
Ipoh antara bandar banyak tinggalan bangunan sejarah British. Antaranya Menara Jam Memorial J.W.W Birch. Menara ini terletak bersebelahan Masjid Negeri Perak. Umum tahu tentang peristiwa yang pernah berlaku di Pasir Salak sewaktu penjajahan Inggeris (British) pada 1875 apabila residen pertamanya di negeri Perak, JWW Birch dibunuh oleh pahlawan tempatan.
Pasir Salak merupakan sebahagian daripada Kampung Bandor yang menerima kemasukan Inggeris pada tahun 1874 selepas dijemput oleh Raja Abdullah untuk campur tangan dalam konflik yang timbul antara beliau dengan Raja Bendahara, Raja Ismail.Insiden campur tangan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk selepas kerajaan Inggeris mula mengutip cukai daripada kegiatan perdagangan di Bandor.
Lebih buruk lagi, kedatangan Inggeris seperti mendabik dada apabila langsung tidak mahu mempelajari adat, adab dan budaya masyarakat tempatan serta menghormati raja pemerintah. Mereka di Perak khususnya Pasir Salak umpama diktator dan sesiapa yang ingkar akan dihukum. Pada waktu itulah, bangkit para pahlawan Melayu yang berang dengan sikap JWW Birch seperti Datuk Sagor, Datuk Maharajalela dan Si Puntom.
Residen British Perak yang pertama iaitu J.W.W Birch (3 April 1826 – 2 November 1875). Birch telah dibunuh dengan kerjasama Dato Maharaja Lela dan rakan-rakannya iaitu Datuk Sagor, Siputum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim, Ngah Jabor dan lain-lain. Beliau dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875. Kerani Melayunya, Mat Arshad, turut terbunuh dalam peristiwa tersebut. Kemudian, kesemua pahlawan Melayu tersebut telah dihukum mati.
Menara jam ini dibina pada 1909 bagi memperingati ulang tahun kematian ke 34 Birch. Jam yang dibina dengan kos 25,000 pound sterling ini dirasmikan oleh Residen British Perak ke-8 diketika itu iaitu Sir Ernest Woodford Birch.
Menara Jam Memorial Birch, lihat satu patung diputihkan…Siapa patung itu?

Ernest; anak sulung kepada J.W.W Birch dan menjadi Residen Perak dari tahun 1904 hingga 1910. Pada memorial jam ini, Sir Ernest Woodford Birch berdamai dengan Sultan dan pembesar-pembesar Melayu diketika itu agar tidak melupakan kisah pembunuhan bapanya itu dan berharap agar hubungan baik diantara pihak British dengan Perak selepas peristiwa tersebut dapat diteruskan demi pembangunan pesat negeri Perak.

Menara ini mempunyai 1 jam besar berukuran 6 kaki x 6 inci serta 4 jam kecil dan disertakan sistem untuk dibunyikan sama seperti Menara Jam Big Ben di bangunan Parlimen di London. Di empat penjuru atas jam tersebut diletakkan empat patung terakota yang mengambarkan empat prinsip pentadbiran British iaitu Kesetiaan (digambarkan dengan patung yang memegang pedang dan perisai), Keadilan (digambarkan dengan patung buta yang memegang neraca), Kesabaran (digambarkan dengan patung yang tiada senjata) dan Ketabahan (digambarkan dengan patung dengan riak muka tenang dan memegang tombak). Terdapat lukisan yang mengambarkan figura pembangun tamadun-tamadun dunia di keempat-empat sisi menara jam tersebut. Salah satu daripada 44 figura tersebut ialah imej Nabi Muhammad. Namun imej Nabi Muhammad itu telah dipudarkan dengan cat putih pada 1990-an setelah sekian lama mendapat bantahan bukan sahaja oleh penduduk beragama Islam di sekitar Ipoh dan Malaysia.

Travelog Seorang Pesara Dalam Kembara Beliau Ke Switzerland of India

Travelog ke India ini adalah perkongsian daripada En. Samsudin Ibrahim. Beliau merupakan seorang pesara dan telah bercuti ke India bersama-sama keluarga beliau. Jadi jom kita ikuti kisah beliau bersama keluarga di sana. Selamat membaca..
Catatan perjalanan ke India
Saya sebenarnya telah lama menyimpan perasaan untuk ke India kerana beberapa sebab.
Antaranya kerana ini negara arwah bapa saya dan kerana mahu melihat sendiri apa yang pernah saya dengar dan lihat menerusi cerita dan filem samada hindi mahupun tamil.
Jadi pelawaan abang saya untuk India Utara tidak saya lepaskan. Lawatan pertama saya ini adalah seramai empat orang yang terdiri daripada saya, isteri, abang dan kak ipar dimana kami semua dari Pulau Pinang. Kami bertolak sehari awal dari Pulau Pinang dan bermalam berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur. Esoknya semasa hari masih lagi gelap kami telah menempuh perjalanan ke KLIA2.
Penerbangan mengambil masa 5 jam 30 minit dan jarak masa antara Kuala Lumpur dengan New Delhi dibezakan lebih kurang 3 jam. Ini bermakna jika anda naik flight di KLIA2 pada pukul 9 pagi, anda akan tiba disana pada pukul 2.30 petang Malaysia tetapi di sana baru pukul 11.30 pagi.
Perbezaan masa di antara Kuala Lumpur dan New Delhi adalah lebih kurang 3 jam
Rumah Tengah Laut & Tiada Elektrik, Kehidupan Bajau Laut Sabah Dicemburui

Menjejakkan kaki ke daerah Sipadan tidak kira berapa ratus kali sekalipun tidak langsung menjemukan. Selain tujuan utama untuk bercuti di pulau-pulau indah atau melakukan aktiviti selaman dasar laut di kawasan ini, ada lagi beberapa perkara menarik yang perlu pengunjung singgah. Antaranya melawat penduduk asal suku kaum di sini iaitu masyarakat Bajau Laut.
Mampu atau tidak masyarakat moden hari ini untuk melalui kehidupan sebegini. Berkeluarga di kawasan laut yang luas dan menginap di dalam sebuah rumah yang kecil dan daif tanpa sebarang keperluan asas yang lengkap?
Sesiapa sahaja akan tertarik untuk mengetahui lebih mendalam gaya kehidupan orang Bajau Laut ini, selain hanya melihat melalui portal atau akhbar. Kehidupan yang serba kekurangan, tanpa sebarang bekalan elektrik atau bekalan air bersih namun ada senyuman disebalik setiap bibir mereka. Pada siang hari, cahaya matahari terik menemani mereka namun pada malam hari hanya bintang dilangit atau cahaya pelita setia menerangi saban waktu.
Hidup dalam serba kekurangan tetapi ramai yang iri hati kerana kehidupan mereka jauh dari tekanan kota, bebas hutang dan pencemaran alam sekitar.
Sumber Foto: Hak Milik Libur
Sejak bertahun-tahun sehingga kini, suku kaum Bajau Laut tinggal di dalam bot beralaskan lautan (lepa) atau pondok kecil yang tinggi diperbuat daripada kayu atas terumbu karang. Kehidupan mereka bergantung kepada sumber laut semata-mata dengan menangkap ikan, mengutip kupang dan kerang selain memungut mutiara di pulau-pulau terpencil.
Sumber Foto: Hak Milik Libur
Terdapat kira-kira 15 buah rumah di setiap pulau dengan majoriti penduduknya sekitar 100 penghuni yang terdiri daripada warga emas, orang dewasa, remaja, kanak-kanak dan bayi.
Sumber Foto: Hak Milik Libur
Suku kaum Bajau Laut terikat dengan laut dan jarang sekali mereka menjejakkan kaki ke daratan. Ada sumber yang mengatakan jika mereka berada di daratan beberapa hari mereka akan ‘mabuk darat’. Jadi mereka hanya akan turun ke darat atas urusan menjual hasil tangkapan, mendapatkan bekalan air bersih dan sumber kayu sahaja sebelum terus pulang ke penempatan asal di laut.
Sumber Foto: Hak Milik Libur
Bajau laut adalah penyelam yang luar biasa dan hampir kesemua mereka memang dapat menguasai seni menyelam sehingga jauh ke perut laut sambil menahan nafas selama yang mungkin. Ini penting demi menyara keluarga dengan menangkap ikan, udang kara, timun laut dan hidupan laut yang lain.
Sumber Foto: Hak Milik Libur –
Selain bahasa dialek daerah itu, kebanyakan daripada mereka boleh bertutur bahasa Melayu dan ada juga boleh berbahasa Inggeris dengan kefasihan yang biasa. Ini dilakukan demi menjual hasil laut kepada pelancong. Anak-anak kecil juga dilihat ada yang menghafal beberapa baris ayat atau perkataan atau hanya menyebut beberapa perkataan mudah untuk berkomunikasi atau tawar-menawar dengan pelancong.
Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv
Jika berkunjung ke Pulau Tatangan untuk melihat dengan dekat kehidupan suku kaum Bajau Laut ini, keadaan agak sedikit mencabar kerana penghuninya sedikit agresif. Melihat sahaja bot pelancong menghampiri penempatan mereka, kelihatan kayak dan perahu didayung dengan laju ke arah mereka.
Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv
Ramai pelancong dan pengujung dilihat sedikit gementar dan terkejut apabila masyarakat bajau laut di sini seolah-olah mengepung bot untuk mendapatkan apa yang dibawa. Ada juga yang terus merampas apa sahaja barang yang ingin diagihkan tanpa memperdulikan permintaan baik si pemberi.
Oleh itu, ada sedikit tip untuk anda agar tidak menunjukkan kesemua makanan atau barang yang ingin diberikan kepada mereka untuk elakkan perebutan yang ‘maha dasyat’. Jaga barang-barang peribadi anda dengan baik agar tidak direntap sesuka hati.
Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv
Berbeza dengan penduduk Bajau Laut di Pulau Mantabuan atau Pulau Sibuan, kehadiran pelancong lebih selesa apabila berpeluang mendekati mereka dengan lebih selesa untuk bertanya khabar. Penduduknya juga sangat peramah, walau tidak mampu berkomunikasi dengan baik. Ada juga penduduk bajau laut yang bijak mengambil peluang dengan membuka kedai menjual jajan dan minuman kepada pelancong yang singgah ke perkampungan mereka.
Selain daripada senarai yang dinyatakan, ada beberapa lagi lagi perkampungan dan penempatan Bajau Laut disekitar ini yang meneruskan kehidupan seharian dengan aman dan damai bersama komuniti mereka. Antaranya perkampungan suku kaum Bajau di Pulau Mabul.
Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv |
Namun jauh di sudut hati, penulis sayu dan sedikit sedih melihat kehidupan komuniti ini. Dari sekecil-kecil anak, remaja, golongan ibu hingga ke warga emas masih mengamalkan amalan ‘meminta-minta’ untuk mendapatkan duit dan pelbagai alasan diberikan antaranya lapar. Tidak tahulah sejauh kebenarannya. Tetapi di depan mata penulis sendiri sewaktu bot berhenti di satu pulau yang didiami suku kaum bajau, terdapat sekumpulan anak kecil sedang menghabiskan sisa-sisa makanan pelancong di tepi bot-bot yang sedang tersusun. Habis segala makanan dalam periuk dikikis hingga licin sewaktu mendapat peluang tersebut.
Pastikan sebelum melawat suku kaum bajau laut ini, pengunjung membawa sedikit buah tangan untuk mereka seperti gula-gula, jajan, buah-buahan, pakaian, kain selimut atau alat solekan. Mereka pasti menghargai pemberian kecil anda ini.
Terima kasih Tourism Malaysia
Malaysia Antara 10 Destinasi Mesra Muslim Pilihan Pelancong Dunia

Destinasi mesra muslim berdasarkan kepada kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan negara-negara berkenaan kepada pengunjung Islam seperti makanan halal, restoran bersijil halal, kemudahan masjid dan tempat tarikan keluarga.
Selepas beberapa penelitian di buat, 10 negara ini telah dicadangkan sebagai destinasi mesra muslim pilihan pelancong dunia.
-
Malaysia
Penekanan terhadap produk halal terutama makanan membuatkan pelancong tidak gusar atau risau untuk melancong di Malaysia. Kebanjiran restoran berasaskan makanan Timur Tengah juga antara faktor tarikan pelancong dari negara tersebut memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.
Selain mudah mendapat akses makanan halal, Malaysia merupakan antara negara yang mudah bagi pelancong Islam menunaikan solat tidak kira di mana mereka berada, termasuk di kompleks membeli-belah dan juga di lapangan terbang.
Pelancong sememangnya amat kagum dengan produk Islam yang ada di Malaysia. Kebiasaannya pelancong Muslim yang datang akan dibawa ke Taman Tamadun Islam di Terengganu, melawat seni bina bangunan di Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan Muzium Kesenian Islam di Masjid Negara. Rata-rata pelancong luar juga amat tertarik dengan kraftangan dan produk kesenian Melayu seperti batik yang menjadi pilihan utama untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.
2. Mesir/ Egypt
Mesir terletak di utara benua Afrika antara negara yang begitu dekat di hati para pelancong Muslim dari serata dunia. Tentunya kerana kota ini memiliki salah satu daripada mercu keajaiban dunia, iaitu piramid yang mencetuskan seribu satu misteri. Di bahagian utara Mesir pula, Iskandariah, iaitu bandar raya kedua terbesar selepas ibu negaranya, Kaherah terkenal sebagai bandar pelabuhan antara yang paling sibuk di dunia. Iskandariah turut memukau pandangan dengan keindahan pesisiran pantai Laut Meditteranean yang indah membiru dan sering menjadi pilihan utama kepada pasangan untuk berbulan madu!
Selain keunikan alam semula jadi, negara ini menyimpan beribu-ribu artifak khazanah berharga dan bersejarah dari zaman purba, zaman Firaun yang mencapai taraf peradaban dunia sehinggalah kepada pelbagai dinasti kerajaan Islam yang sangat gemilang suatu masa dahulu. Kelebihan Mesir adalah mempunyai suhu udara dan laut yang menyenangkan terutama di musim sejuk, keramahan penduduk tempatan, cahaya matahari sepanjang tahun, pantai indah, hidupan akuatik, gunung bibikal, keindahan gurun yang romantis, lembah subur sungai Nil sungai kedua terpanjang di dunia, dan sejarah.
3. Emiriah Arab Bersatu (UAE)
Gabungan unik moden dan tradisional menjadikan UAE antara destinasi pelancongan paling digemari pelancong Muslim di dunia pada masa kini dengan tawaran pelbagai pakej pelancongan yang pastinya memuaskan. UAE kini muncul sebagai negara yang mempunyai bandar paling moden di dunia, tempoh pembangunan terpantas yang pernah dilakukan dalam tamadun manusia. Tidak hairanlah jika rekod kemasukan pelancong melalui aktiviti pelancongan dan perdagangan di UAE khususnya di Dubai sejak beberapa tahun kebelakangan ini mencecah angka jutaan orang setiap tahun. Tarikan sebenar semestinya pada struktur tertinggi di dunia, Burj Dubai (818 meter) yang menjadi binaan paling kerap dirakamkan gambar.
Satu lagi tarikan adalah Burj Al-Arab, hotel bertaraf tujuh bintang yang pernah menjadi hotel tertinggi di dunia (333m). UAE menawarkan pelbagai tarikan pelancongan bagi pengunjungnya. Keseronokan bercuti bersama keluarga di negara ini dapat dipastikan dengan membawa mereka ke Taman Tema yang terdapat disana seperti Al-Nasr Leisure Land , Wild Wadi Water Park dan Aquaventure (Atlantis The Palm). Tidak ketinggalan, bermandi-manda dan bersantai di pesisiran pantai di Jumeirah Beach Park.
4. Turki
Sekiranya anda bercadang melancong ke Turki, rancanglah untuk mengunjung seberapa banyak tempat menarik. Turki merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua. Menikmati pemandangan indah Selat Bosphorus, yang memisahkan benua Eropah dan Asia, dari atas Bukit Camcila di Istanbul, sememangnya memberi satu kepuasan kepada pengunjung. Peluang berdiri di atas bukit di benua Asia, menghadap ke bahagian Eropah, sudah pasti mata akan terpaut dengan keindahan dan pembangunan pesat Istanbul, sebuah kota yang mempunyai peninggalan sejarah empayar-empayar terdahulu seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.
Lokasi ini menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan pelancong, tetapi penduduk tempatan untuk bersantai terutama pada hujung minggu. Selain itu jangan lupa untuk berkunjung ke Istana Sultan zaman Ottoman yang telah dijadikan muzium. Terdapat pelbagai barangan yang tidak terhitung nilainya seperti emas permata, intan berlian, pakaian raja, pedang sahabat Nabi serta peralatan yang pernah digunakan oleh Rasulullah. Janggut Rasulullah juga disimpan di dalam muzium tersebut. Ini menjadikan Turki sebagai lokasi idaman setiap pelancong yang mencakupi dari pelbagai keindahan khususnya seni bina, budaya, tamadun serta tarikan alam semula jadi. Oleh itu, tidak hairanlah Turki menjadi destinasi yang paling gemar dikunjungi pelancong selain sebagai negara mesra Muslim.
5. Arab Saudi
Dua kota suci, Mekah dan Madinah yang terletak di Arab Saudi sentiasa menerima tetamu Islam dari seluruh pelusok dunia. Rata-rata mula memasuki kedua-dua kota suci ini sebagai persiapan untuk menunaikan ziarah umarah atau ibadah haji. Walaupun berkunjung ke Madinah bukanlah sesuatu yang diwajibkan, namun ia menjadi satu kemestian bagi jemaah umrah atau haji. Ini kerana di Madinah banyak kesan sejarah peninggalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Di kota ini juga terletak Masjid Nabawi, masjid kedua termulia selepas Masjidil Haram yang di dalam kawasannya terletak makam Rasulullah SAW dan para sahabat iaitu Saidina Abu Bakar dan Umar Al Khattab. Selain daripada itu, di Madinah juga letaknya tanah perkuburan Baqi, Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud dan pelbagai lagi tempat bersejarah.
Di samping itu, kota yang semakin pesat membangun ini juga mempunyai banyak pusat membeli-belah sesuai buat pelancong yang mahu membawa pulang cenderamata kepada keluarga dan sahabat handai. Bagi yang berkesempatan, bolehlah berkunjung ke bazar kurma atau terus ke ladang kurma untuk membeli pelbagai jenis kurma yang segar. Begitu juga dengan pelbagai jenis kacang.
6. Indonesia
Rata-rata masyarakat Muslim dunia apabila menyebut tentang Bali, Jakarta dan Bandung, Indonesia semua sudah mengenalinya. Boleh dikatakan itu sudah menjadi destinasi perlancongan wajib jika teringin ke Indonesia. Bali merupakan sebuah pulau di Indonesia yang masyhur sebagai pulau yang memiliki pantai-pantai yang indah dan bersih serta pemandangan alam yang cantik. Bali kini turut dikenali sebagai pusat pelancongan utama bertaraf antarabangsa. Terdapat banyak pantai perkelahan utama di Bali seperti Kuta, Ubud, Nusa Dua, Sanur, Seminyak, Denpasar, Candidasa dan Lovina. Manakala Jakarta pula sememangnya mempunyai daya pesona luar biasa kerana kedudukannya sebagai ibu kota negara Indonesia telah perkembangan sebagai pusat pemerintahan, perindustrian dan kebudayaan.
Selain itu daerah Bandung di Indonesia pula terkenal dengan elemen kebudayaan dan kekayaan alam semula jadinya. Bandung menyediakan peluang membeli-belah dari gedung terbesar hingga ke deretan kedai di lorong-lorong seperti di Chiampelas dan Jalan Riau. Jika ke Bandung, kunjungan pelengkap semestinya lawatan ke gunung berapi Tangkupan Perahu yng mana pengunjung boleh melihat pemandangan di permukaan kawah gunung berapi dan panorama indah di sekelilingnya.
7. Maghribi/ Morocco
Maghribi atau Morocco dalam bahasa Inggeris, merupakan negara yang cukup indah untuk dilawati. Kedudukannya di utara benua Afrika menyaksikan kepelbagaian bentuk muka bumi daripada kehangatan gurun Sahara, kedinginan banjaran Atlas sehinggalah kepada kedamaian cuaca pesisiran laut Mediterranean. Khazanah yang paling istimewa di negara ini pastinya adalah peninggalan tamadun Islam yang masih kekal berdiri. Pelancong pasti teruja dapat melawat Makam Sultan Mohammed V di bandar ini. Tarikan yang tidak kurang menariknya di kawasan makam itu adalah Menara Hassan yang merupakan menara daripada masjid yang tidak pernah lengkap pembinaannya sejak 1196 masihi.
Menara yang ketinggian 400 meter itu merupakan sebahagian daripada masjid yang diarahkan bina oleh Sultan Yacoub al-Mansour. Masih kekal sehingga kini adalah ratusan tiang masjid serta bahagian dinding masjid itu yang tidak disiapkan, namun ia tetap menjadi tumpuan para pelancong. Struktur binaan masjid ini juga diiktiraf oleh UNESCO dalam senarai warisan dunia.
Jangan lupa juga untuk singgah di Marrakesh, bandar yang dikatakan paling pesat dengan industri pelancongan bukan sahaja di Maghribi tetapi di benua Afrika. Kedudukan bandar ini adalah di utara kaki bukit pergunungan Atlas yang bersalji. Bandar ini menjadi kegemaran pelancong kerana kedamaian cuacanya serta lokasi strategiknya iaitu untuk resort ski di gunung Atlas atau ke kawasan padang pasir Gurun Sahara.
8. Jordan
Di Jordan, ada beberapa kisah sejarah yang masyhur sebagaimana yang dicatatkan di dalam Al-Quran. Demikian juga Laut Mati yang berkait dengan kekuasaan Allah terhadap kaum Nabi Luth yang mengamalkan kegiatan homoseksual. Justeru bagi pelancong Muslim, menjejak kaki ke Jordan sudah pasti detik yang ditunggu-tunggu untuk melihat sendiri kesan kedua-dua peristiwa tersebut. Destinasi utama mesti anda singgah jika berada di Jordan adalah Gua Ashabul Kahfi iaitu suatu kisah benar mengenai tujuh pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan cuma bangun 309 tahun kemudian.
Lokasi gua yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Amman ini bersemadinya ketujuh-tujuh pemuda tersebut. Turut dipamerkan adalah artifak seperti takar daripada tembikar selain terdapat sebuah batu bersurat. Satu lagi destinasi wajib jika ke Jordan adalah Laut Mati. Ia terletak kira-kira 50 km dari Amman. Laut Mati bersebelahan dengan negara Palestin yang kini ditakluki oleh Yahudi jelas boleh dilihat dari sini. Terletak di Great Rift Valley, di mana punca airnya dari Sungai Jordan. Ia adalah laut termasin di dunia. Tiada hidupan laut yang hidup di dalamnya kerana kemasinannya yang lima kali ganda laut biasa.
9. Brunei
Brunei di dalam bahasa Arab membawa maksud tempat tinggal yang aman. Tarikan Brunei bagi pelancong beragama Islam semestinya Masjid Omar Ali Saifuddien dan perkampungan Kampung Ayer. Masjid ini diiktiraf sebagi masjid terunik di Asia Pasifik selain menjadi mercu tanda Brunei. Masjid yang menjadi tumpuan ini dibina di dalam sebuah lagun di tepi Sungai Brunei. Menara dibuat daripada marmar manakala kubah utama bersalut emas. Kampung Ayer pula mempunyai tarikan sendiri apabila terdapat rumah terapung milik penduduk yang sangat teratur, terancang dan bersih. Anda tidak akan bosan apabila berkunjung ke Brunei kerana antara tarikan lain adalah Jerudong Park, Muzium Royal Regalia, Istana Nurul Iman dan beberapa pusat beli belah seperti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Hua Ho Department Store dan The Mall. Percutian ke Brunei tidak akan lengkap jika tidak singgah di Pasar Gadong. Di sinilah pelancong boleh mengenali dan merasai sendiri hidangan tradisi masyarakat Brunei seperti Nasi Katok, Selurut, Penyaram dan banyak lagi.
10. Qatar
Qatar merupakan negara kecil yang mempunyai lebih kurang 1.6 juta populasi penduduk yang berpusat di Doha. Qatar bakal menjadi tuah rumah Piala Dunia 2022 mempunyai kemudahan sukan yang lengkap dan menganjurkan banyak acara bertaraf dunia seperti Sukan Asean 2006. Buat pelancong Muslim yang pertama kali menjejak kaki ke bumi Qatar terutama Doha, pasti terkejut melihat kepesatan ekonomi bandar raya ini. Ia kini di sekeliling dengan pembinaan banyak bangunan mencakar langit. Cultural Village Doha yang terletak bersebelahan Pusat Konvensyen Doha menjadi pusat kesenian dengan berbagai aktiviti kesenian. Antara yang menarik adalah Coliseum dimana banyak aktiviti kesenian dijalankan seperti persembahan nyayian dan teater.
Antara binaan unik terdapat di Cultural Village Doha adalah menara burung merpati yang menempatkan beribu-ribu burung merpati membuat sarang di dalam menara berlubang. Jika ingin membeli-belah, tempat paling ideal adalah di Souk Waqif yang terkenal dengan sejarah pembinaannya. Souk Waqif telah dibina semula mempunyai tiga jenis ruang perniagaan, iaitu pasar besar yang menempatkan peniaga borong dan runcit. Kemudian, kedai hasil kraftangan, jahitan, tenunan serta pertukangan serta gerai terbuka untuk peniaga tempatan. Sebaik saja memijak kaki di Souk Waqif, anda akan terpegun dengan kecantikan hasil seni bina warisan Qatar. Anda juga boleh bersiar-siar di Porto Arabia tempat persinggahan kapal-kapal mewah dengan pelbagai saiz. Disebelah Porto Arabia tersergam indah The Pearl iatu gabungan pusat berbelanja barang berjenama dan rumah kediaman.
Negara mesra Muslim mana anda dah jejak?