Pada waktu malam, kawasan ini menjadi semakin hidup dengan pertunjukan Kiss of the Sea, sebuah persembahan multimedia yang menggabungkan elemen air, cahaya, laser, muzik, api dan bunga api.

Suasana malam yang diterangi lampu menjadikan Sunset Town kelihatan sangat berbeza berbanding waktu siang.

Jika mahu menikmati kedua-dua suasana, sebaiknya datang sekitar jam 3.30 hingga 4 petang. Anda boleh berjalan-jalan, mengambil gambar ketika cahaya masih cantik, menikmati sunset dan kemudian meneruskan aktiviti sehingga malam.

Selepas puas meneroka Sunset Town, singgah pula ke VUI-Fest Bazaar atau Vui Phet Night Market yang terletak berhampiran kawasan ini.

Di sini, pengunjung boleh mencari makanan, berjalan santai, membeli-belah dan menikmati suasana malam tepi laut.

Satu tip penting, pakai kasut yang selesa kerana Sunset Town mempunyai banyak laluan berbukit, tangga dan kawasan pejalan kaki.

Kalau Phu Quoc ada dalam senarai percutian anda, Sunset Town memang antara lokasi yang menarik untuk dimasukkan dalam itinerary.

Bukan sekadar cantik untuk bergambar, suasana seni bina, pemandangan laut, sunset dan kehidupan malamnya sendiri sudah cukup memberikan pengalaman berbeza.

Tak perlu terbang sampai Eropah, di tengah pulau tropika Vietnam pun anda sudah boleh dapat vibe ala Itali.

Kredit Foto: sofea.aya04 / Threads

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

Oleh
Balqis Qadisah