Waitomo yang membawa maksud ‘aliran yang mengalir ke dalam sebuah bukaan di dalam tanah’ merupakan salah satu tarikan utama New Zealand.
Terletak di North Island, New Zealand, perjalanan ke Waitomo mengambil masa tiga jam daripada Auckland dan hanya satu jam perjalanan menaiki kenderaan daripada Rotorua dan Hamilton.
Apa yang menariknya Gua Waitomo ini? Tidak seperti gua-gua lain, Gua Waitomo menjanjikan pengalaman dan 1001 keajaiban ciptaan Tuhan. Formasi gua yang terbentuk secara semulajadi ini berusia sekitar 30 juta tahun dengan struktur batu kapur unik.
Apa bezanya dengan gua-gua yang terdapat di tempat lain?
Satu perkara yang harus diketahui adalah di sini terletaknya satu spesies unik hidupan gua ‘glowworm’ atau nama saintifiknya Arachnocampa luminosa ulat kalimantang atau juga dikenali sebagai kelemayar yang amat jarang ditemui dan unik yang terdapat hanya di New Zealand.
Ads
Ulat kelemayar ini menjana satu bentuk cahaya kalimantang. Ulat ini akan membina sesawang seperti labah-labah untuk memerangkap serangga. Kelihatan dari jauh seperti juntaian lampu-lampu yang sangat indah, rupa-rupanya adalah sejenis ulat.
Ulat kelemayar ini menghabiskan jangka hayatnya sebagai larva dan cahaya yang terhasil adalah tindak balas biologi bahan kimia yang terletak pada bahagian ekor dengan oksigen di udara. Cahaya ini akan menarik serangga kecil yang menghuni gua Waitomo untuk dijadikan makanan. Sistem ekologi gua Waitomo dikatakan sempurna sebagai habitat ulat kelemayar ini.
Pengunjung boleh menikmati pengalaman menakjubkan ini dengan memilih beberapa pilihan pengembaraan, samada menaiki bot melalui aliran air di dalam gua, menjelajah dengan berjalan kaki melalui Gua Ruakuri yang terletak berhampiran atau bagi yang gemarkan pengalaman extrim, pengunjung boleh mencuba ‘Black Water Rafting’ dan bersiap-siap untuk menyusuri aliran air menggunakan tiub pelampung, bersedia untuk basah di dalam gua yang gelap.
Ads
Penjelajahan Unik
Bot yang boleh memuatkan sekitar 12 orang pada satusatu masa ini akan dibawa menjelajah Gua Waitomo menyusuri laluan air yang gelap gelita. Jangan risau kerana pengemudi bot-bot ini adalah mereka yang profesional dan arif dengan laluan gua tersebut.
Ads
Bagi mereka yang ingin menjelajah Gua Waitomo dengan berjalan kaki pula, pengunjung akan dibawa masuk melalui Gua Ruakuri yang terletak berhampiran dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan struktur besar gua-gua di Waitomo. Di sini pengunjung akan dibawa oleh seorang pemandu arah dan penerangan terperinci dan pengalaman melihat sendiri ulat kelemayar ini secara dekat pasti memberikan sebuah pengalaman baru dan mengujakan.
Bagi mereka yang berjiwa lasak, pastinya ‘Black Water Rafting’ menjadi pilihan utama. Pengunjung akan dibekalkan pakaian kalis air dan tiub pelampung. Penjelajahan unik Gua Waitomo ini bakal membawa pengunjung menyusuri anak-anak sungai yang terbentuk di dalam gua secara berkumpulan sambil ditemani seorang pemandu arah profesional yang informatif, memberi penerangan dan membawa pengunjung melihat habitat ulat ini dari permukaan air.
Semestinya Gua Waitomo menjanjikan sesuatu yang amat berlainan daripada percutian biasa anda. Sesungguhnya alam ini terlalu luas untuk diterokai dan jika anda fikir yang anda sudah melihat semuanya, fikir semula.
Sumber: ASHRAF SAHARUDIN
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Sarawak Bumi Kenyalang adalah negeri yang terbesar di Malaysia dan menyimpan 1001 khazanah turun temurun untuk dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.
Ada pelbagai produk pelancongan di negeri Sarawak tapi kali ini Libur nak kongsikan 10 tempat percutian menarik yang anda boleh kunjungi di sana!
Sekiranya anda ingin melihat keindahan bukit bukau yang menghijau dari kawasan tanah tinggi di Sarawak, anda boleh singgah di sini. Selain daripada pemandangannya yang cantik, di sini juga terletak Borneo Highland Resort yang ideal untuk anda bermalam ketika bulan madu di Kuching. Jarak pemanduan dari bandar Kuching ke pintu masuk kaki bukit ini hanya 40 minit sahaja. Dari kaki bukit, anda hanya perlu memandu ke puncak sekitar 20 minit pemanduan sebelum tiba di Borneo Highland Resort. Pemandangan di sini seakan-akan anda pergi ke Cameron Highland. Apabila tiba di resort, anda perlu menaiki tram untuk menuju ke lokasi insta-worthy iaitu Kalimantan View Point. Panorama yang ada dari tempat itu pasti akan membuatkan anda terpukau.
Alamat: Jalan Borneo Heights, 94200 Padawan, Kuching, Sarawak Waktu operasi: Terbuka Harga: Pintu masuk kaku bukit RM10/seorang, Bayaran tram RM10/2 hala
Kepada anda yang suka untuk berdampingan dengan alam semulajadi, anda disyorkan untuk melawati Gua Pari-Pari yang terletak hanya satu jam perjalanan menaiki kenderaan dari bandar Kuching ini. Gua Pari-Pari adalah salah satu destinasi terbaik untuk anda menikmati keindahan gua batu kapur tanpa perlu meredah hutan yang jauh untuk sampai ke lokasi gua. Selain itu, destinasi ini juga sesuai untuk pelancong yang berkeluarga. Apa yang menariknya di sini adalah penorama yang akan anda lihat saat melangkah masuk ke dalam gua apabila warna-warna batu di dinding gua akan bertukar warna kerana sinaran cahaya matahari yang semakin berkurangan. Sangat menarik!
Alamat: Gua Pari-Pari, Bau, Sarawak Waktu Operasi: 8.30 pagi hingga 4 petang Harga: Pelancong tempatan RM1, Pelancong asing RM5
Sekiranya anda bercuti bersama isteri dan anak-anak, anda dicadangkan untuk pergi ke Taman Buaya Jong yang terletak kira-kira 20 minit pemanduan dari bandar Kuching. Taman Buaya Jong ini merupakan taman buaya dan pusat pemuliharaan buaya terbesar di Malaysia dan menempatkan lebih seribu ekor buaya. Jangan lepaskan peluang merasai aktiviti paling menarik di sini iaitu memberi buaya makan. Aksi-aksi buaya menerjah makanan yang diberikan pasti membuatkan anda dan anak-anak berasa teruja. Selain daripada buaya, terdapat haiwan lain yang turut dijaga di sini antaranya ikan arapaima – spesis ikan air tawar yang terbesar di dunia.
Alamat: Jalan Kuching – Serian, 94200 Siburan, Sarawak Waktu operasi: 9 pagi hingga 5 petang (setiap hari) | Waktu makan buaya 11 pagi dan 3 petang Harga: (Normal) Dewasa RM24, kanak-kanak RM12 | (Sarawak) Dewasa RM14, kanak-kanak RM7
Masjid negeri yang besar ini juga antara destinasi pelancongan yang baik untuk anda melancong di sana. Masjid berkubah biru berdinding putih ini mempunyai kawasan yang sangat luas dan mampu menampung jemaah sehingga 10 ribu orang pada satu-satu masa. Senibina masjid ini menggunakan rekaan geometri dan seni khat yang pasti akan membuatkan anda terpesona dengan keindahan masjid ini.
Alamat: Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak Waktu operasi: Subuh hingga Isyak Harga: Percuma – Derma ikhlas sangat digalakkan
Ingin kenal dengan lebih rapat mengenai seni, budaya dan warisan negeri Sarawak? Anda perlu berkunjung ke Muzium Sarawak dalam lawatan anda ke bumi kenyalang ini. Di sini, anda akan dapat mengenali dengan lebih dekat sejarah negeri Sarawak dan etniknya yang pelbagai menerusi barangan, artifak dan bahan sejarah yang dipamerkan di sini. Muzium ini juga mendapat jolokan sebagai muzium yang mempunyai barangan koleksi terbaik di Asia Tenggara. Kalau anda nak tengok tengkorak kepala buaya bujang senang, di muzium ini adalah destinasi yang terbaik untuk anda.
Alamat: Jalan Tun Abang Haji Openg, Taman Budaya, 93400 Kuching, Sarawak Waktu operasi: 10 pagi hingga 4 petang Harga: Percuma
Pernah melawat rumah panjang yang sebenar? Sekiranya tidak, anda perlu melihat sendiri rumah panjang yang sebenar di Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh yang berusia lebih 200 tahun. Terletak 85km dari bandar Kuching dan terletak di kaki bukit Borneo Highland. Sekiranya anda ingin merasai pengalaman yang lebih banyak di rumah panjang ini, anda boleh bermalam dan melakukan pelbagai aktiviti masyarakat setempat di sana. Rumah panjang ini menggunakan konsep inap desa dan suasananya sangat menarik untuk anda terokai. Selain bermalam di rumah panjang ini, anda juga boleh mandi kolam air panas, air terjun tiga tingkat, melawat head house yang berusia 150 tahun dan sebagainya. Lokasi ini sangat menarik untuk anda yang nak rasa sendiri pengalaman sebenar orang Sarawak.
Alamat: Annah Rais Longhouse Homestay, No.9, Kupo Saba, Kampung Annah Rais, Jalan Borneo Height, Kota Padawan, 93250 Kuching, Sarawak Waktu operasi: Terbuka Harga: Dewasa RM8 dan kanak-kanak RM5
Kalau anda menginap di bandar Kuching, Kuching Waterfront ini adalah antara lokasi yang anda perlu datang untuk merasai aktiviti malam yang terdapat di sana. Lokasi ini sering menjadi tumpuan pelancong kerana kecantikan pemandangan waktu malam seperti bangunan Dewan Undangan Negeri dan Jambatan Darul Hana. Selain waktu malam, panorama di sini sangat cantik pada waktu petang menjelang matahari terbenam. Sekitar pukul 8 malam, ada musical fountain show yang berwarna-warni untuk anda lihat. Pasti kanak-kanak teruja dengan persembahan tersebut. Di sepanjang kawasan ini juga terdapat gerai-gerai jalanan yang menjual pelbagai juadah untuk anda nikmati.
Alamat: Jalan Main Bazaar, 93000 Kuching, Sarawak Waktu operasi: Terbuka Harga: Percuma
Perjalanan yang diambil dari bandar Kuching ke Pasar Serikin adalah dalam 1 jam. Walaupun begitu, pasar ini tetap menarik ramai pelanggan kerana barangan kraftangan yang dijual di sini adalah dalam harga yang rendah sekali. Antara kraftangan yang anda boleh temui di sini adalah kain batik, tikar, bubu, makanan tradisi dan bermacam lagi. Anda dinasihatkan untuk bertolak ke pasar ini dari Kuching pada pukul 8 pagi lagi kerana peniaga-peniaga pasar akan mula mengemaskan barang untuk pulang sebaik sahaja pukul 12 tengahari.
Alamat: Serikin, 94000 Bau, Sarawak Waktu operasi: Sabtu & Ahad
Muzium ini memiliki senibina yang sangat unik hasil gabungan pengaruh Renaissance Inggeris dan Penjajah British. Bangunan ini dibina pada tahun 1907 dan pada awalnya ianya digunakan sebagai Pusat Perubatan dan seterusnya sebagai Pejabat Jabatan Pendidikan. Pada Ogos 2000, muzium ini mula dibuka kepada orang ramai. Di muzium ini anda akan dapat melihat proses tekstil dihasilkan dari awal penyediaan sehinggalah ditenun menjadi sehelai kain. Anda turut dapat melihat koleksi tekstil tradisional dan moden Sarawak serta koleksi tekstil dan pakaian disini dihasilkan oleh etnik masyarakat Sarawak sendiri. Contohnya daripada masyarakat Iban adalah Pua Kumbu dan daripada masyarakat Melayu pula adalah songket.
Alamat: Jalan Tun Abang Haji Openg, 93000 Kuching Waktu operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am– 4.00pm) Harga: Percuma
Setiap kawasan mesti ada landmark dan di Sarawak, tugu kuching ini mewujudkan suasana yang unik kepada negeri Sarawak, memang tak sah sekiranya anda datang ke Sarawak tanpa bergambar dengan tugu-tugu kucing yang ada di sini. Tugu ini berada di hadapan pusat membeli-belah dan hotel-hotel di Kuching. Sebenarnya, nama Kuching ini diberi berdasarkan kisah bahawa pada zaman dahulu terdapat banyak kucing hutan yang wujud di sekitar sungai di situ ketika kawasan ini masih dipenuhi hutan.
Alamat: Jalan Tunku Abdul Rahman, 93100 Kuching, Sarawak Waktu operasi: 24 jam Harga: Percuma
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Kuala Lumpur menjadi salah satu destinasi paling popular dalam rantau Asia Pasifik yang menjadi pilihan untuk dikunjungi pelancong. Paling best, di Kuala Lumpur ini ada beberapa tempat yang menjadi wajah sesuatu kaum tetapi boleh dikunjungi semua orang tidak kira bangsa samada Melayu, Cina atau India.
Dibina pada tahun 1888, Central Market berfungsi sebagai sebuah pasar yang basah yang menjual barangan untuk pedagang dan pelombong bijih timah pada masa itu. Ia kemudiannya berkembang pada tahun 1895 dan sekali lagi pada tahun 1920, 1921, dan akhirnya kepada saiz hari ini pada tahun 1933. Pada tahun 1986, Central Market sekali lagi diubahsuai. Kali ini ia tidak lagi menjadi pasar basah dan telah ditukar menjadi pusat seni dan budaya serta pusat membeli-belah.
Ia adalah tempat terbaik untuk menyaksikan budaya, seni dan kraf Malaysia. Pelbagai barangan dijual di sini, termasuk kraftangan, cenderamata dan hasil seni pada harga yang berpatutan. Pengunjung juga berpeluang menghasilkan potret mereka di sini sambil mencuci mata di sepanjang Jalan Kasturi bersebelahan Pasar Seni untuk melihat dan membeli cenderamata.
Brickfield atau dikenali sebagai Little India oleh masyarakat tempatan telah dibangunkan oleh Yap Kwan Seng yang merupakan Kapitan Cina Kuala Lumpur ke lima dan yang terakhir. Sebagai seorang ahli perniagaan beliau telah menjangkakan peningkatan permintaan untuk batu-bata di Kuala Lumpur. Maka beliau telah menubuhkan kawasan penghasilan batu-bata yang dipanggil Brickfield.
Brickfields juga turut digunakan sebagai depoh utama untuk Keretapi Tanah Melayu (KTM) sewaktu pentadbiran British. Pihak berkuasa British membawa masuk orang-orang dari India untuk bekerja dengan keretapi. Ramai yang tinggal di kuarters di sekitar Brickfields. Sejak itu, masyarakat India telah hidup dan kekal di sini dan menjadi warganegara Malaysia.
Oleh kerana masyarakat India yang besar, bilangan kedai-kedai dan restoran yang menjual barangan dan kuih-muih India telah berkembang sejak beberapa tahun yang lalu. Malah, kawasan itu terkenal dengan pelbagai hidangan asli masyarakat India seperti Nasi Daun Pisang. Terdapat juga kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan, pakaian dan lain-lain. Menjelang perayaan Deepavali, kawasan ini menjadi tumpuan untuk membeli-belah.
Petaling Street sangat popular bagi pelancong yang ingin mendapatkan barangan berbentuk cenderamata, pakaian, barangan elektronik dan barangan kulit pada harga yang berpatutan. Bagi yang gemar masakan Cina, di sini juga merupakan lokasi terkenal untuk menjamu selera.
Saban hari, Petaling Street tidak akan sunyi daripada pelancong asing dan juga pengunjung tempatan untuk membeli-belah. Jangan lupa untuk tawar-menawar harga barangan yang dijual peniaga di sini, jika anda bernasib baik, anda akan memperolehi dengan harga yang cukup berpatutan.
Jalan Bukit Bintang ialah kawasan tumpuan ramai pelancong dan warga kota untuk membeli-belah dan sumber hiburan yang masyhur di Kuala Lumpur. Tidak dapat dinafikan bahawa Bukit Bintang adalah salah satu kawasan beli-belah utama di Kuala Lumpur, menawarkan pelbagai jenis barang-barangan untuk memenuhi segala citarasa dan kemampuan berbelanjaan. Buat si ’kaki shopping’ membeli-belah sepuas-puasnya di kawasan segi tiga emas ini. Pasti anda rambang mata untuk memilih barangan atau pakaian yang berkenan di hati. Bagi yang gemar berhibur pada malam hari, Bukit Bintang antara destinasi yang tidak pernah tidur dan sunyi dek kunjungan orang tempatan dan juga pelancong.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Bagi mereka yang inginkan pengalaman percutian berbeza seperti beramah mesra dengan dinosaur, Jurassic Croc tarikan terbaharu di Crocodile Adventureland Langkawi ada jawapannya.
Kunjungan ke anda ke Jurassic Croc akan disambut oleh dua dinosaur iaitu Velociraptor dan Dilophosaurus serta berpeluang berswafoto dengan haiwan prasejarah itu. Bukan itu sahaja para pengunjung juga dapat menyaksikan, replika seekor buaya gergasi daripada spesies, Sarcosuchus berukuran 15.24 meter yang pernah hidup di zaman dinosaur, membuat kemunculan dari dalam sebuah gua secara tiba-tiba. Biarpun Velociraptor dan Dilophosaurus itu sekadar kostum yang dipakai oleh kakitangan Crocodile Adventureland Langkawi manakala Sarcosuchus ialah replika dinosaur yang digerakkan secara animatronik, keterujaan para pengunjung ke Jurassic Croc pasti dapat dirasai.
Jurassic Croc di Crocodile Adventureland Langkawi seakan dapat menghidupkan kembali buaya prasejarah iaitu Sarcosuchus yang pernah menguasai dunia melalui teknologi animatronik. Buaya Sarcosuchus ataupun 'Super Croc' yang berukuran 15.2 meter ini merupakan buaya animatronik yang terbesar pernah dipamerkan di dunia dan telah dibuka untuk tontonan umum mulai pertengahan Disember tahun lalu. Selain itu, terdapat juga beberapa haiwan zaman jurassic lain yang akan diperkenalkan kepada pengunjung seperti Velociraptor dan Dilophosaurus serta anak buaya, Sarcosuchus.
Tarikan lain yang ada di taman buaya ini menempatkan lebih 4,000 ekor reptilia daripada enam spesies (buaya) antaranya Tomistoma, Siamese, Guinea dan Saltwater (Buaya Tembaga). Taman buaya itu turut memiliki tarikan lain seperti ‘Bujang Basar’, buaya tembaga jantan gergasi berukuran 4.6 meter dengan berat hampir satu tan yang dinobatkan memiliki ukuran badan terpanjang dan terberat pernah ditempatkan dalam taman buaya di negara ini oleh MBOR. Aktiviti isitimewa di sini pengunjung juga berpeluang melihat kakitangan terlatih memberi makan reptilia ganas bersaiz besar yang ditempatkan di kolam khas. Selain itu jangan lupa untuk merasai pengalaman memancing' buaya serta pelbagai lagi tarikan di taman buaya terbesar di Malaysia itu.
Kala liburan, makanan adalah salah satu cara untuk mengenali dengan lebih dekat sesebuah budaya. Setiap satu menu yang dicuba menjadi manifestasi rasa lantas mengisi...