
Siapa sangka, tidak jauh dari kesibukan Kuala Lumpur, ada sebuah perkampungan nelayan yang hampir keseluruhannya dibina di atas kawasan berlumpur dan air pasang surut?
Dikenali sebagai Pulau Ketam, destinasi menarik di perairan Pelabuhan Klang, Selangor ini menawarkan pengalaman percutian yang cukup berbeza.
Bayangkan korang berjalan di laluan sempit yang menghubungkan rumah-rumah berwarna pastel, melihat bot nelayan berlabuh dan menikmati kehidupan kampung tanpa kesibukan kereta.
Lebih menarik, pulau ini sesuai dijadikan destinasi day trip kerana pengunjung boleh meneroka kawasan perkampungan dengan berjalan kaki atau berbasikal.
1. Kampung Atas Air Dengan Rumah Berwarna-Warni
Tarikan utama Pulau Ketam sudah tentu deretan rumah kayu yang didirikan di atas tiang, kira-kira tiga hingga empat kaki dari permukaan tanah paya di sesetengah kawasan.
Kedudukannya membantu penduduk menyesuaikan kehidupan dengan perubahan paras air laut.
Apa yang mencuri perhatian ialah warna rumah yang berbeza-beza, daripada biru dan hijau hinggalah merah jambu dan kuning.
Suasana ini memberikan identiti tersendiri kepada Pulau Ketam, sekali gus menjadikannya lokasi menarik untuk korang merakam gambar percutian.
Ketika air pasang, bot boleh dilihat bergerak berhampiran rumah penduduk. Apabila air surut pula, kawasan lumpur dan akar pokok bakau mula kelihatan.
2. Tak Ada Kereta, Boleh Explore Dengan Berjalan Kaki!
Satu lagi keunikan Pulau Ketam ialah suasana perkampungannya yang bebas daripada kesibukan trafik kereta.
Penduduk menggunakan basikal, kenderaan elektrik kecil dan bot untuk menjalankan aktiviti harian.
Bagi pelancong, berjalan kaki merupakan cara paling santai untuk mengenali pulau ini.
Korang boleh menyusuri lorong-lorong kecil, singgah di kedai tempatan dan melihat kehidupan masyarakat nelayan.
Kalau tak mahu berjalan terlalu jauh, terdapat juga perkhidmatan sewaan basikal dan e-bike. Namun, sentiasa berhati-hati kerana sesetengah laluan agak sempit dan berkongsi ruang dengan penduduk setempat.
3. Syurga Seafood Segar, Terutama Ketam!
Nama Pulau Ketam sememangnya cukup sinonim dengan makanan laut.
Antara hidangan yang menjadi pilihan pengunjung ialah ketam, udang, ikan serta pelbagai masakan makanan laut yang disediakan di restoran sekitar jeti dan kawasan kampung.
Bagi mereka yang suka mencuba makanan tempatan, pengalaman menjamu selera sambil menikmati suasana perkampungan nelayan pasti memberikan kelainan.
BACA LAGI: ELEMEN Penang Kini Dibuka! Dunia Cahaya Interaktif Dengan 15 Ruang Unik, Tiket Bermula RM28
Bagaimanapun, pengunjung Muslim perlu menyemak status halal restoran terlebih dahulu, kerana tidak semua premis makanan di pulau ini mempunyai pengesahan halal.
4. Ada Kuil Bersejarah & Sudut Fotografi Menarik
Selain rumah atas air, Pulau Ketam turut mempunyai beberapa lokasi bersejarah yang mencerminkan warisan komuniti setempat.
Antaranya ialah Hock Leng Keng Temple, sebuah kuil Taoisme yang diasaskan pada tahun 1894.
Bangunan ini terkenal dengan ukiran naga, hiasan tradisional dan penggunaan warna merah serta emas yang cukup menyerlah.
Korang boleh menikmati keindahan seni bina di kawasan yang dibenarkan sambil mengenali sejarah masyarakat yang sudah lama menetap di pulau ini.
5. Pengalaman Naik Feri Dari Pelabuhan Klang
Percutian ke Pulau Ketam bermula dengan perjalanan menaiki feri dari Terminal Penumpang South Port, Pelabuhan Klang.
Perjalanan biasanya mengambil masa sekitar 30 hingga 45 minit, bergantung pada jenis bot dan keadaan laut.
Sepanjang perjalanan, korang boleh menikmati pemandangan kawasan paya bakau, bot nelayan dan perairan Selat Melaka.
Pengunjung yang menggunakan pengangkutan awam pula boleh menaiki KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang sebelum menuju ke terminal feri.
Harga Tiket Feri Pulau Ketam 2026
TAMBANG ALIBABA PULAU KETAM CRUISES
Dewasa · Pergi balik
RM25
Kanak-kanak 4–12 tahun · Pergi balik
RM16
| Kategori | Sehala | Pergi balik |
|---|---|---|
| Dewasa | RM15 | RM25 |
| Kanak-kanak 4–12 tahun | RM10 | RM16 |
Sebaiknya datang pada waktu pagi dan rancang perjalanan pulang lebih awal kerana perkhidmatan feri tidak beroperasi sepanjang malam. Pastikan juga feri yang dinaiki menuju ke kampung Pulau Ketam, bukannya berhenti di Sungai Lima sahaja.
Sesuai Untuk Short Trip Hujung Minggu!
Percutian tidak semestinya memerlukan bajet besar atau perjalanan jauh.
Kadangkala, pengalaman berjalan di kampung nelayan, menyaksikan kehidupan masyarakat setempat dan menikmati makanan tradisional sudah cukup memberikan kenangan menarik.
Pulau Ketam ialah pilihan yang sesuai untuk korang yang mahukan short trip santai di Selangor, terutama bersama rakan-rakan atau keluarga.
Cuma jangan bayangkan pulau ini seperti resort tepi pantai berpasir putih. Keunikan sebenarnya terletak pada kehidupan perkampungan nelayan, rumah bertiang dan suasana komuniti yang masih dikekalkan.

sekarang!
