Taman Negara Kuala Tahan adalah satu nama tempat yang tak asing lagi bagi rakyat Malaysia kerana ianya adalah lokasi yang menyimpan seribu satu khazanah flora dan fauna alam semulajadi.
Taman Negara Kuala Tahan ni pun terkenal dikalangan penyelidik atau saintis alam sekitar sebab hutan yang ada di sini dianggarkan sebagai hutan yang tertua di dunia – berusia lebih kurang 130 juta tahun, menjangkaui usia hutan yang ada di Amazon! Wow!
Tapi, seronok ke masuk hutan untuk menghabiskan masa percutian – seperti dalam artikel ini, bercuti di Taman Negara Kuala Tahan? Hm, mesti ada antara korang terfikir macam tu kan?
Hahaha, siapa yang kata tak seronok? Kalau korang pandai menggayakan kaedah aktiviti dan itinerari percutian, bercuti di rumah pun boleh jadi cukup menyeronokkan bersama orang tersayang.
Untuk memberikan korang satu pengalaman baru dengan bercuti di hutan – terutamanya dalam suasana dan persekitara alam rimba, di sini Libur nak kongsikan kepada korang beberapa perkara yang perlu korang tahu tentang keseronokkan yang terdapat di Taman Negara Kuala Tahan.
3 jam perjalanan dari KL
Taman Negara Kuala Tahan ini terletak di daerah Jerantut, Pahang. Lebih kurang dalam tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur dan lokasi ini adalah lokasi yang sangat sesuai untuk korang yang suka aktiviti lasak atau nak cuba aktiviti yang mencabar.
Daripada KL ada tiga cara nak sampai ke Taman Negara Kuala Tahan. Korang boleh naik bas atau naik kereta api ke pekan Jerantut. Kalau naik bas, boleh turun dekat pekan Jerantut atau naik kereta api, boleh turun di Stesen Kereta Api Jerantut. Dari pekan Jerantut nak tuju ke jeti Kuala Tembeling, boleh naik teksi atau bas lompat-lompat. Dekat jeti Kuala Tembeling ni boleh naik bot ke jeti Kuala Tahan pula. Kena tahu, bot akan ke jeti Kuala Tahan dari jeti Kuala Tembeling pada pukul 1 petang setiap hari. Jangan terlepas tau.
Kalau nak naik kereta terus ke Kuala Tahan pun boleh, tak ada masalah. Lebih kurang satu jam memandu dari pekan Jerantut. Libur suka orang yang naik pengangkutan awam macam kereta api ni, mencabar sikit! Tapi, ongkosnya agak mahal. Naik bas, naik keretapi, lepas tu naik bot pulak. Boleh cecah RM200 sekepala. Jadi kalau nak jimat kos, naik kereta. Kalau nak pengalaman, naik pengangkutan awam.
Ads
Antara chalet yang ada di Taman Negara Pahang.
Kebiasaannya, Taman Negara Kuala Tahan ni selalu dijadikan tempat untuk orang buat team building atau kursus motivasi tapi percutian keluarga macam family gahtering atau reunion pun boleh korang buat dekat sini. Ada banyak operator yang menyediakan khidmat acara untuk korang pilih dan tempat dan aktiviti pun tak kurang menariknya juga.
Sebut pasal aktiviti, ada beberapa aktiviti menarik yang korang mesti cuba kalau dah sampai ke Taman Negara Kuala Tahan ni macam contohnya, canopy walk. Canopy walk ni tarikan paling popular di Taman Negara Kuala Tahan sebab korang boleh naik ke jambatan gantung dan berjalan daripada pokok ke pokok.
Jambatan gantung 550 meter panjang
Kalau korang nak tahu, jambatan gantung canopy walk ni adalah jambatan gantung atas pokok yang paling panjang di dunia – panjang 550 meter dan berketinggian 40 meter dari permukaan tanah. Tinggi kan? 40 meter tinggi, siapa yang gayat tu, ada baiknya berpaut dekat pokok tu kuat-kuat. Libur risau ada yang menggigil kepala lutut nanti. Hahaha.
Sikit fakta mengenai jambatan gantung canopy walk ni, asalnya digunakan untuk tujuan penyelidikan. Tapi disebabkan jambatan gantung ni popular, ia pun dibuka sebagai tarikan kepada pelancong yang datang. Korang kalau naik ke jambatan gantung ni, Libur bagi jaminan ianya akan menjadi satu pengalaman baru untuk korang menikmati pemandangan dan keindahan flora dan fauna yang ada di Taman Negara Kuala Tahan daripada atas pokok.
Canopy Walk, Taman Negara Pahang.
Selain daripada canopy walk, aktiviti yang biasa dilakukan oleh pengunjung adalah jungle trekking. Jungle trekking dekat Taman Negara Kuala Tahan ni pun terbaik juga sebab kalau korang trekking ke Bukit Teresek lebih kurang dalam 40 ke 50 minit – bergantung pada tahap kecergasan, korang boleh layan panorama Gunung Tahan kalau cuaca cantik.
Bukit Teresek tu berketinggian lebih kurang dalam 334 meter dan laluan nak trekking ke Bukit Teresek tu korang akan lalu bawah teduhan kanopi pokok-pokok yang ada dalam hutan Taman Negara Kuala Tahan. Kalau korang nak rasa udara yang betul-betul segar, cuba lah aktiviti trekking dalam hutan. Udara yang korang hirup bawah kanopi pokok ni tak sama langsung dengan udara yang korang hirup dalam bandar. Cukup berbeza.
Ads
Rapid shooting ala-ala water rafting
Canopy walk sudah, jungle trekking pun sudah, mesti lah nak aktiviti main air kan? Jangan risau, sungai dekat sebelah tu je. Ada aktiviti untuk korang main air. Aktiviti main air yang menarik dekat sini dipanggil sebagai Rapid Shooting. Korang akan naik bot kayu, dan bot tu akan bawa korang pusing dari jeti Kuala Tahan ke Jeti Terenggan melalui leih kurang 7 jeram yang ada di sungai tu.
Tip yang berguna untuk korang, kalau boleh jangan bawa alat elektronik. Boleh kalau nak bawa tapi kena masukkan dalam bekas kalis air supaya tak basah. Korang mesti basah punya bila abang bot tu bawa korang jalan-jalan nanti. Jaga peralatan elektronik korang tu elok-elok, kalau dan terjatuh dalam Sungai Tahan tu nanti, alamatnya ikan la yang pakai, hehehe.
Boleh juga korang deal dengan abang bot tu nak bawa korang pergi ke Lata Bekoh. Dekat Lata Bekoh ni, ada dua aktiviti yang orang selalu buat, sama ada dia nak memancing, atau dia nak singgah ke santuari ikan kelah dekat Lubuk Tenor. Lata Bekoh ni antara hotspot yang ada di Taman Negara Kuala Tahan dalam kalangan pelancong. Kalau korang jenis suka tangkap gambar pemandangan alam semula jadi, Lata Bekoh ni antara kawasan yang Libur cadangkan korang pergi kalau berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan.
Santuari ikan kelah Lubuk Tenor
Dalam perjalanan tu, singgah kejap dekat Lubuk Tenor. Macam Libur kata tadi, ini tempat santuari ikan kelah. Memang menggila ikan kelah yang ada dekat sini. Korang kalau bawa makanan ikan tu – atau tak kisah lah makanan apa-apa – masuk dalam air tu dan bagi makan pada ikan kelah. Korang rasa diorang menggila dekat sekeliling korang, huhuhu. Korang boleh pegang guna tangan lagi tau. Jangan terkejut pulak, kalau silap haribulan, ada ikan kelah yang sama besar dengan betis korang tu. Hahaha.
Ads
Kalau korang datang bercuti dua hari satu malam, Libur rasa aktiviti utama yang Libur bagi kat atas tu pun dah cukup buat korang habiskan masa beraktiviti. Tapi kalau percutian tu agak lama macam tiga hari dua malam, atau korang nak tambah lagi aktiviti bagi padat, boleh try satu lagi aktiviti yang best dekat Taman Negara Kuala Tahan ni iaitu meneroka gua – nama omputih dia cave exploration.
Santuari Ikan Kelah, Lubuk Tenor, Taman Negara Pahang.
Ada gua batu kapur di Taman Negara Kuala Tahan ni yang menjanjikan satu pengalaman baru kepada anda iaitu Gua Daun Menari, Gua Kepayang Besar dan Gua Kepayang Kecil. Sebaik saja korang sampai ke gua-gua ni, korang akan diberikan taklimat keselamatan itu dan ini. Korang kena dengar semua apa yang disampaikan oleh penunjuk arah. Yela, untuk keselamatan korang juga kan?
Peralatan akan disediakan tapi Libur nak bagi tip, lampu dan sarung tangan bawa lebih untuk diri sendiri. Takut la tiba-tiba nanti dekat sana lampu tak cukup ke apa, sarung tangan habis ke macam mana, tak ada lah korang terkial-kial. Jadi ada baiknya kalau korang siapkan satu untuk kegunaan diri sendiri bila buat aktiviti masuk gua ni.
Aktiviti sampingan di Taman Negara
Okay, itu aktiviti utama bila ke Taman Negara Kuala Tahan. Ada juga aktiviti sampingan lain kalau anda nak buat bersama keluarga atu kawan-kawan masa bercuti ke Taman Negara Kuala Tahan ni contohnya macam melawat perkampungan orang asli di sana, atau bird watching. Geng photographer mesti suka bird watching ni sebab ada lebih kurang 380 spesis burung yang dikenalpasti, hidup di Taman Negara Kuala Tahan.
Eh, Libur sibuk bercerita aktiviti-aktiviti yang kita boleh buat dekat Taman Negara Kuala Tahan ni, tapi tak cerita benda-benda asas nak ke sini. Okay, kalau korang nak masuk Taman Negara Kuala Tahan ni, korang kena ada permit dan lesen tau. Permit tak mahal, hanya seringgit setiap seorang dan lesen RM10/- kalau korang bawa joran nak memancing dan RM5/- kalau ada bawa kamera.
Gambar hiasan. Sungai Tembeling, Taman Negara Pahang.
Bayaran ni, hanya bayaran yang dikenakan oleh Jabatan Perhilitan pada korang yang masuk Taman Negara Kuala Tahan tau. Sekitar Taman Negara Kuala Tahan ni, ada ramai operator tempat penginapan, bot, makanan, dan aktiviti. Jadi harga yang itu, korang kena survey dulu sebelum nak pergi ke Taman Negara Kuala Tahan. Tapi Libur cadangkan kalau korang datang nak bermalam di Taman Negara Kuala Tahan ni, korang camping je. Jabatan Perhilitan amik seringgit je sekepala untuk semalam. Hehehe.
Okay, Libur rasa itu saja perkongsian berkenaan Taman Negara Kuala Tahan. Kalau ada perkongsian lain, nanti Libur ceritakan dalam artikel yang akan datang. Selamat bercuti!
Maklumat lanjut mengenai penginapan di Taman Negara Kuala Tahan, sila layari laman sesawang Mutiara Taman Negara.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Percutian bajet adalah keyword yang popular tetapi ia banyak terhad kepada percutian dalam negara sahaja. Jadi di sini, Libur senaraikan 10 negara luar negara yang boleh anda bercuti tanpa mengorbankan terlalu banyak wang simpanan anda.
Nicaragua
Merupakan salah satu negara terbesar di Amerika Tengah dan kini popular dengan mereka yang dalam bajet. Tarikannya terletak pada pekan yang berwarna-warni, ombak untuk meluncur dan budaya tempatan yang menarik. Tidak lupa juga dengan accommodation yang berpatutan! Double rooms boleh didapati dengan harga $6 (RM24.96) dan makanan boleh didapati dalam harga $3(RM12.48).
Turki
Siapa lagi yang perlu memperkenalkan negara ini kepada anda? Terkenal dengan budaya Timur dan Barat bertemu dan bersatu, makanan yang menyelerakan juga pemandangan yang menakjubkan, pastikan anda sampai ke sini sekali seumur hidup. Juadah terkenal Shawarna diletakkan harga $2 (RM8.32) dan hostel boleh anda diami dengan harga $20/semalam (RM83.20). Pengangkutan juga dalam harga yang berpatutan!
Sri Lanka
Di sini anda boleh tidur di tepi pantai dan makan di dalam kafe dengan harga serendah $20/semalam (RM83.20). Ada bas yang akan membawa anda dari satu hujung pulau ke hujung yang satu lagi dengan harga $20 (RM83.20) manakala sewaan kereta seharian akan menelan belanja $55-70 (RM228.80-291.20). Makanan pula anda boleh dapat dengan harga serendah $2 (RM8.32).
Kemboja
Merupakan salah satu negara di Asia Tenggara yang paling banyak dikunjungi kerana kekayaan budaya setempat, makanan yang enak serta nightlife, ia merupakan negara yang kurang maju jika mahu dibandingkan dengan Thailand dan Vietnam. Makanan boleh didapati dari julat harga $1-3 (RM4.16-12.48) di restoran dan penginapan bermula dari harga $4-20 (RM16.64-83.20). Anda boleh juga menyewa tuk-tuk sepanjang hari dan melawat Angkor wat dengan harga $13 (RM54.03).
Nepal
Selain dari anda melihat panorama banjaran Himalaya, banyak lagi aktiviti lain untuk dilakukan di Nepal. Nikmatilah makanan yang sedap dan menarik yang ada sehingga lewat malam serta berjalan-jalan di jalan Kathmandu ataupun lihat monyet memenuhi kuil (dari jauh ya!). Hotel bajet bermula dari harga $5-25 (RM20.80-104) dan makanan boleh anda dapat dengan harga $2 (RM8.32)!
Thailand
Mungkin ramai dari kita yang tahu akan mengenai shopping heaven di sini tetapi bukan itu sahaja yang Thailand ada. Thailand terkenal dengan negara yang menyediakan tempat penginapan yang termurah sekali yang bermula dari $4-40 (RM16.64-166.40) bergantung di mana anda menginap di pulau ini dan makanan pula anda boleh dapat dari harga $0.65-5 (RM2.70-20.80) bergantung di mana anda mahu makan. Bas hanya memakan kos $0.25 (RM1.04) manakala Skytrain dan Metro pula $0.50-1.50 (RM2.08-6.24) per trip.
Peru
Merupakan antara negara paling meriah dan kaya dengan budaya setempat di Amerika Selatan, dan juga terkenal dengan kos perbelanjaan yang murah. Cuba datang ke negara ini pada bulan April dan Mei atau September dan Oktober di mana kos penginapan paling murah. Bilik dorm bermula dengan harga $8 (RM33.28) manakala hotel bajet terletak pada julat harga $30-50 (RM124.80-208). Makanan boleh anda dapati di gerai tepi jalan atau pasar pada harga $1-2 (RM4.16-8.32) atau $4-6 (RM16.64-24.96) di restoran tempatan. Transportasi juga terletak dalam harga yang berpatutan – tambang teksi dalam harga $8 (RM33.28) dan bas dalam bandar berharga $0.50-1 (RM2.08-4.16) per trip.
Indonesia
Yang ini sememangnya tidak perlu lagi diperkenalkan kebenarannya dari segi percutian bajet. Anda boleh sahaja cari penginapan dan transportasi yang murah dengan membuat ‘kajian’ menyeluruh sebelum anda ke sana. Minta pendapat rakan yang sering ke sana atau cari sahaja cerita-cerita pengalaman mereka secara atas talian. Anda pasti tidak akan menyesal!
Romania
Jika anda seorang penggemar seni, Romania adalah salah satu negara yang mesti anda kunjungi. Bilik dorm boleh anda dapat serendah $8 (RM33.28) dan double rooms pula dalam $40 (RM166.40). Makanan pula anda boleh dapat dengan harga $5 (RM20.80). Bas dan kereta api anda boleh nikmati dengan harga $1 (RM4.16) sehala. Setiap museum dan juga tempat-tempat menarik mengenakan tiket berharga $5-10 (RM20.80-41.60), maka nikmatilah kesenian bandar ini sebanyak mungkin!
Afrika Selatan
Percutian ke Afrika Selatan kini lebih berpatutan kerana turun naik mata wang. Datanglah ke sini pada bulan Mac ke Mei dan September ke Oktober di mana tidak terlalu ramai pengunjung dan cuaca yang terbaik. Trip ke safari, museum dan banyak tempat menarik lain akan menjadikan percutian anda ke sini sangat memorable. Makanan akan menelan kos sekitar $4-7 (RM16.64-29.12) manakala bilik dorm yang ringkas akan memakan kos sekitar $10 (RM41.60).
Jadi,tunggu apa lagi?
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Salah satu destinasi percutian penuh fantasi, The Wheel Estate Campsite di Chuping Perlis yang berkonsepkan angkasa lepas idea curi perhatian ramai.
Ini sebenarnya merupakan tapak perkhemahan bertemakan angkasa lepas dan galaksi dengan signatur bulan bersaiz gergasi diletakkan di tengah kolam.
The Wheel Estate Campsite Tempat Penuh Fantasi
Sebuah kafe kubah lut sinar juga menjadi tambah nilai kepada The Wheel Estate Campsite.
Semua ini adalah hasil titik peluh pemilik, Jasmine Say dan suaminya yang berangan mahu mewujudkan tempat persaraan yang penuh fantasi.
“Kami sangat gembira apabila sambutan yang diberikan sangat orang ramai sangat memberangsangkan, meski baru dibuka secara rasmi pada November tahun lalu. Setiap bilik laku keras pada hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya.
Tempat Ini Ada Dua Jenis Khemah Kubah
Mengulas lanjut, Jasmine berkata, pihaknya menawarkan lima jenis penginapan dengan keunikan tersendiri.
Tempat ini menyediakan dua kamar jenis khemah kubah bersaiz 6 meter iaitu Jupiter dan Saturn yang boleh memuatkan hingga enam orang. Lengkap dengan kemudahan tandas, pantri, katil dan pendingin hawa.
Haa… apa yang menarik, binaan bulan yang ditempah khas itu mempunyai teknologi penjimatan kuasa dengan tetapan nyalaan lampu secara automatik pada waktu malam.
Apabila menjelang malam, perkampungan glamping dan tapak perkhemahan ini kelihatan sungguh indah dan menjadi bertambah romantik dengan panorama purnama mengambang penuh.
Empat lagi unit iaitu Mars, Mercury, Venus dan Neptune sesuai untuk empat orang dengan kemudahan tandas kongsi yang terletak bersebelahan khemah.
Buat pengunjung yang mahukan pengalaman bermalam di kamar berbeza, empat pilihan khemah Diamond Wooden dan lapan lagi jenis rumah kayu desain A boleh dipilih.
Lapan tapak perkhemahan lengkap dengan kemudahan asas juga disediakan kepada pengunjung yang membawa perkakas peribadi.
Caj sebanyak RM50 dikenakan setiap satu petak.
Boleh Bermalam Campervan
Berita baik kepada anda yang berminat untuk merasai kehangatan bermalam di dalam kenderaan rekreasi, campervan, pihak The Wheel Estate Campsite turut menawarkan servis sewaan.
Harga yang kami tawarkan hanya RM380 semalaman. Boleh dikatakan caj yang dikenakan lebih murah berbanding tempat lain.
Ada Banyak Aktiviti
Bagi menghilangkan rasa bosan, pelbagai aktiviti menarik ditawarkan seperti memancing, berenang di kolam mandi, berbasikal, memanah dan bermain golf, selain bermain di atas trampolin gergasi.
Jika tidak mahu berpanas, pengunjung cilik boleh bermain pelbagai jenis aktiviti indoor seperti baling damak dan snuker mini secara percuma.
Lokasi:
The Wheel Estate Campsite Alamat: Lot 3862, Lorong 7(B) Belukar Lenga, Chuping, Perlis Waktu operasi: 8 pagi hingga 9 malam Pakej harga: RM80 hingga RM320 Facebook: The Wheel Estate Campsite Instagram: @thewheelestate.my
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Mendengar nama Sungai Amazon sahaja ramai yang mengetahui bahaya dan rahsia alam ngeri yang menanti di sepanjang sungai yang melintasi beberapa negara Amerika Selatan seperti Peru, Colombia, Brazil, Bolivia, Venezuela, Ecuador,dan Guyana.
Jika diabadikan di dalam filem-filem atau dokumentari, Sungai Amazon seringkali dimomokkan serta dikhabarkan sebagai sungai yang sangat bahaya di dunia dan perlu dielakkan untuk dikunjungi. Mana tidaknya, kawasan disekitar Sungai Amazon didiami oleh komuniti peribumi yang masih tidak mengecapi arus permodenan. Mereka masih mengamalkan cara hidup kuno seperti memakan daging manusia dan sama sekali tidak menerima dan mengalukan kedatangan orang luar.
Selain itu, hutan dan sungai Amazon juga terkenal dengan haiwan pembunuh seperti ikan pirana, annaconda, buaya, serangga beracun dan binatang-binatang buas yang lain. Ada sebab atau tidak untuk anda menghabiskan masa selama hampir tiga tahun semata-mata untuk bersiar-siar di sepanjang sungai hutan Amazon? Semestinya ia kerja gila jika anda mempunyai impian untuk bercuti di sini!
Namun, seorang warga Britain, Ed Stafford membuktikan itu bukan perkara mustahil. Pada tahun 2010, dia yang berumur 34 tahun ketika itu mencipta sejarah apabila menjadi manusia pertama berjalan di sepanjang Sungai Amazon selama 860 hari.
Setelah meninggalkan dunia ketenteraan dan berpangkat seorang kapten, dia berasa sangat bosan dengan rutin pekerjaannya di pejabat. Ketika itu ada seorang rakan sekerja yang memberitahunya bahawa belum ada lagi manusia yang pernah dan ingin untuk berjalan disepanjang Sungai Amazon. Ed Stafford menganggap kenyataan rakannya itu sebagai satu cabaran pada dirinya.
Akhirnya dia tekad untuk melepaskan jawatan dan melakukan misi gila saranan rakannya. Ed Stafford bersama seorang rakan baiknya, Luke Collyer telah memulakan perjalanan pada 2 April 2008, meninggalkan Samudera Pasifik di bahagian selatan Peru. Pada awalnya, Ed Stafford merasakan bahawa perjalanan menjelajahi hutan sungai Amazon itu akan memakan waktu sekitar satu tahun, namun anggapannya itu ternyata silap.
Pada satu ketika di Peru, sekumpulan komuniti orang asli telah menangkap dan memenjarakan dia bersama rakannya itu kerana disyaki menjadi pembunuh haiwan sebelum dibebaskan selepas 48 jam ditahan. Luke Collyer pulang ke rumahnya setelah hanya mampu bertahan tiga bulan menjelajah bersama Ed Stafford. Mungkin rakannya beranggapan misi ini mustahil dan tidak patut diteruskan demi keselamatan diri
Namun, Ed Stafford tetap ingin meneruskan ekspedisi berjalan melalui hutan sebelum menemui seorang pekerja renjer hutan Peru, Sanchez Rivera. Setelah dipujuk Sanchez Rivera yang berumur 31 tahun sedia untuk membantunya sebagai penunjuk arah dan menemaninya sehingga ke lokasi penamat.
Sepanjang perjalanan, Ed Stafford dan Sanchez Rivera terpaksa berhadapan dengan pirana, ular anaconda, pusaran air, arus banjir, hujan tanpa henti, digigit ribuan nyamuk, dan penyakit berjangkit. Mereka juga perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada buaya Caiman yang panjangnya hingga 18 kaki.
Mereka berdua hidup dengan memakan pirana dan bahagian dalam pohon palm, serta berhenti seketika diperkampungan orang asli yang dikenali Sanchez Rivera di sepanjang sungai. Tetapi ancaman terbesar adalah masyarakat pribumi disitu yang telah dianiaya selama puluhan tahun oleh penguatkuasa wilayah, sehingga kaum ini sering curiga dan sering melakukan kekerasan kepada pengunjung asing.
Namun demikian, selama dua setengah tahun Ed Stafford tidak menyerah. Mungkin kerjaya sebagai seorang tentera pada masa lalu banyak membantunya untuk meneruskan kelangsungan hidup walaupun sukar. Dia bersusah payah berenang, naik semula ke batas disepanjang tepian sungai dan melangkah secara perlahan sambil menebas hutan dengan parang.
Kira-kira 85 kilometer lagi berjalanan sebelum tiba di lokasi penamat, Ed Stafford pengsan akibat kepenatan melampau. Walau bagaimanapun dia tetap menyambung perjalanan selepas berehat selama beberapa jam.
Ketika hampir tiba di lokasi penamat, Ed Stafford dan Sanchez Rivera kemudian berlari ke arah Lautan Atlantik di pantai Crispim Brazil, yang merupakan lokasi penamat jelajah Sungai Amazon.
Segala pengalaman indah dan detik sukar untuk menjadi manusia pertama berjalan menyusuri Sungai Amazon ini telah dibukukan dalam sebuah jilid berjudul Ed Stafford Walking The Amzon.
Ekspedisi itu melibatkan kos sebanyak AS$100,000 (RM315,200) yang ditaja oleh beberapa syarikat dan sumbangan. Sepanjang misi bahaya ini dia mendapati bahawa banyak pokok hutan ditebang sekali gus menyebabkannya memahami lebih mendalam mengenai peranannya untuk melindungi Amazon dan berusaha mengatasi masalah perubahan cuaca.
“Saya telah diberitahu bahawa saya akan mati. Namun, saya tidak mati. Saya kini berada di sini. Saya membuktikan bahawa jika anda mahukan sesuatu, anda boleh melakukannya,” katanya.
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...