Untuk perancangan cuti hujung tahun nanti, mungkin kebanyakan daripada kita sudah pun merancang tarikh percutian untuk sepanjang tahun ini lebih awal selalunya 6 bulan sebelum. Ada yang sudah menempah tiket percutian atau sekadar mencari-cari lokasi terbaru untuk diterokai bersama keluarga, sahabat handai mahupun insan tersayang.
Jika masih tertanya-tanya apakah lokasi terbaik untuk dikunjungi ke luar negara pada hujung tahun ini, Libur cadangkan destinasi percutian sepanjang hayat terbaik buat anda untuk dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup sebelum menutup mata.
1. Fenomena Aurora Tasik Myvatn, Iceland
Bagi yang suka kepada alam sekitar, apa kata anda cuba kelainan percutian pada kali ini dengan berkunjung ke Tasik Myvatn, Iceland. Aurora merupakan fenomena alam yang terjadi di ruang atmosfera bumi di bahagian Kutub Utara. Ia terhasil daripada interaksi di antara medan magnetik bumi dengan partikel-partikel daripada pancaran matahari.
Cahaya yang biasa terhasil adalah bewarna hijau, merah, biru dan ungu. Jadikan kenangan melihat fenomena aurora sebagai yang terindah dalam hidup anda.
2. Penginapan Terapung, Maldives
Berkunjunglah ke Maldives yang terletak di Lautan Hindi, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup anda dan ianya pasti meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. Maldives bukan hanya sebuah pulau tetapi terdiri daripada gugusan 1,192 kepulauan yang terbentuk hasil pergerakan muka bumi dan letusan gunung berapi sejak berjuta tahun lalu. Pulau-pulaunya mendatar, sama ada ditumbuhi pepohon pantai atau pulau pasir sahaja.
Terletak 700 kilometer di barat daya Sri Lanka dan 400 kilometer India, Maldives adalah republik berteras agama Islam sebagai agama rasmi. Ini bermakna mencari makanan halal tidak sukar. Dari lapangan terbang, semua penumpang dihubungkan dengan pengangkutan seperti feri, bot, kapal terbang kecil yang mendarat di atas air untuk membawa tetamu ke pulau dan resort pilihan. Di sebelah pulau ini ada pulau lain iaitu perkampungan nelayan, biarpun dekat, mereka tidak dibenarkan masuk ke pulau ini. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah snorkling tengah lautan, berenang di pantai, berkelah ke sebuah pulau lain atau memancing ikan.
3. Menaiki Belon Panas di Cappadocia, Turki
Turki merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua. Sebahagian besar negara yang didiami 80 juta penduduk iaitu 97 peratus keluasannya terletak di benua Asia, selebihnya terletak di benua Eropah. Aktiviti mesti cuba ketika di Turki adalah menaiki belon panas. Seawal jam 6 pagi, anda dicadangkan ke tempat dikhaskan untuk aktiviti menerbangkan belon panas yang sangat popular di Cappadocia. Belon panas ini akan berlepas tepat jam 7 pagi. Mengikut pengusahanya, masa antara pukul 7 hingga 8 pagi paling sesuai untuk menerbangkan belon panas kerana angin tenang. Jika tiupan angin melebihi 17 kilometer sejam, belon panas tidak dibenarkan terbang oleh pihak berkuasa.
Belon panas yang digunakan datang dalam pelbagai saiz dan boleh menampung 8 hingga 28 penumpang dalam gondola atau bakul mengikut saiz tertentu. Pengalaman menaiki belon panas dan berdiri dalam gondola setinggi paras dada pasti amat mengujakan. Belon panas ini akan berlegar di langit Cappadocia sehingga paras maksimum 610 meter, kemudian turun di beberapa tempat hingga paras terendah 10 meter dari bumi bagi melihat bentuk muka bumi Cappadocia. Satu saranan untuk anda, cari pengendali belon panas yang berlesan untuk mengelakkan berlakunya beberapa perkara yang tidak diingini.
Ads
4. Berbasikal di New Zealand
Jika gemar aktiviti sukan berbasikal, apa kata cuba lakukan kayuhan berbasikal, sekurang-kurangnya untuk sekali seumur hidup ke luar negara seperti di New Zealand pada tahun ini. Laluan sepanjang 2500 kilometer Nga Haerenga Cycle Trail di New Zealand baru siap untuk digunakan pada akhir Januari lalu yang mempamerkan landskap, budaya dan warisan terbaik negara tersebut.
Rangkaian laluan itu terdiri daripada 23 laluan mencabar untuk mereka yang lasak serta gemar aktiviti berbasikal. Dalam pada itu, kerajaan New Zealand turut menyalurkan dana untuk menyiapkan binaan tersebut yang turut dilengkapi dengan kereta kabel bagi memudahkan pengunjung bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi berlainan.
5. Teroka Piramid Giza, Mesir
Keindahan kota tinggalan sejarah dan binaan agung menjadikan Mesir antara destinasi yang mesti dikunjungi pelancong. Kehebatan kota ini berjaya menarik berjuta pelancong setiap tahun. Selain itu, Mesir kerap menjadi pilihan pelancong ke sini kerana negara ini sangat kaya dengan tinggalan tamadun silam berharga dan artifak unik. Lebih menarik, negara berkenaan menyajikan lebih daripada apa yang dijangka.
Anda berpeluang menyelongkar khazanah misteri Mesir purba dengan mengunjungi piramid di Giza, Colossi of Memnon, Kuil Karnak, Kuil Kom Ombo, KUil Edfu dan Lembah Raja-Raja. Selain itu, jangan lupa untuk melawat beberapa tarikan menarik lain di sini termasuk ke Kubu Pertahanan Saladin, Istana Gawhara, Masjid Mohamed Ali Pasha, Saidina Hussein dan Imam Shafie.
6. Bersantai di Pantai Playas de Nosara, Costa Rica
Ads
Pada yang sukakan aktiviti pantai, boleh singgah ke pantai Playas de Nosara, Semenanjung Nicoya yang terletak di Costa Rica. Pantai ini sangat terkenal lebih-lebih lagi selepas pantai itu menerima anugerah Blue Flag. Ia merupakan sebuah anugerah khas pensijilan antarabangsa yang telah diberikan kepada pantai itu kerana menawarkan perkhidmatan pelancongan kualiti tinggi dan pengalaman mesra alam.
Pantai Playas de Nosara ini amat bersih dan kini merupakan salah satu daripada pantai terbaik di Amerika Latin.
7. Binaan Unik Taj Mahal, India
Semestinya kunjungan ke India tidak akan lengkap tanpa kunjungan ke ikon pelancongan India iaitu Taj Mahal. Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan perasaan kecuali mereka yang pernah merasai sendiri pengalaman berdiri di depan binaan paling ajaib di dunia itu. Selain mahligai hadiah Shah Jehan kepada isterinya iaitu Mumtaz, pelancong ke India juga boleh melawat kehebatan Kota Pertahanan yang terletak di Agra di samping memerhatikan keunikan budaya masyarakatnya
8. Keajaiban Tembok Besar China
Memamng tidak lengkap percutian ke China jika tidak menjejakkan kaki ke Tembok Besar. Binaan yang telah diisytihar sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia merupakan tarikan utama pelancong ke negara itu sejak dulu lagi. Tembok ini mengunjur dari Shanhaiguan di bahagian timur hingga ke Lop Nur di barat. Kajian arkeologi telah mencatatkan bahawa panjang Tembok Besar China bersama cabang-cabangnya adalah 8,851.8 kilometer.
Keunikannya adalah bahagian dalam temboknya berisi tanah yang bercampur dengan batu-batan. Jika anda seorang kaki berjalan, Tembok Besar China merupakan destinasi yang perlu anda jejak dalam hayat ini. Sebagai tanda sudah sampai di sini, pengunjung yang melawat ke Tembok Besar China boleh mendapatkan sijil pendakian beserta gambar peribadi berlatarkan Tembok Besar itu dengan bayaran beberapa yuan sahaja. Pengunjung boleh mendapatkan sijil serta gambar kenangan sebaik sahaja pendakian selesai.
Ads
9. Selami Khazanah The Great Barrier Reef, Australia
Apa kata rancang percutian sepanjang hayat ke Australia, pulau negara benua terbesar yang terletak di hemisfera selatan. Australia menjanjikan tempat dan tarikan pelancongan menarik dengan pelbagai keistimewaan yang mungkin tidak dapat dirasai di tempat lain. Selain terkenal sebagai destinasi yang menjanjikan percutian dekat dengan hidupan liar, melancong ke Australia juga bererti merasai keindahan alam sekitar. Bagi yang sukakan aktiviti menyelam skuba atau snorkel boleh melihat keindahan batu karang dan ikan pelbagai warna di The Great Barrier Reef.
The Great Barrier Reef adalah salah satu destinasi yang wajib dikunjungi ketika melancong di Australia. Sepanjang 2300 kilometer dari Cairns ke Bundaberg, The Great Barrier Reff mengandungi 900 pulau menakjubkan dan terumbu karang. Di sini juga anda boleh melihat pemandangan indah pantai di Pulau Lady Elliot dengan terumbu karang yang berwarna warni. Pulau itu dianggap sebagai salah satu destinasi menyelam terbaik di dunia.
10. Menyusuri Terusan Venice, Itali
Sebut sahaja Itali, terbayang kehebatan bangunan bersejarah peninggalan tamadun Empayar Roman di mana ibu kota Itali, Rom telah berkurun dijadikan pusat peradaban politik dan agama. Begitu juga tempat menarik lain seperti Pisa dengan menara condong, Florence dengan Santa Maria del Fiore, Venice dengan terusannya dan Milan, kota fesyen terkenal dunia. Jangan lupa ambil peluang bersiar di lokasi menarik seperti Venice yang terletak di utara pantai timur Itali.
Anda akan tiba di Venice dengan melalui jambatan Ponte della Liberta yang menghubungkan tanah besar dengan bahagian utara Pulau Venice. Dari situ anda boleh berjalan ke Tronchetto Pier untuk menaiki teksi air (Venezia) ke Bandar Venice untuk tiba di jeti Piazza San Marco. Aktiviti yang mesti dilakukan adalah menaiki gondola menyusuri terusan bandar Venice. Alangkah indah dan romantik berada di atas gondola menyaksikan deretan bangunan lama di kiri kanan. Di antara terusan paling sibuk dan terkenal adalah Grand Canal.
11. Kejaiban Air Terjun Niagara, Amerika Syarikat & Kanada
Air Terjun Niagara terletak di kawasan sempadan antarabangsa di antara Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Kawasan air terjun di bahagian AS mempunyai ketinggian 55 meter dan 318 meter lebar. Sementara air terjun di Kanada atau dikenali sebagai Air Terjun Horseshoe pula mempunyai ketinggian 53 meter dan selebar 660 meter. Walaupun bukan air terjun tertinggi atau paling lebar di dunia, ia mampu menghasilkan aliran air untuk janakuasa elektrik.
Perjalanan untuk ke kawasan air terjun itu boleh dimulakan dari mana-mana bahagian iaitu sama ada dari pangkalan di Ontario atau New York. Di Ontario, terdapat tiga buah kapal besar dengan kapasiti 600 orang penumpang disediakan kepada para pengunjung sementara dua buah kapal yang boleh memuatkan 300 orang, setia menanti pengunjung di pangkalan New York.
Sepanjang pengembaraan itu, pengunjung pasti terpesona dengan pemandangan dua buah pulau besar iaitu Grand Island dan Goat Island yang terletak di AS. Lebih menarik lagi, terdapat empat buah jambatan yang merentasi kawasan air terjun tersebut seperti Jambatan Peace, Jambatan Rainbow dan Jambatan Whirpool. Jika melancong ke sini, jangan lepaskan peluang merasai pengalaman menarik ini di Air Terjun Niagara.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Sebelum kewujudan kapal terbang, pengangkutan menggunakan kereta api adalah sangat popular untuk mengangkut manusia dari satu tempat ke satu tempat satu masa dahulu. Tapi bila kapal terbang dah digunakan secara komersial dengan meluas, malah sekarang semua orang dah mampu terbang, perkhidmatan kereta api membawa penumpang sedikit merudum melainkan hanya untuk pengangkutan barang-barang perdagangan sahaja.
Walau bagaimanapun, masih ada lagi yang memilih untuk menggunakan kereta api dalam trip percutian mereka, lebih-lebih lagi apabila melancong ke luar negara, ramai yang memilih untuk mengambil peluang merasai pengalaman menaiki kereta api, sekaligus menikmati keindahan alam semula jadi.
Kalau anda bercuti ke luar negara dan ingin merasai pengalaman pengembaraan menaiki kereta api, di sini ada beberapa cadangan untuk anda ambil tahu trip kereta api yang manakah mempunyai pemandangan terbaik untuk anda cuba nanti.
Orient Express Paris – Venice / Istanbul
Menerusi filem daripada karya novel Agatha Christie yang berjudul ‘Murder on the Orient Express’ membuatkan ramai yang tertarik untuk merasai dan melihat sendiri keindahan pemandangan yang dilalui oleh kereta api ini.
Trans-Siberian
Bukan sehari dua tapi perjalanan kereta api ini boleh mencecah seminggu kerana jarak yang jauh antara Rusia hingga ke China. Untuk trip yang panjang itu, anda akan lawati beberapa buah negara seperti Perancis, Itali, Jerman, Switzerland, Sweden, Poland, Bosnia Herzegovina, Portugal, Austria, Belgium dan Turki.
West Highland Line, Scotland
Perjalanan sejauh 264 kilometer merentasi bandar-bandar atau pekan kecil di Britain dan dapat merasai pengalaman melalui Harry Potter Bridge iaitu Glenfinnan Viaduct yang digunakan oleh Hogwart Express.
Glacier Express, Switzerland
Kereta api ekspress paling perlahan yang melalui perjalanan sejauh 290 km selama 7 jam antara Zermat ke St. Moritz. Kereta api ini mempunyai tingkap yang luas untuk penumpang menikmati pamandangan pergunungan Alps.
Maharaja Express, India
Perjalanan dari Mumbai ke Delhi yang mengambil masa kira-kira empat hingga lapan hari. Sepanjang perjalanan, anda boleh menikmati pemandangan tempat-tempat yang dilalui dari Jaipur, Fatephur Sikri dan Agra.
Inlandsbanan, Sweden
14 jam perjalanan sejauh 1300 km melalui kawasan terpencil Swedish bermula dri Kristinehamn di selatan menuju ke Gallivare di utara Artic Circle.
Le Train Jaune, Perancis
Laluan kereta api yang melalui kawasan pergunungan indah di Perancis merentasi Banjaran Pyrenees (French Pyrenees).
Bernina Express, Switzerland
Lalun kereta api yang mengambil masa selama lebih kurang 4 jam untuk perjalanan sejauh 144 km melalui kawasan pergunungan. Switzerland sebuah negara yang kecil tapi sangat cantik. Memang berbaloi kalau anda dapat pergi ke sana.
Blur Train, Afrika Selatan
Selama 27 jam, anda akan menikmati pemandangan yang sangat menakjubkan melintasi jalur rel sepanjang 1600 km antara kawasan Cape Town hingga Pretoria. Kalau anda mempunyai bajet lebih, boleh ambil gerabak mewah yang lebih luas berukuran setengah bilik hotel dan lengkap dengan balkoni.
Rhine Valley, Jerman
Kalau tak nak perjalanan yang panjang, anda boleh cuba menaiki kereta api yang perjalananya hanya mengambil masa lebih kurang 50 minit sahaja melalui kawasan Sungai Rhine. Sekalipun sekejap, tetapi pemandangan yang cukup cantik akan membuat anda terpaku di sana.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Sungai Bangang terletak di Hulu Dungun, Terengganu. Nama sebenar sungai ni ialah Sungai Bangan atau Sungai Balu. Mungkin kerana slanga orang Terengganu dibunyikan ‘G’ dibelakang, ia lebih popular dikenali Sungai Bangang.
Lokasinya tersorok atas ketinggian lebih kurang 800 meter dari paras laut menjadikan ia sukar diakses. Tak ramai orang ke sini menjadikan air di sini sangat jernih.
Sungai Bangang biasa dikunjungi pendaki. Untuk ke sini, trip popular dikalangan pendaki dengan trip gelaran CBL (Puncak Chemerong, Gunung Berembun, dan Air Terjun Langsir) ; tiga spot utama ini wajib dilalui. Permit diperlukan untuk pendakian.
Gunung Berembun setinggi 1038 meter, Air Terjun Chemerong antara yang tertinggi di Malaysia setinggi 370 meter dan Air Terjun Lansir pada ketinggian 801 meter dari paras laut.
Pendakian biasanya bermula di Hutan Lipur Chemerong yang terletak di Hulu Dungun iaitu kira-kira 100 km dari Kuala Terengganu dan 30 km dari Bandar Al-Mukhtafibillah Shah melalui Jalan Jabor – Jerangau.Pendakian ke puncak Gunung Berembun mengambil masa enam jam atau lebih bergantung kepada cuaca, stamina, dan jumlah pendaki. Kebiasaannya trip mengambil masa 3 hari 2 malam atau 2 hari 1 malam yang juga bergantung kepada faktor-faktor tersebut.
Kolam hijau Sungai Bangang. Nampak macam tak dalam, tapi dalam. Air jernih. Foto: mcHiker
Selepas di puncak, pendaki turun untuk berkhemah. Ada yang berkhemah di Jeram Lesung. Di sini ada kolam besar dan agak dalam, serta dua lubang air seolah-olah lesung. Ada juga bermalam di kawasan khemah Air Terjun Sungai Langsir yang lebih luas. Untuk ke Sungai Bangang perlu menyeberangi Air Terjun Sungai Langsir dan masuk ke dalam hutan melalui trek yg sedia ada. Perjalanan mengambil masa sekitar sejam atau lebih untuk ke kolam hijau jernih ini.
Sungai ini melalui antara tebing batu lalu membentuk kolam memanjang dan tidak lebar namun cukup dalam untuk anda terjun tiruk dari tebing setinggi lebih kurang 1 meter. Dalam kolam mungkin lebih kurang 2-2.5 meter bergantung pada paras air. Bahagian dalam mungkin akibat hakisan air deras. Air di sini memang sangat jernih. Kalau direkod foto atau video, memang jelas nampak anda dalam air. Jika anda berpeluang kesana, nikmati keindahan alam ciptaan Allah dan semoga alam kita terus terpelihara serta jangan buang sampah merata-rata.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Hua Hin, Thailand, destinasi percutian ini memang benar tidak sepopular Bangkok, Phuket, Krabi mahupun Chiang Mai. Tetapi tahukah anda bahawa destinasi percutian pantai ini cukup menarik untuk dijelajahi, lebih-lebih lagi bagi mereka suka dengan sejarah,kebudayaan serta suasana santai.
Terletak kira-kira 3 jam setengah pemanduan dari kota Bangkok, Hua Hin sebenarnya destinasi percutian hujung minggu kegemaran keluarga Diraja Thailand, mahupun penduduk Bangkok. Di malam hari, meski pun tidak ‘sehidup’ Bangkok, Hua Hin menjadi lebih hidup dengan adanya pasar malam yang menawarkan pelbagai produk tempatan. Tidak ketinggalan, deretan restoran yang menyajikan makanan laut terbaik.
Seindah namanya
Tak kenal, maka tak cinta, jadi adalah lebih baik anda nikmati sendiri keindahan dan keunikkan Hua Hin daripada mendengar cakap-cakap teman atau apa yang dikongsi di ruang digital. Maklumlah, setiap orang punya pandangan sendiri.
Bagi yang sedang berkira-kira untuk membawa keluarga bercuti, mungkin boleh mempertimbangkan Hua Hin sebagai lokasi percutian seterusnya. Habiskan masa semalam dua dengan membeli-belah di kota Bangkok dan selepas itu teruskan pengembaraan bersama insan-insan tersayang di tepian pantai.
Loligo Resort Hua Hin merupakan pilihan ideal untuk anda sekeluarga. Ini kerana resort yang baru dibuka ini punya ciri istimewa untuk tetamu berkeluarga. Menyediakan kemudahan day care di Kid’s Studio, ia memberi peluang untuk anda menghabiskan masa privasi di samping suami tanpa gangguan anak-anak. Jadi bolehlah berdua-duaan menikmati hidangan makanan tengahari atau melakukan rawatan spa bersama-sama. Paling tidak, boleh berjalan-jalan di tepian pantai seperti ketika dilamun cinta dahulu. Pasti romantis!
Berkonsepkan persinggahan tepian pantai, Loligo Resort menampilkan dekorasi segar, nyaman dan ceria. Kombinasi rona putih dan turquoise di setiap kamar membuatkan jiwa terbuai dengan suasana percutian mendamaikan. Berinspirasikan suasana perkampungan nelayan, segenap ruang di resort ini dihiasi dengan item-item dekorasi yang berkaitan perkampungan nelayan. Namun, ia disulam dengan ciri-ciri moden dengan sedikit elemen seni.
Menawarkan 47 buah kamar luas yang terdiri daripada Deluxe Balcony Room, Mini Suite Pool/Garden Balcony dan Mini Suite Sea & Horizon Balcony, setiap bilik mampu memuatkan sehingga lima orang individu dalam satu-satu masa. Jika pasangan yang mempunyai anak (bawah 12 tahun) tidak perlu membayar caj tambahan, ia percuma. Cukup sekadar mengambil satu kamar kerana setiap jenis kamar mempunyai pilihan satu unit katil King atau dua unit katil Queen . Memang sangat mesra keluarga. Jika bercuti bersama kawan-kawan pun,ia masih berbaloi-baloi! Sharing is caring!
Bermalasan di kolam renang atau nikmati keindahan pantai
Banyak aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang berada di resort ini. Jika ingin menikmati keindahan pantai, panjangkan langkah ke pantai yang terletak hanya 100 meter dari hotel.
Sebagai info, pantai di sini spot terbaik untuk melihat matahari terbit. Selesai bersarapan bolehlah menghabiskan masa dengan berenang di kolam renang atau berendam di jakuzi luar. Jika punya bajet lebih, boleh juga ke Blue Coral Spa untuk memanjakan diri. Dibuka dari jam 10.00 pagi hingga jam 10 malam, spa ini menawarkan rawatan yang memberi tumpuan pada teknik penyembuhan sebenar Thailand yang terdiri daripada pembersihan badan, urutan tradisional dan juga rawatan yang menggunakan herba panas. Harga rawatan bermula daripada THB900 untuk rawatan selama 60 minit.
Jejak tarikan berhampiran
Alang-alang sudah sampai di Hua Hin, tak mungkin anda sekeluarga mahu bertapa di dalam resort semata-mata. Apa kata anda ambil kesempatan untuk menjelajah tempat-tempat menarik di sini.
Hua Hin Railway Station
Dibina ketika pemerintahan Raja Rama IV, stesen ini merupakan salah satu stesen keretapi tertua dan tercantik di Thailand. Senibinanya terinspirasi dari Mrigadayavan Palace yang terletak di Cha Am, daerah Petchaburi. Tarikan utama di stesen ini ialah Bilik Menunggu Diraja yang sehingga kini masih digunakan oleh Kerabat Diraja. Jangan lupa bergambar di sini untuk dikongsi di laman sosial.
Hua Hin Night Market
Pasar malam ini terletak di sepanjang Petchkasem Road. Dibuka dari jam 6.00 petang hingga lewat malam, di sini anda boleh membeli ole-ole untuk di bawa pulang serta menikmati pelbagai jenis makanan tempatan yang membuka selera. Jangan lupa mencuba makanan laut di sini kerana selain dijual dengan harga murah, rasanya juga sangat enak.
Antara barang-barang yang boleh dibeli di sini ialah pakaian, rantai kunci, magnet peti sejuk, dan barangan kraftangan.
Cicada Market
Jangan sesekali lepaskan peluang ke Cicada Market. Terletak di Khao Takieb – Hua Hin Road, pasar malam ini sangat berhampiran dengan Loligo Resort Hua Hin. Boleh berjalan kaki atau kayuh basikal.
Merupakan singkatan dari Community of Identity Culture Arts & Dynamics Activities, pasar seni yang merupakan tempat berkumpul bagi bakat-bakat kreatif ini menjual berbagai produk yang lain daripada lain. Barangan di sini unik dan istimewa.
Selain itu banyak juga ‘signature dishes’ Thailand yang boleh dicuba seperti Phad Thai, Seafood Bakar, Tomyam, Pulut Mangga, Ais Krim Kelapa dan banyak lagi.
Hua Hin Beach
Pantai ini terletak berhampiran pekan Hua Hin, kira-kira 15 minit menaiki teksi atau Tuk-Tuk. Pantai Hua Hin tidak kurang hebatnya. Pemandangannya cantik dan banyak aktiviti pantai dan laut yang boleh dilakukan.
Perkongsian oleh: Sri Rahayu Mat Nah
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...