Saban tahun, ramai orang kita yang bercuti ke Hat Yai, Thailand. Sama ada bercuti nak jalan-jalan makan angin, shopping, pergi ke tempat-tempat menarik, itu terpulang kepada kesesuaian trip dan itinerari masing-masing.
Tapi ada satu benda yang dalam mana-mana itinerari, confirm ada. Benda itu adalah, makan. Yaa.. Makan adalah satu perkara wajib dalam setiap trip. Kalau tak makan macam mana nak berjalan kan? Dan makan mestilah kalau boleh nak local food.
Di entri ini, Libur kongsikan kepada anda 5 lokasi makanan halal yang boleh dikunjungi oleh rakyat Malaysia. Jadi makanlah di sana tanpa rasa was-was. Selamat bercuti dan menjamu selera.
ASEAN NIGHT BAZAAR
Dahulunya dikenali sebagai HAT YAI NIGHT MARKET sebelum dinamakan ASEAN NIGHT BAZAAR. Beralamat di Chotevittayakul 5, Tambon Hat Yai, Amphoe Hat Yai, Chang Wat Songkhla 90110, Thailand, tempat ini antara lokasi tumpuan pelancong kerana ianya pusat jualan produk kecantikan dan fesyen pakaian dengan harga yang murah.
Kalau nak dapatkan makanan halal, anda boleh pergi ke tingkat 1 untuk menikmati makanan halal yang sedap. ASEAN NIGHT BAZAAR dibuka setiap hari bermula pukul 4 petang sampai 10.30 malam waktu Thailand.
Ads
PASAR TERAPUNG KHLONG HAE
Pasar terapung ini terletak kira-kira 20 minit dari pusat bandar Hat Yai dan satu-satunya pasar terapung yang ada di bandar itu. Kalau anda nak berkunjung ke sini, ianya dibuka bermula pukul 3 petang sampai pukul 9 malam setiap hujung minggu daripada hari Jumaat sampai Ahad.
Di sini, anda berpeluang untuk membeli makanan halal yang dijual dari atas perahu di pinggiran sungai dan rasa makanannya akan membuatkan anda terimbau perasaan klasik Thailand zaman 70an.
DIM SUM CHABURA HAT YAI
Ads
Anda suka makan dim sum? Boleh ke kedai menjual dim sum halal di Hat Yai iaitu DIM SUM CHABURA HAT YAI. Ada pelbagai jenis dim sum yang murah dan sedap dijual di sini. Untuk yang tak berapa gemar makan dim sum, jangan khuatir, di lokasi ini juga menjual menu makanan halal lain seperti tomyam dan somtam.
Satu lagi perkara yang membuatkan anda akan selesa berkunjung ke sini adalah pelayannya boleh bertutur dalam Bahasa Melayu. Jadi tak adalah berlakunya situasi bercakap ayam dengan itik untuk anda memesan makanan. Kedai ini dibuka setiap hari di alamat T.khlong Hae A. Hat Yai, Songkhla 90110, Thailand.
STREET FOOD BERHAMPIRAN STESEN KERETAPI
Kedai makan ni kecil dan terletak betul-betul berhadapan Stesen Keretapi Hat Yai di Jalan Rotfai dan ada signboard bertulis Dapur Muslim berserta dengan logo halal. Pastikan anda terjumpa dengan kedai yang betul kerana ada deretan kedai-kedai lain yang tidak mempunyai logo halal.
Ads
Hidangan di kedai makan ini sama seperti kedai makan berlauk yang biasa di dapati di Malaysia dengan deretan lauk-pauk sebagai pilihan tetapi lauk-pauknya dimasak berasaskan resipi masyarakat Thailand yang ada di sana. Minuman popular teh ais Thailand juga antara menu minuman yang perlu anda cuba di sini.
STREET FOOD BERHAMPIRAN HOSPITAL DAN STADIUM
Anda boleh pergi ke Jalan Nipatsongkrew 1 yang terletak berhampiran bulatan berdekatan Hotel Presiden. Landmark lain yang boleh digunakan adalah Family Practice Clinic Hat Yai Hospital. Di sini, ada dereta kedai makanan halal yang anda boleh singgah untuk menjamah lauk-pauk masakan asli masyarakat Hat Yai.
Menu yang dicadangkan kepada anda di sini adalah ikan bakar garam atau dalam bahasa Thailandnya adalah miang pla pao. Ikan yang dibakar bersalut garam ini adalah antara makanan yang istimewa di Hat Yai.
Kuala Kangsar, bandar Diraja yang terletak di kawasan pertemuan Sungai Kangsar dan Sungai Perak dikatakan mendapat namanya daripada pokok kangsar yang banyak tumbuh di tebing Sungai Kangsar, anak Sungai Perak. Manakala satu versi lagi mengatakan nama itu diperolehi daripada para peneroka yang membuka penempatan di kuala sungai itu dengan panggilan ‘Kuala Kurang Sa’ bermakna kurang satu daripada seratus kerana terdapatnya 99 anak sungai di situ.
Terletak kira-kira 48 kilometer dari bandar raya Ipoh, bandar diraja itu mempunyai aset pelancongan yang tidak dimiliki negeri lain, sekali gus menjadikan ia begitu eksklusif kepada penduduk negeri Perak. Sebagai bandar tertua Perak, Kuala Kangsar terkenal dengan pelbagai perkara, antaranya bangunan lama dan bersejarah. Di sini menempatkan salah satu masjid tercantik di negara ini iaitu Masjid Ubudiah. Tidak lengkap kunjungan ke Kuala Kangsar jika tidak singgah ke bangunan-bangunan lama yang penuh dengan nilai-nilai sejarah perkembangan institusi diraja Perak seperti Galeri Sultan Azlan Shah, Muzium DiRaja Kuala Kangsar dan juga melawat kawasan sekitar Sungai Perak sendiri
Selain itu, ikon bandar DiRaja Kuala Kangsar yang juga popular adalah Masjid Ubudiah. Masjid Ubudiah ialah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Terletak berdekatan Istana Iskandariah, ia dibina pada zaman pemerintahan Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1.
Baginda bernazar jika sembuh daripada satu penyakit yang serius, baginda akan membina sebuah masjid dan apabila sembuh, maka Masjid Ubudiah mula dibina pada 26 September 1913. Pembinaan terpaksa ditangguhkan apabila bekalan batu marmar terputus ekoran meletusnya Perang Dunia Pertama. Baginda tidak sempat melihat masjid ini siap kerana meninggal dunia setahun sebelumnya. Ia dibuka secara rasmi pada 1917 ketika era pemerintahan Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah (Sultan Perak ke-29, 1916-1918).
Sejarah Gajah Pijak Batu Marmar
Pembinaan masjid ini pada awalnya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan baginda dan Raja (Sir) Chulan Ibni Sultan Abdullah. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa’id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok. Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya, musnahlah batu marmar itu.
Perjuangan gajah itu telah berlanjutan hingga berjam-jam lamanya, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai orang yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil. Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula.
Galeri Sultan Azlan Shah terletak di bandar DiRaja Kuala Kangsar dahulunya dikenali sebagai Istana Hulu. Ia mempamerkan gabungan senibina Asia dan Eropah. Galeri itu memberi tumpuan kepada sejarah dan pencapaian Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Ia turut memberikan maklumat mengenai sejarah dan susur paur Kesultanan Perak dan gambar dan kenderaan, termasuk hadiah-hadiah yang diberikan kepada Sultan dan Sultanah oleh ketua negara dari seluruh dunia. Galeri Sultan Azlan Shah terletak di Bukit Chandan sekitar 1.5 kilometer dari bandar Kuala Kangsar dan hanya 500 meter dari Istana Kenangan.
Muzium Diraja Kuala Kangsar (dahulunya dikenali dengan nama-nama seperti Istana Kenangan, Istana Lembah atau Istana Tepas) telah didirikan pada tahun 1926, di bandar Kuala Kangsar, Perak. Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke-30, 1918-1938), Istana Negara diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Istana Iskandariah pada 1930. Pembinaan memakan masa tiga tahun. Sementara menunggu Istana Iskandariah siap, Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan yang keseluruhannya dibuat daripada kayu tanpa menggunakan paku.Istana itu kini telah dijadikan Muzium Diraja Perak.
Struktur Binaa Unik
Setelah baginda berpindah ke Istana Iskandariah, ia dijadikan Istana Tetamu terutama di hari-hari Perayaan DiRaja seperti hari keputeraan, perlantikan orang-orang besar Perak dan lain-lain Istiadat DiRaja Perak Darul Ridzuan. Dari segi bentuk senibinanya, Istana Kenangan melambangkan senibina Melayu Tradisional yang mengkagumkan. Pembinaan bangunan ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan ( kayu jenis berlian ).
Paku-paku besi tidak digunakan dalam pembinaan bangunan ini. Ia dihiasi dengan ukiran-ukiran Melayu yang menarik yang menggunakan tepas yang diam dengan corak-corak anyaman Melayu Tradisional. Bangunan ini dibina di atas enam puluh batang tiang, di mana panjangnya lebih kurang 41 meter dan lebarnya 11 meter. Bentuk bangunan ini melambangkan sebilah padang yang tersimpan di dalam sarungnya. Bahagian tengah di atas bangunan ini ditempatkan sebuah singgahsana. Tingkat bawah bangunan ini pula digunakan sebagai pejabat rasmi Baginda, di mana ia mempunyai lantai simen dan disekelilingnya ditutup dengan bidai.
Persisiran Sayong, yang terletak di tebing Sungai Perak, merupakan daya tarikan pelancong terbaru di daerah itu yang akan dibangunkan sebagai pusat aktiviti air seperti berkayak dan berakit selain lokasi penganjuran pesta sukan air dan pesta lanjut sempena ulangtahun keputeraan Sultan Perak.
Projek Persisiran Sayong dibina di tapak seluas enam hektar dan mempunyai beberapa kemudahan pelancongan seperti galeri kraftangan, restoran pinggiran, tempat penginapan, jeti pelancongan serta tandas awam. Jika singgah di Kuala Kangsar, tidak lengkap jika anda tidak singgah di persisiran sungai Perak ini.
Sungai Perak sepanjang 400 km mengalir dari Hulu Perak hingga ke Beting Beras Basah di Bagan Datoh ke Selat Melaka. Sungai Perak merupakan sungai ke-2 terpanjang di Semenanjung Malaysia selepas Sungai Pahang. Ia memainkan peranan yang penting dalam sejarah negeri Perak. Terdapat beberapa empangan hidroelektrik di Sungai Perak:
Trivia
Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Sayong adalah pusat pentadbiran diraja Perak sebelum berpindah ke Bukit Chandan. Pemindahan itu berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1 (Sultan Perak ke-28, 1887-1916). Sebelum itu, Sayong menjadi tempat raja-raja Perak bersemayam iaitu mulai dari zaman Sultan Perak yang pertama, Sultan Mudzaffar Shah 1 (1528-1549). Ketika itu, istana sultan dibina di tebing kanan mudik Sungai Perak iaitu dari hilir Sungai Perak sehingga ke Sayong. Tradisi itu dipecahkan oleh Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1 apabila baginda memindahkan tempat persemayaman dari Sayong ke Bukit Chandan yang terletak di tebing kiri Sungai Perak. Di situ, baginda membina Istana Negara untuk raja-raja bersemayam, Istana Cinta Berahi untuk Tengku Permaisuri dan Istana Kasar Makmur untuk Raja Perempuan.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
LIBUR dijemput Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan aktiviti diatur KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah). Bersama media lain, kami tidur dalam houseboat.
Tengok video pendek trip houseboat & ke Kelah Santuari Lubuk Kejor, tasik Kenyir
Haritu pi Santuari Ikan Kelah Lubuk Kejor & naik houseboat Tasik Kenyir… Trip macamni sesuai untuk company, kawan² dan famili ramai²…30 orang sekali pi memang best. Banyak lagi tempat lain kami ja tak dan pi…Tag & share ajak kawan²Nak tau story http://stg.libur.com.my/kenyir/#libur #kenyir #kelah #houseboat #terengganu #dekatje
Posted by Majalah Libur on Thursday, 21 September 2017
Houseboat dinaiki baru saja disewa 30 orang dari team korporat lain. Houseboat ni terbaru di Tasik Kenyir; baru 8 kali trip. Segalanya nampak cantik; dari kokpit pemandu, dok depan luas juga tempat makan, dapur luas, empat toilet, ruang karaoke luas dan bilik luas. Ringkasnya cantik dan selesa.
Dari Pengkalan Gawi, houseboat belayar jam 6 petang. Waktu ni view tasik cantik. Tambah pula sunset.
Kami menuju kem Sg. Saok. Perjalanan ambil masa 2 jam. Sambil rakam sunset, minum petang disediakan. Hirup kopi dan teh, makan cucur sambil berbual berkenalan sama rakan media, Zul KETENGAH dan Is KKLW, tauke houseboat dan krew lain. Angin sepoi-sepoi bahasa. Layan. Sedar-sedar dah gelap.
Santai berbual hal dunia menuju Sg. Saok. View cantik. Foto: Apis Joe
Houseboat bergerak secara cruise. Mungkin sekitar 15-20kmj. Yang pastinya, houseboat sangat stabil. Tiada lambungan ombak. Malah di tasik juga air tenang tak seperti laut.
Makanan disediakan memang sedap. Kalau ada yang tak boleh makan makanan tertentu, krew akan masak makanan yang anda mahukan. Lepas dinner, kami berbual-bual kosong dari hal kerja sampailah hal politik, hal ikan, hal misteri air tasik, itu ini begitu begini semualah sedar-sedar dah lewat malam. Minum lagi kopi disediakan. Sambil hirup sambil layan dingin malam. Syahdu.
Ada yang layan karaoke. Macam-macam jenis suara keluar. Paling popular dinyanyikan lagu rock kapak. Biasalah ramai dari zaman 80-an. Nasib baik tak hujan.
Lewat malam kami memancing ikan. Waktu 1-3 pagi banyak ikan baung. Kami tak bernasib baik. Seekor baung sahaja naik.
Bagi saya, aktiviti paling best atas houseboat ialah mandi dan tidur malam. Air pancut sejuk dan kuat. Betul-betul atas kepala. Mencurah deras. Malam hari pula cuaca sejuk dan tiada nyamuk. Tambah pula sunyi sepi. Berlabuh di kem sungai Saok, boleh dengar bunyi air terjun. Tingkap dibuka habis luas. Kalau rasa tak selesa, boleh labuhkan tirai. Letak je kepala terus tidur.
Menurut Haji Kamal pemilik houseboat ini, kos sebuah houseboat sekitar RM400,000. Ini houseboat kedua dimiliki. Banyak dugaan ditempuhi dalam bisnes ni, tapi dengan semangat cekal, Haji berazam beri yang terbaik kepada pelanggan. Itu kami nampak jelas pada layanan mesra dan baik.
Pakej 2H 1M, seorang RM250 dengan 20 orang minimum manakala 3H 2M RM400 seorang dengan 20 orang minimum. Maksimum houseboat seramai 30 orang. Ada juga houseboat lebih besar mampu muat hingga 80 orang.
Sepanjang trip anda akan dibawa ke spot menarik seperti Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok, Gua Bewah, Gua Taat, Taman Herba, Santuari Ikan Kelah, Taman Tropika, Taman Rama-rama, dan lain-lain bergantung pada pakej. Anda juga boleh berkayak dan terjun ke tasik namun mesti pakai vest sebab dalam.
Tasik Kenyir paling dalam sekitar 200m mungkin lebih bergantung pada musim hujan.
Santuari Ikan Kelah Selepas subuh, saya Ong dan Joe cuba dapatkan time lapse sunrise. Kami tak dapat rakam matahari namun cukup dapat lihat cahaya naik yang sangat cantik.
Houseboat bergerak ke Sg. Petang. Kami ke santuari Ikan Kelah Lubuk Kejor. Perjalanan sekitar 2 jam untuk ke sana dari Sg. Saok. Kalau naik bot laju dari pengkalan Gawi sekejap saja dalam 40 minit.
Di Sg. Petang, houseboat berlabuh di Pos Kawalan Santuari Kelah dan kami naik bot kecil dalam 10 minit ke bahagian dalam. Dari sini trekking sejauh 1.7km ke Lubuk Kejor. Trekking dalam 45 minit lalui jambatan gantung merentasi spot ikan kelah merah. View ni sangat ohsem.
Di Lubuk Kejor, dari atas dah nampak sungai yang penuh dengan ribuan ikan kelah! Seorang diberi 2 plastik palet ikan untuk diberi makan.
Kelah jinak. Ada sebesar lengan. Foto: Apis Joe
Kelah sini sangat jinak. Hanya lalu diatas boya terapung ikan dah berkerumun datang, macam tahu je nak diberi makan. Celup saja tangan, kelah dah mula sedut tangan. Kelah sedut makanan jadi tak bahaya langsung.
Ada kawasan yang ditanda boya, selepas boya air sangat dalam dan berwarna gelap sebab banyak daun mati terkumpul di dasar. Saya cuba berenang bahagian dalam memang dalam dan agak sukar berenang sebab ikan kelah berkerumun keliling!
Air sejuk dan gelagat kelah berebut palet jadi terapi stress. Kelah hidup di air bersih dan mengalir. Kelah sini paling banyak kelah hitam sekali sekala ada kelah merah. Ikan kelah sini tak bau hanyir. Mungkin sebab air bersih.
Kelah raja ikan air tawar kerana isi yang lemak sedap. Kelah hitam hidup sekilo cecah RM300 ke atas, manakala kelah merah hidup pula cecah RM1000 sekilo!
Santuari ni tutup 31 Oktober dan buka semula sekitar Mac setiap tahun. Ini bagi elakkan air deras dan berwarna teh tarik waktu tu. Kalau datang juga memang tak nampak ikan. Jadi rancang trip anda.
Taman Herba
Balik semula ke houseboat. Sambil lunch, houseboat bergerak ke Taman Herba.Terletak di Pulau Sah Kecil dengan luas 15.84 hektar, taman ini ada 26,000 pokok herba dari 230 spesis. Setiap pokok ditanda nama dan sangat padat dengan pokok herba.
Ada pondok kecil Pondok Harmoni, tempat herba dimasak. Kami diberi penerangan tentang tongkat ali, kacip fatimah dan mahkota dewa. Herba dimasak dalam pot tanah liat guna unggun kayu sebagai api bakar.
Air tongkat ali sangat kelat dan pahit, kacip fatimah pula macam teh cina dan mahkota dewa payau air masak.
Semua herba ini baik untuk kesihatan. Kalau nak result yang baik, perlu minum selalu.
Festival Kenyir 2017 Houseboat kembali ke Pengkalan Gawi dan berlabuh. Malamnya kami bantu hias houseboat bagi acara houseboat berhias. Bendera dan lampu dipasang. Houseboat jadi makin meriah.
Kemudian BBQ pula. Ikan siakap bakar, kambing bakar, dan lain-lain dihidangkan. Sambil makan, juri houseboat berhias datang dan join kami makan. Houseboat kami naiki dapat saguhati, tapi houseboat satu lagi milik Haji Kamal menang tempat pertama. Dapat RM3000. Masyukkk haji.
Di darat, persiapan Festival Kenyir 2017 sedang giat. Malam itu meriah dengan sound check lagu. Dah macam konsert. Lepas makan ada yang menonton movie, ada yang berbual, ada juga yang update gambar dan status di FB dan Insta. Line phone dah ada time ni. Tak kuat tapi OK la.
Pagi 14 September, Festival Kenyir dirasmi YAB Dato’ Seri Hj Ahmad Razif Abdul Rahman, MB Terengganu. Festival tahunan ni sasar 60,000 pengunjung. Festival berlangsung 3 hari. Lebih 30 aktiviti yang ada.
Ia anjuran KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah) sejak 2011 dan berjaya promosi Tasik Kenyir pada penduduk tempatan dan luar dengan aktiviti seperti Monsun Casting, International Triathlon dan banyak lagi.
2006, seramai 60,000 pengunjung, pada 2016 sahaja sudah 700,000 pengunjung ke Tasik Kenyir.
Tengahari itu, Pengerusi Besar KETENGAH, Tuan Haji Omar Ismail sudi luang masa bersama media di houseboat . Pelbagai soalan ditanya dan perbincangan santai dapat kami buat. Kemudian kami bersiap dan sedia untuk balik KL.
Gambar kenangan dengan Tuan Haji Omar Ismail, Haji Kamal, pegawai penting KETENGAH dan rakan media Foto: Apis Joe
Bagi yang sukakan memancing,nature, ikan kelah, dan houseboat Tasik Kenyir tempat yang sesuai bagi anda. Sure best lah!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Brunei Darussalam sememangnya satu negara yang sangat menarik untuk dilawati. Selain daripada faktor kedudukannya yang berdekatan dan berjiran dengan Malaysia, faktor budaya,, kesenian dan tempat makan makanan tempatan yang terdapat di sana juga antara sebab menarik mengapa anda perlu berkunjung ke Brunei.
Tapi berkunjung ke sana tanpa tahu tempat-tempat yang menarik untuk dilawati pun tak berbaloi juga. Jadi di sini saya kongsikan satu perkongsian itinerari dan info oleh Romi Zunaidi berkenaan tempat-tempat pelancongan menarik yang terdapat di Brunei untuk anda lawati.
Tempat-tempat yang beliau senaraikan cukup menarik, rugi kalau anda tak ambil sedikit input daripada apa yang dikongsikan di sini. Nah, tanpa buang masa, jom kita baca apa yang disampaikan oleh saudara Romi Zunaidi ini.
(Salah satu negara yang wajib anda lawati jika dalam misi travel ke semua negara-negara Asean. Inilah misi saya)
– Tiada bayaran dikenakan untuk mengunjungi muzium. Pengunjung yang mengunjungi Royal Regalia Museum dan Maritime Museum dikehendaki meletakkan barang peribadi di dalam locker yang disediakan. Tidak boleh mengambil gambar didalamnya kecuali di main lobby entrance manakala di Malay Technology Museum juga harus meletakkan barang peribadi di dalam locker yang disediakan tetapi anda boleh mengambil gambar di dalam muzium.
– Jika anda ingin merasa fast food terkenal dari Filipina boleh berkunjung ke Jolibee Restaurant. Ada banyak cawangan di Brunei dan semestinya halal. Di Malaysia yang saya tahu sudah ada di Kota Kinabalu.
– Pasar Gadong harus dimasukkan dalam perjalanan anda.Dengan harga makanan dan minimun serendah 1 Dollar anda dapat merasa pelbagai makanan dan minuman dari sini. Namanya dipanggil Gadong Night Market tetapi kalau anda berkunjung ke sini pada waktu petang pun sudah dibuka untuk pengunjung. Saya berkesempatan merasa Nasi Katok dengan hanya 1 Dollar. Antara menu favourite saya sewaktu di sini.
– Jangan lupa ke Kampung Ayer. Anda boleh menaiki bot return ke Kampung Ayer dengan 2 Dollar Brunei. Anda juga boleh mengambil pakej boat ride mengelilingi Kampung Ayer ataupun pakej mengelilingi Kampung Ayer + Mangroove Tour. Banyak pilihan disediakan.
Menariknya disini terdapat rumah, sekolah, klinik dan pelbagai kemudahan di Kampung Ayer yang terletak di atas sungai.
– Sebelum ke Brunei saya telah membaca perkongsian traveller lain tentang kurangnya motosikal disini ataupun ada yang tidak menjumpai langsung. Pengalaman saya pula sepanjang saya di Brunei saya tidak menjumpai satu motosikal pun disini. Ketika berbual dengan salah seorang DART driver, beliau mengatakan memang di Brunei agak sukar menjumpai motosikal. Beliau sendiri memiliki motosikal tetapi jarang dibawa keluar.
Buat pertama kali ini travel paling cepat saya habiskan selama 2Hari/1Malam kerana ada komitmen lain. Disarankan untuk lebih santai saya cadangkan anda boleh travel 3hari/2malam malah anda boleh masukkan sekali Jerudong Park ke dalam itinerary.
Sekian perkongsian serba sedikit dari saya. Harap bermanfaat untuk semua. ?
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Kalau berlibur di hujung minggu, pengalaman menonton filem di pawagam sering menjadi sebahagian daripada gaya hidup warga kota. Namun sebuah nama yang pernah menjadi...