
Bayangkan puluhan kapal layar membelah lautan, layar berwarna-warni berkembang ditiup angin, sementara para pelayar berlumba merentasi perairan pantai barat Semenanjung Malaysia!
Itulah keunikan Raja Muda Selangor International Regatta 2026 (RMSIR), pertandingan pelayaran antarabangsa yang bakal berlangsung dari 13 hingga 21 November 2026.
Memasuki edisi ke-36, acara ini bukan sekadar perlumbaan kapal layar biasa. Ia turut mengetengahkan keindahan destinasi pelancongan marin Malaysia, bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor, menuju ke Pulau Pangkor, Pulau Pinang dan akhirnya Langkawi.
Dianjurkan oleh Royal Selangor Yacht Club dengan kerjasama Royal Ocean Racing Club, perlumbaan selama sembilan hari ini merangkumi lebih 300 batu nautika serta menggabungkan cabaran pelayaran laut terbuka dan perlumbaan berhampiran pantai.
Acara ini menjadi antara platform penting untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan air bertaraf antarabangsa.
Bermula Di Pelabuhan Klang, Selangor
Perjalanan peserta bermula di Pelabuhan Klang, dengan program pendaftaran, taklimat nakhoda dan majlis pembukaan dijadualkan pada 13 November 2026.
Keesokan harinya, 14 November, peserta akan memulakan perlumbaan pertama menuju ke Pulau Pangkor.
Dalam perlumbaan ini, setiap pasukan perlu mengendalikan kapal layar mengikut perubahan arah angin, arus laut dan keadaan cuaca.
Tidak seperti perlumbaan bot bermotor, kapal layar bergantung kepada tenaga angin dan kemahiran kru untuk bergerak dengan pantas.
Kerjasama antara ahli pasukan amat penting, terutama ketika melaraskan layar dan menentukan laluan terbaik menuju ke destinasi seterusnya.
Pulau Pangkor Jadi Persinggahan Pertama
Selepas meninggalkan Pelabuhan Klang, peserta dijadualkan menamatkan perlumbaan pertama di sekitar Pulau Pangkor pada 15 November.
Pulau Pangkor yang terkenal dengan suasana kampung nelayan, pantai dan pulau-pulau kecil menjadi lokasi persinggahan pertama sebelum perlumbaan diteruskan.
Pada 16 November, peserta dijadualkan memulakan cabaran kedua dari Pangkor menuju ke Pulau Pinang.
BACA LAGI: ELAEIS GARDENS Selangor, Dari Ladang Kelapa Sawit Ke Destinasi Eko-Pelancongan & Staycation Unik!
Laluan ini menuntut ketahanan fizikal dan strategi pelayaran yang baik kerana pasukan perlu menghadapi perubahan angin sepanjang perjalanan laut.
Lebih menarik, perlumbaan ini bukan sahaja melibatkan kapal layar perlumbaan moden, malah turut menerima penyertaan kategori kapal persiaran klasik.
Pulau Pinang, Ada Perlumbaan Beca Selain Kapal Layar!
Sebaik tiba di Pulau Pinang pada 17 November, peserta bukan sahaja berpeluang berehat selepas mengharungi cabaran laut, malah turut dijadualkan menyertai aktiviti santai yang cukup unik.
Antaranya ialah Rickshaw Race, iaitu perlumbaan beca yang menjadi salah satu tradisi menarik acara ini.
Aktiviti tersebut dijadualkan berlangsung pada 17 November, jam 5.30 petang, manakala perlumbaan kapal layar berhampiran pantai Pulau Pinang pula berlangsung pada 18 November.
Gabungan pertandingan sukan air dan aktiviti budaya ini menjadikan RMSIR lebih daripada sekadar acara pelayaran. Ia turut memperkenalkan keunikan warisan tempatan kepada peserta antarabangsa.
Langkawi Jadi Destinasi Penamat Perlumbaan
Selepas Pulau Pinang, peserta dijadualkan meneruskan perlumbaan menuju Langkawi pada 19 November.
Pulau peranginan terkenal di Kedah ini menjadi lokasi terakhir bagi pertandingan berkenaan.
Perlumbaan berhampiran pantai Langkawi dijadualkan pada 20 dan 21 November, sebelum acara ditutup dengan majlis penyampaian hadiah pada malam 21 November.
Dengan latar pulau-pulau tropika dan perairan terbuka, Langkawi menawarkan pemandangan menarik untuk menyaksikan kapal layar bersaing.
Acara ini turut memperlihatkan potensi Langkawi sebagai salah satu destinasi penting untuk pelancongan marin dan sukan pelayaran di rantau ini.
Bukan Sekadar Perlumbaan, Tetapi Promosi Pelancongan Malaysia
Raja Muda Selangor International Regatta bukan hanya menguji kemahiran pelayar, malah memperkenalkan pelbagai destinasi menarik sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.
Menurut Tourism Malaysia, acara ini membantu meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelancongan maritim, sambil memperkenalkan kemudahan marina, warisan tempatan dan keindahan kawasan pesisir.
Penganjur turut menyediakan sistem penjejakan kapal layar yang membolehkan perkembangan peserta diikuti dari darat.
Ini bermakna peminat sukan pelayaran boleh mengikuti perjalanan kapal layar walaupun tidak berada di tengah laut.
Jadual Raja Muda Selangor International Regatta 2026
13–21 November 2026
Klang → Pangkor → Pulau Pinang → Langkawi
| 13 Nov | Pendaftaran, taklimat & majlis pembukaan |
| 14–15 Nov | Perlumbaan Klang–Pangkor |
| 16–17 Nov | Perlumbaan Pangkor–Pulau Pinang & acara beca |
| 18 Nov | Perlumbaan berhampiran pantai Pulau Pinang |
| 19 Nov | Perlumbaan Pulau Pinang–Langkawi |
| 20–21 Nov | Perlumbaan Langkawi & penyampaian hadiah |
Peluang Menyaksikan Kehebatan Sukan Pelayaran
Bagi pencinta sukan air dan pelancongan marin, Raja Muda Selangor International Regatta 2026 merupakan acara menarik untuk diikuti sepanjang November ini.
Daripada perairan Pelabuhan Klang hingga ke keindahan Langkawi, setiap destinasi menawarkan cabaran pelayaran dan pengalaman yang berbeza.
Korang yang berminat menyaksikan perlumbaan dari darat disarankan menyemak lokasi tontonan yang dibenarkan serta maklumat terkini daripada penganjur. Acara ini bukan pelayaran persiaran untuk penumpang awam.

sekarang!
