Sekeping gambar yang menunjukkan beberapa ekor ikan Nemo yang ditangkap dan diletakkan di dalam sebuah botol yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp baru-baru ini yang dipercayai berlaku di Pulau Redang.
Hal ini sangat menyedihkan, kerana pengunjung yang bercuti ke pulau masih kurang kesedaran untuk melindungi dan menjaga habitat semulajadi semata-mata untuk kepuasan diri sendiri! Para pengunjung yang bercuti di pulau-pulau sekitar negara terutama di negeri Terengganu diingatkan untuk tidak menyentuh, mengganggu, menangkap atau melakukan apa sahaja aktiviti, yang boleh mengancam spesis ikan badut (clown fish) atau ikan Nemo.
Kenapa anda tak boleh tangkap Nemo?
Pensyarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Liew Hon Jung berkata, perbuatan tersebut dikhuatiri mengancam nyawa spesis tersebut dan boleh menjadi faktor kekurangan ikan Nemo, di perairan semula jadi.
Ads
Di lautan semula jadi, ikan Nemo hidup secara simbiosis yang saling memberi manfaat bersama perumahnya iaitu ‘sea anemone’, yang mana ia mempunyai sel ‘nematocysts’ yang berupaya menyengat dan melumpuhkan pemangsa ikan Nemo. Ini memberi perlindungan kepada ikan Nemo secara langsung dan dijamin ia tidak akan diserang oleh pemangsa.
Ikan Nemo yang terdapat di perairan Terengganu juga hanya menjalankan aktiviti hariannya seperti mencari makan atau mengawan di sekitar ‘sea anemone’ sahaja dan tidak berenang jauh daripada perumahnya itu.
Sekiranya ia diganggu atau dipindahkan ke tempat lain, ini akan menyebabkan ikan tersebut kehilangan arah untuk berpatah balik ke perumah asalnya. Jadi ikan Nemo terpaksa mencari tempat perlindungan baharu di kawasan terumbu karang terbuka dan berisiko tinggi untuk diserang pemangsa.
Meskipun sekiranya ikan tersebut berjaya mendapatkan ‘sea anemone’ yang baharu, namun ia berisiko untuk dihalau atau akan mati memandangkan ‘sea anemone’ tersebut telah didiami oleh keluarga ikan Nemo yang lain.
Jadilah pelancong yang bijak! Jom cuti-cuti Malaysia~
‘Good Night, Malaysian Three Seven Zero’ adalah mesej radio terakhir yang dihantar dari kokpit MH370 dan ia akan terus bermain di fikiran kita serta kehilangan MH370 akan menjadi misteri penerbangan terbesar di dunia sehingga ada petunjuk baharu atau bukti utama yang ditemui.
Hari ini 8 Mac, genap lima tahun penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak di selatan Lautan Hindi dan persoalan paling penting dalam misteri penerbangan terbesar di dunia itu masih belum dijawab.
Kehilangan pesawat penumpang Boeing 777 yang hilang daripada skrin radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dengan 239 penumpang terus membelenggu fikiran pakar penerbangan, anggota keluarga, sahabat dan seluruh dunia.
Operasi pencarian terakhir pesawat itu berakhir Mei tahun lepas apabila syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu selepas melakukan pencarian lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut selama lebih tiga bulan tempoh operasi. Sehingga kini, hanya tiga serpihan sayap, dikenali sebagai flaperon, disahkan berasal dari pesawat Penerbangan MH370.
Kisah Waris MH370 – Anak Tidak Pernah Jumpa Bapa Sejak Lahir
Mendengar isi hati Intan Maizura Othman, 38 tahun, iaitu isteri kepada Mohd Hazrin Hasnan yang merupakan sebahagian daripada kru pesawat berkenaan. Tabah dan redha sejak kejadian itu membuatkan Intan terus memujuk dirinya supaya kuat meneruskan kehidupan, meskipun persoalan di benak fikirannya belum bertemu noktah.
“Saya faham bukan mudah Kerajaan Malaysia untuk selesaikan isu ini. Tetapi saya harapkan agar kebenaran itu muncul dan beritahu kami perkara sebenar. Macam mana, di mana, kenapa, siapa di sebalik kejadian ini. Kalau suami saya masih hidup, cakap hidup. Kalau dah tiada, cakap dah tiada. Itu sebenarnya saya dan semua waris hendak tahu,” jawabnya dalam nada sayu.
Lebih memilukan, anak kedua Intan, Muhammad Mohd Hazrin, 5 tahun, tidak pernah berjumpa bapanya sejak dilahirkan. Apabila ditanya: “Kalau boleh jumpa Papa, apa Muhammad nak cakap dekat Papa?”
Anak kecil itu dengan mimik dan nada suara sedih menjawab: “Muhammad sayang Papa, Muhammad rindu Papa.”
Luahan jujur itu membuatkan semua yang berada di majlis tersebut berlinang air mata. Ternyata sosok tubuh kecil itu tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi ungkapan itu sudah cukup jelas betapa rindunya Muhammad terhadap ayahnya.
Menurut Intan, Muhammad kerapkali bertanya kepada beliau: “Mama, Papa dah meninggal ke?”, namun tiada jawapan jelas dapat diberikan kepadanya. Hanya berbekalkan gambar Hazrin, kerinduan Muhammad terubat seketika. Di sebalik air mata Intan yang entah kali ke berapa gugur, sudah tentu yang paling utama buat dirinya, adalah untuk mendapatkan pengakhiran muktamad tentang insiden misteri tersebut.
Kisah Waris MH370 – Setiap Minggu Cuba Telefon Anak
Seminggu sekali, seorang petani di China, Li Eryou akan cuba menghubungi telefon anaknya yang merupakan salah seorang 239 mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370, walaupun tidak berjawab.
“Saya tidak peduli apa pun orang kata, saya akan tetap telefon dia walaupun untuk tinggalkan beberapa patah perkataan dalam sistem pesanan ringkas,” kata petani berusia 60 tahun itu.
Berasal dari Handan, wilayah utara Hebei, Li Eryou menyifatkan panggilan yang dibuatnya setiap Sabtu itu merupakan satu perkara wajib yang akan dilakukannya setiap minggu. Anaknya, Li Yanlin, ketika itu berusia 30 tahun, antara yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum ia dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014, bersama 153 lagi warga China.
“Anak saya adalah orang pertama di kampung kami yang dapat menaiki kapal terbang untuk pergi ke luar negara,” katanya ketika ditemu bual Reuters, sambil menyelak album gambar anaknya.
Gambar-gambar terakhir anaknya yang bekerja di Malaysia dengan syarikat telekom Cina, ZTE, dimuat turun dari media sosial, menunjukkan saat-saat ketika dia sedang bercuti.
Sementara itu, isterinya, Liu Shuangfeng berkata dia sering menangis sehingga tertidur dan telah didiagnosis mengalami kemurungan yang teruk. Selepas kehilangan anaknya, Li Eryou meninggalkan kampung dan turut mengabaikan tanamannya kerana perlu berulang alik ke Beijing bagi mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Malaysia dan Cina. Ratusan tiket kereta api dan resit dikumpulnya bagi memberi inspirasi dalam usaha mencari anaknya itu.
“Walaupun telah lima tahun berlalu, saya tidak akan menyerah dan tidak akan berputus asa,
“Saya akan terus mencari anak saya,” katanya.
Usaha mencari pesawat MH370 sehingga kini masih lagi tidak berjaya menemui apa-apa petunjuk besar. Pada Januari 2017, Australia, China dan Malaysia mengakhiri carian dasar laut di selatan Lautan Hindi selepas dua tahun, yang mana ia menelan belanja US$141 selepas usaha itu tidak menemui sebarang jejak pesawat. Pencarian kedua dilakukan selama tiga bulan diketuai oleh firma penerokaan Amerika Syarikat Ocean Infinity, juga berakhir pada Mei tahun lalu.
Tiga maut manakala 16 lagi cedera dalam satu kebakaran di sebuah pusat beli-belah di bangunan Central World Complex di Bangkok, Thailand semalam.
Pusat membeli-belah ini terletak betul-betul di pusat bandar Bangkok dan kawasan kunjungan ramai. Kebakaran itu berlaku di lokasi tarikan pelancong, hanya beberapa hari sebelum cuti perayaan Songkran dari 13 April hingga 15 April.
Kebakaran dikatakan bermula dari bilik simpanan dokumen di tingkat lapan. Laporan video media tempatan menunjukkan seorang mangsa terjun dari bangunan berkenaan. Bomba yang bergegas ke tempat kejadian memberitahu api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa satu jam. Namun punca kebakaran masih dalam siasatan.
Bangunan Central World Complex mempunyai pusat beli-belah, pejabat dan hotel, telah ditutup buat sementara waktu. Sebelum ini, Gabenor Bangkok Assawin Kwanmuang memberitahu tiga orang maut, seorang di tempat kejadian sementara dua lagi di hospital.
Mendapat skor melebihi 80 peratus dalam indeks kebahagiaan 2021 bagi bandar-bandar di Malaysia, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis antara yang tersenarai sebagai negeri ‘bahagia’ di Malaysia.
Menurut Jabatan Perancangan dan Desa (PLANMalaysia) ketiga-tiga negeri tersebut tersenarai sebagai negeri bahagia apabila mendapat skor melebihi 80 peratus dalam indeks kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia.
Antara yang dinilai adalah aspek yang berkaitan tahap dan kualiti perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan pepejal dan kutipan sampah.
PLANMalaysia menyenaraikan 80 daripada 114 PBT di Semenanjung dan sabah, ketiga-tiganya antara yang mendapat skor tertinggi daripada kesemua PBT yang dinilai.
Di Negeri Sembilan, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik, berkata pembangunan setiap bandar di negeri itu berdasarkan kekuatan dan keupayaan masing-masing, berpaksikan tiga teras pembangunan menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.
“Tiga teras itu adalah daerah Seremban dan Port Dickson sebagai pembangunan ‘Malaysia Vision Valley 2.0’, iaitu bandar metropolis yang berdaya saing inklusif dan bersih. Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jempol, sebagai pembangunan agropolis menerapkan elemen pertanian. Jelebu sebagai pembangunan biodiversiti menerapkan pemeliharaan sumber semula jadi,” katanya
Katanya, terdapat enam indikator utama, dinilai di bawah dimensi komuniti sejahtera berkaitan prasarana bagi mencapai indeks Bandar Bahagia.
Ia membabitkan peratusan liputan kediaman dalam lingkungan 400 meter dari kemudahan masyarakat, kadar liputan jalur lebar, pengurangan gangguan bekalan elektrik, pengurangan kes gangguan bekalan air, bilangan terminal dan stesen pengangkutan awam serta peratusan kediaman mendapat perkhidmatan pembetungan.
Di Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang mencapai skor 91.97 peratus, mengatur pelbagai strategi di samping mempertingkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan kepada masyarakat bagi memastikan negeri itu terus mencapai status bahagia.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu, berkata ia merangkumi perkhidmatan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, antaranya menyediakan infrastruktur, mengambil tindakan segera sekiranya berlaku masalah atau aduan di samping melaksanakan pengindahan kawasan sekitar.
Di Perlis, EXCO Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baharu, Asmaiza Ahmad menyifatkan kemudahan dan prasarana di negeri itu dengan penduduk lebih 254,700 orang itu adalah setara dengan negeri lain.
“Selain itu, cadangan projek ‘Perlis Inland Port’ (PIP) turut memberi nafas baharu kepada Perlis dalam menyokong pembangunan lain di sekitarnya,” katanya sambil memberitahu Perlis di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mencatatkan skor status Indeks Kebahagiaan 80.02 peratus.
Sumber: BERNAMA
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...