Semuanya secara kebetulan. Lastminuteplanning. Penat bekerja membuatkan kami merancang untuk bercuti melepaskan lelah dan tekanan.
Puas memikirkan ke mana harus pergi. Tidak lama, tidak jauh tetapi best dan dapat meninggalkan momen terindah. Lalu tiba-tiba nama Lombok keluar dari mulut kami.
Ya. Kami sepakat untuk pergi destinasi yang awalnya amat terkenal di bibir rakyat Malaysia kisah anak-anak gadis yang lari ikut teman lelaki ke Lombok. Kami ketawa. Ah, biarlah apa pun pandangan dan anggapan segelintir masyarakat, tetapi sudah banyak kami lihat dan dengar kisah percutian di Lombok yang amat indah.
Kami tidak sabar ingin sendiri menikmati indahnya daerahnya yang memiliki pantai-pantai yang indah. Gunung-ganang dan sawah padi yang menghijau. Lalu semuanya kami rancang begitu pantas.
Booking tiket kapalterbang, booking hotel penginapan dan kami terbang, sehari selepas merancang semuanya ini. Bertolak hari Jumaat dan kami pulang hari Selasa minggu hadapannya.
5 hari 4 malam kami amat berharap yang menanti di Lombok nanti segala yang indah. Menaiki flight awal pagi dan mendarat selepas empat jam di udara. Waktu sampai sudah tengahari.
Transport dari hotel sudah sedia menanti. Kami dibawa ke Senggigi. Perjalanan yang terasa jauh kerana melayan perut yang menjerit-jerit kelaparan. Hampir setengah jam perjalanan, kami berhenti di sebuah rumah makan.
Ikan Bakar hidangan paling popular di sini dan itu juga menjadi santapan pertama kami di bumi Lombok. Sambil menanti ikan segar yang kami pilih siap dibakar, saya berjalan ke bahagian dalam restoran. Lalu melangkah hingga ke belakang.. Ada pantai rupanya.
Dan seketika mata terpukau kala melihat hamparan pantai putih bersih dan lautan membiru segar di pancar sinar mentari. Ya Allah, indahnya bumi ciptaanMu. Seketika kami terlupa perut yang menjerit minta di isi. Kami mula leka berjaya ke tepi pantai. Memijak pasir yang halus dan merakam gambar-gambar yang indah.
Langit dan laut bagai bercantum dalam warna biru. Sehingga pekerja restoran memanggil kami untuk menikmati hidangan yang sudah tersedia. Katanya takut ikannya sejuk nanti tidak sedap.
Ya kami ketawa kerana ternyata karektor Lombok membuatkan kami terlupa tujuan utama berhenti adalah untuk makan. Selesai makan, kami terus ke hotel. Sekali lagi ketika membuka beranda hotel, kami terdiam. Oh tuhan.. hamparan pantai dan laut membiru terus membuat segala rasa penat perjalanan.
Mata yang tadinya mahu tidur, terus segar bugar. Tidak sabar untuk memijak pasir yang putih. Selepas berehat, hari itu kami habiskan masa di kawasan hotel sahaja. Asyik melayan ombak dan menanti sunset.
Lombok Pulau Seribu Masjid
Ramai yang tidak menyedari Pulau Lombok merupakan destinasi percutian yang semakin popular sekarang ini. Semasa kunjungan saya baru-baru ini saya berjumpa dengan ramai rakyat Malaysia yang bercuti ke Lombok.
Untuk makluman, tahun lepas Lombok mendapat anugerah Destinasi Percutian Halal terbaik di dunia dan juga Destinasi Berbulan Madu (Honeymoon) No.1.
Pulau Lombok terletak di Nusa Tenggara Barat Indonesia atau berhampiran dengan Pulau Bali. Berbeza dengan Pulau Bali yang sarat dengan imej Hindu, Pulau Lombok pula majoriti penduduknya beragama Islam.
Jadi tiada masalah untuk mendapatkan makanan halal di sini. Pulau Lombok juga dikenali sebagai Pulau Seribu Masjid. Ini kerana terdapat banyak masjid di pulau ini.
Kita boleh melihat begitu banyak masjid-masjid di sepanjang perjalanan dengan bas semasa program lawatan kita di Lombok. Dan yang bestnya lalulintas di sini juga tidak sibuk dan tiada masalah kesesakan lalu lintas.
Ads
Untuk ke Pulau Lombok, kita boleh menaiki Pesawat Airasia yang berlepas dari KLIA2 ke Lombok. Tempoh perjalanan pula ialah 3 jam 10 minit, menunjukkan lokasinya yang agak jauh sedikit berbanding dengan Medan atau Padang di Indonesia.
Lapangan terbangnya pula besar dan bertaraf International. Waktu di Lombok juga sama dengan waktu di Malaysia dan bukan lewat 1 jam seperti di kawasan lain Indonesia.
Kampong Tradisional Masyarakat Sasak Ende
Destinasi awal yang dikunjungi ialah di Perkampungan Tradisional Masyarakat Sasak Ende iaitu masyarakat pribumi Lombok. Kampong tradisional ini sengaja dikekalkan sebagai salah satu tarikan pelancongan oleh pihak berwajib.
Apa istimewanya kampung ini? Sebenarnya binaan rumah masyarakat kampung ini, lantainya diperbuat dari najis lembu dicampur dengan tanah liat.
Pertama kali mendengarnya dari tourguide, bunyinya macam pelik. Saya seperti tertanya-tanya, boleh ke? Macam mana dari segi kebersihan ? Nak solat macam mana? Dikatakan ketika simen belum ada lagi, mereka menggunakan najis lembu menggantikan simen.
Ketika pertama kali meninjau keadaan dalam rumah kelihatannya lantai rumah nampak bersih dan tidak berbau. Atap rumah diperbuat dari sejenis daun seperti lalang dan boleh tahan untuk tempoh 2 tahun sebelum diganti baru.
Tenunan Lombok
Kami dibawa di kawasan industri kampung iaitu tenunan kain Lombok. Nama kampung saya tak ingat. Lombok memang terkenal dengan tenunan kain dan songket.
Di dalam kampung berkenaan saya lihat seperti ada banyak rumah yang menjalankan aktiviti tenunan kain, cuma kami hanya melawat satu rumah sahaja. Tahukah kita untuk menghasilkan kain tenunan songket Lombok mengambil masa antara 2 bulan hingga 4 bulan bergantung kepada jenis tenunan.
Dan apabila siap ianya dijual antara Rp100 ribu keatas (RM30+). Saya rasa tak sampai hati pula untuk meminta diskaun apabila membeli kain tenunan songket buatan Lombok ini, bila mengenangkan kesusahan dan lamanya proses menghasilkannya.
Pantai Lombok
Sememangnya saya akui permandangan kawasan pantai di Pulau Lombok amat cantik dan indah sekali. Kedudukan laluan jalan raya di sepanjang pantai kebanyakkannya di kawasan atas bukit menyebabkan ianya dilihat cukup indah dan mengasyikkan. SubhanaAllah ! Begitu indah sekali alam ciptaan Tuhan..
Kawasan Sengigi
Kami menginap di hotel Puri Sengigi di kawasan tepian pantai Sengigi. Kawasan ini sememangnya nampak happening kerana banyak deretan resort atau hotel penginapan untuk pengunjung. Bukan setakat resort dan hotel di kawasan Sengigi ini juga banyak restoran, cafe, kedai yang sedia menanti kunjungan pelanggan asing. Nampak jelas pihak berwajib fokus membangunkan industri pelancongannya.
Ads
Gili Trawangan
Perjalanan dengan bot hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja. Apabila sampai di Gili Trawungan terasa macam berada di Hawaii. Ramainya pengunjung asing (Mat Saleh) kat sini.
Kami harus menaiki bot untuk ke Gili Trawungan. Perjalanan dengan bot hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.
Aktiviti pertama yang kami lakukan di sini ialah menaiki bot kaca mengelilingi pulau-pulau kecil di kawasan ini untuk melihat Terumbu Karang dan hidupan laut dari atas bot.
Kami lihat ramai juga pengunjung yang menjalankan aktiviti snorkeling. Saya tidak membawa baju mandi, jadi rasa ralat juga kerana tak dapat nak snorkeling. Saya dapat bayangkan seronoknya mereka melihat keindahan hidupan di dalam laut.
Dalam hati saya kata, tak pa insyaAllah ada umur saya akan datang ke sini sekali lagi Mac nanti. Sungguhpun kawasan sekeliling pantai seperti gaya kebaratan (ala Hawaii) Kereta Kuda keliling pulau pula dengan bayaran Rp200 ribu.
Satu kereta kuda boleh naik 3-4 orang pengunjung. Terasa macam suasana dalam filem Indonesia zaman Belanda pula. Ini kerana lorong laluan kuda di kawasan tepi pantai ini amat kecil, cukup sekadar membolehkan 2 buah kereta kuda berselisih.
Saya lihat terlalu banyak Kereta Kuda atau dipanggil Cidomo oleh orang sini. Di sepanjang laluan kami mengelilingi pulau, saya dapati terlalu banyak resort dan hotel baru dibina. Ada yang siap dengan kolam renang lagi.
Pasti mahal hotel atau resort di sini berbanding di pulau Lombok.
Menu Makanan Lombok
Menu sajian makanan Lombok memenuhi selera orang kita. Makanan Lombok kebanyakkan jenis kering dan tiada kuah. Ada nasi, sayur, lauk pauk sama macam Nasi Campur di tempat kita.
Ada kala mirip dengan Makanan masyarakat Sunda yang tiada kuah. Makanan yang popular di sini antaranya Ayam Taliwang.
Untuk yang ingin bercuti ke Lombok boleh ikut beberapa tips ini:
Ads
1. Penerbangan
Sediakan semua barang-barang yang perlu. Contohnya untuk aktiviti snorkling, berenang dan sebagainya. Jadi tidak perlu membeli di sana kerana ada barangan yang mahal. Sebaiknya rancanglah tarikh yang sesuai dan ambilah penerbangan yang menawarkan tambang paling murah.
2. Rancang Sendiri Aktiviti
Aktitivti DIY akan membawa anda ke tempat-tempat yang benar-benar menarik dan sesuai dengan apa yang kita mahukan. Contohnya untuk ke semua pantai dan tempat-tempat pergunungan sahaja. Jadi tidak perlu ke kawasan yang bukan interest kita.
3. Penginapan
Beberapa tempat di Lombok menjadi tempat favourite antaranya di kawasan Senggigi. Selain secara akses akan lebih dekat jika ingin menyeberang ke Gili Trawangan, Gili Air dan Gili Meno, Senggigi menawarkan keramaian tempat makan dandan banyak spa dan salon. Waktu malamnya juga meriah dan terasa indah suasana pelancongan.
4. Transport dan Panduan Pelancongan
Lombok memang berbeda dari Bali. Lebih selesa juga dapat menyewa kereta. Walaupun sedikit mahal dari Bali tetapi kita boleh keliling Lombok dan pergi ke banyak pantai dan tempat yang Indah. Supir yang membawa juga akan memberi banyak informasi tempat-tempat menarik di Lombok.
5. Cermin Mata Hitam dan Topi
Tarikan Lombok adalah pantai-pantainya yang sangat indah dan eksotik. Mulai dari pantai Kuta,Tanjung Aan, Pantai Mawun, Pink Beach, Tanjung Ringgit, dan masih banyak lagi.
Efek panas pesisir pantai akan membuat kita terasa keperitan yang ketara. Pakailah cermin mata hitam, topi dan simpanan air mineral. Jangan lupa juga krim pelembab setelah terkena sinar matahari. Gel lidah buaya juga sesuai untuk “merendam” kulit kita setelah seharian tersengat matahari. Tips ini boleh digunakan untuk semua termasuk anak kecil dan pastikan tidak memiliki alergi terhadap lidah buaya.
6. Wang Tunai
Jika setibanya di Lombok, kamu persiapkan diri menyimpan wang tunai di dompet lebih banyak, ATM tidak terlalu banyak di beberapa spot wisata Lombok. Kira juga keperluan seperti sewa speedboat / sewa publicboat untuk ke Gili, beli jajan dan air mineral, bayar tiket masuk tempat pelancongan makan dan sebagainya.
7. Berpakaian Yang Sopan
Majoriti penduduk Lombok adalah suku Sasak yang beragama islam dan masih menjaga norma sosial dalam bermasyarakat. Walaupun Lombok menjadi salah satu destinasi pelancongan tetapi jika masuk ke kampung-kampung tidak manis berpakaian kurang sopan.
8. Hiburan Malam
Pilihlah Senggigi. Pusat bandar Lombok iaitu Mataram tidak terlalu ramai dengan kehadiran pelancong sekitar jam 8 malam. Jika ingin menikmati keindahan suasana malam, ada beberapa kafe di Senggigi seperti Alberto, Banana Tree Cafe, warung Paradiso atau di Taman Restoran yang boleh dinikmati oleh pelancong yang datang ke sana.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Orang Malaysia ni bermacam-macam idea hebat. Salah satu idea ialah modifikasi kenderaan. Bukan cerita horsepower lebih tinggi, tapi ubah van lama jadi campervan.
Semua foto: ourdatsunc20 Torquise buat pakcik rileks
Pergerakan modifikasi campervan di Malaysia semakin agresif. Dengan wujudnya grup Facebook My Campervan Malaysia, dan Peminat Camper Malaysia perkongsian campervan sesama ahli makin rancak. Bergantung kepada idea kreativiti dan bajet seseorang, yang paling penting adalah kepuasan hasil akhir serta perkongsian hobi dan idea bersama rakan-rakan campervan lain. Pujian untuk mereka.
Ape tu campervan?
Waktu awal beli, sebelum disolek jadi artis tambahan
Campervan ialah van untuk perjalanan dekat atau jauh yang juga tersedia tempat tidur, makan, mandi dan bersantai. Ada beberapa individu berjaya mengubah suai van kepada campervan. Semua ini hasil dari minat yang mendalam. Kos? Itu cerita belakang-belakang lah.
Pemilik akaun instagram ourdatsunc20, Kas Hariz membeli Datsun C20 pada harga RM3500 dan mengubah kepada campervan mengikut kreativiti dan bajet sendiri.
Gambar paling epik
Beberapa modifikasi dilakukan bermula September 2016. Van disalut warna torquise (antara warna faveret penulis) dan kemudian sedikit masa selepas itu menggayakan rim sukan baharu berwarna merah. Beberapa bahagian lain dinaik taraf seperti memasang kipas angin kecil (old skool flava) di dashboard, memasang rak laci kayu yang bawa mood macam dalam bilik rumah.
Bukan bilik hotel 5 bintang brooo…campervan!
Epik lagi, rumah orang asli agaknye
Cipta memori dengan famili
Famili bro famili …respek
Dari akaun instagram beliau, Kas Hariz gemarkan pengembaraan serta mencipta memori hebat bersama keluarga pada cara yang ideal dengan bajet yang jimat. Lihat saja foto yang dirakam, berseni!
Kreatif tahap level 368. Leica lovers!
Beberapa destinasi setakat ini telah pun berjaya sampai seperti Air Terjun Serendah, Empangan Kuala Kubu Bharu, Tasik Biru Kundang, Bukit Fraser, Pantai Remis Selangor, Menara Condong Teluk Intan, Teluk Senangin Lumut, Genting Highlands, Sungai Kedondong, Cameron Highlands, Terengganudan lain-lain tempat.
Memori dengan keluarga tu yang paling BEST walau simple² je
Gambar ni epik. Menuju puncak AF
Benda tua, tapi C20 muda banyak
“Kembara jauh pertama dengan campervan tua 34 tahun ini ialah ke Teluk Senangin. Ada sedikit masalah kecil tapi dapat diselesaikan”, ujar Kas.
Boleh menang award gambar campervan terbaik
Dah naik bukit
Travel & berniaga
Berniaga sambil travel, teringat waktu kecik² dulu, beli cikedis dari van vanette mak cik yam
Sambil kembara, Kas Hariz juga berniaga kecil-kecilan menjadikan campervan kepada kedai mini bergerak yang menjual makanan dan minuman ringan. Sambil kembara, sambil berniaga. Mungkin anda boleh merasai secawan kopi panas dan berbual-bual mengenai kembara Kas selepas ini.
Percutian ke Bandung, Indonesia beberapa ketika yang lalu pernah menjadi pilihan ramai untuk melancong. Kota itu mempunyai cuaca dan pemandangan yang begitu menarik selain lokasi untuk membeli-belah yang sangat menyeronokkan.
Namun, dengan kewujudan daerah lain di Indonesia yang lebih menarik untuk dikunjungi atau Negara lain yang lebih seronok untuk ‘shopping’, percutian untuk ke Bandung sedikit suram. Turut di kenali sebagai Paris Van Java, Bandung kini mempunyai pelbagai tarikan baharu yang lain mesti dikunjungi.
Dengan bajet serendah RM600 seorang, anda boleh nikmati daerah Bandung selama 5 hari 4 malam. Ikuti coretan yang dikongsi oleh seorang cikgu ini dilaman sosialnya.
Trip Bandung 5D4N Hanya RM600
Cikgu Tg rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman Trip Bandung yang Cikgu Tg rasakan sangat menarik dan berbaloi kerana banyak tempat yang sangat indah permandangannya dapat dilawati dan paling penting murah Ongkosnya, 5 hari 4 malam hanya dengan RM600 sahaja seorang, siap termasuk tiket Flight yer.
Dalam posting kali ini Cikgu Tg akan menceritakan bagaimana mencari Flight yang murah dan tempat-tempat menarik yang perlu dilawati (very recommended) serta bagaimana memaksimumkan perjalanan 5 Hari 4 Malam dengan meminimakan kos penginapan, perjalanan dan lain-lain kos.
Bandung adalah salah satu tempat yang sangat sesuai untuk dijadikan tempat Honeymoon buat pengantin baru kerana pemandangannya yang super indah, sesuai untuk merakam detik-detik indah bersama pasangan masing-masing dan lokasinya yang berada di lereng-lereng pergunungan, menghasilkan udara yang sejuk dan nyaman sekali.
Buat pengantin lama seperti kami juga sangat sesuai berjalan ke Bandung, boleh dijadikan sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan kerana pelbagai barangan serta kain-kain menarik boleh didapati di sini dengan harga yang sangat murah. Ada yang menggelarkannya sebagai ‘syurga shopping’.
Itinerari
Itinerary kami 5 Hari 4 Malam ke Jakarta dan Bandung. Trip ini tidak menggunakan mana-mana travel Agent Syarikat Perlancongan di Malaysia sebaliknya trip ini diatur sendiri dan hanya menggunakan perkhidmatan Supir di sana. Sangat jimat ongkosnya, semacam ngak percaya. Hari kedua di Bandung adalah hari Shopping manakala hari ke 3 adalah hari jalan-jalan melihat permandangan. Saya akan ulas satu persatu itinerary ini di setiap gambar insyaAllah.
Tiket Penerbangan
Pemilihan Flight adalah sangat penting dalam menjimatkan perbelanjaan Trip ini. Jika dilihat Trip pergi kami ke sana hanya RM119 sahaja seorang.
Untuk penjimatan maksimum, kalian perlu turun ke Jakarta kerana flight direct ke Bandung lebih mahal berbanding ke Jakarta. Untuk infant(2 tahun ke bawah) kosnya boleh dapat hanya RM10 bergantung kepada flight. Kami pergi dengan Air Asia.
Pembelian harus dibuat pada tengah malam. Kami beli murah ini pun dalam masa seminggu, kalau dirancang lebih awal, pasti boleh dapat harga yang lebih murah.
Flight balik juga harus ke Jakarta untuk lebih murah. Alhamdulillah kami dapat Rm131.95 untuk dewasa dan Rm20.49 untuk infant.
Kami pulang dengan Malindo Air. Dapat luggage seberat 25kilogram seorang. Membawa pulang segala hasil tangkapan di Bandung.
Pengembaraan Bermula…
Alhamdulillah selamat touch down di Soekarno Hatta Airport Jakarta. Syukur Adni baik-baik sahaja di dalam flight, siap dibawa lari oleh pramugari lagi masuk ke kabin.
Mengisi perut di Bakso Rusuk Samanhudi. Very recommended. Bagi yang sukakan kepedasan, kalian perlu mencuba Bakso Mercun. Pasti kalian Nendang Poll.
Tempat pertama lawatan kami adalah ke Taman Mini Indah Indonesia(TMII). Satu taman mini yang sangat luas, mengumpulkan bangunan serta rumah-rumah pelbagai suku kaum yang terdapat di Indonesia.
Salah satu tempat yang paling menarik perhatian di Taman Mini ini adalah Istana Anak-anak Indonesia. Rupanya yang seakan-akan Disneyland menjadikan bangunan ini mencuri perhatian para pelancong yang hadir.
Hari kedua kami sarapan di Warung Nasi Empera.
Tidak lengkap berjalan ke Bandung jika tidak ke Pasar Baru. Satu shopping complex yang sangat padat dan menawarkan harga kain-kain serta pelbagai peralatan dengan harga yang sangat murah. Di sini kalian perlu berhati-hati, beg harus di letakkan di hadapan kerana dibimbangi pencopet yang sangat profesional. Kain telekung disini sangat murah. Di Malaysia dengan kualiti yang sama harganya mencecah RM200-RM300 tetapi di sini boleh didapati dengan harga hanya RM50. Diborong terus kami di sini.
Sebelah petangnya shopping pakaian di Toko Tiga, sebuah gedung Jeans berjenama paling laris di Bandung. Juga shopping kain di Bandung Exclusive. Very recommended tempat ini. Pelbagai corak kain yang terbaru dan menarik, harganya yang murah menjadikan pengunjung rambang mata dan terpukau.
Singgah solat zohor dan asar di Masjid Al-Imtizaj, sebuah masjid yang dahulunya tokong. Seorang Cina Muslim Muallaf menukarkannya menjadi Masjid selepas pengislaman beliau, alhamdulillah.Seni bina, perhiasan dan warnanya dikekalkan kelihatan sangat unik dan indah.
Hari ke 3 kami bersarapan di Soto Ahri Garut. Soto yang telah dimulakan sejak 1943. Sangat sedap. Tengahari singgah di My Secret atau The Hobbit. Suatu perkampungan yang sangat indah dengan pelbagai bunga bungaan yang memukau.
Seterusnya kami ke Singgah ke Kopi Luwak Cikole. Tempat pemprosesan Kopi Luwak. Kopi yang dimakan oleh Luwak(Musang), najisnya mengekalkan bentuk biji kopi, dibersihkan, dijemur dan dikisar menjadi serbuk kopi. Kopi ini mendapat pengiktirafan dan terbukti bagus kerana mengandungi Zero Caffeine.
Kawah Putih adalah satu kawah yang terbentuk dari letusan gunung berapi yang sudah tidak aktif.
Pemandangan Super Indah di Glamping. Tasik di kaki pergunungan.
Penginapan
Semua pasti tertanya-tanya bagaimana penginapan yang kami duduki dengan kos berjalan dan penginapan hanya RM600. Kami berlapan bersama dua bayi tinggal di Homestay 4 bilik tidur, 2 bilik air, sangat selesa dan lengkap dengan dapur, meja makan, mesin basuh, peti sejuk dan bilik tidur berhawa dingin. Terbaik. Harganya? Hanya Rm300 semalam bersamaan rm37.50 seorang untuk satu malam. 4 malam hanya Rm150 per person. Murahkan?
Semoga Allah merahmati kita dan keluarga kita semua. Mengembara Melihat Alam, Moga Lebih Dekat Dengan Tuhan.
– Cikgu Tg – Successful Muslim Entrepreneur Mengembara. Menulis . Menginspirasi
Siapa yang tidak kenal dengan keindahan Gunung Baling. Dahulunya gunung ini tidak dikenali, namun kini menjadi antara yang terkenal sehingga viral di facebook.
Lokasi Gunung Baling terletak di Mukim Pulai, Daerah Baling, Kedah. Laluan mendaki boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Peringkat pertama laluan hutan sederhana yang bertanah. Di sini trek pendakian bukit yang agak mencabar. Kedua laluan hutan sederhana dan berbatu, dan ketiga laluan berbatu yang ditumbuhi pokok renek.
Kali ini seramai lima anak muda dari Parit Buntar, Perak telah menawan Gunung Baling. Memulakan perjalanan seawal jam 4.30 pagi lagi, perancangan awal untuk sampai ke puncak sebelum matahari terbit.
Permulaan perjalanan, kami terpaksa melalui kawasan tanah laterit yang basah dan berlopak dengan takungan air dek kerana hujan pada sebelah malamnya. Laluan tanah laterit ini adalah kira-kira 600 meter. Sungguh cabaran mendaki di kawasan yang becak amat mencabar sekali.
Setelah melalui kawasan tanah laterit, kami melalui kawasan bertangga. Di kawasan bertangga ini kami sedikit sebanyak dapat merehatkan kaki buat sementara waktu. Hal ini kerana kami tidak perlu lagi memasang kekuda kaki sepertimana mendaki di kawasan tanah laterit. Pembinaan tangga dan selusur untuk ke puncak Gunung Baling amat membantu perjalanan kami. Hampir sejam perjalanan, kami berehat sebentar di pertengahan jalan yang dinamakan Gua Kambing.
Dengan keadaan suhu yang dingin dan kicauan burung memberi 1001 makna ketika berada di hutan ini. Tidak kami menduga, di kawasan Gunung Baling ini juga turut mempunyai kelip-kelip.
Sedia kemudahan
Setelah berehat kami meneruskan perjalanan peringkat yang kedua iaitu melalui kawasan hutan yang sederhana dan berbatu. Laluan ini amat sukar untuk menentukan laluan mana perlu dilalui kerana sesetengah laluan ada dua simpang. Namun situasi ini dapat diatasi kerana di laluan ini juga turut disediakan lampu sebagai petunjuk.
Lampu ini menggunakan kaedah sistem solar yang mana pada waktu siang menyerap tenaga melalui cahaya matahari dan malamnya bercahaya membantu para pendaki. Laluan ini juga turut ditumbuhi dengan pokok-pokok buluh dan pokok-pokok palma. Apa yang menarik perhatian kami adalah di laluan ini juga turut disediakan kawasan solat serta arah kiblat.
Di fasa yang ketiga ini, kami perlu melalui kawasan yang berbatu dan pokok-pokok renek. Laluan berbatu ini amat mencabar. Batu-batu kapur ini berlumut dan permukaannya amat tajam. Setiap langkah kami amat berhati-hati. Kami juga perlu melalui kawasan celah batu. Laluan ini paling mencabar kerana kami perlu mencangkung dan memanjat batu untuk meneruskan perjalanan. Hampir setengah jam daripada kawasan yang mencabar tadi, kami sampai ke kawasan puncak antara jam 6.30 pagi. Tiada kata-kata yang mampu dikeluarkan, melainkan pujian kepada Sang Pencipta.
Sungguh cantik pemandangan dari puncak Gunung Baling. Tanpa berlengah, kami menyelesaikan dahulu perkara wajib, iaitu solat subuh. Dengan udara yang segar dan kabus di atas puncak amat menenangkan hati setiap pendaki. Kesimpulannya perjalanan untuk sampai ke puncak gunung mengambil masa hampir dua jam.
-Perkongsian pengalaman oleh Mohamad Zulfazdli Mohamad Hisam-
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!