‘Good Night, Malaysian Three Seven Zero’ adalah mesej radio terakhir yang dihantar dari kokpit MH370 dan ia akan terus bermain di fikiran kita serta kehilangan MH370 akan menjadi misteri penerbangan terbesar di dunia sehingga ada petunjuk baharu atau bukti utama yang ditemui.
Hari ini 8 Mac, genap lima tahun penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak di selatan Lautan Hindi dan persoalan paling penting dalam misteri penerbangan terbesar di dunia itu masih belum dijawab.
Kehilangan pesawat penumpang Boeing 777 yang hilang daripada skrin radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dengan 239 penumpang terus membelenggu fikiran pakar penerbangan, anggota keluarga, sahabat dan seluruh dunia.
Operasi pencarian terakhir pesawat itu berakhir Mei tahun lepas apabila syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu selepas melakukan pencarian lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut selama lebih tiga bulan tempoh operasi. Sehingga kini, hanya tiga serpihan sayap, dikenali sebagai flaperon, disahkan berasal dari pesawat Penerbangan MH370.
Kisah Waris MH370 – Anak Tidak Pernah Jumpa Bapa Sejak Lahir
Mendengar isi hati Intan Maizura Othman, 38 tahun, iaitu isteri kepada Mohd Hazrin Hasnan yang merupakan sebahagian daripada kru pesawat berkenaan. Tabah dan redha sejak kejadian itu membuatkan Intan terus memujuk dirinya supaya kuat meneruskan kehidupan, meskipun persoalan di benak fikirannya belum bertemu noktah.
Ads
“Saya faham bukan mudah Kerajaan Malaysia untuk selesaikan isu ini. Tetapi saya harapkan agar kebenaran itu muncul dan beritahu kami perkara sebenar. Macam mana, di mana, kenapa, siapa di sebalik kejadian ini. Kalau suami saya masih hidup, cakap hidup. Kalau dah tiada, cakap dah tiada. Itu sebenarnya saya dan semua waris hendak tahu,” jawabnya dalam nada sayu.
Lebih memilukan, anak kedua Intan, Muhammad Mohd Hazrin, 5 tahun, tidak pernah berjumpa bapanya sejak dilahirkan. Apabila ditanya: “Kalau boleh jumpa Papa, apa Muhammad nak cakap dekat Papa?”
Anak kecil itu dengan mimik dan nada suara sedih menjawab: “Muhammad sayang Papa, Muhammad rindu Papa.”
Luahan jujur itu membuatkan semua yang berada di majlis tersebut berlinang air mata. Ternyata sosok tubuh kecil itu tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi ungkapan itu sudah cukup jelas betapa rindunya Muhammad terhadap ayahnya.
Menurut Intan, Muhammad kerapkali bertanya kepada beliau: “Mama, Papa dah meninggal ke?”, namun tiada jawapan jelas dapat diberikan kepadanya. Hanya berbekalkan gambar Hazrin, kerinduan Muhammad terubat seketika. Di sebalik air mata Intan yang entah kali ke berapa gugur, sudah tentu yang paling utama buat dirinya, adalah untuk mendapatkan pengakhiran muktamad tentang insiden misteri tersebut.
Kisah Waris MH370 – Setiap Minggu Cuba Telefon Anak
Seminggu sekali, seorang petani di China, Li Eryou akan cuba menghubungi telefon anaknya yang merupakan salah seorang 239 mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370, walaupun tidak berjawab.
“Saya tidak peduli apa pun orang kata, saya akan tetap telefon dia walaupun untuk tinggalkan beberapa patah perkataan dalam sistem pesanan ringkas,” kata petani berusia 60 tahun itu.
Berasal dari Handan, wilayah utara Hebei, Li Eryou menyifatkan panggilan yang dibuatnya setiap Sabtu itu merupakan satu perkara wajib yang akan dilakukannya setiap minggu. Anaknya, Li Yanlin, ketika itu berusia 30 tahun, antara yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum ia dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014, bersama 153 lagi warga China.
“Anak saya adalah orang pertama di kampung kami yang dapat menaiki kapal terbang untuk pergi ke luar negara,” katanya ketika ditemu bual Reuters, sambil menyelak album gambar anaknya.
Ads
Gambar-gambar terakhir anaknya yang bekerja di Malaysia dengan syarikat telekom Cina, ZTE, dimuat turun dari media sosial, menunjukkan saat-saat ketika dia sedang bercuti.
Sementara itu, isterinya, Liu Shuangfeng berkata dia sering menangis sehingga tertidur dan telah didiagnosis mengalami kemurungan yang teruk. Selepas kehilangan anaknya, Li Eryou meninggalkan kampung dan turut mengabaikan tanamannya kerana perlu berulang alik ke Beijing bagi mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Malaysia dan Cina. Ratusan tiket kereta api dan resit dikumpulnya bagi memberi inspirasi dalam usaha mencari anaknya itu.
“Walaupun telah lima tahun berlalu, saya tidak akan menyerah dan tidak akan berputus asa,
“Saya akan terus mencari anak saya,” katanya.
Usaha mencari pesawat MH370 sehingga kini masih lagi tidak berjaya menemui apa-apa petunjuk besar. Pada Januari 2017, Australia, China dan Malaysia mengakhiri carian dasar laut di selatan Lautan Hindi selepas dua tahun, yang mana ia menelan belanja US$141 selepas usaha itu tidak menemui sebarang jejak pesawat. Pencarian kedua dilakukan selama tiga bulan diketuai oleh firma penerokaan Amerika Syarikat Ocean Infinity, juga berakhir pada Mei tahun lalu.
'Kelihatan seperti sedang hamil' itu antara alasan yang diberikan sebuah syarikat penerbangan Hong Kong yang memaksa seorang wanita menjalani ujian kehamilan.
Midori Nishida, warganegara Jepun dipaksa membuat ujian pengesahan kehamilan sebelum dibenarkan menaiki pesawat yang menuju pulau Pasifik, lokasi popular dituju individu untuk mendapatkan kerakyatan Amerika Syarikat untuk bayi mereka.
Dia sudah mengisytiharkan dirinya tidak hamil ketika mendaftar masuk, namun tidak diendahkan dan kakitangan syarikat penerbangan bertegas mahu dia menjalani penilaian boleh menaiki pesawat (fit-to-fly) yang direka untuk wanita dengan saiz badan atau bentuk menyerupai wanita hamil.
Dia tetap diiring ke tandas awam Lapangan Terbang Hong Kong dan diminta membuat ujian air kencing bagi mengesahkan sama ada dia hamil atau tidak sebelum dibenarkan menaiki pesawat penerbangan Hong Kong Express ke Saipan di Kepulauan Mariana Utara dekat wilayah Amerika Syarikat. Ujian berkenaan didapati negatif.
"Ia sangat memalukan dan mengecewakan," ujar Midori Nishida yang membesar di Saipan dan keluarganya telah tinggal di pulau tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.
Susulan kejadian itu, syarikat penerbangan telah meminta maaf kepada mangsa dan memberitahu amalan berkenaan telah dihentikan. Menurut Hong Kong Express, ia mula mengambil tindakan terhadap penerbangan ke Saipan pada Februari tahun lalu untuk membantu memastikan undang-undang imigresen Amerika Syarikat tidak terjejas. Ia adalah sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang dibangkitkan pihak berkuasa pulau terbabit.
Saipan adalah destinasi popular di kalangan wanita hamil yang berhasrat melahirkan anak mereka di sana bagi mendapatkan kerakyatan Amerika Syarikat untuk anak mereka. Pada 2018, hampir 600 bayi dilahirkan oleh pelancong yang berkunjung ke kepulauan Mariana, jauh lebih tinggi berbanding bayi yang dilahirkan penduduk tempatan. Menurut data dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan tempatan, 575 pelancong China melahirkan bayi di sana pada tahun berkenaan. Ini berlaku kerana pada 2009, kerajaan memperkenalkan program tanpa visa bagi menarik lebih ramai pelancong China berkunjung ke sana yang menjadikan kepulauan berkenaan satu-satunya destinasi di bawah kuasa Amerika Syarikat yang boleh dikunjungi tanpa visa.
Seorang wanita ada kongsikan pengalamannya bagaimana dia boleh dijangkiti COVID-19 ketika bercuti di luar negara. Sedangkan ketika itu kerajaan telah memberi nasihat agar semua rakyat Malaysia tidak melancong ke luar negara buat seketika.
Assalammualaikum dan selamat sejahtera semua. Hari ni saya nak share sikit tentang pengalaman saya sebagai pesakit Covid-19, kes yang ke 3xxx saya rasa. Maaf kalau saya terguna bahasa rojak dalam karangan saya ni. Saya tak pandai sangat buat karangan, nak lukis pun tak berapa pandai jugak. Jadi saya cuba share guna cara yang paling ringkas dan senang difahami.
Berikut adalah turutan perjalanan saya sebagai pesakit Covid-19:
11 Mac 2020
Jam 10.30 malam, saya dan Ekhwan bertolak ke KLIA untuk memulakan perjalanan ke New York selama 9 hari. Hanya kami berdua, anak2 tak ikut. Sebelum ada yang bertanya kenapa decide nak teruskan jugak perjalanan ke NY, baiklah saya mengaku je kat sini. Mula2 memang kami dah berbincang nak tangguhkan trip ni, tapi rasa excited tu kadang2 melebihi rasa takut. Plus masa tu US belum termasuk lagi dalam list negara berisiko tinggi. So kami pun macam ala2 confident la nak pegi, dan dah siap bincang segala macam precaution, dekat mana nak kuarantin lepas balik nanti dan lain2 lagi. Jadi kami pun pegi la jugak (huh, degei nooo anak mak niiiii).
12 Mac 2020
Sampai di JFK Airport. Terus ke tempat penginapan di 82nd St, 2nd Avenue. Guna servis limo di airport.
12 Mac 2020 – 15 Mac 2020
Memulakan acara jalan2 di NYC. Perjalanan dari satu tempat ke tempat lain menggunakan subway. Kami cuba mengelak dari pergi ke tempat yang sesak. Memulakan hari seawal pagi mungkin untuk mengelakkan bertembung dengan ramai orang. Patuh pada perjanjian, selalu sanitize/cuci tangan, jauhkan diri dari individu yang kelihatan tak sihat, jangan sentuh pintu kedai/escalator handrails, rajin mandi, jangan mengorat pelancong lain, makan dekat rumah je dan banyak lagi.
16 Mac 2020 -19 Mac 2020
Saya mula terasa sakit tekak dan demam. Tekak rasa kering dan pedih2 sikit. Tapi sebagai seorang yang ada sinusitis perkara tu macam dah biasa bagi saya. Seperti biasa setiap kali ada simptom macam tu saya akan kumur dengan air garam atau mouthwash, makan antihistamine dan kalau demam ambik PCM. Selepas 3 hari saya sembuh. Tekak dah tak sakit, demam dah hilang. Tapi, dalam tempoh 3 hari tu saya tak keluar rumah langsung. Lagi pun NYC dah start lockdown. Kami juga ada hubungi Encik Hanafi dari Malaysia Embassy di NY, minta nasihat apa nak buat kalau symptom saya berpanjangan, ke mana nak pergi untuk buat test, apa nak buat kalau airline refuse tak bagi balik. Dan call 311 (NYC Covid Hotline) untuk tanya apa perlu saya buat sebab saya ada symptom. Tapi susahnyerrr la hai nak get through the line. Sampai la baik demam masih tak dapat bercakap dengan doctor.
20 Mac 2020
Dah baik demam. Tekak pun dah ok. Tapiiiiiii….hilang deria bau, dan deria rasa. Again, ingatkan sebab sinusitis jugak. So tak risau sangat sebab demam pun dah hilang. Takde batuk, takde sakit dada.
21 Mac 2020 – 22 Mac 2020
Travel balik ke Malaysia. Sebelum balik, kami book homestay dekat Shah Alam untuk 2 minggu for self quarantine. Taknak balik rumah sendiri lagi. Taknak risikokan anak2, mak mertua, adik2 ipar, jiran tetangga dan 3L (Lola Lulu Luna yang gebuuuuuu). Sampai KLIA, ada screening by KKM. Sebab kami tak demam, jadi pegawai KKM bagi satu surat pink untuk suruh kitorang quarantine.
24 Mac 2020
Mulakan kuarantin di homestay. Ekhwan start demam dan batuk2. Ajak pergi test dia kata takpe, tunggu kejap lagi 4-5 hari sebab kami suspect maybe sebab changed of weather je dia demam tu. Makan PCM sepanjang demam. Dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Selain buat kerja office dari rumah, tengok Crash Landing on You. Awwww…kacak betul Hyun Bin
30 Mac 2020
Pergi MSU Drive Thru Covid-19 Screening Test. Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Test. Naso/oropharynx swab. Sekejap je dah siap.
1 April 2020
Pagi2 Ekhwan dapat result test melalui whatsapp dari Lablink. Negative. Saya belum dapat. Saspen jugak ni. Sejam kemudian kring kringggg dapat call dari Lablink. “Puan Yusneeda, saya ada sesuatu nak cakap ni. Puan bertenang ye”. OK. Dari intro tu dah tau dah apa dia nak cakap. Saya positive Covid-19. Lepas tu doctor terus explain kepada saya yang nanti pihak KKM iaitu doctor dari PKD (Pejabat Kesihatan Daerah Petaling) akan call dan arrange ambulance untuk ambil saya dekat homestay dan bawa ke Hospital Sungai Buloh. Murung sehari semalam. Penat Ekhwan bagi kata2 semangat tapi saya tak layan. Haha. Yela mana aciiiii dia yang demam saya yang positif (eh, tapi kan dah demam masa kat NY).
2 April 2020
Jam 7 petang, ambulance sampai. Abang KKM lengkap dengan PPE jemput dan masih sempat bagi kata2 semangat. Masuk ambulance, tutup pintu. Nangisssssssssss…..haaa tu la mak dah kata tak payah pi, gatai nak pi jugak. Kan dah kena!! Dah la lama tak dapat jumpa anak2. Rindu anak tak? Mesti la rindu. Tapi, saya sedar saya kena bertanggungjawab 200% terhadap keputusan dan tindakan sendiri. Saya kena sedar tanggungjawab saya pada masyarakat jugak. Tak boleh mengeluh. TANGGUNGJAWAB. Itu penting.
Sampai hospital, terus ke Ward 7B. Tukar baju, mulakan prosedur. Doktor datang interview. Tanya sejarah perjalanan. Tanya semua contact yang pernah ada dengan saya. Part ni paling penting. Kena JUJUR. Sebab sebarang ketidakjujuran akan memberikan impak yang besar pada orang lain. Pada frontliners, pada seluruh warga KKM, pada masyarakat. Pada kerajaan Malaysian yang awesome (bodek sikit).
Jadi selepas habis sesi dengan doctor, kesimpulan yang diberikan adalah, kemungkinan besar saya telah mendapat jangkitan sama ada di airport, dalam kapal terbang atau ketika di NYC sendiri. Dan Doktor mengambil kira tempoh jangkitan adalah dari hari pertama saya mendapat symptom, yakni pada 16 Mac 2020. Maka ketika saya tiba di hospital, itu adalah hari ke-18 saya bersama Cik Corona.
Owh lupa nak cakap, saya juga kena update majikan tentang keadaan saya. Penting. Syarikat saya bekerja memang ada Special Taskforce untuk manage hal2 berkaitan Covid-19. Hai Ridhuan, hai Farina 😃
Selepas habis bagi maklumat dekat doctor, buat chest x-ray dan ambil darah. Check blood pressure, body temperature dan oxygen level. Chest X-ray tu untuk tengok keadaan paru2 sama ada terdapat jangkitan atau tidak. Walaupun saya tak ada symptom. Menurut doctor, itu adalah prosedur. Sebab ada jugak pesakit yang tak batuk tapi jangkitan dah ada dekat paru2.
Jumpa kawan baru di ward. S, N dan KL. Baik2 belaka. Siap ada whatsapp group dah. Dan follow each other di socmed.
3 April 2020
Jam 5.30 pagi Doktor kejutkan untuk buat another swab test. Result mungkin dapat within 24 hours. Ok doctor. Saya yang menurut perintah. In the mean time, teruskan kehidupan seperti biasa. Dan sebab saya tak ada symptom lain selain loss of smell, saya tak perlu makan apa2 ubat. Saya cuma makan nasik dan segala macam makanan yang hospital sediakan je. Habis pulak tu. Haha.
Ekhwan sekarang dah jadi close contact, dia pun perlu hadir ke hospital untuk melakukan swab test lagi sekali. Dan beliau pun datanglah ke hospital Sg Buloh untuk buat test. Waktu saya tulis ni, result masih belum dapat lagi.
4 April 2020
Alhamdulillah. Latest result adalah negative. Jadi saya dibenarkan keluar. Dan WAJIB kuarantin diri lagi selama 14 hari untuk pastikan saya betul2 bebas dari virus sebelum pulang ke pangkuan keluarga. Tapi jika ada sebarang symptom sepanjang 14 hari, saya diminta untuk menghubungi pihak hospital dan PKD semula untuk memaklumkan keadaan saya. Dan saya pun balik semula ke homestay.
Sedih jugak tak dapat balik lagi ke rumah. Tapi lagi sedih kalau apa2 terjadi pada keluarga saya. Jadi saya redha dan reset balik tempoh kuarantin. Demi insan2 tersayang dan negara tercinta…takpe, kejap je 14 hari tu. Jom layan Money Heist pulak, sambil2 buat kerja.
…………………………………………………………..
Itulah serba sikit kisah saya. Saya bersyukur kerana Allah berikan kesihatan yang baik kepada saya, walaupun dijangkiti saya boleh sembuh tanpa sebarang ubat. Sebagai seorang yang telah pulih, saya sentiasa berdoa semoga Allah SWT memberikan kesembuhan dan memudahkan urusan pesakit2 Covid-19 yang lain yang sedang berjuang. Saya juga bercadang untuk menderma plasma saya, sebagai salah satu bentuk sumbangan dan berharap dapat membantu ramai lagi pesakit untuk pulih, insya Allah jika saya lulus segala syarat sebagai penderma. Semoga cepat sama2 dapat balik bersama keluarga.
Perasaan tak dapat berjumpa insan2 tersayang ni bukan main2. Saya mengaku ada ketika saya murung, salahkan diri sendiri kenapa tergamak menjadi selfish dan pergi jugak travel tu. Tinggalkan anak2. Percayalah memang setiap hari saya hidup dengan rasa bersalah tu. Tapi setiap hari jugak saya berpesan pada diri sendiri, ada hikmahnya semua ni berlaku. Salah satu adalah saya diberikan kesempatan berjumpa dengan insan2 yang berhati mulia, mengambil berat, tabah, ikhlas dan penyayang. Saya anggap itu satu anugerah di sebalik semua dugaan ini.
Jadi di kesempatan ini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu saya. Terima kasih yang tidak terhingga. Semoga AllahSWT sentiasa merahmati kalian semua.
Jutaan terima kasih kepada:
o Suami saya (Ekhwan Fahmy), keluarga saya, keluarga suami saya. Lebiuuuuuu….
o Kawan2 yang memberikan sokongan moral
o Wakil2 dari syarikat saya bekerja yang selalu bertanya khabar, setiap hari
o Encik Hanafi, pegawai di Kedutaan Malaysia di NY
o Host saya, Ruz yang awesome and her father Uncle Suffian
o Bobby dan seluruh building management team
o Abang guard yang selalu tolong hantar barang sampai depan pintu
o Abang2 Grabfood dan FoodPanda
Tak lupa juga kepada wardmate saya S, N dan Kak L. you gais are osemmmm…keep on fighting k!!
Setingggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada :
seluruh warga KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA dan Hospital Sungai Buloh diatas pengorbanan dan usaha tanpa jemu dalam memerangi wabak Covid-19, dan memberikan servis yang terbaik kepada kami rakyat Malaysia.
Dan juga kepada doktor2 yang tanpa jemu memberi nasihat percuma kepada rakyat Malaysia di sosial media. Itulah tempat saya merujuk dan mencari ilmu kesihatan terutama sekali pada waktu dunia diancam wabak ni. Terima kasih Dr Rusyainie Ramli, Dr Sakinah, Dr Imelda, Dr Erna Nadia, Dr Hana dan banyak lagi para doktor dan jururawat yang banyak berkongsi ilmu. Serta team Public Health Malaysia, PQ Community, The Dressar, TheDiagnosa dan banyak lagi page berkaitan kesihatan yang lain.
Terima kasih semua!!
Namun perkongsian daripada wanita itu seakan ‘menjerat’ diri sendiri apabila warganet meninggalkan komen menyelar tindakan berani dia dan suaminya yang bersungguh-sungguh keluar melancong ketika dunia dilanda musibah.
Benda dah jadi..
Diharap perkongsian daripada wanita ini dapat dijadikan pengajaran buat semua yang masih ingkar dengan nasihat pihak berkuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini pastinya melakar sejarah baharu kepada rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata acara itu akan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 dipatuhi.
Tahun ini, kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara perbarisan dan perarakan seperti sebelum ini. Acara kali ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memeriksa kawalan kehormat utama. Seterusnya baginda akan mencemar duli menyaksikan siaran langsung yang akan disediakan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Memperincikan sambutan bertema Malaysia Prihatin itu, RTM diberi tanggungjawab menyunting rakaman menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer).
Sambutan kali ini menyaksikan logo berbentuk hati menjadi pilihan selepas kali terakhir ia digunakan pada 2016 dengan warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, yang melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenal ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu
Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengajak rakyat untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-63 dengan menonton siaran RTM agar turut merasai kemeriahannya walaupun tidak dapat menyaksikan perarakan kontinjen beruniform, aset keselamatan dan persembahan acara simbolik secara langsung di lokasi.
Image via Google | Sumber:Bernama
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...