Glamping aktiviti percutian unik dan menyeronokkan dengan menggabungkan konsep ‘glam’ dan ‘camping’ pastinya menjadi sangat menarik kalau disertai bersama keluarga atau rakan-rakan baik. Jika anda memang anak kota yang tidak biasa percutian ala dalam hutan, tetapi teringin untuk merasai suasana berkhemah, maka glamping adalah pilihan terbaik!
Tidak seperti berkhemah biasa yang memerlukan kita membina khemah sendiri, glam camping membolehkan anda terus masuk ke dalam khemah. Selain itu setiap khemah lengkap dengan pelbagai kemudahan tempat tidur selesa, makanan dan pengudaraan yang baik.
Pun begitu bukan semua kawasan perkhemahan atau glamping, mempunyai kemudahan dan kelengkapan sama. Lain tempat, lain kelebihannya dan juga segala aktiviti yang ditawarkan juga berbeza. Tetapi secara amnya, ia sangat mengujakan apa lagi jika anda dan keluarga ingin keluar dari kesibukan hiruk pikuk kota.
CHENGAL HILL RESORT
sumber Chengal Hill
Chengal Hill Resort ini terletak di kebun yang berkeluasan 5 ekar dan di kawasan berketinggian 900 meter dari aras laut. Suasana damai yang dingin ini bagikan berada di kawasan berpendingin hawa lebih-lebih lagi pada waktu malam dengan suhu 22 darjah dan ke bawah.Jadi jangan lupa bawa pakaian yang sesuai, agar tidak menggigil kesejukan terutama di malam hari.
Chengal Hill Resort menyediakan penginapan riverside chalet, dorm style chalet, water chalet, apachi, khemah camping dan glamping. Untuk aktiviti pula, anda boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik seperti memanah, ATV, menyewa 4WD untuk meneroka hutan di sekitar, berbasikal dan meredah hutan.
Alamat: Lot 8537 Kuala Lurah, Kampung Janda Baik, 28750 Pahang, Pahang
TANAH AINA
Sumber Tanah Aina
Keseronokan bermalam di Tanah Aina Fahad bukan sahaja kerana keindahan kawasan sekitarnya, tetapi juga kerana kesempurnaan kawasan resort ini yang direka bentuk dengan indah dan dalam kondisi yang sangat terjaga. Air terjun yang melatari suasana di sini amat menenangkan jiwa ditambah lagi dengan kawasan sekitarnya yang menghijau dengan flora. Antara penginapan yang jadi pilihan King Tent, Queen Tent dan Normal Tent, namun, khemah King dan Queen kelihatan lebih seperti kabin dan lebih selesa daripada khemah Normal.
Bila dah duduk di kawasan kelilingi alam flora, rugi kalau tidak mencuba aktiviti beriadah meredah hutan, bermandi-mandi di kawasan sungai sambil mengumpulkan kenangan. Kalau cerita soal makan, ini memang best. Bayangkan bersarapan di ruang di ruang makan di bawah pokok besar ditemani bunyi air sungai yang mengalir deras dan kicipan burung. Aduh.. pasti tak sedar makanan habis licin. Ternyata Tanah Aina Fahad adalah sebuah lokasi percutian yang cukup best dan berbaloi untuk dikunjungi.
Lokasi: Tanah Aina Fahad – Lot 1053, Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang
THE STICKS
Ads
sumber The Sticks
Kala berada di sini anda bakal menginap di khemah yang dipanggil Tendok. Wah bunyi macam exotic kan. Tendok adalah nama yang diberikan untuk penginapan-penginapan dan nama Tendok adalah gabungan perkataan ‘tent’ dengan pondok. Berlatarkan alam semulajadi, disini kita akan dapat merasai pengalaman sebenar bermain pondok-pondok bertemankan panorama indah kawasan sekitar.
Antara penginapan yang ditawarkan adalah rumah buluh yang terletak di bawah lindungan pokok, tendok di tepi sungai yang mana anda boleh melalui laluan khas untuk terus sahaja ke kawasan sungai dan banyak lagi penginapan lain yang yang boleh menjadi pilihan sekeluarga.
Lokasi : Lot 213 Jalan KKB – Fraser’s Hill, Kuala Kubu Baru, Selangor
SAILOR’S REST RESORT
sumber Sailor Rest Resort
Terletak dalam kawasan hutan Banjaran Titiwangsa dengan ketinggian 600 meter dari aras laut, sudah dapat dibayangkan kesegeran persekitaranya. Penginapan yang ditawarkan pula terdiri dari rumah 3 bilik, rumah bot, chalet moden, dan chalet kampung. Tenang damai dengan suasana perkampungan.
Sailor’s Rest Resort juga mempunyai taman yang cantik yang dipenuhi pokok-pokok hijau dan bunga-bungaan yang menyegarkan pandangan. Kalau kena musim buah-buahan, anda boleh makan buah-buahan segar terus daripada pokok manggis dan pokok durian yang terdapat di sini. Jadi pandai-pandailah pilih tarikh ya.
Lokasi: Lot 8592, Lorong Dato Panglima, Kg. Sg. Lurau, Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
Ads
SAUJANA JANDA BAIK HOMESTAY
Sumber Saujana Janda Baik Homestay
Saujana Janda Baik Homestay juga satu lagi tempat glamping yang bakal memberikan anda pengalaman bertemankan alam semulajadi yang best. Kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar membuatkan langit malamnya dapat memancarkan cahaya jelas daripada bintang-bintang dan bulan. Satu pemandangan yang sangat mempesonakan, jadi, jangan lupa bawa teleskop kalau ke sini.
Di samping stargazing, anda juga boleh mandi manda di sungai yang terletak bersebelahan dengan kawasan chalet di sini. Kalau nak lebih dekat dengan sungai ataupun di kawasan kegemaran anda yang lain, anda boleh menyewa khemah yang disediakan. Selain itu, untuk bersantai, anda boleh naik ke pondok di atas pokok untuk melihat pemandangan sekeliling ataupun bermain permainan papan yang disediakan sambil menikmati minum petang.
Lokasi: Lot 6989, Kampung Janda Baik, 28760 Bentong Pahang
KANOPI VILLA JANDA BAIK
sumber Kanopi Villa
Kanopi Villa Janda Baik ini terletak di dalam kawasan hutan hujan di kaki bukit Genting Highlands dan hanyalah 45 minit dari Kuala Lumpur.
Khemah-khemah yang didirikan di sini menghidangkan pemandangan indah kawasan gunung-ganang. Alangkah besnya bangun pagi dalam suasana yang segar dikelilingi keindahan alam semulajadi. Untuk aktiviti sepanjang penginapan pula, anda boleh menaiki ATV, memancing di kolam yang terletak bersebelahan dengan khemah, bermain permainan papan, berbasikal di trek-trek berdekatan ataupun trekking ke air terjun Bentong.
Ads
Bukan itu sahaja, Kanopi Villa Janda Baik ini juga terletak berdekatan dengan pelbagai tarikan menarik yang lain seperti Taman Jepun, Ladang Arnab, Taman Rusa, kereta kabel, kolam air panas, ladang strawberi dan bermacam lagi.
Lokasi: Lot 25929 Kg Janda Baik, off Genting Sempah, Bentong, Kampung Janda Baik, Pahang
TANJUNG INN
Sumber Aman Pix
Tanjung Inn adalah sebuah penginapan yang terletak berdekatan dengan kawasan pantai, lokasi pun dah cukup best, bagaimana pula dengan tempat menginap? Tanjung Inn menyediakan khemah-khemah yang agak simple tetapi cukup selesa. Khemah-khemah ini terletak berdekatan dengan kolam-kolam air.
Sekiranya anda sekeluarga menginap di sini, anda boleh meluangkan masa bersantai di taman yang indah di sekitar penginapan dan mengatur aktiviti melihat kunang-kunang di kawasan sungai berdekatan.
Lokasi: Jalan Cherating Lama, Kampung Cherating Lama, 26080 Cherating, Pahang
TIME CAPSUL RETREAT PAHANG
Sumber Capsule Retreat Pahang
Terletak di tengah-tengah Pekan Sungai Lembing, Time Kapsul Retreat Pahang menyediakan anda bilik-bilik tidur kapsul berbentuk silinder yang lengkap dengan katil bersaiz queen dengan pemandangan hutan simpan
Bergantung kepada bajet untuk penginapan, lagi mahal, lagi luas cermin di sekeliling bilik untuk anda menikmati keindahan flora di luar. Beberapa bilik turut dilengkapi dengan jakuzi. Bunyi begitu menarikkan. Jadi terpulang yang mana satu pilihan anda.
Lokasi: EB4 Belakang Sek Men, Sungai Lembing 26200
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Sering membaca perkongsian di group tentang perkhemahan di campsite membuatkan Ku Norsiah Ku Saidin teruja untuk membuat aktiviti sebegini.
Persiapan yang dibuat juga tak lama, tiga hari membeli kelengkapan secara online, meskipun ada yang masih tidak cukup, niat untuk camping diteruskan juga.
Memilih tapak perkhemahan di Pantai Merdeka, wanita ini cukup teruja, apa lagi minat yang baru itu turut mendapat sokongan daripada suami tercinta. menurutnya juga dia memilih tapak tersebut kerana lokasi dan fasiliti yang ada di situ lengkap dan terjamin keselamatan kerana berada di kawasan resort.
Daripada pembacaan dan pemerhatian di Family Camping Malaysia (FCM) wanita ini juga membuat cooler boxnya sendiri untuk menyimpan makanan bekalan sepanjang perkhemahan mereka selain rak yang dibuat sendiri oleh suaminya.
Seronok membaca apa yang dikongsikan, lebih-lebih lagi melihat gambar masakan yang dikongsikan sepanjang camping mereka.
First Time Camping, Pilih Pantai Merdeka. Seronok Nak Camping Lagi!
Salam perkenalan semua, first time kak Nor nak kongsi cerita kat group FCM…sebelum-sebelum ni dok jd CCTV saja
Tah mimpi apa dok tak dok tetiba mai semangat nak pi bercamping…ajak En. Heri dia pun onzz….apalagi dalam masa 3 hari pulun order kelengkapan berkhemah kat shopee…ada yang 2 hari order dah sampai dan ada jugak hat tak sampai-sampai lagi…makanya kami pi jugak walaupun tak cukup kelengkapan
Pertama Kali set up auto tent…fuhhh mudah sungguh no…sat saja siap
Walaupun jenis hat biasa-biasa saja tapi puas hati..tak berani nak beli hat kayangan lagi, nanti dah betoi-betoi serius baru upgred len…kerusi order 4 biji masa tu tak sampai lagi, so bawak tikaq getah ja dulu..pun ok pasai boleh dok bersila time makan. Rak gantung kuali tu En. Heri buat sendiri ….cooler box macam biasa kak Nor ambik idea dalam group ni ,diy sendiri jugak…jimatttt
Untuk pengalaman pertama ni kami pilih berkhemah di Pantai Merdeka sebab tau kat situ tempat lapang, bersih dan yang penting ada kelengkapan tandas, surau dan lain-lain…keselamatan pun terjamin sebab berkhemah dalam kawasan resort…Sewa tapak semalam depa ambik RM 30.(tak pasti harga ikut size khemah atau macam mana sebab kami sampai sana pun dah pukul 11+ malam. Kawasan pun cerah elok…ada lampu semua, pihak resort pun baguih, siap pesan apa-apa call depa pasai malam tu kami ja yang pi berkhemah
Ok…tak nak tulis karangan panjang-panjang nanti hampa cemuih….pendek cerita syok pacak khemah kat sini…view lawa, suasana tenang dengan alunan ombak di tepian pantai….hat paling seronok En. Heri la…siang malam lepaih gian memancing,
Kompom lepaih ni dok tunggu hari cuti ja nak pi pacak khemah
Bercuti antara perkara paling menarik bagi semua orang. Ia seakan satu terapi untuk merehatkan minda dan menghilangkan stres bekerja.
Ada orang cukup seronok bercuti. Melihat keindahan alam semulajadi ia bagaikan terapi. Bercuti juga dapat memperluaskan pengalaman hidup seseorang kerana kita akan menemui pelbagai gelagat manusia di persekitaran tempat bercuti. Paling seronok, bercuti juga membolehkan kita mencuba makanan baru dan belajar budaya setempat.
Bagi yang merancang short vocay bolehlah cuba-cuba ke Villa Renai Resort, Janda Baik. Resort ini baru dibuka tahun lalu dan alam semulajadinya sangat indah. Waktu malam, suasana sangat sejuk dan di pagi hari, cuacanya berkabus.
Menawarkan fasiliti seperti dua buah kolam renang, satu dewasa dan satu kanak-kanak, tempat bbq dan lain lagi, villa ini sesuai menjadi pilihan bagi keluarga yang ingin mengadakan hari keluarga kerana kemudahannya agak lengkap.
Deruan air sungai yang mengalir betul-betul di hadapan café memberikan ketenangan buat mereka yang menginap di sini.
Tapi apa yang menariknya, dari perkongsian di fb mereka, pihak Villa Renai Resort menawarkan penjualan buah durian Musang King dan durian Raub pada harga istimewa kepada pengunjung tempat ini.
Jadi kalau nak short vocay, bolehlah cuba di villa ini. Tak jauh pun dari Kuala Lumpur.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Rantau Panjang, Kelantan Syurga Makanan Dan Tempat Membeli-Belah Termurah!
Rantau Panjang merupakan sebuah pekan yang menjadi sempadan antara Malaysia dengan Thailand yang terletak di utara negeri Kelantan dalam kawasan jajahan Pasir Mas. Rantau Panjang berada 39 kilometer di barat daya bandar Kota Bharu dan juga terletak berhampiran dengan Sungai Golok, Thailand. Rantau Panjang turut dikenali sebagai Zon Bebas Cukai. Keistimewaan Rantau Panjang sebagai Zon Bebas Cukai ini telah menjadikannya sebagai destinasi pilihan kepada semua pengunjung yang ingin datang membeli belah.
Mengapa Rantau Panjang dikatakan sebagai tempat yang sangat sesuai untuk membeli-belah kerana para pengunjung mampu mendapatkan barangan yang berkualiti dengan harga yang murah dan berpatutan. Antara barangan yang boleh didapati di Rantau Panjang adalah seperti peralatan dapur, jersi, kasut sukan, pakaian berjenama, barangan kanak-kanak dan sebagainya. Walaupun kebanyakkan barangan yang dijual hanyalah gred copy ori tetapi percayalah kualiti barangan yang dibeli sama seperti barangan original dan berjenama.
Selain itu, pengunjung yang datang juga boleh mendapatkan makanan segera, makanan frozen, jeruk buah dan asam buah dengan harga yang sangat berbaloi. Bukan sahaja terkenal sebagai tempat membeli-belah yang berpatutan dan berbaloi, Rantau Panjang juga dikenali sebagai “Syurga Makanan” bagi semua pengunjung yang ingin mencuba makanan yang pelbagai dan murah. Terdapat beberapa tempat membeli-belah dan restoran yang wajib dikunjungi oleh pengunjung apabila sampai ke Rantau Panjang.
Antara tempat makan dan membeli-belah yang tersohor di Rantau Panjang dan sering mendapat sambutan hangat dari pengunjung yang datang ke Rantau Panjang ialah Restoran Dee Som Tam, Mee Celup Che Poh dan Pasar Rantau Panjang. Ketiga-tiga tempat tersebut sangat berbaloi untuk dikunjungi kerana makanan dan barangan yang dijual pastinya menjanjikan harga yang sangat terendah dan berpatutan kepada semua pengunjung yang datang ke Rantau Panjang.
Restoran Dee Som Tam
Restoran Dee Som Tam merupakan restoran yang menyediakan menu som tam yang tersedap dan murah di Rantau Panjang. Menariknya, terdapat pelbagai jenis menu som tam yang disedikan di Restoran Dee Som Tam dan pastinya tidak akan dijumpai di mana-mana restoran lain, antaranya ialah Som tam Ketam, Som tam Kerang, Som tam Mangga, Som tam Betik, Som tam Thad, Som tam Ayam Bakar, Som tam Jagung (Telur Masin), Som tam Jagung (Seafood), Som tam Laksa, Som tam Buah dan Som tam Budu.
Restoran Dee Som Tam dan Menu Som Tam Jagung Seafood
Kesemua menu som tam tersebut mempunyai kelainan rasa yang tersendir, oleh itu pengunjung boleh membuat pilihan berdasarkan cita rasa masing-masing. Bukan itu sahaja, Restoran Dee Som Tam turut menyediakan pelbagai jenis menu makanan yang lain dan pastinya memenuhi standard harga yang murah dan berpatutan. Oleh itu, Restoran Dee Som Tam sangat sesuai kepada para pengunjung yang ingin mencuba som tam yang sedap dan terbaik.
Alamat : Jln Sekolah Cina, Kampung Rantau Panjang, 17200 Rantau Panjang,
Kelantan
Waktu Operasi : 12.30 tghri – 7.00 ptg
Mee Celup Che Poh
Apabila menyebut tentang menu yang tersohor di Rantau Panjang, pastinya menu utama yang terlintas di fikiran para pengunjung ialah Mee Celup. Seiring namanya, Mee Celup Che Poh merupakan tempat yang terbaik untuk dikunjungi bagi merekan yang ingin merasai sendiri kesedapan mee celup yang tiada tandinganya. Kehebatan Mee Celup Che Poh telah dikenali sejak tahun 1992 lagi.
Kebanyakan pengunjung tempatan yang datang ke Rantau Panjang pastinya akan mengunjungi warung Mee Celup Che Poh kerana sangat berpuas hati dengan menu mee celup yang disediakan di warung tersebut. Ini kerana semangkuk mee celup yang disajikan dipenuhi dengan hirisan daging yang lembut, sayuran serta telur rebus yang menambahkan lagi kelazatan mee celup Che Poh.
Tambahan pula, terdapat pelbagai jenis minuman yang begitu sedap dan menarik yang turut disediakan di warung Mee Celup Che Poh. Oleh itu, Mee Celup Che Poh semestinya menjadi pilihan utama yang wajib dikunjungi oleh mereka yang sangat meminati menu mee celup.
Alamat : Berhadapan Masjid Kg. Lubok Gong, 17200 Rantau Panjang, Kelantan Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 12:00 tengahari hingga 7:00 malam setiap hari
Pasar Besar Rantau Panjang
Pasar Rantau Panjang merupakan destinasi yang sangat sesuai kepada pengunjung yang ingin membeli-belah dengan harga yang berpatutan. Hal ini kerana pasar Rantau Panjang dikenali sebagai kawasan Zon Bebas Cukai. Barang-barang yang dijual sekitar pasar Rantau Panjang mempunyai pelbagai pilihan serta memenuhi harga yang diingini para pembeli.
Walaupun di tempat lain turut menjual barangan yang sama seperti di Pasar Besar Rantau Panjang, namun perbezaan harga barangan yang ditawarkan oleh penjual di Pasar Besar Rantau Panjang sangat kompetatif dan murah jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Menariknya tentang Pasar Besar Rantau Panjang ini kerana bilangan kedai dan pilihan barangan di sini boleh dikatakan lebih banyak berbanding kawasan Zon Bebas Cukai yang lain.
Antara barangan yang sering menjadi tumpuan oleh pengunjung yang datang ke Pasar Besar Rantau Panjang ini ialah jersi, peralatan dapur, makanan segera dan asam buah. Boleh dikatakan kesemua kedai yang terdapat di Pasar Besar Rantau Panjang menjual kesemua barangan yang sama. Yang paling menariknya Pasar Besar Rantau Panjang ini, pengunjung boleh melakukan proses tawar-menawar dengan penjual bagi mendapatkan potongan harga bagi barang yang ingin dibeli.
Oleh itu, pengunjung yang datang ke Rantau Panjang sangat digalakkan untuk singgah ke Pasar Besar Rantau Panjang untuk membeli-belah kerana harga yang ditawarkan bagi setiap barangan sangat-sangat berpatutan.
Kesimpulannya, Rantau Panjang merupakan destinasi yang sesuai untuk semua pengunjung datang membeli-belah dan mengisi perut mereka dengan kepelbagaian makanan yang terdapat di kawasan Rantau Panjang.
Pengunjung yang datang ke Rantau Panjang juga tidak perlu memikirkan harga barang dan makanan yang mahal kerana setiap barangan dan harga untuk setiap makanan yang dibeli di Rantau Panjang sangatlah murah dan berpatutan.
Oleh itu, semua pengunjung dari luar negeri disarankan untuk singgah ke Rantau Panjang bagi merasai sendiri pengalaman membeli-belah dan menikmati makanan dengan kadar harga yang sangat berbaloi
Kredit: Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Al-Amin Bin Zulkafli, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...