Berita

16,000 Bubur Lambuk Diedar, Nu Ideaktiv Cipta Rekod Malaysia Book Of Records

Share

Suasana di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu cukup luar biasa apabila ratusan anggota bomba, badan beruniform dan sukarelawan berganding bahu menyediakan bubur lambuk secara gotong-royong.

Usaha besar-besaran itu akhirnya membuahkan hasil apabila Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. secara rasmi diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Pengagihan Bubur Lambuk Terbanyak oleh Anggota Beruniform.

Melalui penganjuran program RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba 2026, sebanyak 16,000 mangkuk bubur lambuk berjaya disediakan dan diagihkan kepada masyarakat sekitar ibu kota.

Pengiktirafan tersebut disampaikan dalam satu majlis khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim bersama Editor Pengurusan RASA, Emma Masri yang mewakili pasukan di sebalik penganjuran program berkenaan.

Seawal pagi, kawasan bersejarah itu bertukar menjadi dapur komuniti berskala besar dengan kawah-kawah besar dipasang bagi memasak bubur lambuk. Proses penyediaannya melibatkan penyediaan bahan, memasak, pembungkusan serta pengiraan sebelum diagihkan kepada orang ramai.

Sebahagian daripada bubur lambuk itu turut diserahkan kepada 13 masjid sekitar Kuala Lumpur sebelum konvoi agihan dilepaskan secara rasmi di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Bagi Syamil Fahim, pengiktirafan tersebut membawa makna yang lebih besar daripada sekadar mencipta rekod. Katanya, kejayaan itu menjadi bukti bagaimana usaha kolektif yang melibatkan pasukan RASA, anggota bomba, rakan strategik serta sukarelawan mampu melahirkan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Emma Masri pula menyifatkan bubur lambuk sebagai simbol kebersamaan yang begitu dekat dengan budaya masyarakat Malaysia, khususnya ketika Ramadan.

Menurutnya, sejak dahulu lagi RASA berusaha mengangkat tradisi tersebut bukan sahaja melalui kandungan resipi dan tip masakan, malah melalui program komuniti yang menyatukan orang ramai.

Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran beberapa selebriti dan personaliti terkenal termasuk Catriona Ross yang diumumkan sebagai Duta Raya pertama Ideaktiv.

Turut memeriahkan acara ialah Shiera selaku Astro Duta Bila Bersama, Lagi Jadi, kumpulan sensasi Alpha serta hos Borak Seeni iaitu Haziq Hussni, Nazrief Nazri dan Muhsin Nadzli yang menghidupkan suasana dengan pelbagai aktiviti bersama pengunjung.

RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba 2026 dianjurkan oleh Nu Ideaktiv melalui jenama RASA dengan kerjasama Program Iftar Ramadan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan bahawa tradisi yang bermula daripada dapur komuniti mampu berkembang menjadi satu peristiwa yang menyatukan masyarakat. Dalam semangat Ramadan, rewang bubur lambuk yang selama ini sinonim dengan kebersamaan kini tercatat sebagai satu lagi detik membanggakan dalam sejarah negara.

Oleh
Fiezreen