
Ada berita baik buat kaki jalan, para pekerja dan anda yang setiap hari setia mengejar tren! Perjalanan menaiki KTM Komuter bakal menjadi lebih mesra poket dengan pengenalan Pas MyKomuter50 yang menawarkan perjalanan tanpa had selama 30 hari pada harga RM50 sahaja.
Menerusi siaran media rasmi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bertarikh 12 November 2026, orang ramai boleh mula mengaktifkan pas berkenaan pada 16 November 2026, sebelum ia mula berkuat kuasa pada 1 Disember 2026.
Inisiatif Kerajaan MADANI ini diperkenalkan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya mereka yang kerap menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik ke tempat kerja, institusi pendidikan atau melakukan perjalanan harian.
Jimat Tambang Sehingga 88 Peratus!
Apa yang lebih menarik, penjimatan yang ditawarkan bukan sedikit, malah boleh mencecah sehingga 88 peratus berbanding tambang perjalanan biasa.
Sebagai contoh, pengguna laluan Tanjung Malim–KL Sentral yang lazimnya membelanjakan sekitar RM416 untuk tambang perjalanan dalam tempoh 30 hari kini hanya perlu membayar RM50 menggunakan Pas MyKomuter50.
Ini bermakna pengguna boleh menikmati penjimatan sebanyak RM366 atau hampir 88 peratus!
Bagi laluan Alor Setar–Butterworth pula, pengguna berpeluang jimat kira-kira RM234 atau 82 peratus berbanding anggaran tambang biasa sebanyak RM284 bagi tempoh dan kekerapan perjalanan yang sama.
Memang berbaloi buat mereka yang kerap menggunakan perkhidmatan KTM Komuter.
Siapa Yang Layak Mendapatkan Pas MyKomuter50?
Pas MyKomuter50 ditawarkan khusus kepada warganegara Malaysia berumur tujuh tahun dan ke atas yang bukan pemegang Pas MyRailLife.
Pengguna hanya perlu mengemukakan MyKad atau MyKid bagi tujuan pengesahan kelayakan sebelum membuat pembelian pas.
Dengan bayaran RM50, pengguna yang layak boleh menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari bagi perkhidmatan KTM Komuter terpilih.
Cara Mengaktifkan Pas MyKomuter50
Bagi memudahkan pengguna, KTMB menyediakan tiga kaedah pengaktifan yang boleh dipilih mengikut keselesaan masing-masing.
1.Aplikasi KTM Mobile atau KITS Style
Pengguna boleh memuat naik salinan MyKad atau MyKid untuk tujuan pengesahan kelayakan. Proses ini mengambil masa sehingga tiga hari bekerja.
2.Mesin Kiosk Tiket KTM Komuter
Pengguna boleh memasukkan MyKad atau MyKid ke dalam slot pengimbas untuk proses pengesahan. Keputusan kelayakan akan diberikan serta-merta.
3.Kaunter Stesen KTM Komuter
Pengguna juga boleh hadir ke kaunter dengan membawa MyKad atau MyKid asal untuk pengesahan kelayakan secara terus.
Selepas pengesahan berjaya, pembelian Pas MyKomuter50 boleh dibuat melalui aplikasi KTM Mobile, KITS Style atau kaunter bagi pembelian Kad Komuter Link.
BACA JUGA: 5 Aplikasi Travel Wajib Ada, Rahsia Percutian Lancar Tanpa Drama!
34 Stesen Terpilih Sediakan Kemudahan Pengaktifan
Bagi melancarkan urusan pengguna, KTMB turut menyediakan kemudahan pengaktifan dan pembelian kad di 34 stesen terpilih, selain 11 kaunter pendaftaran tambahan.
Antara stesen yang terlibat bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara ialah:
- Padang Besar
- Arau
- Alor Setar
- Sungai Petani
- Tasik Gelugor
- Bukit Mertajam
- Parit Buntar
- Taiping
- Kuala Kangsar
- Ipoh
Sementara itu, antara stesen terlibat bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang termasuk:
- Tanjung Malim
- Rawang
- Sungai Buloh
- Kepong Sentral
- KL Sentral
- Kajang
- UKM
- Seremban
- Subang Jaya
- Shah Alam
- Klang
- Batu Caves
Langkah ini pastinya memudahkan pengguna untuk membuat persediaan sebelum pas mula digunakan pada Disember nanti.
Jadi, buat anda yang gemar merancang perjalanan santai menaiki tren atau sedang mencari alternatif pengangkutan lebih menjimatkan, inilah masanya untuk memanfaatkan kemudahan baharu ini.
Dengan hanya RM50 untuk 30 hari, bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan, malah lebih banyak destinasi boleh diterokai menggunakan perkhidmatan KTM Komuter terpilih.
Sumber: KTMB / Instagram
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang!
