
Majalah Libur bersimpati dengan nasib yang menimpa negara jiran Indonesia kerana situasi banjir teruk yang melanda. Sekurang-kurangnya 24 orang mangsa dilaporkan terkorban dalam banjir yang melanda Jakarta, ibu kota Indonesia sejak empat hari lalu.
Buat rakyat Malaysia yang bercadang ke Jakarta, mungkin boleh tangguhkan sementara perjalanan anda ke sini. Selain beberapa kawasan di ibu negara Jakarta, kawasan di bandar berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor, turut mengalami banjir semalam berikutan hujan lebat pada awal pagi tahun 2020.
Mereka yang menjadi mangsa korban itu antaranya mengalami hipotemia, lemas dihanyutkan arus, tertimbus akibat tanah runtuh dan terkena renjatan elektrik. Beberapa kawasan banjir di Jakarta sudah beransur pulih, namun masyarakat diminta berjaga-jaga berikutan hujan diramalkan berterusan minggu ini.
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan menyatakan antara punca banjir itu adalah hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi pada 2007 mencatatkan bacaan 340 mm.
Beberapa jalan utama di Jakarta seperti masih tidak dapat digunakan kerana digenangi air, antaranya di Simpang Cempaka Mas, Jalan S Parman, Jalan Rasuna Said, Jalan Pemuda Rawamangun dan Jalan Gatot Subroto.
Lapangan terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur yang tidak dapat beroperasi kerana digenangi air, telah kembali beroperasi sepenuhnya semalam.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta meminta rakyat Malaysia yang sedang bercuti atau menetap di Jakarta dan kawasan sekitar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan jika memerlukan sebarang bantuan konsular, boleh menghubungi kedutaan Malaysia di talian +62 813 80813036.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Travel Dalam Malaysia Ni Kena Ambil Tahu Keadaan Cuaca Dulu Supaya Lebih Berbaloi

Sebelum plan bercuti, ambil tahu serba sedikit mengenai cuaca di Malaysia supaya percutian yang di rancang dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
1. Cuaca di Malaysia dibahagikan kepada dua kategori iaitu Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.
2. Monsun Barat Daya berlaku pada bulan Mei ke September manakala Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac.
3. Monsun Timur Laut membawa hujan lebat ke negeri-negeri di pantai timur Semenanjung dan Sarawak manakala Monsun Barat Daya menunjukkan cuaca yang lebih kering.
4. Monsun Timur Laut juga dikenali sebagai off season dikalangan traveller di Malaysia manakala Monsun Barat Daya dikenali sebagai on season.
5. Monsun Timur Laut atau off season adalah musim hujan yang utama di Malaysia.
6. Banyak kawasan peranginan terutama di kepulauan pantai timur dan selatan Semenanjung ditutup sewaktu off season.
7. Monsun Timur Laut juga menyebabkan banjir besar di sesetengah kawasan di Semenanjung.
8. Monsun Barat Daya atau on season berkeadaan lebih kering atau panas.
9. Ketika Monsun Barat Daya atau on season, adalah masa yang lebih baik untuk merancang percutian kerana ada aktiviti luar yang lebih banyak untuk dilakukan.
Persediaan Untuk Menghadapi Monsun
Sebelum Musim Monsun
1. Sentiasa mendengar siaran radio, televisyen atau media sosial untuk amaran angin kencang dan laut bergelora.
2. Pastikan bekalan air dan makanan yang tidak mudah rosak disimpan secukupnya.
3. Bersihkan longkang, parit dan talang hujan daripada tersumbat.
Semasa Musim Monsun
1. Tinggal di tanah kukuh. Jauhi dari longkang beraliran laju, sungai dan kawasan banjir.
2. Jangan memandu ke kawasan banjir. Elakkan daripada melalui jambatan yang tidak kukuh dan jalan yang selalu dinaiki air.
3. Ikut arahan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan.
4. Bersedia untuk berpindah jika diarahkan terutamanya bagi yang tinggal di kawasan pantai, berhampiran sungai atau kawasan rendah.
5. Pastikan kenderaan anda diletakkan di tempat tinggi dan segala harta benda yang lain terjamin daripada kerugian dan kemusnahan akibat daripada banjir.
6. Elakkan daripada pergi ke laut dengan menggunakan kapal atau bot kecil.
Sumber daripada Laman Web Rasmi Jabatan Metereologi Malaysia.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selepas Diserang Virus, China Dilanda Gempa Bumi Pula. Bencana, Undang Simpati Dunia

Sudah jatuh ditimpa tangga.
Selepas berhempas pulas mengekang penularan wabak COVID-19 yang teruk beberapa bulan lalu, China sekali lagi terkesan dengan kejadian gempa bumi yang mengorbankan rakyatnya. Gempa bumi berukuran 5.0 magnitud di barat daya China malam kelmarin telah menyebabkan empat mangsa maut manakala 23 lagi cedera.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa China, gegaran di Qiaojia di wilayah Yunnan mula dirasai pada 9.47 malam 18 Mei 2020 pada kedalaman 8 kilometer. Menurut saksi, gegaran dirasai selama beberapa saat itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya sebuah rumah roboh.
Data daripada Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) bagaimanapun meletakkan gempa bumi itu pada kekuatan 4.5 magnitud dengan kedalaman 10 kilometer.
Perbezaan pada kedudukan dan waktu gempa oleh agensi pengesanan gempa bukan sesuatu yang luar biasa, terutamanya apabila melibatkan keluasan kawasan gegaran yang agak besar. Gempa bumi pada kedudukan cetek sering mengakibatkan lebih banyak kerosakan pada bangunan dan infrastruktur.











Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Royal Belum Jadi Syurga 10 Spesis Burung

Minggu lepas, saya berpeluang ikut Andrew dari ECO My, penganjur bersama Royal Belum International Hornbill Expedition 2017. Ini kali kedua program ini diadakan. Yang pertama pada 2013. Penganjur utama ialah Perbadanan Taman Negeri Perak.
Saya excited lihat sendiri bagaimana bird watching/photography. PATIENCE & LOVE. Dua faktor saya nampak pada semua peserta. Yang pasti, mata mereka tajam menjejak burung, walau tanpa bonikular. Kagum.
Program jejak 10 spesis burung enggang selama 2 hari bersama lebih 40 peminat burung dari USA, China, Taiwan, Jepun, Filipina, Singapura, Brunei, India, Thailand, dan Malaysia.
Kebanyakan mereka jurugambar burung profesional.
Lebih hebat, Noah Strycker juga turut serta. Beliau pemegang rekod Big Year of Birding dengan rekod 6,042 spesis burung dilihat dari 10,400 spesis burung yang ada di dunia hanya dalam setahun di tujuh kontinen dari 1 Jan-31 Dis 2015.

Royal Belum International Hornbill Expedition 2017
Program dirasmi oleh Puan Noor Asmah bt Mohd Nawawi (Pemangku Pengurus Besar Merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Taman Negeri Perak) dan ditutup rasmi oleh YB Dato’ Nolee Ashilin bt Dato’ Mohammed Radzi (Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi & Multimedia Negeri Perak) di Kem Sungai Kenarong, Royal Belum.
Dari program ini pihak Perbadanan Taman Negeri Perak mendapat maklum balas baik dan kritikal dari peserta bagi memantapkan promosi produk hutan Taman Negeri Royal Belum kepada pelancong tempatan dan luar, terutamanya pencinta burung.

Program anjuran Kerajaan Negeri Perak, Perbadanan Taman Negeri Perak dan ECOMY dengan kerjasama Koridor Utara, MOTAC, Tourism Malaysia, Tourism Perak, NEST dan Wild Bird Club Malaysia saya katakan berjaya dan menjadi titik permulaan kepada penganjuran tahunan. Ini satu usaha yang sangat baik dari semua pihak. Syabas!
Royal Belum Permata Negeri Perak
Taman Negeri Royal Belum digazet sebagai kawasan lindungan pada 3 Mei 2007 dibawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001.
Ia merupakan kawasan dibawah pentadbiran dan selian Perbadanan Taman Negeri Perak.
Luas keseluruhan 117,500 hektar dengan 90% ialah Hutan Simpan Royal Belum.
Ia bersempadan Thailand di utara, Lebuhraya Timur-Barat di selatan, Kelantan di Timur dan hampir dengan Taman Negara Bang Lang dan Tempat Perlindungan Hidupan Liar Hala Bala.
Taman Negeri Royal Belum pada awal tahun ini juga dimohon senarai Tapak Warisan Dunia Unesco oleh Kementerian Pelancongan.
Ia merupakan hutan hujan tropika tertua di dunia, sekitar 130 juta tahun dan lebih tua dari Hutan Amazon. Dengan hutan tebal, ia jadi habitat tumbuhan seperti raflesia dan haiwan liar termasuk spesis terancam; harimau, gajah, beruang, badak sumbu, tapir, helang,dan burung enggang.
Burung enggang diancam kepupusan kerana diburu bagi mendapatkan paruh dan tanduk serta bulunya yang cantik. Setiap tahun, dilaporkan 6,000 kes buruan enggang.
Royal Belum: Syurga 10 Spesis Enggang
Burung Enggang mungkin lebih dikenali di Sarawak. Namun, di sana ada 8 jenis enggang, berbanding 10 jenis di Royal Belum.
Semua enggang bersarang di dalam batang pokok. Burung betina menjaga sarang, sementara burung jantan mencari makanan.
Enggang tidak minum air, sebaliknya bergantung pada air dalam buah-buahan. Diet enggang ialah buah, burung, reptilia dan mamalia kecil.
10 spesis yang ada di Royal Belum ialah:
1 Enggang Bulu/White-crested Hornbill
Hampir sama dengan Tropicranus Albocristatus Afrika, ialah spesis enggang dijumpai di hutan Thai-Malaysia, Sumatra dan Borneo. Ia diancam kehilangan habitat.
Nama: Enggang Bulu/White-crowned Hornbill
Nama saintifik: Berenicornis comatus
Saiz: Jantan: 90 – 101 cm / Betina: 90 – 101 cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 1000m tinggi
2 Enggang Kawan/Enggang Buluh/Bushy-crested Hornbill
Spesis ini dari famili Bucerotidae. Dijumpai di Brunei, Indonesua, Malaysia, Myanmar dan Thailand.
Nama: Enggang Kawan/Enggang Buluh/Bushy-crested Hornbill
Nama saintifik: Anorrhinus galeritus
Saiz: Jantan: 90 – 101 cm / Betina: 90 – 101 cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 1500m tinggi
3 Enggang Berkedut/Wrinkled Hornbill
Enggang ini bersaiz sederhana besar dan dijumpai di hutan Thai-Malaysia, Sumatra dan Borneo. Ia bersaiz 70cm panjang, dan bertanduk besar. Ia berbulu hitam pekat, kebiruan di kawasan mata, dan ekor putih yang lebar.
Nama: Enggang Berkedut/Wrinkled Hornbill
Nama saintifik: Aceros corrugatus
Saiz: Jantan: 81 – 82 cm / Betina: 81 – 82 cm
Habitat: Hutan hijau luas, tanah rendah, dan hutan paya air tawar
4 Enggang Gunung/Wreathed Hornbill
Spesis ini dijumpai di hutan sebelah utara-Timur India dan Bhutan, timur dan selatan tanah besar Asia Tenggara dan Sunda, kecuali Sulawesi.
Nama: Enggang Gunung/Wreathed Hornbill
Nama saintifik: Aceros undulates
Saiz: Jantan: 100.5 – 115 cm / Betina: 84 – 98 cm
Habitat: Hutan hijau luas, hutan daun bercampur, dan hutan di pulau sehingga 1830m tinggi.
5 Enggang Hutan/ Plain-pouched Hornbill
Paling banyak dilihat di Royal Belum. Ia dari famili Bucerotidae. Dijumpai di hutan Dawna Range dan hutan Bukit Tenasserim di selatan Burma dan sempadan Thai-Malaysia. Spesis ini terancam kerana kehilangan habitat.
Nama: Enggang Hutan/ Plain-pouched Hornbill
Nama saintifik: Aceros subruficollis
Saiz: Jantan: 86.5 – 5cm / Betina: 79– 84 cm
Habitat: Hutan hijau luas dan hutan daun bercampur sehingga 915m tinggi.
6 Enggang Kelingkung/Lilin/Oriental Pied Hornbill
Juga mudah dilihat di Royal Belum. Ia dari famili Bucerotidae. Dijumpai di sub kontinen India dan Asia Tenggara, meliputi Bangladesh, Bhutan, Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Singapura, Thailand, Tibet dan Vietnam. Diet burung termasuk buah-buahan dan serangga serta katak dan cicak.
Nama: Enggang Kelingkung/Lilin/Oriental Pied Hornbill
Nama saintifik: Antharacoceros albirostris
Saiz: Jantan: 68 – 70 cm / Betina: 68 – 70 cm
Habitat: Hutan hijau luas, hutan daun bercampur, hutan baru, kawasan ladang,dan hutan di pulau sehingga 1400m tinggi.
7 Enggang Kekek/Gatal Birah/Black Hornbill
Macam gagak warnanya. Ia dari famili Bucerotidae. Hidup di Asia di Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand & India.
Nama: Enggang Kekek/Gatal Birah/Black Hornbill
Nama saintifik: Anthracoceros malayanus
Saiz: Jantan: 76cm / Betina: 76cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 215m tinggi.
8 Enggang Badak/Rhinoceros Hornbill
Ia salah satu spesis terbesar enggang. Boleh mencecah berat sehingga 3 kg dan hidup selama 35 tahun. Mudah dijumpai di kawasan rendah, dan hutan hujan tropika pada altitud 1400m di Borneo, Sumatra, Java, Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand. Ia punya tanduk paling besar dalam semua spesis enggang.
Burung ini merupakan lambang burung negeri Sarawak. Bagi kebanyakan orang Dayak, ia simbol dewa perang; Singalang Burong.
Nama: Enggang Badak/Rhinoceros Hornbill
Nama saintifik: Buceros rhinoceros
Saiz: Jantan: 91 – 122 cm / Betina: 91 – 122 cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 1220m tinggi.
9 Enggang Papan/Great Hornbill
Juga dikenali Great Indian Hornbill atau Great Pied Hornbill antara yang terbesar dalam famili enggang. Ia dijumpai di Semenanjung Malaysia dan Sumatra, Indonesia. Kerana saiz besar, ia menjadi lambang penting pada banyak budaya dan amalan.
Nama: Enggang Papan/Great Hornbill
Nama saintifik: Buceros bicornis
Saiz: Jantan: 119– 122 cm / Betina: 119– 122 cm
Habitat: Hutan hijau luas, hutan daun bercampur, dan hutan di pulau sehingga 1525m tinggi.
10 Enggang Tebang Mentua/Burung Torak/Helmeted Hornbill
Ia spesis enggang terbesar. Dijumpai sekitar semenanjung Malaysia, Sumatra dan Borneo.
Ia diancam kepupusan kerana diburu bagi mendapatkan paruh dan tanduk merahnya. Bunyi burung ini seperti bunyi ketawa mengilai di penghujungnya.
Nama: Enggang Tebang Mentua/Burung Torak
Nama saintifik: Rhinoplax vigil
Saiz: Jantan: 127cm / Betina: 127cm
Habitat: Hutan hijau luas sehingga 1400m tinggi.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI