
Sibu, bandar ketiga terbesar di Sarawak subur menghijau di pinggiran Sungai Rajang dan Sungai Igan serta pekan Mukah terletak di persisiran Laut China Selatan.
Pada awal sebelum tahun 1873 bandar Sibu dikenali sebagai ‘Maling’ disebabkan kedudukan geografi Sibu terletak di Tanjong Maling. Ketika itu, Sibu merupakan bandar utama di sepanjang Sungai Rejang dan memiliki sebuah perkampungan Melayu kecil dan pusat perniagaan masyarakat Cina. Nama Maling kemudian diubah kepada Sibu dan digunakan sehingga hari ini berdasarkan sejenis buah rambutan dikenali buah sibau dalam bahasa Iban.
Kunjungan ke daerah di Bumi Kenyalang ini pasti sangat menarik kerana ia bukan sahaja memiliki sejarah yang unik malah kaya dengan alam semula jadi, budaya dan berbilang bangsa termasuk kaum peribumi. Antara lokasi menarik yang wajib singgah jika berkunjung ke Sibu ialah:
- Muzium Budaya Warisan Sibu
Muzium Budaya Warisan Sibu di Jalan Central yang mempamerkan banyak artifak serta warisan masyarakat etnik tempatan selain susur galur sejarah Sibu.
- Rajang Esplanade
Ambil angin dengan bersantai di persisiran Rajang Esplanade berhampiran Terminal Bot Ekspres. Di situ, tersergam patung angsa gergasi, sesuai dengan nama Sibu yang turut digelar sebagai Swan City.
- Taman Bukit Aup Jubilee
Peluang untuk hirup udara nyaman di Taman Bukit Aup Jubilee sambil menikmati landskap hebat termasuk menara setinggi 59 meter, pondok berkelah, titi gantung dan laluan berjoging.
- Lau King Howe Memorial Museum
Satu-satunya muzium hospital di Malaysia dan ia didirikan di atas permukaan air.
- Masjid An-Nur
Bagi pelancong beragama Islam, wajib singgah ke Masjid An-Nur yang tersergam indah di Jalan Kampung Nyabor untuk menunaikan solat
- Kompleks Islam Sarawak Sibu
Tidak jauh dari Masjid An-Nur, terdapat sebuah bangunan Kompleks Islam Sarawak Sibu yang tersergam megah juga menarik untuk dikunjungi.
- Wisma Sanyan
Singgah sebentar mengambil gambar kenang-kenangan di Wisma Sanyan yang menjadi bangunan tertinggi di Sarawak, sekali gus menjadi lambang kemodenan Sibu.
- Kuil Tua Pek Kong
Kuil ini terkenal dengan keistimewaaan pagodanya. Di hadapan kuil ini, terdapat sebatang pokok besar unik yang usianya mencecah 100 tahun.
- Wong Nai Siong Memorial Garden & Sungai Merah Heritage Walk
Rakam swafoto di Wong Nai Siong Memorial Garden dan Sungai Merah Heritage Walk sebagai tanda ingatan.
- Pasar Sentral Sibu
Pasar ini punya sejarah tersendiri sebagai pasar basah dan kering terbesar di Malaysia. Pasar berbumbung ini menawarkan 1001 jenis barang makanan segar, produk hutan hingga cenderahati. Pasar ini juga terkenal dengan jualan ayam hidup yang dibalut kemas dengan suratkhabar.
- Pusat Perusahaan Pasu Sarawak
Jika gemar akan pasu dari negeri ini, jangan lupa untuk singga di Pusat Perusahaan Pasu Sarawak. Di sini juga pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri cara menghasilkan seni pasu yang turut membentuk identiti Sibu.
- Rumah Panjang Bawang Assan
Terletak 40 minit dari Sibu, pengunjung boleh melawat Rumah Panjang Bawang Assan yang dibina sejak kurun ke 18 dan melihat pelbagai aktiviti penduduk seperti menanam padi serta menangkap ikan.
- Menu Tradisi

Jangan lepaskan peluang untuk mencuba juadah wajib melambangkan daerah itu iaitu Mi Kampua, Mi Sua dan kompia berinti daging yang boleh dibeli di pelbagai restoran, kafe serta medan selera di sekitar bandar Sibu.
Jom, cuti-cuti Malaysia~
Sumber: Sabah Tourism Board | iloveborneo | hmonline
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Pasar Vietnam Bakal Dibuka di Kuala Lumpur. Boleh La Shopping Kain Ela!

Ada berita baik buat anda yang gemar membeli-belah di Vietnam. Tahun hadapan Pasar Vietnam pertama yang mempunyai 200 ruang kedai dijadual dibuka di Kuala Lumpur pada Mac 2020 nanti.


Tidak perlu lagi anda bersusah payah membeli tiket kapal terbang semata-mata untuk membeli-belah di Vietnam. Perkara itu diumum dalam satu majlis di Ho Chi Minh City, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Pasar Vietnam di Malaysia bakal menjadi pusat perdagangan terbesar pertama, hasil kerjasama antara kedua-dua negara. Ia diwujudkan berikutan permintaan barangan dan perkhidmatan Vietnam di Malaysia. Pasaran itu akan berfungsi sebagai jambatan untuk meningkatkan eksport barangan Vietnam ke Singapura, Thailand dan pasaran lain di ASEAN.
Pasar Vietnam itu akan terletak di bangunan Safuan Plaza. Di sini bakal menghimpunkan pelbagai jenis perniagaan yang mengeksport produk pertanian, makanan laut, kraftangan, pakaian, peralatan mekanikal, mesin, kosmetik, teknologi proprietari dan industri perkhidmatan Vietnam, selain menjadi lokasi untuk firma Vietnam mengembangkan operasi di Malaysia.



Pasti pasar ini menjadi tarikan untuk berbelanja lebih-lebih lagi sewaktu tibanya perayaan besar di Malaysia seperti hari raya.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Gathering Bersama Keluarga Dengan Suasana Kampung, Trata’ Leka Pilihan Terbaik

Bila ada masa berkumpul, boleh lah gathering bersama keluarga di sebuah perkampungan nelayan yang dikenali sebagai Trata’ Leka.
Terletak di Kampung Nelayan Benteng Laut, Pantai Leka, Parit Jawa, Muar, Johor, konsep inap desa yang diimplemenkan cukup istimewa apabila masih mempertahankan reka bentuk rumah limas Johor dan Melaka menggunakan kaedah tanggam.
Trata’ Leka

Justeru, bagi anak bandar yang belum pernah merasai pengalaman tinggal di kampung, inilah masanya untuk mencuba kelainan.
Pilihan Tempat Menginap
Ada empat buah rumah tradisional yang disediakan di Trata’ Leka. Masing-masing dinamakan sebagai Rumah Ibu, Rumah Long, Rumah Ngah dan Rumah Acik.

Ada tiga buah rumah tradisi berkonsepkan studio iaitu Rumah Long, Ngah dan Acik supaya anak-anak selesa ketika bercuti.
Bagi menambah seri laman, tempat ini direka bentuk landskap mengikut cita rasa pemilik. Memang tenang dan sedap mata memandang.

Mempunyai Kolam Mandi Besar
Owh ya, di sini ada kolam mandi bersaiz besar, dewan makan dan dewan seminar yang diberi nama Rumah Sidang.

Trata’ Leka juga mempunyai tanah lapang untuk aktiviti santai, barbeku dan kandang haiwan ternakan khas untuk menghiburkan hati kanak-kanak.

Premis ini juga mengalu-alukan kehadiran pengunjung dalam kumpulan besar kerana terdapat kemudahan asrama (Teratak Uda dan Dara) yang boleh memuatkan 60 orang pada satu-satu masa.

Pengunjung bukan sahaja bakal ‘dilayani’ dengan angin pantai dan menjamu mata dengan suasana di pangkalan jeti nelayan berdekatan, malah boleh menikmati makanan laut segar dan menu popular, asam pedas pada harga berpatutan.
Sememangnya, percutian di Trata’ Leka begitu mendamaikan dan sapaan angin bayu di sana bakal membuai nostalgia dan ketenangan anda.

Trata’ Leka
Alamat: Lot 3554, Kampung Nelayan Benteng Laut, Pantai Leka, Parit Jawa, Muar, Johor
Harga: Bermula RM250 hingga RM450
Aktiviti: Team building, hari keluarga dan riadah
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
14 Destinasi Percutian Yang Awesome Di Wilayah Persekutuan Labuan!

Hanya ada tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kedua-dua wilayah seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya sering dikunjungi oleh kebanyakkan rakyat Malaysia tetapi bagaimana pula dengan Labuan?
Pernahkah anda menjejakkan kaki ke Labuan sebelum ini? Atau tahukah anda apa tempat-tempat pelancongan yang menarik untuk dikunjungi di sana?
Sekiranya kita bertanyakan kepada orang ramai lebih-lebih lagi yang berasal dari semenanjung, Labuan sinonim sebagai lokasi tempat carigali minyak dan pengkalan tentera.

Tidak dinafikan fakta itu ada benarnya kerana sekiranya anda berkunjung ke Labuan, memang banyak kapal-kapal minyak yang berlabuh di persisir laut dan kadang-kala kelihatan beberapa pesawat tentera berlegar di ruang udara Labuan.
Namun, di sebalik itu semua, Labuan juga mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang cukup menarik untuk anda lawati. Jadi di sini, kami senaraikan destinasi-destinasi percutian yang menarik untuk anda cuba di Wilayah Persekutuan Labuan!
Kampung Air Patau-Patau II

Perkampungan atas air ini adalah perkampungan nelayan yang didirikan sekitar tahun 1930-an dan majoriti penduduk yang tinggal di perkampungan atas air ini adalah daripada suku Kadayan-Brunei.
Tidak hairanlah konsep seni bina perkampungan atas air dan juga amalan budaya kehidupan seharian masyarakat serta makanan di sini seakan-akan orang di Brunei kerana susur galur jatidiri mereka berkait rapat dengan nenek moyang Kadayan yang berasal dari Brunei.
Kampung Air Patau-Patau II yang menempatkan lebih kurang 60 rumah air dan kira-kira 700 orang penduduk ini pernah musnah satu masa dahulu semasa Perang Dunia Ke-2 akibat dibom oleh tentera Jepun dan telah didirikan kembali selepas perang tamat. Sejak daripada tragedi perang tersebut, perkampungan ini terus kekal di atas permukaan air sehingga ke hari ini.

Bagaimana perkampungan ini boleh berdiri kukuh sehingga puluhan tahun? Jawapannya adalah kerana rahsia penggunaan kayu belian dalam pembinaan rumah di perkampungan tersebut. Kayu belian yang menjadi asas tiang rumah mempunyai struktur yang kuat dan kukuh bagi menampung perkampungan ini dalam jangkamasa yang lama.
Sekalipun perkampunan ini terletak di atas air, Kampung Air Patau-Patau II ini dilengkapi dengan saluran air bersih dan elektrik, talian telefon, lampu jalan, jeti teksi air, kedai runcit, kedai kraftangan, klinik, sekolah, surau dan rumah inap untuk anda meluangkan masa bercuti di sini.
Ada 13 rumah inap di perkampungan atas air ini dengan harga daripada RM70 ke RM80 semalam. Anda risau dengan keadaan cuaca panas di pulau? Jangan khuatir, kerana perkhidmatan rumah inap di sini turut menyediakan kemudahan bilik berpenghawa dingin untuk keselesaan pengunjung yang datang.

Apa yang lebih menarik adalah penginapan anda di perkampungan ini juga boleh ditambah dengan perkhidmatan makanan dengan harga lebih kurang RM10 seorang untuk juadah makan sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam – disediakan sendiri oleh tuan empunya rumah inap.
Selain daripada itu, aktiviti-aktiviti di perkampungan air ini juga boleh direncanakan bersama pengusaha rumah inap bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian anda.
Kampung Bebuloh Laut

Kampung Bebuloh Laut ini juga adalah kampung atas air, sama seperti Kampung Air Patau-Patau II tetapi Kampung Bebuloh Laut ini lebih dikenali sebagai lokasi untuk membeli produk IKS berasaskan ikan bilis yang berkualiti pada harga yang murah.
Tidak lengkap kunjungan anda ke sini sekiranya tidak membawa pulang barang satu atau dua produk ikan bilis yang dijual di sini. Untuk pengetahuan anda, nelayan di sini menangkap ikan terutamanya ikan bilis menggunakan teknik bagang. Bagang ini kelihatan seakan-akan kelong yang digunakan nelayan di tengah laut.





Setiap hari, pengusaha ikan bilis yang ada di Kampung Bebuloh Laut ini mampu menghasilkan 10 hingga 20 bakul besar ikan bilis. Anggaran lebih kurang 50kg ke 100kg ikan bilis setiap hari. Antara ikan bilis yang sering mendapat permintaan adalah Ikan Bilis Putih dengan harga lebih kurang RM40 ke RM60 sekilogram.
Monumen COBSEA

Tahukah anda bahawa pantai ini adalah pantai yang mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pantai paling bersih dan menjadi contoh pengurusan pantai yang terbaik pada 20 September 2008?
Pantai ini dikenali sebagai Labuan United Nation 2008 Beach yang merangkumi 6 pantai yang berada di persisir Pulau Labuan iaitu Pantai Batu Manikar, Pantai Pancur Hitam, Pantai Layang-Layangan, Pantai Sungai Labu, Pantai Sungai Pagar dan Pantai Sungai Miri.

Kawasan pantai ini berada berhampiran dengan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan juga Kelab Golf Antarabangsa Labuan, menjadikan kawasan persisir pantai ini antara kawasan yang kerap dikunjungi oleh orang ramai dan juga mahasiswa yang berada di sana.
Peace Park and Surrender Point
Dikenali sebagai Taman Damai Labuan, destinasi ini menyimpan 1001 sejarah yang amat berharga tentang apa yang berlaku di tanah air kita satu masa dahulu. Nama Taman Damai itu sendiri diinspirasikan oleh kejadian perang yang pernah berlaku pada masa dahulu sewaktu Perang Dunia Ke-2 diantara tentera Jepun dan tentera Bersekutu di Labuan.
Di Taman Damai ini, ada satu memorial peringatan yang didirikan oleh kerajaan Jepun sebagai memperingati korban Perang Dunia Ke-2 dan juga sebagai simbolik persahabatan yang terjalin selepas perang antara kerajaan Malaysia dan juga kerajaan Jepun.


Selain daripada itu, di Taman Damai ini juga boleh didapati beberapa tanda peringatan yang diletakkan sempena beberapa kejadian yang berlaku seperti penyerahan kalah tanpa syarat tentera Jepun selepas perang kepada tentera Bersekutu diketuai Australia.
Sekitar kawasan Taman Damai ini mempunyai lanskap air yang tenang di bawah jambatan melengkung dan di sekitarnya mempunyai gazebo untuk berteduh teduh, menjadikan kawasan ini antara tarikan penduduk Labuan untuk beriadah pada waktu petang di tepi pantai.
Labuan Marina


Lokasi ini adalah tempat kapal-kapal dan bot-bot penumpang berlabuh untuk menaikkan atau menurunkan penumpang dan juga barangan. Di marina ini juga adalah tempat yang perlu anda datang sekiranya ingin merasai dan mengalami sendiri keseronokkan aktiviti air yang terdapat di Labuan di Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil.
Di sekitar marina ini anda akan kelihatan banyak kapal-kapal besar yang ada di sekitar kawasan tersebut. Untuk pengetahuan anda, kapal-kapal besar itu adalah kapal-kapal yang digunakan dalam aktiviti mencari dan menggali minyak di pelantar minyak di tengah laut. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Labuan sememangnya sinonim sebagai kawasan mencari dan menggali minyak.
Taman Laut Labuan, Pulau Rusukan Besar

Taman Laut Labuan ini adalah destinasi wajib yang perlu anda kunjungi sekiranya berada di Labuan kerana di sini terletaknya ‘mutiara Labuan’. Hidupan airnya seperti terumbu karang dan ikan begitu mengasyikkan sesiapa yang berenang dan menyelam di perairan sekitarnya.
Sepanjang persisir pantai Pulau Rusukan Besar ini mempunyai terumbu karang yang sangat cantik dan besar, langsung menjadi ‘rumah’ kepada banyak habitat air seperti ikan nemo untuk menghuni di sini.

Ini kerana sekitar kawasan Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman telah digazetkan sebagai Taman Marin dan segala aktiviti menangkap ikan dan sebagainya adalah tidak dibenarkan – menjadikan kawasan ini terpelihara dari sebarang kegiatan aktiviti manusia.
Keunikkan lain yang terdapat di sini adalah beting pasir sejauh 500 meter di Pulau Rusukan Kecil yang tidak akan tenggelam dek air laut biarpun arus pasang ataupun surut.

Ship Wreck Skuba Terbaik Asia

Tarikan utama di Taman Marin Labuan ini adalah tukun kapal yang tenggelam dan menjadi destinasi skuba yang popular di kalangan penyelam-penyelam skuba. Ada empat buah kapal yang menjadi tukun kepada hidupan laut di sini terdiri daripada 3 kapal kargo dan 1 kapal perang iaitu Australian Wreck, American Wreck, Cement Wreck dan Blue Water Wreck.
Untuk ke Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil ini, anda boleh menaiki bot di Labuan Marina dengan masa perjalanan selama 30 minit sahaja dan di kawasan pulau ini terutamanya di Pulau Rusukan Besar, terdapat pengusaha chelet yang mengusahakan perkhidmatan rumah inap kepada setiap pengunjung yang datang.

Kawasan chelet ini juga berdekatan dengan pejabat Jabatan Taman Laut Labuan yang terletak di Pulau Rusukan Besar, jadi mudah untuk anda mendapatkan informasi mengenaik tarikan air yang terdapat di sekitar kawasan ini.






Muzium Labuan

Muzium Labuan ini terletak berhadapan dengan Dataran Labuan dan di sini adalah tempat yang paling strategik sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut fakta dan sejarah mengenai Labuan sejak daripada zaman Kesultanan Brunei, zaman penjajahan dan sehinggalah Labuan kini terdiri sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Di sini juga tersimpannya satu bahan pameran sejarah berupa kerusi serta meja yang mana ia pernah digunakan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad (masa itu Datuk Seri) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Harris Mohd. Salleh menandatangani dokumen “Perjanjian Labuan” yang menukarkan status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.




Berhadapan dengan muzium ini diantara muzium dan Dataran Labuan, terdapat empat pokok yang besar telah di tanam dan dijaga dalam keadaan baik. Mengikut sejarah, pokok-pokok tersebut telah ditanam sebelum zaman merdeka 1957 dan menjadi simbolik kepada perpaduan antara kaum-kaum utama yang terdapat di Labuan.
Sehingga kini, pokok tersebut masih lagi hidup dan boleh dilawati oleh setiap pengunjung yang datang ke Labuan.
Dataran Labuan

Sebelum mendapat nama sebagai Labuan, tempat ini terkenal dengan nama jolokan Bandar Victoria. Namun, selepas diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan, namanya telah ditukarkan kepada Labuan dan dataran ini adalah pusat kepada segala aktiviti yang terdapat di sana.
Segala acara gadang kebiasaannya akan diadakan di sini. Di sekeliling dataran ini terdapat Panji-panji Pulau Labuan dan negeri-negeri Malaysia berkibar dalam satu barisan dan di penghujung dataran ini terdapat sebuah replika Chimney – mercu tanda yang paling terkenal Labuan.
Ujana Kewangan Labuan (Financial Park Labuan)

Ujana Kewangan atau turut dikenali sebagai Financial Park ini adalah satu-satunya pusat membeli-belah yang terdapat di Pulau Labuan. Di bangunan inilah segala jenis kemudahan akan anda dapati dengan mudah seperti mesin ATM, kedai makanan segera, kedai membeli-belah dan kedai barangan bebas cukai.
Labuan tidaklah sebesar kawasan-kawasan tumpuan yang lain di mana pusat pengumpulan aktiviti penduduk setempat akan berpecah-pecah kepada banyak tempat. Di Ujana Kewangan ini, anda akan dapati suasananya begitu meriah dengan aktiviti masyarakat kerana di sinilah tempat utama untuk penduduk Labuan membeli barangan keperluan.
Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan

Kompleks ini terletak di kawasan pantai Jalan Tanjung Purun dan berada berhampiran dengan pusat bandar Labuan. Objektif pembinaan kompleks sukan air antarabangsa ini adalah untuk menjadi sebuah pusat sukan air bertaraf dunia dan membangunkan lagi tempat-tempat menarik di sekitar Pulau Labuan.
Aktiviti menarik yang boleh dicadangakan kepada anda selain daripada bersiar-siar menikmati pemandangan matahari terbenam disebalik kapal-kapal besar yang berlabuh di kawasan perairan pantai adalah menaiki perahu larai atau perahu layar.


Mengikut daripada istilah bahasa, perahu adalah pengankutan yang kita gunakan untuk bergerak di atas air manakala larai adalah perkataan daripada Brunei yang bermaksud layar.
Pada zaman dahulu, nelayan menggunakan perahu larai atau perahu layar ini untuk ke laut dan dipanggil sebagai berlarai atau berlayar. Dek kerana sejarah masyarakat di Labuan ini dekat dengan masyarakat di Brunei, maka perahu ini tetap dipanggil sebagai perahu larai oleh masyarakat di sana.
Muzium Chimney

Muzium ini adalah destinasi wajib untuk anda yang datang ke Labuan satu masa nanti. Di muzium ini terletaknya satu binaan tinggi yang berusia lebih 100 tahun namun sehingga kini, para pengkaji sejarah masih lagi mencari jawapan sama ada binaan ini dibina sebagai serombong asap ataupun sebagai rumah api untuk isyarat kapal.
Binaan Chimney ini adalah mercu tanda bersejarah terkenal di Labuan setinggi 106 kaki dan di jangka dibina sekitar tahun 1847 menggunakan lebih kurang 23 ribu batu bata merah yang diimport daripada England.


Chimney merupakan monumen penting di Labuan sebagai bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong yang telah berusia lebih seabad dan dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai ‘Punil’.
Gedung Ubat & Chimney Trail
Gedung Ubat ini terletak berhampiran dengan Muzium Chimney. Untuk ke Gedung Ubat ini, anda perlu berjalan di laluan sepanjang lebih kurang 800 meter dari muzium dan dinasihatkan supaya anda memakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk mendaki bukit-bukit manja yang terdapat disepanjang laluan ini.
Ada dua pilihan yang boleh anda pilih untuk meneroka laluan ke Gedung Ubat ini sama ada menggunakan laluan yang pendek dengan jarak 800 meter atau menggunakan laluan yang lebih panjang dan mencabar sekitar 1.8 kilometer.

Tapi jangan salah sangka dengan jaraknya yang jauh. Anda pasti akan terpersona dengan keindahan yang disajikan saat tiba sahaja di Gedung Ubat ini. Pemandangan dari tebing bukit terus ke lautan luas yang terbentang di hadapan mata pasti akan membuatkan segala penat lelah anda berjalan dan mendaki ke sini hilang tiba-tiba.
Di Gedung Ubat ini mempunyai satu tinggalan bangunan lama yang dahulunya digunakan sebagai tempat penyimpanan bahan letupan dan peluru oleh tentera Jepun semasa menakluk Pulau Labuan.
Kenapa pemilihan tempatnya jauh dan terselindung? Ini adalah kerana faktor strategik tempat ini yang sukar untuk dimasuki oleh manusia tanpa disedari oleh pengawal yang menjaga tempat simpanan peluru ini satu masa dahulu.

Taman Burung Labuan

Taman Burung Labuan ini lokasi yang sangat bersesuaian sekiranya anda berkunjung ke Labuan bersama keluarga dan anak-anak. Selain daripada bersama keluarga, buat penggemar burung dan suka untuk mengambil gambar-gambar burung juga boleh datang ke Taman Burung Labuan ini untuk mendapatkan hasil tangkapan gambar spesis-spesis burung yang mungkin tidak terdapat di tempat-tempat lain.
Tempat ini menarik untuk aktiviti yang disebut di atas adalah kerana taman burung ini berkeluasan 6.9 hektar dan menjadi rumah kepada lebih kurang 600 spesis burung. Jadi dengan keluasan yang sebegitu, pasti memberikan kepuasan kepada ‘memburu’ gambar haiwan kegilaan anda itu.

Selain daripada itu, spesis burung yang ditempatkan di dalam sangkar taman ini juga terdiri daripada spesis-spesis terancam dan spesis yang menjadi jolokan kepada sejarah tempatan seperti burung Enggang yang sinonim dengan negeri Sarawak. Oleh itu, anda tidak perlu pergi jauh ke dalam kawasan pendalaman hutan untuk melihat haiwan ini secara lebih dekat, hanya perlu berkunjung ke Taman Burung Labuan sahaja.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!















