Hari ini sudah menjadi ‘trend’, ramai yang berminat untuk ke sesuatu lokasi itu, jika mempunyai kelainan terutama untuk merakam gambar dan dikongsikan ke laman sosial peribadi. Anda tercari-cari lokasi ideal untuk ber ‘OOTD’, pra graduan atau abadikan gambar perkahwinan di sekitar Kampar Perak? Boleh singgah ke Bandar Agacia atau dikenali sebagai The Trails of Kampar untuk melihat kelainan daerah ini dari sisi yang lain.
Terletak tidak jauh dari bandar Kampar, deretan bangunan kedai tiga tingkat yang dicat dengan kombinasi pelbagai warnal-warna ceria menyerupai bangunan deretan kedai di bandar zaman kolonial. Rekaan bangunan di Bandar Agacia ini tampil dengan konsep yang unik dan ceria berdasarkan idea kartun animasi serta fantasi terutama di University Square Kampar. Pembinaannya mengambil inspirasi daripada ‘The Trails of Redmond’ iaitu satu bandar di Washington, Amerika Syarikat.
Dapat abadikan foto berlatar belakangkan kawasan ini memang menarik kan? Anda kena pandai menggunakan sudut yang pelbagai untuk mendapatkan gambar terbaik.
Setiap unit bangunan mempunyai ciri dan rekabentuk tersendiri serta berbeza antara satu sama lain. Sambil bergambar dan bersiar-siar, jika terasa lapar dan dahaga, lokasi itu turut menempatkan beberapa kemudahan kedai makan seperti kafe yang dihiasi indah mengikut tema di bandar itu. Lebih menarik jika anda memilih untuk duduk di kawasan terbuka bersantai sebentar sambil berborak dengan yang tersayang.
Nama setiap lorong di Bandar Agacia ini juga dinamakan dengan nama yang kreatif berdasarkan konsep bangunan yang terdapat di lorong tersebut antaranya seperti Disney Avenue, Castle Avenue dan Pavilion Avenue.
Bandar Agacia ini dikatakan lebih popular dalam kalangan orang luar berbanding penduduk tempatan yang mungkin tidak menyedari kewujudan port menarik ini. Jom lah orang Perak datang bersiar-siar ke sini sambil merakam gambar best untuk dijadikan kenang-kenangan.
Trivia – Sejarah lokasi Bandar Agacia ini dahulunya merupakan bekas daripada tapak tasik terbentuk hasil tinggalan aktiviti perlombongan biji timah yang pesat membangun pada satu ketika dulu.
Sumber Foto: FB Bandar / Agacia says / instahu
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Lokasi Pelayaran Reakreasi Bot Persiaran & Cruise ‘Mampu Naik’ Di Malaysia
Pelayaran reakreasi merupakan aktiviti yang banyak disediakan di destinasi tumpuan pelancong untuk bersiar-siar melihat panorama indah menggunakan pengangkutan air. Selalunya kapal dan bot persiaran bersaiz kecil dan sederhana digunakan sebagai tarikan produk pelancong di kawasan tersebut.
Nak dikatakan terlalu mahal, rasanya tidaklah terlampau tinggi bayaran dikenakan. Tetapi harga yang dibayar berbaloi dengan kemudahan dan kepuasan pengunjung yang teringin bersiar-siar bersama tersayang. Ada beberapa destinasi yang terkenal dengan aktiviti ‘cruise’ ini di Malaysia seperti:
Cruise Tasik Putrajaya
Bagi pengunjung yang mahu melihat sekitar Putrajaya dengan lebih menyeluruh, belayar dengan Cruise Tasik Putrajaya adalah pilihan yang tepat. Menerusi tasik yang berliku itu, pelawat boleh mengambil pelayaran persiaran untuk melihat keajaiban mercu tanda bandar dan pemandangannya. Untuk berlayar sambil menikmati pemandangan Putrajaya, pengunjung mempunyai dua pilihan kaedah pengangkutan apabila mengambil pelayaran Cruise Tasik Putrajaya iaitu dengan bot persiaran penumpang atau perahu berupa gondola yang dibentuk seperti perahu tradisi Melayu.
Antara mercu tanda yang dapat disaksikan ketika belayar termasuk Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi, Monumen Alaf Baru Kebangsaan, Masjid Putrajaya, dan Istana Hinggap Sultan Selangor. Selain bangunan, pengunjung berpeluang melihat keunikan sembilan jambatan yang cukup popular buat sesiapa yang berkunjung ke Putrajaya antaranya jambatan Seri Saujana, Seri Wawasan, Seri Gemilang dan Seri Perdana.
2. Sarawak River Cruise
Di Kuching, bot persiaran yang megah menyusuri Sungai Sarawak pasti mencuri tumpuan ramai khususnya pengunjung yang sedang bersantai di tebing Kuching Waterfront. Penumpang akan dibawa menyusuri Sungai Sarawak selama satu jam setengah bermula di Kuching Waterfront, melepasi Jambatan Tun Salahuddin dan berakhir di Kubah Ria sebelum berpatah balik ke tempat permulaan. Bagi penumpang yang memilih pakej bersantai, mereka akan dijamu dengan pelbagai sajian tradisional seperti linut, sayur keladi dan ikan bakar selain makanan lain atas permintaan pelanggan. Bagi setiap perjalanan bot persiaran memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang penumpang untuk menampung kos operasi.
Bot ini mengambil dan menurunkan penumpang di enam lokasi terpilih di sepanjang Sungai Sarawak iaitu di Jeti Sungai Bedil Besar, Pengkalan Sapi, Kampung Boyan, Tebingan Kuching, Kampung Lintang dan Kampung Paroh.
3. Melaka River Cruise
Jika ke Melaka, jangan lupa untuk memilih aktiviti menyelusuri Sungai Melaka menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise tidak kira pada siang atau malam hari. Anda berpeluang menikmati pemandangan bangunan dan rumah kedai peninggalan era Belanda, rumah-rumah tradisional Melayu dan banyak lagi pemandangan yang menarik peninggalan sejarah warisan dunia dengan aktiviti pelayaran ini. Tidak cukup dengan itu, pelbagai tarikan baru turut diwujudkan di sepanjang sungai antaranya kincir air dan air pancut muzikal untuk mempopularkan lagi Sungai Melaka di pentas antarabangsa.
Paling menarik, penumpang pasti teruja dapat melihat beberapa ekor biawak sebesar depa berkeliran dicelahan pokok payau bakau dan berpeluang melihat kakitangan Melaka River Cruise memberi haiwan ini makan sekitar waktu pagi dan petang. Sepanjang perjalanan selama 45 minit itu, cruise ini akan melalui tujuh jambatan iaitu jambatan Kampong Morten, jambatan stesyen bas espress lama, jambatan Hang Tuah, jambatan Pasar, jambatan Kampong Jawa, jambatan Chan Koon Cheng dan jambatan Tan Kim Seng.
Setiap jambatan yang dibina terdapat beberapa kisah menarik yang pasti akan dikongsi oleh pemandu Melaka River Cruise kepada pengunjung. Jika pelayaran bermula dari Taman Rempah ke Muara Sungai dan ia akan berakhir di Taman Rempah semula. Begitu juga sebaliknya, jika naik di Muara Sugai tengah bandar Melaka akan ke Taman Rempah dah pusing semula ke lokasi asal.
4. Sunset Cruise Port Dickson
Port Dickson yang terkenal sebagai pantai peranginan negara bagi pelbagai aktiviti riadah turut menggamit pengunjung dengan aktiviti menarik iaitu menaiki feri menyusuri Selat Melaka. Bersesuaian dengan namanya, Sunset Cruise Port Dickson, perkhidmatan feri ini akan membawa pengunjung belayar sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam.
Pelayaran yang merupakan produk pelancongan di Negeri Sembilan ini menjadi tarikan ramai pengunjung pantai peranginan termasuk pelancong yang inginkan kelainan memandangkan pelayaran tersebut membawa penumpang sejauh 13 batu nautika dari pantai menyusuri Selat Melaka. Pengalaman pelayaran ini akan bermula dari Jeti Penumpang Jabatan Laut, Port Dickson seterusnya menyusuri pantai-pantai utamanya sehingga ke perairan antarabangsa apabila keindahan matahari dipertontonkan ramai.
5. Pelayaran Sungai Kilim Geoforest Park
Antara daya tarikan alam semula jadi di Langkawi yang menarik untuk mengisi masa percutian anda ialah menyaksikan khazanah hutan bakaunya. Kebanyakan hutan bakau terletak di lokasi Kilim Geoforest Park dengan sejarah kewujudan menjangkau 400,000 tahun. Pengunjung yang ke sini boleh memilih untuk menyusuri hutan bakau Sungai Kilim dengan menggunakan bot sebagai pengalaman percutian. Keindahan persekitaran hutan bakau ini membolehkan Kilim terpilih sebagai lokasi penggambaran untuk banyak filem tempatan dan antarabangsa.
Pelancong yang mengambil pakej menyusuri Sungai Kilim juga berpeluang di bawa ke Gua Kelawar yang menganjur sejauh 60 meter dengan dua pintu masuk yang saling bertemu. Ia dihuni beribu-ribu kelawar buah. Jambatan kayu dibina untuk memudahkan pelawat keluar masuk. Pengunjung dinasihatkan memakai sandal kerana sebahagian lantai di pintu masuk gua ini digenangi air. Selepas melawat gua, berehatlah sementara di dangau sambil mengambil peluang melihat persekitaran hutan bakau dari jarak dekat.
6. River Cruise Sungai Kuantan, Pahang
Bagi memberi kelainan, buat pengunjung yang berada di Pahang, bawa keluarga anda mengintai aktiviti larut malam di Kuantan iaitu dengan menyusuri Sungai Kuantan menaiki River Cruise untuk melihat lebih dekat ribuan kelip-kelip yang hinggap di pokok berembang di tepi sungai.
Sepanjang menyelusuri sungai itu, tiada sebarang cahaya melalui kamera atau lampu suluh dibenarkan bertujuan mengelak habitat tersebut daripada berasa terganggu dengan kehadiran pengunjung. Lokasi ini semakin mendapat sambutan selepas orang ramai mengetahui tentang kewujudan habitat serangga itu di situ. Dengan bayaran kurang dari RM40, pengunjung dapat menikmati panorama itu selama kira-kira sejam.
7. TTI River Cruise, Terengganu
Terengganu menawarkan satu lagi aktiviti menarik kepada pengunjungnya iaitu pelayaran menyusuri Sungai Terengganu. Melalui pelayaran ini pengunjung akan dibawa menyusuri sungai berkenaan untuk melihat kehidupan nelayan dan rakyat Terengganu.
Mereka juga akan dapat melihat beberapa bangunan dan seni bina Terengganu seperti Jambatan Sultan Mahmud, Bazar Warisan, Kampung Cina, Pengkalan Keropok Losong dan Hotel Ri-Yaz Resort. Perkhidmatan pelayaran ini disediakan sebagai aktiviti sampingan untuk pengunjung selepas melawat Taman Monumen untuk menyusuri Sungai Terengganu sejauh kira-kira dua kilometer yang mengelilingi Pulau Duyong dan kampung sekitarnya.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cuti Selepas PKP: 10 Lokasi Ini Sesuai Bawa Keluarga Rehatkan Minda
Anak-anak dan warga emas adalah insan paling terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu ketika penularan COVID-19 di negara. Mana tidaknya, mereka adalah insan yang perlu berkurung dirumah dan tidak dibenarkan untuk keluar sebarangan dek kerana menjadi individu mudah dijangkiti wabak.
Sekarang ini ketika fasa PKPP, mereka sudah diberi ‘sedikit kebebasan’ untuk keluar ke pasaraya atau bercuti merentas negeri. Nah! ini masa yang sesuai untuk bawa keluarga keluar bercuti dan rehatkan sejenak minda.
Ini 10 lokasi yang dicadangkan:
1. Taman Warisan Kuala Lumpur
Memasuki kawasan hijau Taman Warisan Kuala Lumpur yang merangkumi Taman Botani Perdana, pastinya menyalurkan aura tenang semula jadi untuk dinikmati pengunjung sama ada berjalan kaki, menunggang motosikal atau memandu kereta. Taman ini sebelum ini dikenali dengan panggilan Taman Tasik Perdana. Terkenal dengan keindahan landskap semula jadi yang cukup mengagumkan, tasik bekas lombong bijih timah ketika era penjajahan British ini mempunyai keluasan kira-kira 68 hektar.Dibuka setiap hari jam 7 pagi hingga 8 malam, taman awam yang dibina sejak 131 tahun lalu ini tidak pernah lengang menerima kunjung pelawat terutama mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif dan menghayati kehijauan alam.
2. Sungai Congkak, Hulu Langat
Merancang percutian merentas negeri setiap minggu pastinya menelan kos tinggi apatah lagi buat mereka sudah berkeluarga. Apa kata kali ini, jimatkan poket anda dengan memilih lokasi lebih ringkas menerusi aktiviti berkelah di Sungai Congkak. Aktiviti riadah sering dilakukan pengunjung termasuk berkelah, berkhemah, dan mandi-manda. Kunjungan ke sini pastinya tidak bosan kerana perjalanan menuju ke destinasi ini menempuh laluan kampung yang kiri dan kanannya terdapat pelbagai jenis jualan makanan mahupun buah-buahan sesuai sebagai bekalan untuk ke Sungai Congkak. Pelbagai kemudahan tersedia seperti tandas, surau dan taman permainan untuk kanak-kanak beriadah sambil menikmati suasana hijau semula jadi.
3. Nafas Cube, MARDI Serdang
Nafas Cube itu menyediakan kemudahan sesuai bagi mereka yang sukakan percutian santai yang singkat terutama pada hujung minggu, malah kedudukannya yang terletak dalam kawasan ladang kajian MARDI menjanjikan pemandangan penuh kehijauan sesuai buat pencinta alam semula jadi. Di sini juga ada platform untuk pengunjung yang ingin memancing di tasik itu untuk meneroka pelbagai spesies ikan yang terdapat di dalamnya. Bagi kaki pancing juga tidak lagi perlu meninggalkan keluarga semata-mata mahu memenuhi hobi mereka kerana kami turut menyediakan kemudahan lain untuk seisi keluarga. Aktiviti lain yang disediakan seperti berbasikal mengelilingi tasik, selain menikmati suasana kehijauan ladang penyelidikan memandangkan suasana yang redup dipenuhi pelbagai jenis pokok selain laluan yang selamat serta mesra kanak-kanak.
4. Dash Box Hotel Cyberjaya
Tetamu yang menginap di sini pasti teruja dengan kemudahan kolam renang yang beberapa jarak dari lokasi bilik penginapan. Terdapat beberapa jenis pilihan penginapan yang menarik tersedia di sini. Secara amnya, reka bentuk di sini tidak menggunakan 100 peratus kabin sebagai daya tarikan utama, tetapi di Dash Box Hotel ini menerapkan unsur-unsur seperti sebuah kabin yang asal. Konsep penginapan di sini yang begitu ceriah dan meriah pasti menggembirakan seisi keluarga.
5. Trem Kereta Api Bukit Melawati
Bawa keluarga anda untuk menikmati pemandangan indah di atas Bukit Melawati, Kuala Selangor. Turut tersedia ruang parkir percuma untuk pengunjung yang datang menaiki kenderaan sendiri. Tiket dikenakan jika anda memilih untuk menaiki trem keretapi untuk ke atas Bukit Malawati, iaitu RM3 dewasa dan RM2 kanak-kanak. Perkhidmatan trem ini hanya berjalan pada hujung minggu dan cuti umum sahaja. Namun jika anda mempunyai stamina yang tinggi dan tidak kisah berjalan kaki naik ke atas, tiada sebarang caj dikenakan. Sementara pada hari bekerja biasa, pengunjung boleh berjalan kaki atau naik dengan kenderaan sendiri sehingga ke puncak bukit. Antara aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di atas puncak Bukit Melawati adalah memberi monyet makan atau bersiar-siar melihat kesan tinggalan sejarah.
6. Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang Pahang
Bawa keluarga anda untuk melihat dan memberi makan kepada gajah dengan lebih dekat di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang. Pengunjung diberi kebenaran untuk memberi gajah makan bahkan berpeluang melihat anak gajah yang comel mandi di sungai. Tiada sebarang tiket masuk dikenakan tetapi pengunjung boleh memberi sedikit dana dalam bentuk wang ringgit dengan membeli makanan gajah berupa buah-buahan dan diberikan kepada gajah. Jadual aktiviti pelawat adalah bermula seawal pukul 8 pagi hingga pukul 4 petang dari hari Isnin hingga Ahad.
7. Bersantai Dengar Alunan Muzik Di The Symphony Walk, IOI City Mall Putrajaya
Aktiviti riadah yang mengujakan ini pastinya dapat dirasai saat berkunjung ke IOI City Mall Putrajaya. Pusat beli-belah ini menyediakan aktiviti santai menyeronokkan bersama keluarga antaranya menyaksikan pertunjukan air pancuran berirama di The Symphony Walk berhampiran pintu masuk utama. Menariknya, di sekitar The Symphony Walk itu, terdapat beberapa tempat khusus untuk pengunjung berehat sambil mendengar alunan muzik mengiringi pancuran air yang cukup mendamaikan.
8. Bersantai Di Dataran Merdeka
Terletak berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Tidah lengkap jika berada di sini tanpa mengambil gambar kenang-kenangan berlatarkan view rumput hijau atau Bangunan Sultan Abdul Samad yang telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dan pernah suatu ketika dijadikan sebagai Mahkamah Agung. Pada malam hari atau hujung minggu, lokasi ini tidak sunyi dengan kehadiran ramai penduduk kota bersiar-siar. Banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di sini, antaranya bermain belon sabun, berbasikal, atau bermain kasut roda.
9. Taman Tasik Taiping, Perak
Ingin melihat panoraman tasik ‘cantik’ dan tertua di negara? Bawa keluarga bersiar-siar di Taman Tasik Taiping, Perak. Tasik ini merupakan bekas lombong dan dicatatkan sebagai taman riadah dan rekreasi pertama dibuka. Berada di taman ini, pengunjung dapat menikmati pemandangan landskapnya yang cantik, dihiasi pokok-pokok berusia ratusan tahun selain terdapat 10 kolam besar lengkap dengan kemudahan tandas, laluan berjoging dan pondok berehat.
10. Bermain Dengan Ikan Tengas Di Sungai Chiling, Selangor
Teringin bermain dengan ikan hidup? Ya! anda boleh berbuat demikian di Santuari Ikan Sungai Chiling, Selangor. Aktiviti ini sangat sesuai dilakukan bersama keluarga tersayang! Ikan Tengas banyak hidup di sini maka pengunjung tidak dibenarkan sama sekali memancing atau menangkap ikan untuk di bawa pulang. Hanya aktiviti memberi makan, berenang bersama atau membelai ikan tersebut sahaja dibolehkan. Lokasi ini dibuka kepada pengunjung pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.
Sumber Foto: Google Image | Flickr | Pinterest
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
2 Tasik Indah Lokasi Bersantai Di Ipoh. OOTD Cantik Kat Sini
Ipoh, Perak pernah diiktiraf portal pengembaraan dunia, Lonely Planet sebagai antara 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati kerana mempunyai banyak lokasi warisan yang cantik di sekitar.
Tahu tak di Ipoh ada 2 lokasi tasik yang sangat menarik dan tidak mengecewakan untuk singgah iaitu:
- Kayuh Itik Keliling Tasik Gua Kek Look Tong
Gua Kek Look Tong merupakan salah satu destinasi menarik yang menjadi tumpuan ramai pengunjung tempatan dan luar jika ke Ipoh. Terletak berdekatan Gunung Rapat dan 5 km dari bandaraya Ipoh, destinasi ini terkenal dengan gua batu kapur yang besar. Pada sekitar tahun 1960, gua ini dijadikan tapak perlombongan bijih timah. Kini menempatkan sebuah tokong Buddha yang telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah kerana keindahan landskap taman disebalik gua ini. Pemandangan disekitar kawasan ini begitu indah. Banyak tarikan menarik diwujudkan di sekitar kawasan ini untuk pengunjung beriadah dah bersantai. Antaranya aktiviti air mengelilingi tasik.
- Naik Bot Keliling Tamana Reakreasi Gunung Lang
Jika berada di Ipoh jangan lupa luangkan sedikit masa ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh, Perak. Terletak di utara pusat bandar raya Ipoh, kawasan ini merangkumi taman seluas 30.35 hektar dan tasik seluas 14.16 dengan berlatarbelakangkan bukit batu kapur Gunung Lang dan Gunung Bilike. Taman ini dilengkapi tiga tasik buatan yang dipenuhi pelbagai spesies ikan air tawar. Pelbagai keistimewaan lain yang ada di sini antaranya air terjun buatan manusia selain menawarkan pelbagai aktiviti riadah lain seperti memancing, mendaki bukit, merentas belukar, menjelajah gua dan banyak lagi. Lokasi ini sangat terkenal dijadikan ‘stop over point’ laluan pengguna Lebuh raya Utara Selatan. Untuk datang ke destinasi ini, penggunjung perlu melalui Lebuhraya Utara Selatan melalui susur keluar Sungai Siput dan Jalan Kuala Kangsar. Alang-alang jika anda dalam perjalanan dari utara ke selatan, atau selatan ke utara singgahlah sebentar di sini. Memang tak rugi!
Apa Yang Menarik?
Dipintu masuk Taman Rekreasi Gunung Lang, anda boleh menikmati percikan air dari air terjun buatan yang merupakan air terjun buatan manusia tertinggi di Malaysia. Air terjun ini beroperasi iaitu: Isnin hingga Jumaat -10 pagi-12 tengah hari & 4 petang-6 petang. Sabtu & Ahad/cuti umum – 9 pagi-11 pagi,1 petang-3 petang & 5 Petang-7 Malam sahaja.
- Anda boleh menaiki bot mengelilingi tasik buatan sambil menikmati kehijauan bukit batu kapur cukup mendamaikan.
- Anda boleh mengikuti laluan pejalan kaki yang meliputi keseluruhan taman yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk wakaf terapung, rumah tradisi Perak dan menara pandang jauh.
- Anda boleh memberi makan kepada ikan jenis keli Afrika dan Ikan Koi, talapia dan lampam yang bersaiz besar. Makanan ikan ada dijual di gerai makanan cuma berharga RM1 sahaja.
- Untuk si kecil, taman ini turut menyediakan taman permainan kanak-kanak yang lengkap dan tapak perkhemahan.
- Untuk melihat panorama kawasan ini, anda boleh naik ke menara tinjau yang disediakan.
image via google
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI