
Kuala Lumpur sememangnya sebuah kota yang tidak pernah tidur. Setiap sudutnya penuh dengan cerita dan sejarah tersendiri yang memberikan 1001 makna kepada yang benar-benar memerhati.
Berita baik buat anda yang sukakan seni, bermula 8 hingga 17 Mei 2026, selepas matahari terbenam, suasana di Downtown Kuala Lumpur berubah rentak apabila Warung TERANG bakal menghidupkan lorong-lorong bandar dengan permainan cahaya, bunyi dan interaksi seni yang lebih dekat dengan orang ramai.
Acara ini bakal menampilkan enam karya seni yang bergerak merentasi beberapa lokasi utama termasuk Jalan Tun H.S. Lee, Jalan Sang Guna, Muzium Telekom dan River of Life.
Menariknya, pengalaman ini tidak statik, sebaliknya setiap daripada seni itu akan ‘muncul’, berubah dan hidup semula di lokasi berbeza sekaligus memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka seni dalam suasana yang sentiasa berubah.
Warung TERANG membawa pendekatan berbeza apabila seni projection mapping tidak lagi tertumpu pada bangunan berskala besar, sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk pengalaman bergerak yang dipimpin oleh artis sendiri.
Inisiatif ini dibangunkan oleh Filamen sebagai satu eksplorasi berterusan terhadap bagaimana seni digital kontemporari boleh wujud secara lebih bebas dalam ruang bandar, sekali gus merapatkan hubungan antara karya, artis dan orang ramai.
Berpandukan tema ‘pasar’, Warung TERANG mengambil inspirasi daripada budaya pasar Asia Tenggara yang kaya dengan interaksi manusia, pertukaran idea dan pertemuan budaya.
Elemen ini diterjemahkan melalui visual, audio dan pengalaman interaktif yang menjadikan pengunjung bukan sekadar pemerhati, tetapi sebahagian daripada perjalanan seni itu sendiri.
Berlangsung selama dua hujung minggu, Warung TERANG menggabungkan bengkel pada waktu siang dan aktiviti jalanan pada waktu malam. Projection mapping
dihidupkan bersama REAVANG, sebuah platform terbuka yang memberi ruang kepada artis dan kreatif untuk bereksperimen dengan visual dan bunyi dalam suasana urban secara langsung.Apabila malam menjelma, Downtown Kuala Lumpur bertukar menjadi ruang yang dipenuhi warna, bunyi dan aktiviti, dengan artis berada di lokasi bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri proses di sebalik karya serta berinteraksi secara terus.
Edisi sulung ini menghimpunkan barisan artis dari Malaysia dan Indonesia, antaranya Fairuz Sulaiman dari Sekolah Main Wayang, kolektif visual Fonetikar, artis multimedia Tan Ji Kean serta kolektif dari Indonesia seperti The Fox, The Folks, Story of Karana dan Hue.
Karya-karya ini diinspirasikan daripada pengalaman harian dan dinamika pasar, yang kemudian diterjemahkan semula melalui cahaya, visual dan interaksi langsung.
Warung TERANG merupakan antara program di bawah KL Fest 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 31 Mei di Downtown Kuala Lumpur, menampilkan lebih 80 acara dan lebih 700 jam pengisian, dengan majoritinya dibuka secara percuma kepada orang ramai.
Festival ini dianjurkan oleh Think City dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta disokong oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Wilayah Persekutuan sebagai usaha menghidupkan semula ruang bandar melalui seni dan budaya.
Warung TERANG berlangsung selama dua hujung minggu dengan lokasi dan artis berbeza setiap malam, melibatkan kawasan seperti River of Life, Muzium Telekom dan sekitar Jalan Sang Guna. Kemasukan adalah percuma kepada orang ramai.