Di Malaysia, ada sesetengah tempat dan kawasan selepas mengalami perubahan suhu atau cuaca pasti akan menyebabkan lokasi itu berubah rupanya daripada kebiasaannya.
Sebelum ini mungkin langsung tiada daya tarikan, tiba-tiba sahaja muncul bunga-bunga indah, tumbuhan hijau yang segar dan banyak lagi. Apa lagi, ramai la pengunjung yang datang untuk menyaksikan fenomena itu kerana ia mungkin sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
Itu juga yang berlaku di sebuah bandar kecil, Walker Canyon di California Selatan. Kewujudan bunga-bunga berwarna jingga yang berkembang telah memaksa pihak berkuasa menutup laluan ke kawasan itu berikutan jumlah pengunjung terlalu ramai yang datang untuk bergambar.
IKLAN
Bunga liar yang mekar dengan gelaran ‘superbloom’ itu terhasil berikutan hujan lebat selepas musim sejuk menyebabkan kawasan lereng bukit dipenuhi bunga poppy jingga yang jelas dapat dilihat dari jarak ratusan kilometer.
Pihak berkuasa bandar Lake Elsinore menutup laluan ke Walker Canyon berikutan pengunjung terlalu ramai sehingga menyebabkan kesesakan di lebuh raya berdekatan. Kira-kira 50,000 pelawat dicatat hujung minggu lalu, dan orang ramai berbaris seawal jam 5.30 pagi untuk melihat bunga itu mekar.
IKLAN
Walker Canyon yang terletak 90 minit dari Los Angeles, sebelum ini hanya dikunjungi penduduk berdekatan namun, masalah timbul apabila pengunjung membuat laluan baru di lereng bukit serta merosakkan bunga dengan berbaring dan memijaknya kerana hanya untuk bergambar.
IKLAN
Datuk Bandar Lake Elsinore, Steve Manos berkata, pihaknya melaksanakan langkah keselamatan, termasuk menyediakan bas pengantara. Huru-hara pada hujung minggu menyebabkan seorang kakitangan perbandaran dilanggar kereta dan seorang pengunjung dipatuk ular. Namun, ekoran daripada keadaan yang tidak terkawal, bandar itu terpaksa menutup laluan ke kawasan itu pada hujung minggu apabila tidak dapat mengawal pengunjung seramai mengunjungi taman tema Disneyland.
Semua orang tahu Alaska negeri paling utara di Amerika Syarikat terkenal dengan suhu sejuk di bawah paras beku, pemandangan gunung Alp bersalji dan pemandangan Aurora ketika malam. Tahap kesejukan Alaska jelas dapat dilihat apabila air tasik dan air tepian pantai beku dan boleh menjadi laluan kenderaan juga penduduk tempatan bermain papan luncur.
Namun ada berita mendukakan penghujung tahun 2019 ini, apabila Alaska dikatakan telah merekodkan suhu tinggi purata paling panas selepas setahun berdepan dengan cuaca ekstrem yang berubah-ubah. Zon di pesisiran barat Amerika Syarikat dan di sebelah Selat Bering itu telahpun berdepan musim panas yang teruk hinggalah boleh terjadi insiden kebakaran hutan yang dahsyat. Tidak ketinggalan isu kehilangan dataran ais di laut hinggalah hujan lebat pada musim sejuk sedangkan sebelum ini cuma mendapat salji.
Hidupan liar juga menderita akibat cuaca yang huru-hara. Burung-burung laut mati dalam jumlah yang banyak manakala mamalia marin juga tidak lagi hidup dengan selesa. Saintis percaya semua ini terjadi akibat daripada corak pemanasan berterusan. Alaska yang berdekatan dengan Artik menerima impak melampau berikutan kenaikan suhu dua kali ganda kadarnya berbanding keseluruhan planet Bumi, menurut para penyelidik.
"Walaupun dengan kehadiran cuaca sejuk secara tiba-tiba baru-baru ini, saya tidak dapat nafikan tahun 2019 tetap menjadi tahun yang paling panas dalam rekod,” ujar pakar klimatologi University of Alaska, Brian Brettschneider.
Tahun paling panas Alaska adalah pada 2016, apabila suhu purata tahunan mencatatkan lebih daripada 0 Celsius. Itu adalah kali pertama suhu sudah tidak lagi berada di paras beku.
Pencairan pada musim bunga menyaksikan kesan pada sungai-sungai utama berlaku lebih awal daripada biasa, dan lapisan paling atas permafrost di Semenanjung Seward tidak lagi membeku sepanjang tahun.
Suhu musum panas sudah meningkat menjadi 32 darjah Celsius atau lebih di beberapa kawasan termasuk Anchorage, yang sudahpun dalam kemarau teruk. Kebakaran hutan memusnahkan kediaman, memaksa pemindahan dan mencemarkan udara selama berminggu-minggu.
Suhu laut yang meningkat pula membuatkan algae bertoksik membiak pantas di Laut Ahukchi di Artik.
Kehilangan bongkah dan dataran ais membuatkan permukaan laut menyerap lebih banyak suhu panas, mencetuskan kitaran termodinamik yang mengakibatkan siri kesan perubahan iklim di seluruh dunia.
Laut Bering menunjukkan isyarat jelas apabila populasi ikan ketara berkurangan dan bangkai-bangkai burung laut mencemari pantai.
Kerajaan Negeri Selangor meneruskan pemberian subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor dengan edisi kedua tahun ini setelah edisi pertama yang diedarkan pada umum pada Januari lalu menerima sambutan yang hangat dari orang ramai.
Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 merupakan salah satu insentif yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 9 Jun 2021 yang memperuntukkan sebanyak RM 2.55 juta kepada industri pelancongan Negeri Selangor.
Dari jumlah tersebut, RM 1 juta diperuntukkan untuk Subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 merangkumi 10,000 unit baucar bernilai RM 100 setiap satu yang akan ditawarkan kepada umum di aplikasi e-dagang terkemuka; Shopee bermula 22 Oktober 2021 sehingga 31 Disember 2021, atau sehingga baucar pembelian habis ditebus.
Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 ini boleh digunakan untuk membeli lebih dari 170 pakej-pakej pelancongan menarik yang ditawarkan secara khusus oleh 35 Agensi Pelancongan Negeri Selangor yang mengambil bahagian dalam edisi kali ini. Tempoh perjalanan atau penggunaan baucar pula bermula dari 22 Oktober 2021 sehingga 30 Jun 2022.
Y.B. Tuan Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor dalam sebuah kenyataan pada Majlis Pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 pada 5 Oktober lalu berkata, “Adalah diharap agar Program Subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 dengan nilai peruntukan sebanyak RM 1 juta akan menjadi sebuah inisiatif yang signifikan ke arah membangunkan semula industri pelancongan Negeri Selangor, di ambang pandemik Covid-19 yang semakin menghampiri ke fasa endemik ini.
“Diharapkan juga, insentif ini akan membuka ruang dan peluang kepada penggiat industri pelancongan di Negeri Selangor dalam menjamin kelangsungan industri pelancongan Negeri, seterusnya menyokong Kempen “Pusing Selangor Dulu!” dan “Splendid Selangor; Take me Anywhere!” yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak Tourism Selangor”.
Terma dan syarat penebusan Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di aplikasi Shopee adalah seperti berikut:
1) Tempoh Kempen / Tempahan: 22 Oktober 2021 hingga 31 Disember 2021. 2) Tempoh Perjalanan: 22 Oktober 2021 hingga 30 Jun 2022. 3) Promosi: Dapatkan SATU (1) baucar bernilai RM100 dengan syarat Warganegara Malaysia dan memiliki Kad Pengenalan yang sah (MyKad), dan berumur 18 tahun ke atas pada tahun 2021. 4) Setiap pengguna Shopee terhad kepada SATU (1) transaksi setiap baucar sepanjang Tempoh Kempen. 5) Terhad kepada sejumlah 10,000 penebusan baucar sepanjang tempoh Kempen. 6) Semua pembayaran harus dilakukan dengan fungsi ‘ShopeePay’ SAHAJA. 7) Tiada baucar tunai atau kombinasi baucar penerimaan dari medium lain yang dibenarkan untuk setiap transaksi. 8) Promosi akan dihentikan setelah jumlah baucar habis, atau pada masa tempoh Kempen berakhir, mana yang lebih awal. 9) Promosi ini tidak sah dengan baucar, diskaun potongan atau promosi lain. 10) Promosi tidak boleh ditukar atau diganti dengan produk lain atau wang tunai.
Inilah masanya untuk anda “Pusing Selangor Dulu!” susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik Negara. Rebut peluang untuk tebus Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 dan terokai pelbagai segmentasi pelancongan Negeri Selangor menerusi pembelian pakej-pakej pelancongan Negeri ini. Gunakan untuk percutian akhir tahun anda atau simpan dan guna pada tahun hadapan sehingga akhir Jun 2022!
Kempen Pusing Selangor Dulu memberi penekanan kepada inisiatif promosi pelancongan domestik dengan melibatkan usahasama dengan penggiat industri pelancongan seperti pihak Hotel, Agensi Pelancongan, Media dan Syarikat Penerbangan.
Tarikan pelancongan Negeri Selangor dapat dipromosikan secara lebih meluas menerusi Kempen ini yang giat dijalankan di laman digital dan media sosial rasmi Tourism Selangor di laman Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok, dan saluran YouTube, dengan tandapagar #PusingSelangorDulu.
Hujan lebat semalaman menyebabkan banjir kilat di beberapa tempat di negara kita sehingga, menjejaskan sebuah hospital, menyebabkan orang terkandas, penduduk kampung terpaksa dipindahkan dan turut menenggelamkan beberapa kenderaan di lokasi pelancongan.
Di Pahang, pemilik enam kenderaan rosak teruk selepas ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di destinasi pelancongan Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. Hujan berterusan menyebabkan fenomena 'kepala air' dari Sungai Kuala Tahan berlaku, dan melanda kawasan berkenaan, yang mengakibatkan kejadian banjir kilat pagi 13 Julai 2020.
Lima daripadanya adalah kereta ekspatriat yang sedang bercuti di kawasan itu. Sebuah lagi kereta yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu adalah milik pekerja pusat peranginan berkenaan. Semua ekspatriat yang berumur antara 33 dan 52 tahun itu adalah dari negara China, Belanda, Australia, Perancis dan Britain, semuanya beralamat di Kuala Lumpur. Kenderaan mereka dipercayai ditempatkan di kawasan berhampiran dengan jeti ke Taman Negara itu sejak semalam. Difahamkan terdahulu, mereka telah pun dinasihatkan oleh penduduk tempatan supaya tidak meletakkan kereta mereka di tempat itu. Antara kereta yang terbabit adalah Nissan X-Trail, Toyota Fortuner, Hyundai Matrix dan Mercedes CLG250; serta sebuah kereta Proton Wira milik pekerja pusat peranginan itu.
Orang ramai yang berhasrat melawat Taman Negara ini dinasihatkan supaya meletak kenderaan mereka di kawasan yang dikhaskan, terutama semasa keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini. Pelancong juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca sebelum menyertai sebarang aktiviti air.