
Melihat air terjun dari jarak dekat sememangnya memberi kepuasan tersendiri.
Jenis air terjun di negara kita agak unik kerana selalunya berada di tengah-tengah batuan sementara kiri dan kanannya terdapat rimbunan kehijauan pokok tumbuh-tumbuhan yang hidup meliar. Setiap air terjun mempunyai keindahan dari segi bentuknya tersendiri dan jika berpeluang ke negeri Pahang, jangan lupa untuk singgah di beberapa lokasi air terjunnya yang begitu cantik dan unik. Antaranya:
Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan
Foto: Google Image
Pahang mempunyai banyak lokasi alam semulajadi yang menarik untuk diteroka antaranya Air Terjun Sungai Pandan. Terletak di Kuantan, Air Terjun Sungai Pandan juga dikenali sebagai atau Air Terjun Panching oleh penduduk setempat merupakan destinasi beriadah popular. Kawasan ini juga merupakan sebahagian daripada Hutan Lipur Pandan. Lokasi ini menjadi tumpuan ramai untuk berkelah, mandi manda atau bersantai bersama keluarga dan kawan-kawan. Jika dilihat pada air terjun yang mengalir, pasti membuatkan ramai terpesona. Mana tidaknya, landskap air terjun yang terbentuk di sini begitu cantik dan unik.
Air Terjun Pelangi, Sg Lembing
Foto: Google Image
Air Terjun Pelangi bukan sahaja menjadi destinasi utama penduduk tempatan bersantai malah sangat terkenal dalam kalangan pengunjung luar lebih-lebih lagi setelah menjadi viral di sosial media. Bagi tujuan berlibur dan berekreasi pada hujung minggu, para pencinta alam semulajadi dan yang berjiwa adventure pasti memilih lokasi air terjun ini. Keindahan Air Terjun Pelangi sangat mengasyikkan umpama berada di satu dunia yang lain, atau pun boleh diandaikan seperti pemandangan dalam filem fantasi. Di sini sungguh sesuai untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti berendam, berenang, sesi fotografi ataupun hanya merenung menghargai alam. Para pencinta alam semulajadi akan terpesona dengan percikan aliran air terjun setinggi 250 meter dan kejernihan kolam air yang dihiasi dengan biasan sang pelangi yang indah.
Air Terjun Jerangkang, Maran
Foto: Google Image
Destinasi reakreasi ini terletak kira-kira 55 kilometer dari Kuantan, Pahang cukup tersohor dalam kalangan pemburu air terjun apabila mendapat pelbagai jolokan antaranya ‘Hilton, Infinity pool dan Shang Ri La’ kerana menyajikan pemandangan air terjun bertingkat selain kolam biru kehijauan. Namun begitu, untuk sampai ke sini, pengunjung perlu melalui trek sejauh lebih tiga kilometer menelan masa dua jam perjalanan sebelum sampai ke ‘base camp’ tingkat 20.
Air Terjun Berkelah, Maran
Foto: Google Image
Air Terjun Berkelah ini terletak di Daerah Maran, Pahang dan kira-kira 45 km dari Bandar Kuantan. Air Terjun Berkelah, Maran Air Terjun Berkelah, Maran. Air terjun ini terdiri daripada tujuh peringkat tetapi menurut data rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, sebenarnya Hutan Lipur Berkelah ini terdapat lebih daripada tujuh peringkat air terjun. Air terjun di peringkat ke 7 mempunyai ketinggian yang beranggaran 50 meter.
Air Terjun Lata Jarum, Raub
Foto: Google Image
Air terjun ini terletak di Hutan Lipur Lata Jarum, daerah Raub, Pahang. Air Terjun Lata Jarum ini juga berdekatan dengan taman rekreasi Pulau Chekas. Kawasan ini sangat sesuai untuk mereka yang sukakan suasana alam semulajadi dan jauh dari kesibukan kota. Selain keindahan dan kecantikan air terjun serta permandangan di sini, keistimewaan lain yang ada di sini ialah kewujudan bunga reflesia. Namun tidak selalu dapat ditemui, kewujudan reflesia di kawasan ini mengikut musim tertentu.
Baca: https://www.libur.com.my/5-lokasi-air-terjun-menarik-untuk-anda-mandi-manda-di-selangor-best-teruk/
Baca: https://www.libur.com.my/10-lokasi-air-terjun-sekitar-malaysia-ada-sesuatu-buat-ramai-kelu/
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Percutian Menarik Ke Lombok, Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Ke Sana?

Luangkan masa untuk meneroka Lombok dan menikmati pelbagai aktiviti yang tawarkan. Berjemur, snorkeling, menyelam, bersantai, berenang, kayak laut, spa bertaraf dunia, bermain golf, menunggang, atau pengembaraan berkonsepkan eko pelancongan. Semuanya ada di Lombok!
Lombok secara majoriti didiami penduduk yang beragama Islam sebanyak 85%. Lombok mempunyai lapangan terbang bertaraf antarabangsa di daerah Praya. Sebelum ini, lapangan terbangnya terletak di Selaparang, bahagian timur Lombok. Meskipun Lombok pernah dijajah oleh kerajaan Majapahit, tidaklah sukar untuk anda mencari makanan yang halal. Antara hidangan yang mesti cuba ialah Ayam Taliwang.
Merupakan pulau yang kaya dengan keindahan alam, ia terletak di bahagian timur Bali termasuk di dalam gugusan Nusa Tenggara Barat (Lombok dan Sumbawa). Tidak kira sama ada anda seorang backpackers, mereka yang ingin berbulan madu atau bercuti secara berkumpulan, Lombok merupakan lokasi percutian ideal yang pastinya tidak mengeringkan poket anda.
Dengan pelbagai aktiviti yang dapat dilakukan di sini, percutian sepanjang tiga ke empat hari di sini pastinya membuatkan rutin harian anda sarat dengan aktiviti. Percutian sempurna pastinya bermula di tiga pulau yang indah. Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air yang dikelilingi dengan pasir putih dan lambaian pokok-pokok kelapa melambai yang terletak di lautan yang berkilauan di kawasan barat laut Lombok.
Selama beberapa tahun, Gilis telah menarik pelawat dari di seluruh dunia untuk perairan yang bersih buat aktiviti skuba dan snorkeling. Apabila anda tiba di Lombok, Pulau Gili Trawangan antara lokasi pilihan pelancong kerana keindahan pantai dan kemudahan yang disediakan. Pulau Gili Trawangan berkeluasan 35km persegi ini yang di awal kemunculannya diterokai oleh para backpackers kini mempunyai 30 penginapan berkonsep vila dan resort.
Mesti Tahu
Apa yang menariknya, tiada kereta atau motosikal di tiga kepulauan Gili di mana bentuk utama pengangkutan selain daripada berjalan kaki adalah dengan kereta kuda yang digelar oleh penduduk tempatan dengan panggilan Ciodomo.
Selain itu, terdapat dua pulau berdekatan dengannya iaitu Gili Meno dan Gili Air. Setiap sudut pulau menjadi lokasi untuk para penyelam dan aktiviti santai sepanjang pantai. Di pulau ini, ternyata terumbu karang di sekitar pulau masih belum tercemar dan hidupan akuatiknya menjadi tumpuan para pencinta alam.
Kalau anda mendambakan inapan mewah, menjejakkan kaki di suatu kawasan bernama Senggigi pula pasti menemukan anda dengan hotel, resort dan vila bertaraf lima bintang. Tambahan pula, kawasan ini lebih ‘havoc’ pada waktu malam kerana adanya pusat hiburan untuk para pelancong. Pastinya peluang untuk berlibur di Batu Bolong Temple, Senggigi Art Market dan Kerandangan Valley tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
Kalau suka akan cabaran, apa kata anda cuba aktiviti treking di Pergunungan Rinjani. Pengunjung juga boleh menggabungkan perjalanan di sini dengan menginap di Gili dan Senggigi sebelum memulakan langkah menjelajah Rinjani. Kebanyakan operator untuk aktiviti treking berpengalaman luas dalam menyediakan alatan, panduan, air, makanan dan keadaan cuaca bagi memastikan perjalanan berjalan dengan lancar.
Di sini, pengembara bakal bertemu dengan salah satu kawah besar yang dikenali sebagai Tasik Segara yang terletak kira-kira dua ribu meter di atas paras laut. Kawah ini merupakan tempat gunung berapi yang aktif di abad ini. Terdapat empat hot springs yang wujud di sini di mana salah satunya dipercayai oleh penduduk tempatan mampu untuk mengubati penyakit tertentu.
Pengalaman mendaki gunung dengan pemandangan mengagumkan dan kemudahan ekspedisi serta treking telah menjadi faktor utama di mana Taman Negara Rinjani telah berjaya untuk merangkul anugerah di National Geographic World Tourism Award pada tahun 2004.
Salah satu tempat yang turut menjadi tumpuan mereka yang gemarkan tanah tinggi ialah Malimbu – bentangan laut biru bersama alunan ombak-ombak kecilnya bagaikan panorama indah yang jelas terlihat di depan mata ketika menghadap laut dari tebing bukit. Ke mana pun jua lemparan mata memandang, pemandangan di Malimbu sungguh memukau. Di sini juga, pengunjung boleh melihat Gunung Berapi Agung yang terletak di bahagian timur Bali dan barat Lombok.
Info:
Mataram adalah ibu kota Lombok Barat Nusa Tenggara. Pekan ini sebenarnya terdiri daripada empat bandar-bandar yang berbeza Ampenan, Mataram, Ulu (Cakra) dan Sweta. Ampenan mempunyai kebanyakan tarikan, termasuk Muzium Nusa Tenggara Barat yang memberikan gambaran terbaik budaya tradisi Lombok dan Pulau Sumbawa.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Chiba Prefecture! Destinasi Menarik Buat ‘First Timer’ ke Jepun

Sebenarnya susah juga nak memulakan artikel ini kerana semuanya menarik di Chiba. Sapaan angin sejuk di muka, sewaktu berjalan sekitar bandarnya adalah sebuah pengalaman ringkas namun menakjubkan, selain cosplay gaya Jepun membawa kita ke kehidupan lakon sebenar masyarakat di sini, amat menyeronokkan.
Itu ringkasan pengalaman melawat Chiba. Ternyata Jepun ada banyak tempat menarik lain dan bukan hanya di bandar Tokyo. Wilayah Chiba atau Chiba Prefecture salah satunya. Tinggalan sejarah dan destinasi singgahan zaman edo Jepun, menjadikan Chiba destinasi unik, malah tempat ini juga mesra muslim sesuai untuk percutian keluarga atau eksplorasi solo.
Dimana sebenarnya Chiba?
Jepun mempunyai 47 prefecture atau pun wilayah. Chiba prefecture adalah salah satunya dalam kawasan Kanto. Ia terletak bersebelahan bandar Tokyo. Jika nak dibandingkan dengan Malaysia, Chiba seperti negeri Melaka, manakala Tokyo adalah seperti bandar Kuala Lumpur.
Suhu
Waktu kunjungan Libur ke tempat ini, suhu adalah sekitar 3 – 6 darjah celcius. Ini pada Februari lalu. Sentiasa perhatikan musim dan suhu tempatan sebelum berkunjung ke luar negara. Bolehlah mempersiapkan diri dengan apa yang diperlukan.
Bagi mereka yang tidak tahan sejuk, bawalah jaket winter, sarung tangan, penutup mulut dan hidung (mask) jika cuaca menjadi terlalu sejuk dan berangin, baju panas heattech atau long john serta pad pemanas untuk diletakkan di dalam poket (Baca Persediaan Bercuti Luar Negara di Musim Sejuk)
Sesejuk manakah sejuk? Jika pernah berkunjung ke Cameron Highlands di Malaysia pada musim hujan, cuaca disini adalah dua atau tiga kali ganda lebih sejuk. Malah pernah turun pada suhu negatif celcius. Tangan dan muka menjadi cepat kering akibat sejuk dan terasa kebas jika terdedah dengan udara sejuk terlalu lama. Tapi walau sesejuk mana, cuaca berbeza inilah yang kita cari.
Tempat menarik di Chiba
DAY 1
Naratisan Shinshoji Temple
Setibanya di Narita Airport, kami bergerak menuju ke Naratisan Omotesando Street di mana terdapatkan kuil Naritasan Shinshoji. Memasuki tempat ini seperti berada di sebuah perkampungan kecil, penuh dengan upacara keagamaan dan ritual kepercayaan mengikut fahaman Buddha.
Kuil, binaan, batuan dan aspek arkitektur yang terdapat di sini terbina sejak beratus tahun lalu dan dipelihara sehingga ke hari ini.
Kemudian kami berjalan pula di luar. Cuaca dingin membuatkan penat berjalan tidak terasa meskipun kami sedikit mendaki bukit, sambil leka memerhati kehidupan harian masyarakat di sini yang menjual dan berniaga pelbagai jenis barangan daripada cenderamata, makanan dan barangan unik Jepun.

Yoneya Tourist Centre
Selepas puas berjalan, makan tengahari di Yoneya Tourist Centre juga di jalan Naritasan Omotesando. Restoran di sini menghidangkan makan halal. Pertama kali menikmati set hidangan Jepun rasa teruja.
Ia dihidangkan lengkap satu set daripada pemula, menu utama hingga ke manisan. Konsep makan di Jepun mengutamakan kesegaran. Jika makanan panas, ia hendaklah dihidang panas-panas dan dinikmati pada waktu itu juga. Jangan terkejut jika anda perlu menyiapkan sup sendiri di atas meja.
Sammu Narutou Area
Mungkin ada yang merasakan petik strawberi dekat Malaysia pun boleh buat. Tetapi percayalah, strawberi yang dipetik segar disini manis dan enak. Mengubah persepsi selama ini yang tidak percaya ada strawberi rasa manis.
Kami berkunjung ke Aiban Strawbery Farm, di mana sekeliling ini juga terdapat banyak ladang buah dan sayuran lain. Bayaran sekitar 1000 yen untuk membolehkan kita menikmati sebanyak mungkin strawberi dalam masa 30 minit. Teringat-ingat sampai balik ke Malaysia.
Choshi Railway Station
Kereta api merupakan pengangkutan utama di Chiba. Jika hendak melihat sejarah dan stesyen kereta api terawalnya, berkunjunglah ke Choshi Railway Station.
Inubosaki Hotel
Sekitar jam 6 keadaan sudah gelap disini. Perbezaan waktu antara Malaysia dan Chiba, lebih kurang satu jam lebih awal di Chiba. Kami dibawa menginap di Inubosaki hotel. Ia bersebelahan laut dan terdapat kolam air panas dibina untuk pengunjung hotel. Tapi perlu diingatkan, untuk memasuki kolam air panas disini anda perlu menanggallkan semua pakaian. Lebih baik rendam sahaja kaki di kolam air panas berasingan dan nikmati pemandangan lautan pasifik yang cantik. Disini juga ada beberapa penguin yang menjadi residen tetap. Beritahu kami kalau mereka masih ada sewaktu anda berkunjung ke Inubosaki Hotel.
DAY 2
Inubosaki lighthouse
Tidak jauh daripada hotel Inubosaki terdapatnya rumah api Inubosaki yang dibina oleh arkitek British pada 1874. Rumah api ini merupakan salah satu daripada 100 rumah api bersejarah terbaik di dunia.
Memanjat 99 anak tangga sedikit memenatkan. Tetapi apabila tiba di atas, anda akan terpesona dengan pemandangan lautan pasifik yang sangat cantik. Air dan langit putih biru, seperti sebuah poster, buat anda terlupa seketika perkara lain. Pada musim sejuk dan berangin perlu berhati-hati kerana angin kuat boleh menyebabkan telefon tercampak. Jadi jika nak berselfie, pastikan anda pegang baik-baik telefon itu.
Sunrise Kujukuri
Puas bergambar di Inubosaki, kami menikmati makan tengahari di Sunrise Kujukuri. Ada pelbagai menu daripada mahal (3000 yen iaitu kira-kira RM112 satu hidangan) kepada yang murah. Sambil makan boleh lihat pemandangan laut, dan restoran ini juga ada menjual barangan yang boleh dibuat cenderamata.
Mother Farm
Jangan tidur sewaktu perjalanan ke Mother Farm. Ladang yang terletak di gunung Kanosan ini mempunyai pemandangan yang cantik. Anda akan nampak Teluk Tokyo dan juga Gunung Fuji. Dikatakan pada musim bunga, ia semakin cantik lagi.
Mother Farm bermula sebagai sebuah ladang kecil pemberian dari seorang anak kepada ibunya, kerana itu ia dinamakan ‘Mother Farm’. Namum kini ia menjadi tempat hiburan menarik dan terkenal di Chiba. Jujurnya tempat ini sangat sesuai untuk bawa keluarga terutama dengan anak kecil.
Beri makan biri-biri, bermain dengan haiwan di kandang yang bersih dan terjaga. Juga paling utama saksikan persembahan lakon teater haiwan dimana karektor utama adalah haiwan-haiwan itu sendiri, lucu. Pada sebelah malamnya, Mother Farm akan dipenuhi lampu-lampu dan taman tema kecil akan dibuka untuk bermain Roda Ferris dan banyak lagi.

Umihotaru Parking Area
Sewaktu perjalanan turun dari Mother Farm, Gunung Fuji boleh dilihat dengan lebih jelas. Pada masa sama juga matahari terbenam, pemandangan adalah menakjubkan. Umihotaru merupakan sebuah tempat yang berada di atas lautan dan menghubungkan orang ramai ke bandar Tokyo. Apabila naik ke tingkat lima, ada kawasan terbuka untuk melihat pemandangan Gunung Fuji dan aktiviti sekitar Teluk Tokyo ini. Pada waktu angin kuat, cuaca akan sangat sejuk, pastikan anda pakai pakaian berlapis.

Untuk makan malam, boleh juga hanya makan disini. Umihotaru mempunyai banyak kedai dan restoran. Jika makan di food court, terdapat sistem pesan dan bayar guna ‘vending machine’. Serahkan kupon ke kaunter makanan yang anda mahukan dan anda akan diberi alat keloi yang berbunyi apabila makanan siap. Bagi muslim, perhatikan label menu halal sewaktu membeli, mudah.

Washington Hotel Kisarazu
Malam menjelma, kami menginap di hotel Washington Kisarazu. Sekeliling terdapat kedai-kedai yang masih beroperasi hingga lewat malam. Bolehlah berjalan ke Family Mart atau 7eleven untuk membeli snek. Hotel Kisarazu seperti kebanyakkan hotel lain di Jepun menyediakan kemudahan tv dan program On Demand. Jika terasa nak menonton filem pada waktu malam, dipersilakan.
DAY 3
Kisarazu Station – Yoshikawa Kouen Station
Hari ketiga ini kami lebih banyak berjalan kaki dan menaiki tren. Merasai sendiri pengalaman pengangkutan masyarakat disini, kami dibawa sekitar bandarnya dan diminta untuk perhatikan Chiba City Manhole. Ia merupakan penutup lubang atas jalanraya dengan perincian identiti Chiba. Bukan semua tempat ada, jadi kena cari jika anda hendak mengambil gambarnya.

TAKO Takoyaki
Sambil berjalan kami singgah ke kedai tepi jalan yang kecil sahaja, menjual Takoyaki. Apa boleh dikatakan, Takoyaki di kedai ini sangat lembut dengan sos yang enak, sesuai dengan selera orang Malaysia. Menurut pemiliknya, untuk menghasilkan dan membentuk Takoyaki yang lembut adalah lebih sukar. Ia Halal dan pastinya satu set tidak mencukupi.
Chiba Kun Bussankan – Junnu Shopping Mall
Jika nak merasa gabungan masakan Itali dengan sayuran segar Chiba pula, boleh berkunjung ke Est Bambino dalam Junnu shopping mall. Sayuran disini diambil segar dari ladang Takanashi. Bagi orang disini, kesegaran sayuran adalah penting dan ia nampak indah di atas pinggan dengan warna-warna terang dan menarik.
Nishi Chiba Mosque
Selepas makan, kami dibawa ke Masjid Nishi terletak di Pusat Budaya Islam Chiba. Pada mulanya kami membayangkan ia seperti masjid di Malaysia dengan kubah dan kawasan lapang. Tetapi masjid di sini adalah seperti sebuah surau namun besarnya masih boleh menempatkan jemaah untuk Solat Jumaat. Disini juga menjual barangan dan makanan halal yang diimport dari malaysia, Indonesia, Thailand juga barangan halal Jepun yang lainnya.
Makuhari Hongo Station – Sushi Ichizyu
Usai solat kami bergerak ke restoran Sushi Ichi menaiki tren. Tren disini tepat mengikut masa dan tidak terkurang 1 saat sekalipun tanpa sebab. Jika ingin sampai pada waktuya, pastikan sudah berdiri di stesyen sebelum tren sampai.
Di restoran Sushi Ichizyu kami belajar cara membuat sushi. Buat sushi tak semudah yang disangkakan. Ada teknik perletakkan jari dan cara yang betul untuk menggenggam dan mengalihnya. Semuanya adalah seni dalam penghasilan makanan ruji Jepun ini. Bagi yang tak biasa, mahu tergeliat juga tangan membuatnya.
Hotel Port Plaza Chiba
Malam ini kami menginap di Hotel Port Plaza Chiba. Setibanya dalam bilik kelihatan sejadah, set kiblat dan tasbih. Mereka cuba menjadikan bilik disini mesra Muslim untuk menarik pengunjung Malaysia dan juga Muslim dari negara lain. Satu yang saya suka sepanjang berada di hotel di Chiba adalah kelengkapan bilik airnya. Tandas dengan fungsi automatik, saya sanggup bayar jika ada di Malaysia. Sejurus duduk, permukaan tandas akan menjadi panas dan selesa. Bukan hanya di hotel, kemudahan ini juga ada di tempat-tempat lain seluruh Jepun.
DAY 4
Boso-no-Mura
Tempat wajib singgah dan luangkan lebih masa di sini jika berkunjung ke Chiba. Rasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat Jepun, dimana kita akan dibawa melalui transasi pakaian, makanan dan rumah dari zaman kuno ke zaman moden. Lihatlah binaan arkitektur Jepun, perkampungan seperti kampung Samurai dan kedai yang mempamerkan seni asli Jepun.
Pada mulanya anda perlu menukar pakaian di Cosplay Annex. Boleh pilih pakaian tradisional seperti Kimono, Ninja atau pakaian lebih moden. Kemudian masuk ke perkampungan Jepun ini untuk menyelami budaya dan kehidupan mereka secara langsung. Jika bernasib baik, anda boleh lihat rakaman filem disini yang lazim digunakan sebagai set untuk cerita-cerita lama. Boso-no-Mura ini seperti Hollywood Jepun.
Kanetaya Sakaemachi
Kami kemudian dibawa ke restoran yang turut menghidangkan menu halal. Restoran ini diwarisi dari generasi ke generasi sejak lebih 150 tahun lalu. Paling tidak boleh dilupakan adalah kek khas yang dibuat disini, dihidangkan bersama krim dan buahan segar, sangat enak. Ia merupakan resipi keluarga dan pastikan anda membeli yang tiada alkohol.
Sawara City
Apa yang boleh dikatakan, ini adalah pengalaman paling menenangkan dalam trip ini. Menyusuri sungai Sawara dalam cuaca dingin sungguh menyamankan. Pada zaman dulu, pekan Katori ini dihubungkan melalui sungai, dimana eksport utama adalah beras. Urusan melalui sungai adalah lebih mudah berbanding pengangkutan lain. Pemandu bot akan bercerita sambil anda boleh membayangkan kehidupan sejarah lepas menerusi bangunan rumah dan kedai yang masih dikekalkan.
Mereka ada undang-undang lokal yang mengatakan bangunan baru tak boleh dibina disini. Sebahagian besar rumah yang dilihat disini terbina sejak dari zaman Edo dan masih ada orang yang tinggal. Sawara City ini juga popular sebagai lokasi set filem. Antaranya filem The Rising Sun (Thailand) dirakamkan disini.
Membeli Belah
Aeon Mall
Tentunya di Chiba atau di tempat-tempat lainnya di Jepun, terdapat banyak Aeon Mall. Tarikan lazim utama buat orang Malaysia tentunya Daiso. Anda boleh lihat barangan Daiso yang tidak terdapat di Malaysia. Cenderamata, belilah disini.
Mega Don Quijote Narita
Juga berdekatan dengan Narita Aeon Mall adalah Don Quijote. Tempat ini juga seronok untuk membeli belah daripada cenderamata, kelengkapan rumah, barang penjagaan kulit dan banyak lagi dijual murah. Ramai yang borong coklat Kit Kat, Hada Labo, dan juga benda-benda unik lain disini.
Marroad International Hotel Narita
Hotel ini dekat dengan Narita Airport, kira-kira 15 minit perjalanan untuk anda kejar penerbangan balik ke Malaysia. Rezeki kami pada malam sebelum balik itu, dapat merasai salji yang turun lebat sekitar jam 10 malam. Ketahui ramalan cuaca dan suhu jika anda nak merasai pengalaman yang sama.
Chiba Memanggil
Banyak lagi tarikan lain yang boleh dikunjungi di Chiba. Antaranya Kamogawa Sea World, Sakura City (bandar Samurai), Tokyo Disney Resort, Country Farm Tokyo German Village di Gunung Nakogiri dan untuk membeli belah seperti di Mitsui dan Shisui Premium Outlet.
Chiba buat mereka yang pertama kali berkunjung ke Jepun menawarkan dua pengalaman berbeza iaitu moden dan juga tradisional, sesuai untuk semua peringkat umur. Jika nak berkunjung ke Tokyo, perjalanan hanya sekitar 40 minit.
Anda masih boleh pulang ke kawasan yang kurang sibuk dan berehat di tepi laut sambil merendam kaki di kolam air panas yang melegakan. Menyandar dan mengimbau pengalaman siang tadi menikmati kek lembut yang enak, menghirup sup yang panas, menyusuri perkampungan indah gaya ala Jepun dan membawa pulang cenderamata dan kenangan yang pasti akan memanggil semula anda ke Chiba.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Raikan Hari Wanita Dengan ‘Pusing Selangor’ Ke Destinasi Menarik Ini!

Sempena Hari Wanita Sedunia, berikut merupakan 5 tempat yang boleh dikunjungi bersama insan tersayang atau rakan wanita anda di Negeri Selangor pada Hari Wanita Sedunia tahun ini!
1. Sarapan Pagi di Q BISTRO, SS15 Subang Jaya

Q BISTRO ialah restoran yang memenangi anugerah khusus dalam masakan menu Malaysia. Ia adalah restoran pertama di Malaysia yang menjamukan “Menu Kegemaran Malaysia” semuanya di bawah satu bumbung.
Q Bistro menawarkan makanan seperti nasi lemak, roti canai, roti bakar, mini pau dan dim sum stim. Q Bistro ialah salah satu peneraju utama dalam perniagaan makanan dan minuman di Lembah Klang, dan cawangannya di SS15, Subang Jaya amat digemari oleh penduduk setempat.
Alamat : Lot No, 103, Jalan SS 15/4c, Ss 15, 47500 Subang Jaya, Selangor.
2. Kembangkan Kreativiti Anda Di Clay Expression Enterprise, Subang Jaya

Clay Expression adalah tempat untuk mengembangkan kreativiti anda melalui pembuatan tembikar. Tenaga pengajar disini melatih mereka yang ingin menjadikan pembuatan tembikar sebagai hobi, menjadi artis seramik, untuk memulakan kerjaya perguruan baharu atau untuk melegakan tekanan.
Pembuatan tembikar adalah lebih daripada mengubah bola tanah liat menjadi sebuah bentuk objek yang diinginkan.
Melalui proses pembelajaran, ia memerlukan anda untuk menyentuh dan merasa tanah liat yang sedang anda hasilkan tersebut. Sangat menarik, ia menenangkan fikiran dan mampu membantu menumpukan perhatian anda. Selain dari itu, ia juga mencabar keazaman anda, mengembangkan ekspresi diri, serta meregangkan kemahiran dan imaginasi anda.
Alamat : 757, 5, Jalan Subang 3, Kawasan Perindustrian Uep Subang Jaya, 47500 Subang Jaya, Selangor.
3. Beli-belah Di Central i-City, Shah Alam
Pusat Beli-belah Central i-City di Negeri Selangor, ialah Pusat Beli-belah serantau antarabangsa yang pertama di Negara ini dan terletak di Seksyen 7, Shah Alam, iaitu 22 kilometer dari Kuala Lumpur.
Pusat Beli-belah ini adalah sebahagian daripada i-City, sebuah projek pembangunan yang dipromosikan oleh Kerajaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. Pusat Beli-belah adalah salah satu contoh terbaik bagi menggambarkan gaya hidup serta unsur hiburan yang terdapdi Negeri Selangor.
Alamat : No. 1, Persiaran Multimedia, Seksyen 7, Jalan Plumbum 7/102, I-City, 40000 Shah Alam, Selangor.
4. Bersiar-siar Di Taman Maya, Eco Ardence, Setia Alam

Taman Maya ialah taman hijau dalam bandar Eco Ardence serta menawarkan pelbagai aktiviti kepada para pengunjung. Di tasik tersebut terdapat sebuah jambatan yang menghala ke pelantar berstruktur empat segi dan bermotifkan harmoni.
Strukturnya menyala pada waktu petang dan malam, menghasilkan imej cermin yang indah di tasik. Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan disini adalah seperti berjoging, berjalan kaki, berbasikal, fotografi dan melihat matahari terbenam. Terdapat juga banyak restoran dan kedai makan di Ardence Lab, yang terletak di sebelah tasik ini.
Alamat : 40170, Persiaran Setia Alam, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor.
5. Santai Malam Di Uptown Relax Faithful Nature / Santai, Setia Alam

Santai Setia Alam berkonsepkan pasar malam atau Uptown, terkenal dalam kalangan penduduk setempat dan menawarkan pelbagai barangan yang berpatutan dan murah, serta makanan dan minuman terbaik yang lazat. Dibuka setiap hari dari jam 6 petang hingga 12 pagi, ia menyediakan suasana yang menyenangkan untuk anda akhiri lawatan sehari anda ke Negeri Selangor!
Alamat : 27, Jalan Setia Trade, Bandar Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor
Kredit: Tourism Selangor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI