Sesekali nak berdamai dengan alam, boleh hala ke Kuak Hill Resort, Lenggong, Perak. Lokasi percutian ini berdekatan dengan Gerik, Empangan Temenggor dan Tasik Banding.
Kuak Hill Resort sesuai untuk anda yang ingin bercuti dalam suasana ketenangan dan di kelilingi alam semula jadi. Anda dapat melihat keindahan pemandangan Tasik Raban dari atas bukit di Kampung Lata Papan, Kuak.
Kuak Hill Resort Di Lenggong, Tempat Berdamai Dengan Alam Semula Jadi
Melalui perkongsian seorang pengguna Facebook yang dikenali dengan nama Ameera, dia memilih Kuak Hill Resort, Lenggong kerana lokasinya yang dekat tetapi menyeronokkan.
“Nah inilah tempatnya, sangat tenang, sejuk dan mendamaikan. Jauh dari kesibukan kota, terletak di atas bukit perkampungan Melayu di Lenggong. Alhamdullillah dapat juga menikmati keindahan di atas sini, sebab sebelum ini hanya tengok sahaja,” kata Ameera.
Bagi anda yang inginkan percutian yang tenang, tiada gangguan, lokasi ini menjanjikan kepuasan buat anda dan keluarga. Hanya bunyi kicauan burung dan bunyi alunan air bukit yang mengalir kedengaran. Bilik perlu ditempah lebih awal kerana tempat ini sentiasa sahaja penuh.
Ini catatan pengalaman Ameera sepanjang bercuti di Kuak Hill Resort, Lenggong.
1. Dari perkarangan tempat letak kereta, kita perlu naik ke atas. Perjalanan mengambil masa selama 15 minit. Kereta perlu diletakkan di bawah memandangkan lokasi agak tinggi.
2.Apabila sudah sampai ke atas, kita akan disajikan dengan keindahan alam ciptaan Allah yang tidak terkata cantiknya.
3.Tersedia juga kafe di sini. Hati-hati ketika berjalan kerana laluan utama untuk naik dan turun agak curam. Tidak terasa penat berjalan bila melihat suasana hijau dan menyegarkan.
Ads
4. Ada zoo kecil juga di sini. Anak-anak pasti suka. Bagi ibu bapa pula jangan lepaskan peluang untuk bergambar di sini kerana banyak tempat menarik untuk merakamkan kenangan percutian.
5.Tersedia juga kenderaan pacuan empat roda untuk kemudahan bergerak ke sana sini.
6. Buat penggemar kopi, boleh minum kopi sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Ads
7. Wajib bila ke mana-mana bawa pulang cenderamata. Di sini juga ada disediakan pelbagai pilihan cenderamata yang terletak berhampiran meja pendaftaran.
8. Bilik untuk keluarga pun besar dan selesa.
9. Boleh mandi-manda di kolam mandi yang turut tersedia di sini. Air dari kolam mandi datangnya dari air bukit. Sejuknya sampai ketulang.
10. Di luar bilik boleh lepak santai sambil minum kopi cicah biskut.
Ads
11. Pada waktu malam pula boleh buat barbeku bersama keluarga.
Lokasi percutian ini bukan sahaja sesuai untuk keluarga tetapi juga untuk pasangan yang sedang berbulan madu.
Pada waktu pagi pula, cuaca sejuk dan kabus tebal. Pasti rasa malas meninggalkan tempat tidur.
Hidangan Nasi kuning sangat popular dalam kalangan masyarakat di pantai timur negeri Sabah seperti di Semporna, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu. Seperti Nasi Lemak yang menjadi hidangan sarapan pagi, tengah hari dan juga lewat malam, Nasi Kuning juga menjadi santapan penduduk tempatan tidak kira masa.
Tetapi sebenarnya Nasi Kuning pada satu ketika dahulu merupakan hidangan untuk sarapan pagi sahaja yang popular sejak sekian lama di daerah ini dan ia dikatakan diperkenalkan masyarakat tempatan.
Jika ke Tawau, kena cuba Nasi Kuning Restoran Haji Tamrin yang menjadi buah mulut ramai kerana keenakkan rasanya yang sama dan tidak berubah seperti pada hari pertama premis makanan ini beroperasi sejak tahun 1979 lagi. Bukan sahaja menjadi restoran pilihan penduduk setempat malah digemari oleh pengunjung luar dan pelancong asing.
Cara hidangan nasi kuning hampir sama seperti nasi lemak, ada yang dibungkus dengan daun pisang atau dihidangkan secara buffet. Nasi Kuning Restoran Haji Tamrin dihidang bersama ayam percik, ayam masak merah, ikan atau ayam goreng, telur rebus atau mata lembu, tempe goreng, kerisik dan hirisan timun. Lauk ikan goreng dihidangkan bersama nasi kuning biasanya menggunakan ikan selayang atau ikan tongkol, tetapi boleh dipelbagaikan dengan jenis ikan lain seperti tenggiri, ikan putih atau merah, mengikut citarasa masing-masing.
Selain Nasi Kuning, restoran yang telah diuruskan dua generasi ini juga turut menyediakan menu menarik yang lazat iaitu Roti Kahwin. Rasa asli roti dan intinya begitu serasi dan lembut sesuai untuk dinikmati seisi keluarga.
Tidak keterlaluan jika dikatakan rasa Roti Kahwin ini berbeza dan sangat sedap. Seperti mana Nasi Kuning, Roti Kahwin ini juga merupakan resepi turun temurun hasil tangan keluarga ini sendiri. Jom la rasa!
Ramuan utama membuat nasi kuning ialah serbuk kunyit, santan segar, serai dan halia yang sudah ditumbuk hingga lumat, garam serta daun salam selain menggunakan beras wangi bagi menjadikan nasinya lebih harum dan sedap.
Lokasi: Restoran Haji Tamrin. 4188, Jalan Sim Hua Seng, 91000 Tawau, Sabah
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Rumah tradisional melayu masih menjadi ‘trend’ dan pilihan ramai untuk mendiaminya meskipun kelihatan ‘kekampungan’. Ada yang sanggup melabur ratusan ribu ringgit semata-mata untuk memiliki bahagian rumah ala rumah ‘lama’. Ketika cuaca panas, percayalah individu yang menetap di dalam rumah tradisional ini akan berasa sejuk dan redup sahaja. Itu adalah kelebihan yang dimiliki rumah jenis tradisional ini.
Rumah tradisional melayu merupakan antara senibina terawal yang didirikan di Gugusan Kepulauan Nusantara. Sehingga kini jejak rumah-rumah tradisional ini masih dapat dilihat secara fizikal ataupun yang telah menjadi sebahagian artifak sejarah. Kesenian rumah-rumah tradisional ini adalah sangat unik kerana ia mewakili setiap pecahan etnik melayu yang terdapat di gugusan kepulauan ini.
Bangga atau tidak jika dikatakan rumah tradisional melayu telah dinobatkan antara rumah yang mempunyai seni bina terbaik di dunia? Seorang pengguna Facebook telah kongsikan entrinya mengenai betapa genius orang melayu dahulu membina rumah!
Saya rasa orang Melayu dulu cukup genius. Bahkan, pensyarah saya pun cakap Rumah Melayu dinobatkan antara architecture terbaik di dunia. Wow kan? Jadi, disebabkan saya sangat suka dengan Rumah Melayu, izikan saya berkongsi sedikit ilmu. Kalau ada yang kurang, mohon tambah ya.
LALUAN ANGIN
Perasan tak, bila kita balik ke kampung, rumah kayu ni sejuk saja. Nak-nak lagi pada waktu tengah malam, pehhh kalah rumah berhawa dingin. Merekot kesejukan kalau tak ada selimut.
Sebabnya, rumah kayu ada banyak laluan angin. Papan lantai rumah ada sedikit ruang. Atas tingkap ada lubang angin. Bumbung pula kebiasaannya berlapis. Kalau tidak pun, mesti ada lubang angin.
Kenapa?
Sebab haba (angin panas) bergerak dari bawah ke atas. Bila ada banyak lubang angin, haba ada laluan untuk keluar. Sebab itu, kalau rumah ada siling tinggi rasa kurang panas berbanding dengan rumah bersiling rendah.
PINTU MASUK LELAKI LAIN, PEREMPUAN LAIN
Ni pandangan dari sisi rumah. Laluan masuk bagi orang perempuan. Rumah dah kembali sepi selepas raya.
Masa saya kecil-kecil dulu, bila ikut Mak pergi kenduri di kampung, orang perempuan mesti masuk ikut pintu tengah atau pintu dapur. Saya jadi pelik. Macam tak adillah, sebab ayah masuk ikut pintu depan.
Rupanya, pengaruh Islam bukan setakat pada agama saja, bahkan dalam kehidupan seharian orang Melayu itu sendiri.
Sebab itu ada 2 pintu. Biasanya ruang anjung atau serambi, ruang untuk orang lelaki berbual-bual. Orang perempuan pula bersosial sebelah dalam rumah; bahagian dapur atau rumah ibu. Rumah ibu ni biasanya bahagian tengah rumah dan sedikit luas. Kalau tengok cerita drama, biasanya mak-mak terlantar sakit di ruang rumah ibu inilah.
Ini contoh Rumah Limas, rumah pusaka Mak saya di Melaka. Kalau nampak ada tanduk di bumbung, itu namanya tunjuk langit. Laluan masuk ke anjung bagi kaum lelaki ketika kenduri. Kalau tetamu datang, masuk ikut sini.
Dari bahagian tepi rumah.
RUMAH TINGGI
Pernah terfikir tak kenapa rumah kampung ni tinggi? Ada banyak faktor sebenarnya.
Rumah kampung dulu tak ada pagar. Masa dulu, orang lalu celah-celah rumah kalau nak ke kedai atau surau. Cuba bayangkan kalau kita tak dapat kawal mata, mau kita skodeng rumah orang lain. Atas sebab itu jugalah, kenapa rumah kampung biasanya tinggi-tinggi.
Selain itu, nak elak binatang buas atau liar masuk ke dalam rumah dan juga faktor iklim kita iaitu musim hujan yang kadang-kalanya menyebabkan banjir. Lagipun, ruang bawah rumah boleh dijadikan tempat simpanan barang. Macam stor.
Dua tingkap sebelah kanan, itu laluan ke rumah ibu (biasanya kawasan famili lepak, santai-santai). Kalau bising-bising, tak adalah ganggu tetamu di anjung.
Laluan antara anjung ke rumah ibu, sebelah kanan adalah bilik (tak masuk gambar).
Anjung rumah nenek saya ni memanjang.
Anjung rumah nenek saya ni memanjang.
Nampak tangga sebelah kanan? Itu laluan dari anjung tadi. Inilah ruang rumah ibu. Nampak tiang tu? Itu namanya tiang seri.
Cara selak pintu rumah lama. Dulu tak ada grill.
KIBLAT LURUS
Nampak? Kiblatnya lurus.
Bila saya balik kampung Mak atau Ayah, nak cari kiblat cukup mudah. Bentang saja sejadah, tegak dan lurus.
Biasanya bahagian depan dan belakang rumah menghadap arah Utara Selatan. Manakala bahagian kiri kanan rumah menghadap Timur Barat. Secara tak langsung, rumah menghadap kiblat dan laluan angin (cross ventilation). Sebab itu kalau duduk di serambi, sedap ditiup angin sepoi-sepoi.
Orang dahulu, bukan setakat bahasanya indah. Semuanya berseni. Bahkan susun atur rumah pun bermaksud.
Ini sajalah yang saya boleh share. Jenuh jugalah nak ingat kembali apa yang saya study dulu. Dengan harapan, dah tua nanti merasa duduk kampung ada kebun. Manalah tahu kan.
Ramai yang ingat Ho Chi Minh adalah ibu negara kepada Vietnam sebab bandar itu lebih maju berbanding kota ibu negara Vietnam yang sebenar iaitu Hanoi. Jadi kepada yang masih merasakan Ho Chi Minh adalah ibu negara Vietnam, anda dah tersalah tempat.
Hanoi adalah ibu negara Vietnam yang sebenar. Punca kenapa Hanoi kelihatan lebih tradisional berbanding Ho Chi Minh adalah kerana pada zaman perang saudara dahulu, bahagian utara Vietnam di bawah jajahan Perancis manakala selatan Vietnam di bawah jajahan Amerika Syarikat. Disebabkan oleh itu menjadikan Ho Chi Minh lebih kehadapan dahulu berbanding Hanoi.
Untuk anda yang merancang nak ke sana, tak akan tak ke mana-mana kan? Alang-alang menyeluk pekasam tu biar sampai ke pangkal lengan. Dah sampai Hanoi, jom la pusing-pusing dulu.
Ini antara beberapa lokasi yang boleh dipertimbangkan sekiranya anda pergi di Hanoi Kelak.
Kredit gambar: www.guidevietnam.org
Tasik Hoan Kiem di Hanoi menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan yang ingin menghindari kebisingan dan kesibukan bandar. Damai dan tenang, tasik ini mengelilingi Kuil Ngoc Son, sebuah pagoda yang terletak di tengah-tengah sebuah pulau kecil.
Kuil ini menarik banyak pelawat dan dibina untuk memperingati pemimpin tentera abad ke-13, Tran Hung Dao yang terkenal dengan keberaniannya dalam pertempuran melawan Dinasti Yuan. Pulau di mana kuil ini dibina dikenali sebagai Pulau Jade dan boleh dimasuki melalui Jambatan Huc atau Rising Sun Bridge yang merupakan jambatan kayu dicat merah jambu daripada reka bentuk Vietnam klasik.
Pagoda ini juga dijaga oleh dua menara yang mengagumkan, dihiasi dengan tulisan Cina. Tasik dan kuil ini mungkin tempat paling terkenal di bandar Hanoi sebagai tempat untuk berehat sambil menikmati pemandangan dan merupakan tempat yang bagus untuk duduk dan melihat penduduk tempatan.
Tasik dan kuil ini menawarkan banyak pokok dan teduhan untuk melarikan diri dari jalan-jalan bandar yang sibuk. Untuk menuju ke sini, anda boleh menuju ke Old Quarter dan pejabat pos utama yang terletak di sebelah tasik. Tiket boleh dibeli di gerai yang terletak di sebelah kiri sebelum anda menyeberangi jambatan.
Kuil dibuka pada pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang setiap hari dan masa yang terbaik untuk sampai ke tasik ini adalah waktu pagi untuk menonton penduduk tempatan melakukan yoga dan tai chi. Untuk sampai ke kuil, anda boleh berjalan melintasi jambatan Huc berwarna ke Jade Island.
Imperial Citadel of Thang Long adalah peninggalan sejarah Vietnam yang menarik serta menjadi tanda sejarah dan budaya masyarakat Vietnam yang penting, malah ia telah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2010.
Imperial Citadel of Thang Long turut dikenali sebagai Kota Benteng Hanoi di samping penemuan banyak artifak bersejarah kurun ke-6 hingga kurun ke-20 yang digali pada tahun 2004. Penemuan artifak bersejarah ini termasuk asas binaan istana lama, jalan kuno, kolam dan telaga.
Di samping penemuan ini, ahli arkeologi juga menemui syiling gangsa, seramik dan tembikar dari China dan banyak tempat lain di Asia. Semuanya penemuan ini menunjukkan hubungan dagangan yang dekat di kawasan ini.
Tapak kuno ini adalah pusat politik negara selama 13 abad berturut-turut dan menjadi ibukota Vietnam selama lapan abad. Tarikan yang ketara di Imperial Citadel of Thang Long adalah Menara Bendera Hanoi, sebuah kubu batu berukuran 40 meter yang telah diubahsuai dan menawarkan pemandangan Ba Dinh Square dan Pusat Bandar Raya Hanoi.
Lokasi Imperial Citadel of Thang Long ini terletak di Daerah Ba Dinh, harga tiket untuk masuk ke kawasan ini berharga VND30,000 dan ia dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hari Isnin. Tapak terkenal ini juga berada dalam jarak 15 minit berjalan kaki dari tempat-tempat menarik seperti Kuil Quan Thanh, Muzium Sejarah Ketenteraan Vietnam dan Gereja Cua Bac.
Untuk mengunjungi kawasan yang menarik di sini, anda boleh terus ke bilik pameran yang mempamerkan barangan artifak yang menarik dan mock-up benteng istana kuno ini sendiri.
Waktu operasi: Selasa hingga Ahad (8 pagi hingga 5 petang) Lokasi: 9 Hoang Dieu, Dien Bien, Ba Dinh District, Hanoi Harga: VND30,000
Pagoda Perfume, yang turut dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai Chua Huong. Pagoda ini terletak di tengah-tengah kawasan yang sangat dihormati dan suci serta memaparkan kuil-kuil Buddhayang dibina di tebing batu kapur Huong Tich.
Di tengah kompleks pagoda ini terletak Kuil Perfume di Gua Huong Tich. Dipercayai bahawa kuil pertama dibina di sini pada abad ke-15, walaupun legenda setempat mengatakan bahawa tapak ini sebenarnya telah ditemui lebih 2,000 tahun yang lalu oleh seorang biarawan Buddha yang sedang bermeditasi di kawasan berhampiran.
Bukit-bukit di kawasan ini mempunyai keindahan alam semulajadi dan rohani yang penuh dengan sungai, tumbuh-tumbuhan tropika dan kuil. Terdapat banyak pagoda untuk dilawati dan setiap satu kuil menawarkan bentuk yang berbeza, kebanyakannya adalah Buddha walaupun terdapat satu atau dua daripadanya adalah animis.
Pagoda Perfume menarik penganut budha serta pelancong yang mencari nasib baik daripada stalagmit dan stalaktit di dalam gua yang telah dinamakan sesuai dengan rahmat yang dipercayai dapat ia berikan. Dun Tien menawarkan kemakmuran dan Nui Co menawarkan peluang melahirkan seorang gadis manakala Dun Gao diterjemahkan sebagai ‘tumbukan beras’ kepada mereka yang berharap untuk tuaian yang melimpah.
Pintu masuk Pagoda Perfume mempunyai ruang yang luas dan Gua Huong Tich menyerupai mulut naga yang terbuka serta dihiasi dengan huruf Cina kuno yang diterjemahkan sebagai ‘gua gred pertama di Dunia Selatan’, tarikh penulisan ini dianggarkan pada tahun 1770. Ruang di dalam gua terdapat banyak patung yang diukir dari batu hijau yang menghiasi kuil yang, termasuk salah satunya adalah Tuan Buddha dan satu lagi dewi Buddha Quan Am.
Stalaktit dan stalagmit licin juga mengisi ruang dalam gua dan sentiasa disentuh oleh jemaah yang mempercayai ia mampu untuk menyampaikan mukjizat dan nasib baik. Anda akan dapati kuil yang sangat sejuk di dalam dan juga sangat sibuk terutama pada hari-hari perayaan Chua Huong yang berlangsung dari Januari hingga April.
Adalah lebih baik mengambil masa untuk berhenti dan menikmati pemandangan di sepanjang laluan ke kuil kerana di sana mempunyai pemandangan yang sangat menarik, dihiasi dengan pokok buah-buahan termasuk aprikot dan herba ubatan yang ditanam oleh petani tempatan. Kuil-kuil lain yang ada untuk dilihat di dalam kompleks ini termasuk Kuil Vong, Gua Thuyet Kinh dan Pagoda Thien Son.
Perjalanan ke Pagoda Perfume ini sendiri merupakan pengalaman yang menarik. Terletak kira-kira 60 km dari barat daya Hanoi di sekitar Gunung Huong Son, anda perlu mengambil kereta selama kira-kira dua jam sebelum menaiki bot untuk sampai ke kompleks kuil. Bot ini akan menelusuri sungai dan anda akan mempunyai pilihan untuk berhenti dan melawat beberapa kuil ini. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai masa yang singkat, terus sahaja ke Gua Huong Tich. Anda perlu berjalan kaki untuk ke Pagoda Perfume yang mengambil masa kira-kira satu jam. Laluan boleh menjadi licin, jadi anda perlu membawa kasut atau kasut hiking.
Waktu operasi: Setiap hari 6.30 pagi hingga 5 petang Lokasi: Huang Son, My Duc, Hanoi
Teater Boneka Air Thang Long di Hanoi ini adalah antara teater boneka air yang terkenal di dunia dan mempunyai susur galur seni yang bermula pada abad ke-11. Tradisi teater boneka air ini berasal apabila kawasan sawah padi dibanjiri oleh air dan penduduk kampung akan membuat hiburan dengan berdiri di dalam petak sawah dan bermain boneka di dalam air yang berketinggian separas pinggang.
Menggunakan batang besar sebagai sokongan, boneka ini kelihatan seolah-olah bergerak di atas air dengan boneka-boneka yang lain akan disembunyikan di sebalik layar.
Tradisi teater boneka air ini unik terutama kepada Vietnam Utara, sehingga menjadikan ia terkenal dan dimainkan di beberapa lokasi berbeza seluruh dunia. Jadi pengalaman untuk menonton teater boneka air di sini merupakan pengalaman yang berbeza kerana ia dimainkan di lokasi asal iaitu panggung Teater Boneka Air Thang Long.
Pertunjukan teater boneka air ini diiringi oleh orkestra yang bermain musik tradisional menggunakan drum, loceng kayu, tanduk, seruling buluh dan simbal. Terdapat juga lagu-lagu tradisional Vietnam yang menceritakan kisah tersendiri sambil dilakonkan oleh boneka air.
Sebahagian besar pertunjukan ini menceritakan kisah rakyat Vietnam dan legenda rakyat tempatan dalam pelbagai topik termasuk perayaan penuaian padi yang digambarkan dengan cara yang lucu.
Pertunjukkan di pentas teater ini dilakukan di kolam air untuk boneka. Patung-patung boneka ini dikendalikan oleh tidak lebih dari lapan anak dalang yang bersembunyi di belakang layar buluh.
Pertunjukan Boneka Air Thang Long ini juga dianggap sebagai salah satu acara penting budaya masyarakat di Vietnam Utara, berasal daripada tradisi yang bermula di hulu Sungai Merah dan persembahan biasanya terdiri daripada beberapa plot pendek dan bukan satu plot cerita panjang, membawa penonton merasai perjalanan kehidupan kampung purba, hasil pertanian dan tarian makhluk mitos.
Plot penceritan teater boneka air ini juga menunjukkan kisah Legend of the Sword of King yang ditambahbaik, kisah Hoan Kiem Lake dan kura-kura raksasa. Selain itu, persembahan musik turut memainkan paranan penting dalam persembahan dengan penyanyi yang sering menjerit kata-kata dorongan kepada boneka.
Teater Boneka Air Thang Long adalah salah satu tarikan pelancong yang paling popular di Hanoi. Jadi, sebaiknya anda beli tiket terlebih dahulu sebaik sahaja anda tiba di Hanoi. Anda juga dinasihatkan untuk membeli tempat duduk di bahagian hadapan bagi mendapatkan pemandangan yang lebih dekat kerana terdapat beberapa ratus tempat duduk penonton dan boneka air ini tidak begitu besar.
Teater mempunyai 17 plot penceritaan dalam durasi satu jam. Selain daripada harga tiket sebanyak VND100,000, ada bayaran yang dikenalan untuk kamera atau video jika anda ingin mengambil gambar sepanjang persembahan ini.
Waktu operasi: Setiap hari pukul 3 petang, 4.10 petang, 5.20 petang, 6.30 petang dan, 8 malam. Lokasi: 57B, Dinh Tien Hoang Street, Hoan Kiem District, Hanoi Harga: VND100,000
Makam Ho Chi Minh di Ba Dinh Square ini adalah salah satu tarikan yang paling banyak menerima pelawat di Hanoi. Makam ini adalah tempat berehat terakhir Ho Chi Minh, pemimpin Vietnam yang paling ikonik dan popular, serta turut dikenali sebagai ‘Uncle Ho’.
Tubuhnya disemadikan di dalam bekas kaca, walaupun persemadian itu menentang keinginan dirinya. Bagi pelancong, perjalanan ke tempat istirehat terakhir Uncle Ho boleh menjadi pengalaman luar biasa kerana ia bukan sekadar tarikan biasa; ia adalah sebahagian daripada sejarah yang unik.
Bermula pada tahun 1973, pembinaan makam ini diinspirasikan daripada makam Lenin di Rusia dan pertama kali dibuka kepada orang ramai pada tahun 1975. Binaan menggunakan granit memberi makna kepada penduduk tempatan sebagai simbol bahawa pemimpin mereka yang kasihi ‘hidup selama-lamanya’.
Keselamatan di sini agak ketat dan pelancong harus berpakaian sopan, tidak dibenarkan berpakaian seluar pendek, baju tanpa lengan dan miniskirt malah semua orang perlu menyimpan beg dan kamera mereka sebelum dibenarkan masuk. Pengunjung juga tidak dibenarkan berhenti kerana giliran pelancong untuk masuk ke sini adalah berterusan dan sentiasa sibuk.
Jasad Uncle Ho akan dihantar setiap tahun ke Rusia untuk proses pengawetan dan makam akan ditutup biasanya dari bulan Oktober dan ke atas. Anda dinasihatkan untuk menyemak tarikh lawatan dengan hotel anda sebelum berkunjung ke sini. Kemasukan ke sini adalah percuma tetapi derma ikhlas tetap diterima.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Kala liburan, makanan adalah salah satu cara untuk mengenali dengan lebih dekat sesebuah budaya. Setiap satu menu yang dicuba menjadi manifestasi rasa lantas mengisi...