•  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Hotel Theme Park yang dahulunya dikenali sebagai Hotel Highlands merupakan hotel tertua dibina di Resorts World Genting pada tahun 1970-an. Namanya telah ditukar menjadi Hotel Theme Park selepas taman tema dibina bersebelahan dengannya.

Sejak ia ditutup pada tahun 2013, Hotel Theme Park  melalui proses menaik taraf supaya ia boleh membuat kemunculan semula dan memberikan pengalaman baharu kepada para tetamu yang dahagakan keseronokan.

Hotel tersebut kini dikenali sebagai Hotel On The Park bersesuaian dengan Taman Tema Twentieth Century Fox World yang pertama di dunia dibina bersebelahannya. Ia memiliki rekaan struktur lama, berinspirasi bentuk kotak, berkonsep retro dan bercirikan reka bentuk industri.

“Kami inginkan sesuatu yang lebih menarik, baharu dan berbeza,” kata Dato Edward Holloway, Naib Presiden Kanan Operasi Hotel, Resorts World Genting.

Pihak resort berusaha mencari jalan bagi membolehkan lebih ramai tetamu menginap, tanpa melibatkan sebarang perubahan pada struktur hotel dan masih mengekalkan jumlah bilik yang sama iaitu sebanyak 448. Kawasan lobi seluas 8,000 kaki persegi dihiasi dengan tiang replika cawan-cawan teh gergasi. Kerusi gergasi turut disediakan untuk para tetamu duduk ketika menunggu giliran mendaftar masuk.

Tetamu juga berpeluang merasai sendiri pengalaman menakjubkan ketika  berada di dalam cermin berilusi mirip cerita klasik Lewis Carrol – Alice In Wonderland. Tetamu pasti tertarik dengan beberapa keping cermin berwarna-warni yang memberikan kesan cahaya spektrum menarik ketika melaluinya.

Bertemakan warna hijau dan bintik polka serta  lukisan abstrak telur Easter, tandas awam Hotel On The Park kelihatan lebih menarik dan unik. Tanda arah sekitar kawasan hotel semuanya menggunakan tulisan tangan. Terdapat seni lukisan bergaris dengan pelbagai imej menarik serta karakter kartun di sekitar kawasan hotel.

Bilik tetamu

Koridor yang menghubungkan kedua-dua sayap hotel turut dilukis dengan permainan ting ting bagi membolehkan kanak-kanak bermain dengannya. Limpahan cahaya lampu ilusi berwarna-warni turut menghiasi ruangan koridor. Nombor-nombor bilik pula dicat tangan di atas lantai di hadapan setiap pintu. Sebelum ini setiap bilik hanya boleh memuatkan antara dua hingga tiga orang tetamu pada satu-satu masa. Bagi menampung jumlah tetamu yang dijangka meningkat apabila Taman Tema Twentieth Century Fox World dibuka kelak, pihak Resorts World Genting menggandakan jumlah tetamu yang bakal menginap di dalam satu bilik dengan menjadikan katil sebagai ciri utama.

Kebanyakan bilik dilengkapi katil gaya tatami, gabungan dua katil kelamin yang mampu menampung sehingga empat orang tetamu. Katil bertingkat bersaiz kelamin juga disediakan bagi  membolehkan seramai enam tetamu berada di dalam satu bilik.  Katil  bertingkat direka untuk menempatkan kanak-kanak di bahagian atas supaya membolehkan ibu bapa berehat tanpa gangguan anak-anak.

Bahagian bawah  katil bertingkat turut berfungsi sebagai ruang penyimpanan. Ruang di bahagian ini boleh digunakan untuk menyimpan bagasi. Terdapat juga sebuah peti besi disediakan dalam ruang laci. Pakaian pula boleh digantung pada tombol-tombol disediakan di atas lukisan almari.

Televisyen pula digantung pada dinding dihiasi karya seni membuatkan ia seolah-olah berada di dalam kabinet TV. Bagi menggantikan langsir mahal dan berat, bidai gelap dengan lukisan tangan bercorak berwarna putih digunakan untuk satu karya seni asli pada setiap bilik.

Terdapat juga empat suit berbulan madu disediakan di hotel ini. Ia terletak di bahagian sayap menghadap kawasan lembah Genting yang menawarkan panorama indah hutan gunung semulajadi. Kesemua suit tersebut direka untuk memberikan empat tahap romantis sama ada untuk memikat si gadis, melamar, perkahwinan dan berbulan madu. Kesemuanya memiliki rekaan dekorasi unik, bergaya dan perhiasan tersendiri.

Terdapat sebuah outlet makanan dan minuman pantas yang mesra keluarga disediakan di kawasan lobi iaitu Eatopia. Ia menawarkan beberapa menu menarik termasuk pelbagai pilihan roti, tortilla, pita, pasta, nasi lemak, sushi dan minuman sejuk serta panas.

Ternyata menginap di hotel ini memberi pengalaman baru buat anda sekeluarga ditemani suasana sejuk di tanah tinggi memberi keselesaan yang berpanjangan.

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: