Anak Ikan Lumba-Lumba Berusia 9 Hari Maut Ketika Membuat Persembahan Di Hadapan Penonton Taman Tema

Share

Dapat menyaksikan persembahan lincah ikan lumba-lumba yang comel menjadi idaman ramai pelancong tidak kira kanak-kanak dan juga orang dewasa. Namun tahukah anda, setiap persembahan yang sempurna seringkali dilakukan haiwan ini setiap hari adalah daripada latihan yang berterusan.

Baru-baru ini persatuan pencinta haiwan mengutuk keras kejadian seekor anak ikan lumba-lumba yang baru berusia sembilan hari, mati dipercayai keletihan ketika membuat persembahan. Kejadian tersebut berlaku di Eropah sebuah taman air di Bulgaria.

Haiwan malang itu yang baru 9 hari dilahirkan didakwa mati di hadapan penonton di Varna Dolphinarium, akibat ‘keletihan’ melakukan persembahan berterusan lapor Daily Mail. Sejurus kejadian tersebut berlaku penonton diarah keluar dari kawasan persembahan oleh kakitangan yang bertugas dengan serta merta.

Walaupun masih tidak jelas punca kematian bayi ikan lumba-lumba tersebut, orang ramai mendakwa Varna Dolphinarium perlu bertanggungjawab kerana memaksa haiwan itu membuat persembahan bersama ikan dewasa walaupun masih kecil. Ia dilatih empat kali sehari untuk menghiburkan penonton terutama ketika kemuncak cuti musim panas.

Berita itu mendapat reaksi pengguna media sosial yang menganggap haiwan itu diseksa secara halus kerana dipaksa bekerja yang tidak sepadan dengan usianya. Jurucakap organisasi perlindungan haiwan Four Paws, Yavor Gechev berkata, sebanyak lima ikan lumba-lumba dan seekor anjing laut didakwa mati di pusat peranginan itu sejak lima tahun kebelakangan ini. Jumlah kematian dijangka lebih tinggi dari yang diumumkan. Kematian haiwan menandakan keadaan di pusat akuarium itu tidak memenuhi standard minimum untuk menjaga semua haiwan.

New Zealand Larang Aktiviti Berenang Bersama Ikan Lumba-Lumba

Di New Zealand pula kerajaan mereka telah mengenakan larangan terhadap sebarang aktiviti pelancongan berenang bersama ikan lumba-lumba Bottlenose. Ia sebagai usaha untuk melindungi haiwan yang diancam kepupusan itu. Larangan tersebut dilaksanakan keatas semua syarikat pelancongan yang berpusat di North Island Bay yang cukup popular dengan kehadiran pelancong.

Sumber: Dailymail

IKLAN