
Malaysia sememangnya kaya dengan alam yang indah dan permai. Dikelilingi pulau-pulau nan membiru selain flora dan fauna di hutan yang masih terjaga rapi, sememangnya kita cukup bertuah lahir di bumi ini.
Salah satu daya tarikan tentunya di Pulau Tioman.Pulau kecil ini terletak di negeri Pahang. Ianya terletak sejauh 32km dari pantai barat negeri Pahang dan berukuran 20km panjang serta 12km lebar.
Sebahagian besar pulau ini terdiri daripada hutan tebal dan di dalam lautannya kaya dengan khazanah laut terumbu karang yang menjadikan Pulau Tioman sebagai lokasi popular kepada penyelam serta mereka yang meminati aktiviti snorkeling.
Untuk ke pulau ini, korang boleh masuk melalui dua jeti iaitu Jeti Mersing, Johor dan juga di Jeti Tanjung Gemuk, Pahang dengan menaiki bot atau feri. Kalau nak travel lebih rare, boleh guna pengangkutan udara di mana lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura merupakan antara pilihan akses untuk ke sini.
Di sini, ada empat kampung utama. Pertamanya, Kampung Tekek yang terletak di bahagian utara pulau dan terbesar serta ramai penduduknya. Selain Kampung Tekek, terdapat juga Kampung Juara, Kampung Salang dan Kampung Air Batang.
Sekitar tahun 70an, TIME Magazine pernah menobatkan Pulau ini sebagai salah satu daripada pulau tercantik di dunia.
**media[374436]*
Antara aktiviti popular di sini tentulah scuba diving dan snorkling. Yang pernah cuba pasti rindu nak menyelam kembali dan bagi yang bercadang nak mencuba kali pertama, boleh hubungi team penyelam @caligulagila atau di FB Danial Gulagila.
Nak diving/try out diving boleh contact @bnj_diving_centre atau email @info@tiomandiveresort.com
Paling awesome, boleh snap gambar cantik-cantik di dasar laut.
@caligulagila
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
9 Lokasi Sarat Aktiviti Pelancongan Eko Paling Best Di Selangor

Isi Kandungan
ToggleSektor pelancongan eko ialah antara segmentasi pelancongan yang paling menerima sambutan di Negeri Selangor kerana keunikan alam semulajadi di Negeri ini. Dengan pelbagai aktiviti pelancongan eko yang menarik dan cukup mengujakan di Negeri ini, apa kata anda luangkan masa senggang anda kelak dengan menikmati dan menjalani aktiviti luar di cadangan lokasi seperti berikut:
1) FOREST RESEARCH INSTITUTE MALAYSIA (FRIM), KEPONG

Antara tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong. Dengan keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang.
Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM5 dan tambahan RM5 akan dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar. Satu fakta menarik – FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan, kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan hutan dengan suasana yang nyaman dan tenang yang boleh dilawati pengunjung.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi: FRIM (03-62797000 atau 03-62797575).
2) TAMAN EKO RIMBA KANCHING

Taman Eko Rimba Kanching merupakan tempat aktiviti pelancongan eko yang wajib dilawati di Negeri Selagor. Tempat ini mempunyai suasana air terjun yang cantik untuk bergambar dengan laluan pendakian yang mencabar.
Ini kerana Sungai Kanching mempunyai 7 lapisan air terjun setinggi 208-meter yang mana semakin tinggi dakian, semakin sukar perjalanan untuk mendaki. Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati suasana alam semula jadi sambil berkelah. Bayaran masuk adalah RM1 (dengan MyCard) pada hari biasa, RM2 (dengan MyCard) pada hari minggu dan RM5 jika tanpa MyCard.
Untuk maklumat lanjut, layari www.selangor.travel atau hubungi 03-55132000.
3) SKYTREX SUNGAI CHONGKAK, HULU LANGAT

Dikenali dengan “Malaysia First Flying Fox Park”, tempat ini mempunyai elemen flying fox yang lebih panjang berbanding cawangan lain di Langkawi dan Melaka. Di samping itu, Skytrex Sungai Chongkak juga dikelilingi dengan kehijauan hutan serta aliran sungai di bawah laluan rintangan.
Terdapat 3 pakej yang disediakan untuk pengunjung di mana setiap pakej mempunyai 25 halangan berbeza dan mengambil masa sejam untuk dilengkapkan. Bayaran masuk ke Skytrex Sungai Chongkak adalah dalam lingkungan RM50 hingga RM130 mengikut pakej yang dipilih.
Untuk maklumat lanjut, layari www.skytrex-adventure.org atau hubungi +6013 276 9841.
4) BUKIT BROGA, HULU LANGAT

Bukit Broga merupakan tempat yang paling sesuai untuk mendaki bagi semua golongan umur kerana perjalanan dakian yang kurang mencabar dan mudah. Bukit yang hanya berketinggian 400-meter dari paras laut ini mengambil masa sejam untuk sampai ke puncak. Apa yang menarik, di puncak bukit ini dipenuhi dengan kehijauan lalang. Dengan gabungan rumput lalang dan pemandangan yang cantik, bergambar di puncak Bukit Broga amat sesuai untuk dijadikan kenangan.
Selain itu, terdapat juga gerai yang menjual air kelapa di puncak bukit untuk pendaki menikmati pemandangan sambal melepaskan dahaga. Bayaran serendah RM1 dikenakan untuk mendaki bukit ini. Satu fakta menarik, pendakian Bukit Broga sebanyak 10 kali adalah bersamaan dengan pendakian ke Gunung Kinabalu.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mpkj.gov.my atau hubungi 03-87377899 / 03-87371789.
5) WHITE WATER RAFTING, HULU SELANGOR

Terletak di Kuala Kubu Bharu, aktiviti white water rafting ini amat menyeronokkan bagi yang ingin mencuba aktiviti air lasak di sungai sepanjang 8km. Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di Sungai Selangor. Aktiviti berakit ini sangat sesuai dilakukan secara berseorangan, serta bersama pasangan, keluarga dan kumpulan dari semua peringkat umur dari 8 hingga 88 tahun, menjadikan aktiviti ini ideal di Malaysia. Kadar bayaran dianggarkan dari RM199 hingga RM800 dengan penyertaan minimum seramai 2 orang.
Untuk maklumat lanjut, layari www.malaysia-whitewater-rafting.com atau hubungi +6012- 4653307.
6) WATER TUBING, HULU SELANGOR

Water Tubing adalah salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di pekan Kuala Kubu Bharu selain white water rafting. Aktiviti tubing ini menyeronokkan lebih-lebih lagi dilakukan bersama rakan-rakan kerana ia tidak memerlukan dayung, dan hanya perlu mengikuti arus sungai.
Sekiranya arus kuat, maka kelajuan tiub akan bertambah laju. Jika sebaliknya, peserta perlu menolak air sungai dengan menggunakan tangan untuk bergerak ke hadapan dengan lebih laju. Anggaran harga untuk melakukan aktiviti tubing adalah RM30.
Untuk maklumat lanjut, sila e-mel ke rentasadventures@gmail.com atau hubungi 011-11414674.
7) TAMAN ALAM KUALA SELANGOR

Taman Alam Kuala Selangor merupakan sebuah taman semula jadi yang dikelilingi dengan hutan paya bakau yang menarik. Ia juga mempunyai laluan hampir 4-kilometer untuk pengunjung selusuri dan menikmati persekitaran alam.
Bagi penggemar burung, anda boleh ke menara tinjau yang disediakan untuk melihat dan mengambil gambar lebih kurang 150 jenis spesis burung dari serata dunia termasuk burung migrasi dari negara Siberia dan Rusia. Pengunjung juga boleh bergambar di kawasan paya bakau kerana susunan pokok-pokok yang cantik di sana. Selain itu, bayaran sebanyak RM4 akan dikenakan untuk orang dewasa dan RM1 untuk pengunjung di bawah 16 tahun.
Untuk maklumat lanjut, layari www.kuala-selangor.com atau hubungi 03-32892294.
8) 4X4 ADVENTURE TERATAK RIVERVIEW, HULU SELANGOR

Apa kata anda meredahi hutan dengan menaiki kenderaan jenis 4×4 yang menyeronokkan dan mencabar daripada lawatan biasa di bandar. Kenderaan jenis 4×4 yang disediakan akan menjelajah melalui jalan hutan yang kehijauan terus ke kawasan kampung-kampung tradisional, ladang buah-buahan, seberang sungai, kawasan paya dan batu-bata serta air terjun.
Selain itu, pengunjung boleh berkelah dan berenang di sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Lingkungan harga untuk merasai pengalaman pengembaraan dengan kenderaan jenis 4×4 ini adalah mengikut kepada permintaan dan itinerari yang diinginkan oleh pengunjung dengan mininum 6 orang peserta.
Untuk maklumat lanjut, layari www.teratakriverview.blogspot.com atau hungi +6012-5653397.
9) PARAGLIDING (BUKIT JUGRA, KUALA LANGAT & BUKIT BATU PAHAT, HULU SELANGOR)

Anda boleh terokai bandar Jugra dan Batu Pahat dan menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dari puncak bukit dengan melakukan aktiviti paragliding yang disediakan di Bukit Jugra, Kuala Langat dan juga Bukit Batu Pahat, Hulu Selangor.
Dengan ketinggian 400 kaki dari paras laut, dua tempat popular ini wajib dikunjungi bagi sesiapa yang gemarkan aktiviti mencabar dan ingin mencuba pengalaman terbang di udara. Masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti paragliding ini adalah pada bulan Mac hingga September dan bayaran dikenakan untuk melakukan aktiviti ini dianggarkan berjumlah RM320 seorang.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mdkl.gov.my atau hubungi 03-31803694 / www.mdhs.gov.com atau hubungi 03-60641235.
Negeri Selangor mempunyai banyak tempat pelancongan eko yang menarik bagi penggemar alam semulajadi. Namun, kunjungan ke lokasi-lokasi yang dinyatakan, serta lokasi alam semulajadi yang lain perlu diterapkan dengan nilai tanggungjawab terhadap faktor kebersihan.
Selain itu, pihak Tourism Selangor menyarankan agar para pelancong sentiasa berjaga-jaga dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan supaya rantaian jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tarikan Taman Eko Rimba Kledang Saiong Yang Wargamaya Perlu Tahu Sebelum Datang Ke Sana

Anda tahu tak Taman Eko Rimba Kledang Saiong? Kalau tanya pada diorang yang tinggal dekat Ipoh, mungkin tahu lah kan Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni dekat mana, sebab taman eko rimba dekat je dengan ibu negeri Perak tu.
Ada orang pernah tanya pada Libur, apa lagi tempat-tempat yang best nak jalan-jalan dekat Ipoh. Yela, Ipoh memang dah banyak produk-produk pelancongan yang menarik tapi diorang nak cari satu tempat yang boleh lepak dalam sehari dua, mandi sungai, bbq, main gitar sambil nyanyi-nyanyi. Ala, tempat yang boleh buat short-vacay, dapat dalam semalam pun jadi!
Jawapan Libur, ada! Memang ada satu tempat yang menarik kalau korang nak buat aktiviti-aktiviti macam tu di Ipoh dan tempatnya – Taman Eko Rimba Kledang Saiong lah! Menarik tempat ni dan kita perlu mempopularkan tempat-tempat ni untuk manfaat kesejahteraan kawan-kawan travel kita mencari lokasi short-escape.
Okay, meh Libur sharekan dekat korang sikit benda-benda menarik yang ada dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni. Tempat ni, terletak di Daerah Kinta dan berkeluasan lebih kurang dalam 2,188 hektar. Tak jauh pun dari bandar Ipoh, lebih kurang dalam 5 kilometer je nak pergi. Sebab tu, Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni popular untuk yang tinggal sekitar Ipoh.
Jarak perjalanan 5 kilometer, berapa minit sangat la nak drive kereta tu. Kalau korang jenis yang bawa kereta-kereta mahal, jangan risau kereta korang rosak. Nama je Taman Eko Rimba Kledang Saiong tapi jalan raya yang menghubungkan tempat ni dengan jalan besar cukup selesa – Myvi pun lepas.
Boleh la bawa family atau kawan-kawan korang yang nak cuti sekejap-sekejap dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni tapi ada sikit la bayaran yang dikenakan. Dulu percuma, sekarang je kena bayar dalam RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Pelancong asing RM5. Okay la, tak adalah mahal sangat nak masukkan?
Bayaran RM2 paling mahal tu pun, kalau korang nak tahu, kemudahan asas yang disediakan untuk pengunjung pun berbaloi tau. Cerita betul ni, bukan cerita berbayar – jangan sangka Libur buat promotion pulak dekat tempat ni. Tapi memang okay pun fasilitis yang diorang siapkan dekat sini, haha. Antaranya tempat letak kereta, tandas, tempat persalinan, tempat BBQ, kafeteria, laluan pejalan kaki, trek berbasikal, tapak berkhemah, pondok wakaf, surau serta papan tanda informasi.
Tarikan yang ramai kata berbaloi untuk datang adalah Taman Nepenthes atau Taman Periuk Kera. ada lebih kurang 77 spesis periuk kera yang ada dekat taman ni. Banyaknya? Kenapa banyak sangat? Sebabnya, Taman Nepenthes ini adalah tempat pemuliharaan dan pemeliharaan spesis-spesis periuk kera yang ada di negara kita. Kalau tak ada tempat ni, habis la cucu cicit kita tak dapat tengok periuk kera dah. Dapat tengok dekat YouTube je nanti.
Kalau korang nak masuk ke Taman Nepenthes ni, ada cukai pintu korang kena bayar. RM5 pukul rata untuk semua orang dan RM2 untuk pelajar atau budak-budak sekolah. Okay what? Diorang jaga cantik kot tempat ni. Bagi muka sikit la untuk diorang jana ekonomi diorang sikit. Hehehe. Tapi kalau korang tanya Libur, Libur masuk taman ni bila ada mak ikut sekali je. Kalau tak ada, hehehe kitorg lepak luar jela.
Okay, kita masuk balik cerita Taman Eko Rimba Kledang Saiong tadi. Aktiviti – kalau korang nak lepak bermalam dekat sini, Libur cadangkan korang camping sebab ada tapak khemah disediakan untuk berkhemah. Ada satu kawasan lapang yang boleh muat lebih kurang 100 orang nak camping. Kalau korang pergi dalam tiga, empat orang satu khemah, best sangat la.
Korang pernah camping dalam hutan tak? Kalau tak pernah, pengalaman tu korang kena cuba sebelum terlewat usia dah nak try. Perasaan camping dalam hutan ni memang syiok. Bunyi unggas, bunyi pokok, sejuk, selesa. Semua ada! Lagi-lagi pagi lepas subuh tu korang jangan tidur. Bunyi burung memang best kalau korang dengar, sambil-sambil langit membiru matahari nak sampai. Syahduu beb..
Cumanya korang kena tahu satu benda penting ni, kalau korang nak camping dekat sini, korang kena minta kebenaran daripada Jabatan Hutan Daerah Kinta/Manjung dulu. Ini no telefon diorang, 05-3661 228. Korang kena minta izin dulu, kalau tak tiba-tiba Ranjer hutan tengok ada orang camping tak tentu pasal, kena tembak dengan senapang gajah. Hehehe tak ada lah, gurau je. Tapi memang prosedur nak camping kat sini, korang kena roger Jabatan Hutan Daerah Kinta/Manjung dulu.
Selain khemah, apa lagi yang korang boleh buat adalah trekking dekat bukit dalam kawasan Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni dan berbasikal. Berbasikal ni kalau korang ride dengan anak-anak – the best bonding time ever within your family! Tak tipu. Mesti korang akan jadi the best parent untuk anak-anak korang.
Ada juga sungai dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni. Boleh la nak mandi sungai dekat sini sambil-sambil berkelah, sambil bbq. Sebut pasal bbq, Libur ada sebut tak dekat sini ada tempat bbq? Dekat sini ada tempat bbq tau! Korang bawa je peralatan apa yang ada, datang sini buat bakar-bakar. Pun layan tau untuk release tension.
Satu pantang larang yang korang kena tahu bila datang dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni, korang tak boleh nak petik, bawa balik sebarangan pokok yang ada dekat sini. Bukan ada hantu ikut balik ke apa, tapi memang undang-undang tak membenarkan korang berbuat macam tu. Come on, jagalah alam sekitar sikit. Untuk keselesaan orang lain juga nanti kan? Hehe. Lagi satu yang korang tak boleh buat adalah memancing. It’s a big no-no bila datang ke Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni sebab diorang nak jaga populasi hidupan air dekat sini.
Info best untuk bakal mempelai yang nak melangsungkan perkahwinan, tak nak try ke buat majlis korang dekat sini? Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni boleh diadakan majlis perkahwinan. Class kau jah kalau kahwin dekat sini, kahwin dalam hutan, gitteww.. Makcik jiran sebelah rumah nanti pun mesti soksek-soksek cerita pasal kau kawin dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong. Hahaha!
Okey lah. Cukup setakat tu je Libur bercerita ni. Nanti kalau ada cerita lain dan tempat-tempat lain, Libur kongsikan lagi dekat korang semua. Kalau ada yang nak ke Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni roger-roger la ya! Selamat bercuti!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kempen Tourism Selangor Sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 Diiktiraf UNWTO

Hari Pelancongan Sedunia, yang disambut setiap tahun pada 27 September, adalah hari sambutan peringkat global dengan visi memupuk kesedaran masyarakat dunia mengenai nilai sosial, budaya, politik, ekonomi pelancongan dan sumbangan yang dapat dilaksanakan oleh sektor ini dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari.
Untuk tahun 2021, Hari Pelancongan Sedunia mengambil tema ‘Pelancongan untuk Pertumbuhan Inklusif’ yang menekankan kesepaduan komuniti industri dalam membangunkan pertumbuhan industri pelancongan khususnya selepas ianya amat terkesan oleh penularan wabak Covid-19.
Dalam menyokong inisiatif Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTWO), pihak Tourism Selangor sedang giat menggerakkan Kempen Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 yang bermula dari 20 September hingga 8 Oktober 2021 di landasan digital dan laman media sosial rasmi Tourism Selangor; Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok dan saluran YouTube.

Pelbagai pengisian Kempen telah dirancang seperti penganjuran sesi Live-Talk edisi khas, Webinar, Pusing Selangor Dulu Virtual Tour, Focus Tourism Talk, Program CSR dan juga Tiktok Live. Apa yang lebih membanggakan, perancangan dan pengisian Kempen tersebut juga telah disenaraikan di laman sesawang rasmi UNWTO.
Pihak Tourism Selangor pada Isnin telah melancarkan Kempen Tourism Selangor sempena Hari Pelancongan Sedunia Tourism Selangor 2021 menerusi sesi Live-Talk edisi khas Hari Pelancongan Sedunia, yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Tourism Selangor, bersama tetamu undangan, Professor Amran Hamzah, Profesor Perancangan Pelancongan di Universiti Teknologi Malaysia.

Beliau dalam sesi yang sama berkata, “Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 sangat penting semasa fasa pemulihan industri pelancongan selepas pandemik Covid-19. Sambutan ini akan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan industri pelancongan terhadap sektor sosial, budaya, politik dan ekonomi”.
Tambah beliau, “Pihak Tourism Selangor juga memainkan peranan penting dalam menghubungkan serta bekerjasama dengan syarikat digitalisasi dan teknologi dalam mendorong aktiviti promosi moden selain daripada menyokong dan memberi bantuan kepada penggiat industri pelancongan”.

Manakala, Y.B. Tuan Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor, dalam ucapan perasmian Kempen Tourism Selangor Hari Pelancongan Sedunia 2021 berkata, “Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak Tourism Selangor kerana menyokong agenda UNWTO sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021.
Saya berharap penggiat industri pelancongan Negeri Selangor akan terus gigih dan berinovasi dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu demi kepentingan industri. Saya berharap orang ramai akan terus menyokong industri pelancongan di Negeri Selangor, terutamanya dalam menangani impak wabak Covid-19”.

Dalam kenyataan lain, Tuan Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif, Tourism Selangor berkata, “Pihak Tourism Selangor meraikan sambutan Hari Pelancongan Sedunia menerusi landasan media sosial dan digital dengan perkongsian dan penghasilan bahan promosi, siri artikel, video interaktif dan beberapa pengisian Kempen yang dijalankan dalam usaha bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan sektor industri pelancongan, khusuanya dalam pemulihan dan pertumbuhan ekonomi Negara”.
Sebagai orang awam, anda juga tidak terkecuali dalam bersama-sama meraikan hari istimewa ini bersama pihak industri. Anda boleh pamerkan sokongan terhadap sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 dengan berkongsi gambar percutian anda yang lepas khususnya di Negeri Selangor di laman media sosial anda. Anda juga boleh memuat naik gambar-gambar pelancongan anda di sekitar Negeri ini dengan menyertakan tanda pagar atau hashtag #PusingSelangorDulu di mana-mana akaun sosial media termasuk Instagram, Twitter dan Facebook.
Selain itu, anda boleh kongsikan hantaran yang dimuat-naik oleh pihak Tourism Selangor sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 seperti seleksi poster, infografik, video dan penghasilan kreatif. Anda juga boleh merancang perjalanan percutian anda ke Negeri Selangor pada suatu masa kelak, dan jangan lupa untuk menyokong pengusaha Industri kecil Sederhana (IKS) atau peniaga kecil semasa kunjungan anda ke Negeri ini nanti. Anda boleh membeli barangan tempatan seperti produk kraf tangan, makan di kedai makan milik pemilik tempatan dan juga mengupah pemandu pelancong tempatan untuk perjalanan anda.
Untuk terus mendapatkan inspirasi dan maklumat berkaitan tempat-tempat pelancongan menarik di sekitar Negeri Selangor, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel atau ikuti perkembangan industri pelancongan Negeri Selangor melalui akaun rasmi media sosial Tourism Selangor di laman Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn dan juga saluran Youtube.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI