
Setiap orang mempunyai kisah tersendiri jika menggembara ke negara orang. Tidak kira secara solo atau berkumpulan.
Bagi seorang sahabat Backpacker Buddies Malaysia Siti Noridah, turut menyimpan pengalaman ketika bercuti secara solo ke Pakistan.
Menurutnya terdapat sejarah hitam di sebalik keindahan Tasik Attabad, Pakistan. Tasik ini sangat terkenal di kalangan pelancong kerana keindahan airnya yang bewarna turquoise dan biru kehijauan adalah tasik jadian yang baru sahaja terbentuk pada 2010.
Malah dikatakan tasik ini terbentuk akibat kejadian tanah runtuh yang sangat besar dan dahsyat sejak tahun 2020.
Turut dikatakan seramai 20 nyawa terkorban apabila sepanjang 24 kilometer Karakoram Highway tenggelam dan berkubur dalam tasik berkenaan.
Sejarah Hitam Tasik Attabad, Pakistan
Antara kejutan paling besar semasa saya mengembara solo di Pakistan 8 tahun yang lepas adalah – kewujudan sebuah tasik bernama Attabad.
Tak sangka rupanya dari Upper Hunza saya perlu menaiki bot meredah Tasik Attabad untuk sampai ke Karimabad, Hunza Valley.
Semasa saya merancang perjalanan ke Pakistan, memang tak ada langsung info yang saya jumpa mengenai tasik ini. Almaklumlah, buku panduan Lonely Planet tentang Pakistan yang paling terkini pada waktu itu pun diterbitkan pada tahun 2008. Memang sudah sangat ketinggalan infonya.
Nak dijadikan cerita, tasik Attabad ini sebenarnya adalah tasik jadian yang baru sahaja terbentuk pada tahun 2010. Ya, tasik ini bukan tasik semulajadi. Malah, ada kisah pahit tentang bagaimana boleh terbentuknya tasik ini.
Orang-orang tempatan di situ menceritakan kepada saya, tasik ini sebenarnya terbentuk akibat kejadian tanah runtuh yang sangat besar dan dahsyat pada tahun 2010. Rentetan kejadian, air sungai telah naik sehingga terbentuknya tasik ini. Tambahannya lagi, sepanjang 24 kilometer Karakoram Highway telah tenggelam dan terkubur di dalam tasik ini.
Yang menyedihkan lagi bila saya dapat tahu seramai 20 nyawa telah terkorban dan berpuluh-puluh rumah orang tempatan di kampung Attabad ini telah musnah sama sekali. Ribuan lagi orang tempatan telah terjejas teruk akibat terputus hubungan kerana satu-satunya jalan darat di situ iaitu Karakoram Highway telah pun tenggelam.
Maka sejak itu, mereka tiada cara lain dan terpaksa menggunakan bot penumpang untuk bergerak dari Upper Hunza ke Karimabad.
Tambang bot cuma 200 Pakistani Rupees (lebih kurang RM5) sahaja untuk perjalanan selama 2 jam merentas tasik Attabad. Bot kayu yang dicat dengan warna warna terang ini sungguh koboi gayanya. Orang ramai bersesak lompat ke dalam bot, duduklah di mana-mana yang kamu sukakan.
Pemandu bot cepat sahaja menggemudikan bot yang dilatari dengan bunyi enjin yang sangat memekakkan telinga. Hidung pula terpaksa menahan bau minyak yang kuat dan menyesakkan paru-paru. Entah berapa limit muatan orang pun tidak dikisahkan. Soal keselamatan memang jauh dari fikiran mereka, jadi jangan berminpilah untuk pakai life jacket di sini, kelibatnya pun tak ada langsung.
Mereka ini memang terbukti sejenis bangsa survivor. Banyak kes yang saya dengar, lori truk membawa barang-barang dari China yang ditenggekkan di atas bot terbalik dan tenggelam ke dasar tasik.
Ada juga kereta yang pernah jatuh dan tenggelam begitu sahaja. Macam-macam lagilah cerita tragis yang saya dengar. Saya terfikir, mungkin juga pernah ada orang yang tenggelam dan lemas di sini? Wallahuallam. Tetapi, apa pilihan yang mereka ada?
Setelah bertahun-tahun, syukur alhamdulilah penderitaan orang tempatan di sini berakhir bila kerajaan China dengan “baik hati” membantu Pakistan membina terowong dengan menebuk dinding-dinding batu gunung.
Akhirnya pada bulan September tahun 2015, terowong Attabad yang memakan belanja sebanyak 275 juta US siap dan sudah boleh digunakan oleh orang tempatan. Pastinya rakyat tempatan sangat berterima kasih dengan kerajaan China sekali lagi yang sentiasa ada untuk membantu mereka yang sedang dalam kesusahan.
Sekarang, dah tak perlu risau pun untuk merentas ke Upper Hunza dengan naik bot koboi lagi. Perjalanan 2 jam dengan bot koboi sekarang dah berganti dengan perjalanan selama 15 minit melalui terowong canggih buatan China. Bot koboi sekarang kebanyakannya dah pun bertukar menjadi bot yang membawa tourist bersiar-siar di sekitar tasik ala-ala cruise.
Ironinya, cruise ini di atas bekas sebuah kampung yang bernama Attabad yang telah pun tenggelam dan hilang dari muka bumi ini.
SumberL FB Travelog ET
Artikel Berkaitan:
Bagai Di Italy! Qulai Pizza Kayu Api Dibakar Segar Cara Tradisional Menggunakan Oven Batu
Wanita Kongsi Aktiviti Yang Korang Boleh Buat, Kalau Ambik Day Trip Ke Pulau Redang
Balat, ‘Hidden Gems’ Berusia 200 Tahun Di Istanbul. Destinasi Cantik Buat Kaki OOTD!
5 Lokasi Kolam Air Panas Menarik Di Perak, Tenang & Menyamankan!

Sekali-sekala pergi ke kolam air panas memang layan. Sambil merendam kaki dapat juga menikati keindahan alam.
Kebiasaannya koma air panas juga mampu memberikan dan merawat kulit kaki. Buat anda yang berada di Perak, ini LIBUR kongsika beberapa lokasi kolam air panas yang boleh anda kunjungi.
Felda Residence Hot Springs, Sg. Klah, Sungkai
Lokasi yang terletak di Sungkai ini turut dikenali dengan nama Taman Rekreasi Air Sg. Klah. Dek kerana kawasan ini adalah dibawah Felda Residence Hot Springs, ianya dikelilingi oleh pokok kelapa sawit dan pemandangan itu membuatkan lokasi ini nyaman kerana banyak tumbuh-tumbuhan semula jadi yang menghijau hidup di situ. Kalau anda hanya ingin mandi air panas, anda boleh berbuat sedemikian dan usah khuatir kerana di sini juga ada kolam biasa untuk anda yang datang saja-saja nak main air selain air panas.
Boleh pilih antara dua – sama ada nak mandi di kolam terbuka atau mandi kolam privasi. Yang pasti, kena datang awal sebab ramai orang yang berkunjung ke sini terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum. lagi satu perkara, anda tidak dibenarkan membawa makanan dari luar. Jangan risau tentang makanan kerana di sini ada peniaga yang menjual makanan kepada anda. Untuk anda yang nak bermalam di sini, penginapan di Felda Residence menyediakan pelbagai pilihan untuk anda dan boleh ke laman sesawang Felda Residence untuk membuat tempahan.
Bayaran masuk:
Dewasa (12-54 tahun)
Tempatan – RM15
Antarabangsa – RM18
Kanak-kanak (4-11 tahun)
Tempatan – RM12
Antarabangsa – RM15
Kolam air panas privasi berharga dari RM80 ke RM120 untuk ruang berhawa dingin dan boleh memuatkan 4-6 oang dewasa dengan selesa.
TRIVIA
Penyelidikan oleh New England Medicine menunjukkan pesakit diabetes yang berendam selama setengah jam di dalam air suam boleh menurunkan 13% kadar gula dalam darah
Kolam Air Panas Lubuk Timah, Simpang Pulai
Orang Perak mesti dah biasa dengan tempat ni, tapi kalau anda yang datang dari luar Perak, ini spot air panas yang perlu anda kunjungi sekiranya ingin merasai kelainan kolam air panas berbanding tempat-tempat lain. Anda boleh berkunjung ke sini pada bila-bila masa sahaja tapi cadangan kepada anda adalah diluar musim hujan.
Keadaan hujan boleh membuatkan persekitaran di sini menjadi licin dan membawa risiko kecederaan kepada pengunjung terutamanya kepada kanak-kanak. Maknanya dari bulan November hingga Februari adalah masa yang kurang sesuai untuk ke sini. Selain daripada itu adalah masa yang terbaik.
TRIVIA
Rendamkan badan selama 10 hingga 20 minit di dalam air bersama yang mengandungi campuran larutan soda bikarbonat (serbuk penaik) mampu mengatasi ruam atau jangkitan kulit
Air Panas Pengkalan Hulu, Pengkalan Hulu
Chalet Air Panas Pengkalan Hulu ni juga satu persinggahan yang menarik kalau anda merancang untuk bercuti ke Thailand anda nak ke Royal Belum, Perak. Singgah la ke sini bersama keluarga untuk menikmati kolam air panas.
Banyak review daripada orang awam yang mengatakan tempat ini menarik untuk dilawati dan terdapta kemudahan untuk anda menginap di sini barang semalam dua. Cas masuk juga berpatutan, hanya RM2 seorang. Jadi pada sesiapa yang nak ke Thailand melalui Stesen Imigresen Bukit Berapit, boleh singgah dulu ke sini ya.
TRIVIA
Kajian pakar perubatan di Jepun telah mendapati air panas semula jadi juga amat baik untuk merawat penyakit dalaman seperti lenguh-lenguh badan, sakit jantung, darah tinggi, lumpuh, kencing manis dan barah
Kolam Air Panas Kuala Woh, Tapah
Hutan Lipur Kuala Woh yang terletak di daerah Tapah, Perak bukanlah lokasi pelancongan yang baharu. Namun masih ramai yang belum tahu mengenai keindahan alamnya.
Keunikan lokasi ini adalah pengunjung boleh mandi-mandi di kawasan jeram air terjun. Dalam masa yang sama dapat menikmati kolam air panas di situ.
Kemudahan yang disediakan sangat membantu pengunjung yang datang. Kemudahan asas seperti pondok rehat, tandas, bilik persalinan, tapak perkhemahan, dewan terbuka dan chalet memudahkan orang ramai yang datang bersama ahli keluarga atau berkumpulan.
Suasananya yang tenang dengan bunyi kicauan burung membuatkan hati tidak sabar untuk menjelajah ke kawasan tersebut.
Kawasan sekitarnya bersih dan terjaga, tiada sampah di buang di merata-rata tempat dan pengunjung yang datang juga masing-masing faham mengenai aspek penjagaan kebersihan.
Waktu operasi:
7 pagi – 6 petang
Bayaran masuk:
Dewasa (18 tahun ke atas) – RM2
Warga Emas (60 tahun ke atas) – RM1
Kanak-kanak (18 tahun ke bawah) – RM1
kanak-kanak (3 tahun ke bawah) – Percuma
Warga Asing – RM5
TRIVIA
Berendam pada kolam air panas dipercaya mampu untuk mengurangkan stress
Kolam Air Panas Trong, Taiping
Kolam air panas ini terkenal sebagai kolam air panas untuk perubatan. Ada beberapa pilihan untuk anda menikmati air panas di kolam ini – ada kolam Puteh, kolam Jepun, bilik mandi tertutup bilik VIP dan kolam khas yang boleh memuatkan 10 pengunjung dalam satu-satu masa.
Setiap pengunjung hanya dikenakan bayaran sebanyak RM2 sahaja tetapi sekiranya anda ingin upgrade menggunakan kemudahan-kemudahan lain seperti kolam VIP atau kolam khas yang disediakan, bayaran bermula daripada RM10 ke atas akan dikenakan kepada anda. Kepada anda yang ingin ke sini dan membuat tempahan, boleh hubungi 05-8553990.
Waktu operasi: 8 pagi – 12 tengah malam termasuk hari cuti (kecuali cuti raya)
32 Titah Penting Yang di-Pertuan Agong, Rakyat Perlu Tahu Ketika Membuka Penggal Ketiga Parlimen ke-14

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020.

Persidangan Parlimen kali ini dianggap bersejarah kerana berlangsung di tengah-tengah negara berjuang memerangi COVID-19 diadakan dengan peraturan keselamatan kesihatan yang ketat sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Persidangan pada asalnya dijadual pada 9 Mac sehingga 16 April lepas, namun ditangguhkan kepada persidangan sehari berikutan penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan. Persidangan sehari Dewan Rakyat itu selari dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa dewan hendaklah bersidang tidak lebih dari enam bulan selepas sidang terakhirnya.

Ini antara 32 Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuka Penggal Ketiga Parlimen ke-14.
- Malaysia hadapi COVID-19 sebagai sebuah negara yang bersatu padu, kuat, cekal dan berdisiplin.
- Istiadat Pembukaan Parlimen dalam suasana berbeza daripada kelaziman kerana perang ke atas COVID-19.
- Petugas barisan depan tampil penuh dedikasi hadapi COVID-19, hargailah sumbangan dan pengorbanan mereka.
- Kemelut politik negara pada Februari lepas tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan tanpa ada penghujung.
- Agong dan semua Ahli Parlimen hari ini berdiri memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan perangi COVID-19.
- Agong yakin PM Muhyiddin akan membawa negara mendaki persada kejayaan.
- Muhyiddin layak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
- COVID-19: Agong yakin kerajaan akan terus berusaha minimumkan kesan buruk kepada rakyat dan negara, pastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin.
- Agong seru majikan tidak buang pekerja sewenang-wenangya ekoran perniagaan terjejas akibat wabak COVID-19.
- Peningkatan aktiviti ketenteraan kuasa besar asing di Laut China Selatan wajar diberi perhatian.
- Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipertahankan, namun penganut agama lain bebas amalkan agama mereka secara aman.
- Agong seru tangani salah guna dadah, penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
- Kerajaan perlu rangka pendekatan komprehensif tangani kemasukan pendatang asing tanpa izin.
- RMK-12 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat merupakan fasa pertama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
- YDP Agong seru kerajaan tambah baik proses kelulusan pelaburan terutama projek berimpak tinggi bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.
- Dasar dan strategi RMKe-12 akan dapat tingkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.
- Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan jadi pencetus hala tuju baharu pembangunan negara.
- Kerajaan telah laksana projek infrastruktur kritikal di Sabah dan Sarawak.
- Kawasan pedalaman dan penempatan Orang Asli akan terus diberi perhatian.
- Isu pemilikan rumah dan kos sara hidup B40 dan M40 perlu ditangani sebaik mungkin.
- Perkhidmatan kesihatan yang saksama akan terus dipertingkatkan.
- Amalan rasuah halang pembentukan negara maju, stabil dan makmur.
- Usaha pulihkan sektor pelancongan yang terjejas akibat COVID-19 hendaklah diteruskan.
- Tanamkan dalam minda masyarakat sejak di bangku sekolah lagi bahawa rasuah adalah jijik, kotor dan wajar diperangi habis-habisan.
- Kerajaan wajar cari pendekatan dalam membantu syarikat dan perniagaan yang terkesan teruk akibat COVID-19.
- Kesepaduan antara rakyat dan kerajaan mampu bentuk negara stabil, aman dan sejahtera.
- Ahli Parlimen perlu pamer kematangan dalam berpolitik.
- Agong ingatkan ahli parlimen jangan seret negara ke kancah politik sewaktu berdepan COVID-19.
- Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci.
- Ahli Parlimen perlu menjiwai keluh kesah rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.
- Agong dan Permaisuri zahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam.
- Kerajaan putuskan hanya Titah Agong sahaja untuk pembukaan Parlimen kerana COVID-19.
Teks ucapan penuh:
TITAH Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sempena pembukaan penggal ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020 bertempat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
بسم الله الر حمن الر حيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام
على اشرف الانبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين رب اشرح لي صدرى ويسرلي امري والحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
Yang Di-pertua Dewan Negara, Yang Di-pertua Dewan Rakyat, ahli-ahli Dewan Negara dan ahli-ahli Dewan Rakyat sekalian.
Alhamdulillah. Bersyukur beta ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana telah melimpahkan kurnia dan keizinanNya kepada kita semua pada hari ini untuk bersama-sama dalam Istiadat Pembukaan Penggal ke-3 Parlimen ke-14.
Lebih bermakna apabila istiadat ini berlangsung dalam bulan Ramadan, iaini bulan yang penuh keberkatan dan menjadi penghulu kepada sekalian bulan.
Istiadat pada pagi ini diadakan dalam suasana yang agak berbeza dari norma dan kelazimannya. Ketika ini, negara kita masih lagi dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 yang telah mula-mula dikesan menjangkiti rakyat Malaysia pada awal bulan Februari yang lalu.
Namun demikian, kita telah menghadapi dan menangani wabak ini dengan bersatu padu sebagai sebuah bangsa Malaysia yang kuat, cekal dan berdisiplin.
Dalam saat getir ini, petugas barisan hadapan negara terutamanya perkhidmatan kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, agensi pengurusan bencana negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, dan lain-lain agensi yang turut terlibat telah tampil dengan penuh dedikasi yang tinggi menghadapi serangan wabak ini.
Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan orang ramai.
Justeru, sebagai tanda penghargaan negara, marilah bersama-sama dengan beta untuk berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara.
Ahli-ahli yang berhormat.
Pada 24 Februari 2020 yang lalu, naratif landskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.
Sekitar jam 5.00 petang pada hari yang sama, beta telah berkenan menerima menghadap yang berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohammad.
Dalam pertemuan tersebut, beta telah meminta yang berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohammad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya.
Oleh yang demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang perdana menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 43 memberi kuasa budi-bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan rakyat.
Lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari 2020, beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.
Pada 29 Februari 2020, beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri.
Atas permintaan beberapa ketua parti politik, beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.
Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujung-nya.
Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut, dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta telah mendapati yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.
Sesungguhnya, beta telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita.
Pada masa yang sama, beta juga menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli-ahli yang berhormat dan rakyat jelata yang telah memain-kan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga memboleh-kan beta menggalas amanah ini.
Kepada kerajaan beta di bawah kepimpinan mamanda perdana menteri yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin, beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan.
Nasihat beta, laksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata.
Ahli-ahli yang berhormat.
Sesungguhnya, cabaran yang dihadapi negara datang daripada pelbagai sudut. Negara kini berhadapan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kejatuhan harga minyak, perang perdagangan khususnya antara Amerika Syarikat dan China, halangan dan sekatan perdagangan oleh negara tertentu, komoditi yang dikaitkan dengan isu alam sekitar, pergolakan politik di beberapa negara, dan yang terbaharu penularan wabak COVID-19.
Semua cabaran ini telah memberi kesan kepada Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka.
Beta berkeyakinan kerajaan beta akan terus berusaha meminimumkan kesan buruk kepada rakyat dan negara.
Kedatangan wabak virus COVID-19 yang melanda dunia dan negara telah turut memberi kesan kepada ekonomi serta kesihatan dan kehidupan rakyat jelata. Belum pernah negara berhadapan dengan wabak yang sebegini serius sebelum ini.
Dalam menghadapi wabak ini, fokus utama kerajaan beta adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata sentiasa terjamin dan terbela. Ini termasuk dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan dan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara.
Beta memahami banyak industri dan perniagaan terjejas akibat wabak ini. Namun, beta menyeru kepada para majikan untuk tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenang-nya.
Semua pihak hendaklah bersedia melakukan pengorbanan demi meringankan bebanan rakyat jelata dan juga menyelamatkan ekonomi negara.
Beta turut berharap kerajaan memberi tumpuan untuk membantu syarikat dan perniagaan yang terkesan teruk seperti industri pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana.
Beta berharap inisiatif-inisiatif yang diambil oleh majlis tindakan ekonomi termasuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat berjumlah RM260 bilion bagi melindungi kebajikan rakyat dan menyokong industri serta perusahaan kecil dan sederhana negara akan segera dirasai impaknya.
Pakej tersebut adalah suatu yang amat besar dan luar biasa. Justeru, ia perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak. Beta yakin dengan kerjasama dan kesepakatan yang jitu cabaran yang kita hadapi ini akan dapat kita tangani bersama. Insya-Allah.
Ahli-ahli yang berhormat.
Di sebalik usaha-usaha kerajaan, beta juga berasa bimbang melihat polarisasi kaum yang masih wujud ketika ini. Pada hemat beta, sebarang bentuk tindakan provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang- undang, biarpun dilakukan oleh segelintir pihak, perlu dibendung sebelum ia merebak dan menjadi barah kepada kestabilan negara.
Setiap kaum perlu menunjuk-kan sikap dan tauladan yang jujur untuk mengeratkan hubungan. Dalam usaha mengukuhkan lagi kesepaduan sosial dan integrasi nasional, beta menyambut baik pelaksanaan pelan tindakan perpaduan negara bagi memastikan agenda perpaduan nasional dapat diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen-elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandas-kan kepada prinsip rukun negara.
Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan. Selaras dengan ajaran Islam yang syumul dan dipacu oleh prinsip maqasid syariah, beta mahu kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam yang inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat.
Pada masa yang sama, kerajaan beta akan terus mempertahankan hak-hak penganut agama lain untuk terus bebas mengamalkan agama mereka secara berhemah dan aman.
Menyentuh aspek keselamatan negara, beta berharap kerangka strategi dan dasar pertahanan masa hadapan negara perlu mengambil kira kepentingan diplomasi pertahanan, dasar luar negara yang pragmatik, triti antarabangsa dan kedudukan geo-politik negara di rantau Asia-Pasifik.
Peningkatan aktiviti ketenteraan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China di Laut China Selatan mutakhir ini wajar diberikan perhatian. Oleh kerana itu, Malaysia hendaklah sentiasa peka kepada domain maritim negara di samping terus merangka strategi untuk mendukung aspirasi geo-politik negara.
Pada masa yang sama, tahap keselamatan dalam negara hendaklah terus dipertingkatkan terutamanya dalam menangani pelbagai jenayah, penyalahgunaan dadah, penyeludupan dan juga pemerdagangan manusia.
Selain itu, kerajaan beta hendaklah juga merangka pendekatan yang komprehensif dalam menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin yang boleh menimbulkan pelbagai masalah dari aspek ekonomi, sosial dan keselamatan negara.
Sempadan negara yang terbuka luas perlu terus diperkukuhkan dalam usaha mengekang laluan rentas sempadan pendatang asing tanpa izin.
Ahli-ahli yang berhormat.
Kerajaan beta akan terus merancang, memperkenal serta melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi merancak-kan aktiviti ekonomi untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat.
Ke arah ini, wawasan kemakmuran bersama 2030 akan menjadi pencetus kepada hala tuju baharu pembangunan negara.
Wawasan ini bermatlamat supaya segenap lapisan rakyat dapat mengecap taraf hidup wajar dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama serta inklusif.
Selain itu, jurang ekonomi dan pembangunan antara kelas pendapatan, wilayah, etnik dan rantaian bekalan akan dirapatkan.
Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan di dewan yang mulia ini adalah merupakan fasa pertama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Beta yakin dasar dan strategi rancangan tersebut yang dirangka melalui penglibatan pelbagai pihak akan dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara yang akhirnya akan dinikmati oleh rakyat jelata keseluruhannya.
Menyedari pentingnya suntikan pelaburan bagi merancakkan ekonomi negara, kerajaan beta akan terus mempermudah urusan perniagaan bagi meningkatkan aktiviti pelaburan.
Hal ini termasuk keperluan mengemas kini undang-undang, proses kelulusan dan insentif sedia ada. Beta menyeru agar proses kelulusan terutamanya projek berimpak tinggi hendaklah ditambah baik agar ianya cekap dan pantas bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.
Selaras dengan revolusi industri ke-4, beta menyambut baik dasar untuk mewujudkan eko-sistem yang menyokong industri melalui penyediaan dana dan insentif, pembangunan prasarana sokongan serta rangka kerja kawal-selia.
Sumber pertumbuhan baharu yang berkembang pesat seperti teknologi 5G, kecerdasan buatan, internet of things dan analitis data raya akan diperhebatkan. Beta
menggesa pemain industri agar turut sama mempergiat usaha sebagai pelengkap kepada inisiatif yang dibawa oleh kerajaan.
Ahli-ahli yang berhormat.
Kerajaan beta akan terus berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, termasuk dalam bidang keusahawanan yang menjadi antara nadi utama pembangunan ekonomi negara.
Beta menyambut baik strategi dan inisiatif bagi membangun-kan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030.
Untuk memastikan negara sentiasa di hadapan dalam pelbagai bidang, kemajuan Revolusi Industri ke-4 hendaklah dimanfaatkan untuk meningkatkan akses dan kesaksamaan pendidikan, selain penekanan kepada pembentukan ilmu, kemahiran serta sahsiah.
Pendidikan di era pasca COVID-19 akan berhadapan dengan kelaziman baharu atau the new normal. Justeru, kolaborasi institusi pendidikan dengan pelbagai pihak yang terlibat juga perlu di-pergiat bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Beta berharap pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi akan terus dipertingkatkan agar dapat menyediakan modal insan yang diperlukan bagi mendepani perkembangan semasa khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
Beta juga amat menyokong pemerkasaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, atau TVET, untuk mempersiapkan golongan belia menghadapi cabaran baharu alam pekerjaan.
Kerajaan beta akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi antara negeri dan wilayah. Ianya merangkumi usaha untuk meningkatkan mobiliti rakyat dengan menambah baik rangkaian dan infrastruktur asas serta pengangkutan, termasuk memantap-kan lagi sistem pengangkutan awam yang sekali gus bakal menyokong industri logistik negara.
Bagi meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat dan merapat-kan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak, kerajaan beta telah mengambil langkah menerusi pelaksanaan projek-projek infrastruktur kritikal di kedua-dua negeri tersebut.
Beta berharap rakyat di Sabah dan Sarawak akan dapat menikmati jaringan perhubungan dan kemudahan yang berkualiti dan lebih baik.
Kawasan pedalaman di Semenanjung juga akan terus diberi perhatian yang sama, terutama-nya di penempatan masyarakat orang asli.
Ahli-ahli yang berhormat.
Perkembangan terkini menunjuk-kan lebih dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di bandar. Serentak dengan itu, kesejahteraan masyarakat bandar akan terus dipertingkatkan.
Bagi meningkatkan pemilikan rumah, kerajaan beta telah merangka dasar perumahan mampu milik negara dan mewujudkan skim sewa milik. Melalui inisiatif tersebut, diharap lebih ramai golongan B40 dan M40 serta golongan belia yang berkelayakan dapat memiliki kediaman sendiri.
Sebagai kerajaan yang prihatin, masalah kos sara hidup rakyat akan terus ditangani dengan sebaik mungkin. Langkah telah diambil bagi mencegah unsur monopoli, mewujudkan persaingan yang sihat, meningkatkan penghasilan produk berkualiti dengan harga yang munasabah, serta kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.
Inisiatif seperti program penyeragaman harga, kempen beli barangan buatan Malaysia dan subsidi bersasar akan terus ditambah baik untuk membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.
Kerajaan beta akan meneruskan usaha untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelata terutamanya kanak-kanak, wanita, warga emas yang rentan, orang kurang upaya dan golongan yang memerlukan.
Bagi memperkukuh perlindungan dan hak kanak-kanak pula, usaha diambil bagi memastikan mereka tidak dieksploitasi dalam apa-apa bentuk dan pada masa yang sama potensi penuh mereka dapat direalisasikan.
Beta juga menyambut baik penggubalan rang undang-undang profesion kerja sosial yang akan memberi dimensi baharu kepada lanskap sosial negara. Dalam pada itu, belia pula perlu terus dibimbing agar tidak terlibat dengan gejala negatif. Sebagai pemimpin masa depan, mereka wajar digalakkan untuk turut terlibat dalam membuat keputusan.
Ahli-ahli yang berhormat.
Kerajaan beta akan meneruskan usaha untuk membangunkan industri komoditi berasaskan pertanian secara lestari dengan sokongan penyelidikan dan pembangunan berkualiti, di samping meningkatkan permintaan pasaran termasuk di peringkat antarabangsa.
Bagi meningkatkan lagi hasil pertanian dan jaminan sekuriti makanan negara, penekanan perlu diberikan kepada automasi, penggunaan teknologi moden, benih berkualiti, pembajaan dan pengairan, kawalan penyakit serta konsolidasi kawasan pertanian.
Kerajaan beta turut beriltizam untuk terus meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan yang saksama kepada rakyat. Perkhidmatan kesihatan akan diperkasa dengan menjurus kepada pencegahan dan perawatan secara holistik termasuk kepada masyarakat luar bandar, orang asli serta pribumi di Sabah dan Sarawak.
Kemerosotan alam sekitar dan kesannya kepada kesejahteraan negara dan sejagat tidak boleh lagi dipandang remeh. Oleh itu, beta menyeru supaya Malaysia terus komited dalam usaha mengetengahkan isu alam sekitar dan perubahan iklim, termasuk mempergiatkan usaha untuk memulihara sungai, hutan, hidupan liar dan mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.
Pemerkasaan undang-undang alam sekitar, aktiviti penguatkuasaan dan kerjasama erat semua pihak termasuk negara serantau perlu terus dilaksanakan.
Sungguhpun Tahun Melawat Malaysia 2020 telah dibatalkan ekoran penularan wabak COVID-19, usaha-usaha bagi memulihkan sektor pelancongan negara hendaklah diteruskan.
Pada masa yang sama, pemain industri pelancongan hendaklah berusaha untuk memperkukuhkan produk dan pakej pelancongan, serta menjaga infrastruktur sedia ada bagi mengembalikan semula kecemerlangan sektor pelancongan negara.
Sebagai tuan rumah persidangan “APEC 2020”, Malaysia akan menggalas tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju APEC khususnya dalam membentuk landasan baharu kerjasama ekonomi serantau pasca COVID-19.
Beta percaya, kerajaan beta akan dapat memberikan kepimpinan yang berkesan ke arah usaha tersebut dan juga merencana wawasan baharu APEC bagi menggantikan matlamat Bogor yang akan berakhir pada tahun ini.
Ahli-ahli yang berhormat.
Natijahnya, apa juga pelan dan program ke arah pembentukan sebuah negara maju yang stabil lagi makmur tidak akan tercapai jika negara terus dibelenggu dengan amalan rasuah.
Justeru, pelaksanaan program pembangunan berteraskan amalan integriti dan tadbir urus yang baik adalah penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan serta demi menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.
Beta menggesa agar kerajaan beta untuk terus komited dalam melaksanakan pelan anti-rasuah nasional. Beta menyeru semua pihak untuk mendukung aspirasi ini agar setiap agenda pembangunan negara tidak terhakis oleh amalan rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa.
Tanamkan di dalam minda masyarakat semenjak di bangku sekolah lagi bahawa rasuah adalah jijik, kotor dan wajar diperangi habis-habisan.
Ahli-ahli yang berhormat.
Beta amat menghargai taat setia dan sumbangan anggota-anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti dalam usaha memajukan negara sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan disegani.
Beta menyeru agar amanah dan tanggungjawab yang dijunjung dalam berbakti kepada negara dan rakyat jelata hendaklah terus dilaksanakan dengan sebaik-nya secara profesional dan neutral tanpa mengira kaum, agama mahupun kedudukan.
Pada masa yang sama, beta menyeru agar rakyat jelata terus memberikan kerjasama kepada kerajaan beta bagi meneruskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan negara.
Beta yakin hanya melalui kesepaduan antara rakyat dengan kerajaan sahaja yang mampu melahirkan Malaysia yang stabil, aman dan sejahtera.
Ahli-ahli yang berhormat sekalian.
Sebelum beta mengakhiri titah ini, beta ingin berpesan kepada ahli-ahli yang berhormat sekaliannya. Sebagai seorang pemimpin, ahli-ahli yang berhormat menjadi teladan dalam menyemai nilai-nilai positif kepada rakyat.
Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci. Sebaliknya, perbezaan pendapat seharus-nya menjadi landasan
Kepada pencetus idea-idea baharu untuk membangun dan menyatu-padu-kan negara.
Ahli-ahli yang berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti ugama dan bangsa mahu-pun kedaulatan serta kedudukan raja-raja Melayu.
Jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19.
Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian bermula di dalam dewan yang mulia ini. Beta yakin, rakyat akan terus erat bersatu padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.
Justeru, berbahaslah dengan penuh tanggung-jawab dan sentiasalah menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi oleh rakyat jelata.
Kepada rakyat jelata sekalian, teruskan menjaga kesihatan diri dan keluarga serta persekitaran setempat. Hindari daripada berhimpun secara ramai, dan teruskan mengamal penjarakan sosial. Mudah-mudahan Malaysia akan berjaya menangani pandemik COVID-19 ini dengan jayanya.
30
Mengakhiri titah, beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga Malaysia serta rakyatnya akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya.
Selamat berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin, ikhlas daripada beta, raja permaisuri agong dan keluarga.
Sekian.
وبالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Termaktub: Istana Negara, Kuala Lumpur pada 8 Mei 2020
Sumber: Bernama
Kolaborasi Tourism Selangor & Tourism Malaysia Anjur Sesi Webinar Bersama Penggiat Industri Pelancongan Seluruh Malaysia

Buat julung kalinya, pihak Tourism Selangor mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan pihak Pejabat Tourism Malaysia Domestik melalui landasan atas talian sebagai usaha untuk meneruskan aktiviti promosi industri pelancongan Negeri Selangor dalam era norma baharu. Sesi Webinar “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” menerusi aplikasi ‘Zoom’ tersebut dijalankan dalam beberapa siri dan sesi sepanjang tahun 2021 ini.
Penganjuran Sesi ‘Webinar’ ini adalah untuk menggantikan program dan aktiviti promosi secara fizikal seperti pameran pelancongan, program jelajah dan lawatan produk pelancongan yang sebelum ini dijadualkan tetapi tidak dapat dilaksanakan akibat penularan wabak Covid-19 di negara ini khususnya Negeri Selangor, seiring kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!”.
Sesi webinar bagi siri pertama tersebut melibatkan seramai 15 orang peserta dalam kalangan pegawai pelancongan bahagian domestik Tourism Malaysia, Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Selatan dan penggiat agensi pelancongan daripada Negeri Johor dan Melaka. Manakala ‘e-delegasi’ pembentang daripada Negeri Selangor adalah terdiri daripada Jabatan Promosi Tourism Selangor dan 11 penggiat industri pelacongan Negeri Selangor yang diketuai oleh Tuan Azrul Shah Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor.
Tuan Azrul Shah Mohamad dalam satu kenyataan berkata, “Sesi webinar pada hari ini, akan memberikan maklumat dan informasi berkenaan keadaan semasa produk-produk pelancongan serta industri pelancongan di Negeri Selangor kepada agensi – agensi pelancongan domestik khususnya di Negeri Johor dan Melaka, disamping memaklumkan bahawa industri pelancongan Negeri Selangor sentiasa bersedia menerima kedatangan pelancong domestik ke Negeri ini,”.
“Bagi menyahut seruan pihak MOTAC dan Tourism Malaysia untuk kita merancakkan sektor pelancongan domestik, pihak Tourism Selangor akan terus mempergiatkan pelaksanaan Kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ sepanjang tahun 2021 dan seterusnya. Pelbagai siri program promosi telah dirancang sepanjang tahun ini dengan penekanan promosi pada kaedah pemasaran digital dan atas talian seperti kempen media sosial, influencer marketing, penghasila video Virtual Reality (VR), aerial view dan sebagainya,” jelasnya.
Sesi webinar tersebut dijalankan dalam format perbentangan dan taklimat produk pelancongan, sesi ‘Business to Business (B2B) dan juga beberapa aktiviti sampingan yang menarik seperti tanyangan video promosi pelancongan dan cabutan bertuah. Penganjuran kempen promosi pelancongan “Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu” yang menjadi tema webinar tersebut dilihat amat penting bagi membantu merancakkan semula industri pelancongan di Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan pelbagai inisiatif promosi yang berlandaskan pelancongan domestik. Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” merupakan satu misi yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri, Badan-badan bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan juga penggiat industri pelancongan bagi memastikan kejayaan Kempen tersebut.