5 Kafe Kucing di Lembah Klang dengan Rating Tertinggi di Google Review

Share

Selepas seminggu penat bekerja, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk merehatkan emosi dan minda. Ada yang memilih untuk tidur, keluar berjalan-jalan atau menikmati secawan kopi di kafe kegemaran.

Bagi pencinta kucing pula, meluangkan masa bersama si bulus boleh menjadi aktiviti santai yang menyeronokkan. Lebih menarik apabila dapat bermain dengan kucing sambil menikmati kopi, matcha dan pencuci mulut dalam suasana kafe yang nyaman.

Jika sedang mencari lokasi untuk cat cafe hopping sekitar Lembah Klang, ini lima kafe kucing yang boleh dimasukkan dalam senarai kunjungan hujung minggu yang diambil berdasarkan rating di Google Review.

1. Mao CatCafe, Seri Kembangan (4.6 Bintang)

                             Kredit Foto: Philip Lee / Google Review

Terletak di Seri Kembangan, Mao CatCafe mempunyai ruang khas di tingkat atas untuk pengunjung bermain dan berinteraksi dengan kucing.

Antara tarikan utamanya ialah kucing daripada beberapa baka popular seperti Ragdoll, Bengal dan British Shorthair. Selain ruang bermain bersama si bulus, kafe ini turut menawarkan aksesori serta barangan keperluan kucing.

Suasana dalamannya menggunakan pencahayaan bernada hangat yang menjadikan ruang terasa selesa dan cukup menarik untuk bergambar. Pilihan minuman pula merangkumi kopi, matcha latte serta pencuci mulut seperti croissant dan kek.

2. Ragdoll Catfe, Bukit Jalil (5 Bintang)

Kredit Foto: Ragdoll Cafe Bukit Jalil / Google Review

Jika mahu dikelilingi banyak kucing dalam satu masa, Ragdoll Catfe di Bukit Jalil antara lokasi yang boleh dicuba. Kafe ini dikatakan menempatkan lebih 20 ekor kucing yang bebas bergerak sekitar kafe. Bagi pencinta kucing, suasana sebegini tentu memberi peluang lebih luas untuk mengenali pelbagai karakter si bulus, daripada yang manja sehinggalah yang lebih suka duduk memerhati.

 

Ragdoll Catfe turut mempunyai beberapa cawangan lain, jadi pengunjung boleh memilih lokasi yang paling mudah untuk dikunjungi.

3. Purrista PJ Cat Cafe, Petaling Jaya (4.9 Bintang)

Kredit Foto: Christine Teh / Google Review

Purrista PJ Cat Cafe pula mempunyai konsep yang lebih dekat dengan usaha kebajikan haiwan. Kafe ini pada asalnya ditubuh dengan usaha menyelamat, menjaga serta memberikan kehidupan lebih baik kepada kucing.

Antara perkara yang sering mendapat perhatian pengunjung ialah tahap kebersihan ruangnya. Kafe ini menggunakan penapis udara dan menitikberatkan kebersihan bagi memastikan persekitaran kekal selesa serta kurang berbau. 

Selain itu, kafe ini juga menyediakan permainan papan secara percuma selain aktiviti berbayar seperti sesi melukis.

Jadi, selain menikmati minuman sambil bermain dengan kucing, pengunjung juga mempunyai aktiviti lain untuk mengisi masa bersama rakan atau keluarga.

4. Moon Cat Cafe, Subang Jaya (5 Bintang)

Kredit Foto: Irene Goh / Google Review

Moon Cat Cafe di Subang Jaya sesuai untuk mereka yang mahukan suasana lebih santai dan kasual.

Di sini, pengunjung boleh meluangkan masa mengelus serta berinteraksi dengan kucing sambil menikmati makanan dan minuman. Suasananya sesuai untuk pertemuan santai bersama rakan, malah boleh juga menjadi pilihan jika mahu duduk berehat lebih lama.

Pilihan makanan pula merangkumi hidangan Barat, pencuci mulut serta pelbagai minuman pada harga yang berpatutan.

5. Amber Chamber Cafe, SS15

Kredit Foto: Muhammad Hisyamuddin / Google Review

Berada di kawasan SS15, Subang Jaya, lokasi Amber Chamber Cafe cukup strategik terutama buat mereka yang memang merancang untuk melakukan aktiviti cafe hopping.

Kawasan SS15 sendiri mempunyai banyak tempat makan dan kafe, jadi selepas meluangkan masa di sini, bolehlah meneroka lokasi menarik lain yang berada berdekatan.

Dari segi menu, kafe ini menawarkan pilihan yang lebih menyeluruh. Antaranya hidangan Barat seperti chicken chop, pasta aglio olio dan carbonara, selain hidangan berinspirasikan Asia seperti nasi goreng serta

butter chicken. Pilihan pencuci mulut dan minuman istimewa juga tersedia.

Dengan konsep dalaman moden serta ruang yang selesa, ia sesuai untuk dikunjungi bersama rakan atau keluarga.

Walaupun teruja mahu bermain dengan si bulus, kebajikan haiwan tetap perlu menjadi keutamaan. Kucing juga mempunyai emosi dan memerlukan ruang untuk berehat.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:

  • Sentiasa cuci atau sanitasi tangan sebelum dan selepas memegang kucing.
  • Jangan paksa kucing untuk dipeluk atau diangkat sekiranya ia cuba menjauh.
  • Elakkan mengganggu kucing yang sedang tidur, makan atau bersembunyi.
  • Patuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh pihak kafe.

Jadi, kalau hujung minggu ini masih belum ada rancangan, bolehlah ajak rakan atau pasangan melakukan cat cafe hopping. Bukan sahaja dapat menikmati makanan dan minuman kegemaran, malah dapat meluangkan masa bersama si bulus dalam suasana yang lebih santai.

Oleh
Balqis Qadisah