Seni bina kediaman Melayu asli yang lazimnya berdinding kayu serta beratap nipah atau rumbia kini semakin ditelan zaman, digantikan dengan binaan konkrit berbumbung genting yang lebih gah dan eksklusif.
Tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa mungkin ada generasi muda langsung tidak pernah melihat dari dekat keunikan seni bina tradisional yang biasanya didirikan dengan hanya menggunakan kayu seperti meranti ataupun temak. Justeru, orang ramai dipelawa untuk ‘menziarah’ Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai yang terletak di Kampung Warisan. Terletak berhadapan Wisma Darul Aman, kedua-dua rumah yang dikatakan berusia hampir 100 tahun itu menjadi lambang keunikan serta keaslian seni bina tradisional Melayu di Kedah.
Keistimewaan dan keindahan seni bina Rumah Tok Su dan Sri Banai terletak pada kehalusan ukiran bunga kerawang dan ruang-ruangnya iaitu beranda, rumah ibu, anjung, ruang tengah, selang, dapur dan pelantar. Setiap ruang rumah itu mempunyai fungsi tersendiri berbeza dengan ciri kediaman masa kini, yang mempunyai lebih banyak ruang peribadi seperti bilik-bilik khas. Rumah zaman dahulu tidak ada bilik dan setiap ruang hanya dipisahkan dengan kain pemidang (langsir) dan kebanyakan ruang adalah terbuka seperti anjung, beranda dan pelantar. Pesona rumah tradisional itu pasti menarik minat sesiapa sahaja yang melawatinya, malah ia sering menjadi lokasi pilihan untuk pasangan pengantin mengabadikan kenangan atau bagi mereka yang mahu merakam potret keluarga.
Ads
Rumah-rumah berkenaan sebenarnya bukan berasal dari Alor Setar tetapi dipindahkan dari lokasi asal yang berbeza-beza, dan dipasang semula di Kampung Warisan. Rumah Tok Su dibawa dari Kampung Permatang Kerat di Bandar Baharu yang letaknya kira-kira 200 kilometer dari Alor Setar, manakala Rumah Seri Banai berasal dari Kampung Banai di daerah Kubang Pasu tidak jauh dari sini. Nama Seri Banai diberikan sempena lokasi asal rumah ini, manakala nama Tok Su ialah sempena nama panggilan anak bongsu pemilik asal rumah itu.
Ads
Rumah Seri Banai pernah digunakan sebagai sekolah rakyat sebelum Sekolah Kebangsaan Seri Banai dibina di kawasan asal rumah itu sehingga kini, manakala Rumah Tok Su pula pernah dijadikan lokasi untuk mesyuarat politik dan pertemuan anggota Pergerakan Barisan Pemuda yang memperjuangkan bangsa Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Ads
Difahamkan Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai juga pernah menjadi lokasi penyelidikan pelajar institut pengajian tinggi yang mengambil jurusan seni bina. Dengan menghayati seni warisan generasi terdahulu, secara tidak langsung kita dapat memupuk semangat cintakan budaya serta asal usul kita, sekali gus dapat membina jati diri dan menambah ilmu sejarah.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud mengeluarkan arahan membenarkan solat tarawih dilakukan di dua masjid suci di bandar itu (Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah).
Perkara itu disahkan Ketua Presiden untuk Hal Ehwal Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah Sheikh Abdul Rahman al-Sudais dalam satu kenyataa. Ia susulan arahan larangan solat tarawih di dua masjid suci berkenaan dalam usaha negara itu membendung penularan koronavirus (COVID-19) yang dikeluarkan.
Raja Arab Saudi Salman bin Abdulaziz meluluskan solat Tarawih di dua masjid suci diadakan tanpa kehadiran jemaah awam dan akan dipendekkan
Arab Saudi merancang melonggarkan perintah berkurung di beberapa bandar pada bulan Ramadan bagi membolehkan orang ramai membeli barang keperluan dalam kejiranan mereka. Larangan kemasukan jemaah awam walau bagaimanapun masih berkuat kuasa.
Pattaya destinasi untuk liburan dan bersantai di pesisiran pantai yang popular di Thailand. Terletak 147 kilometer dari tenggara Bangkok, lokasi pusat peranginan ini menjadi destinasi percutian cukup mengujakan yang perlu dijengah jika ke Thailand. Bagi pengunjung yang berkeluarga, bawa anak-anak berkunjung ke Teddy Island (Teddy Bear Museum Pattaya) yang menempat sebuah muzium patung beruang yang begitu mengujakan.
Dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 10 malam, muzium yang menjadi salah satu daya tarikan Pattaya ini mempamerkan lebih 2000 pelbagai koleksi patung beruang.
Muzium ini terbahagi kepada 12 bahagian mengikut konsep dan tema tersendiri, iaitu ruang yang mempamerkan bermacam-macam Teddy Bear dengan berbagai-bagai gaya bersesuaian dengan tema pada setiap bahagian. Antaranya Zon Zaman Dinosor, Zon Afrika, Zon Musim Sejuk, Zon Bawah Laut, Zon Eropah, Zon Seni, Zon Jenaka dan lain-lain lagi.
Muzium ini sesuai dikunjungi oleh semua golongan dan pencinta Teddy Bear. Bagi yang bukan pengumpul patung, muzium ini tetap menjanjikan keseronokan kerana dapat bergambar bersama patung-patung yang comel ini. Jangan lepaskan peluang bergambar pada setiap sudut tau!
Pengunjung yang datang ke muzium ini diingatkan supaya tidak lupa untuk mencuba semua aktiviti interaktif yang terdapat di setiap sudut muzium. Tidak terhad kepada kanak-kanak sahaja, orang dewasa juga boleh mencuba dan berseronok di sini.
Teddy Bear merupakan patung yang menjadi kesukaan ramai lebih dari 100 tahun lalu. Ia dinamakan Teddy Bear sempena kisah perjalanan Presiden ke-26 Amerika Syarikat, Theodore “Teddy” Rosevelt yang pergi memburu beruang. Pada masa itu, presiden pergi berburu dengan beberapa orang pengawalnya. Sehingga hampir tamat perjalanan, Rosevelt tidak berjaya menembak walau seekorpun beruang. Lalu salah seorang pengawalnya menangkap seekor beruang dan mengikatnya di sebatang pokok serta mempersilakan presiden untuk menembaknya. Namun demikian, Rosevelt tidak mahu menembaknya kerana perbuatan itu bertentangan dengan prinsipnya sebagai seorang pemburu.
Cerita ini tersebar luas dan memberikan idea kepada Morris Michtom dan Margarete Steiff untuk menghasilkan patung Teddy Bear buat pertama kalinya di bawah syarikat The Steiff Co. Di muzium ini, pengunjung akan melihat beberapa koleksi dari syarikat penghasilan patung yang paling terkenal dan berjaya dalam mencipta dan memasarkan patung beruang tersebut. Jadi apa lagi, jangan ketinggalan untuk menjengah Muzium Teddy Bear di Pattaya ini.
Pulau Bidong, Terengganu menyimpan sejarah luka negara yang kini ‘digali’ semula setelah sekian lama ramai yang melupakannya.
Ketika ini, Pulau Bidong telah diangkat sebagai destinasi persinggahan pelancong untuk melakukan aktiviti selam skuba yang terletak berdekatan dengan pulau pelancongan lain seperti Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.
Keindahan pantai dan perairan Pulau Bidong yang cantik menggamit peminat aktiviti selam skuba dan snorkeling untuk melihat keindahan dasar lautnya yang dihiasi dengan terumbu karang. Di pulau ini turut menempatkan stesen penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Yayasan Coral Malaysia (YCM) yang diberikan tapak di pantai itu untuk mengusahakan konservasi terumbu karang.
Sejarah ‘hitam’ Pulau Bidong INI bermula sejak 1978 hingga 1991, lokasi yang tidak berpenghuni itu sebelum ini menjadi tumpuan dunia apabila dijadikan kem sementara bagi pelarian Vietnam berikutan Perang Vietnam meletus sehingga membawa mereka ke sini.
Hampir 12 tahun lamanya Malaysia menempatkan pelarian Vietnam atau ‘orang hanyut’ di Pulau Bidong. Dianggarkan lebih 200,000 pelarian pernah mendiami pulau ini menyaksikan pelbagai kemudahan dibina sama ada oleh kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), selain inisiatif pelarian Vietnam sendiri.
Namun jasa baik kerajaan membenarkan mereka menumpang di situ dibalas dengan demonstrasi berdarah pada awal 1990-an. Dah bagi betis nak peha pula!
Tahukah anda, Malaysia pernah diancam kedaulatannya dengan satu tragedi yang digelar tragedi Pulau Bidong??
Kisahnya bermula apabila Malaysia mengambil keputusan untuk menerima pelarian dari negara Vietnam yang meninggalkan negara mereka melalui jalan laut dek kerana peperangan yang tercetus di negara mereka. Oleh kerana jumlah mereka yang begitu ramai, Malaysia terpaksa mencari satu kawasan khas untuk menempatkan mereka di negara kita.
Keputusan Malaysia ini dilihat sebagai satu keputusan kemanusiaan, dalam menangani isu pergerakan pendatang khususnya berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Ia juga menyaksikan kedudukan dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN semakin kukuh dan membuka mata dunia luar terhadap Malaysia.
Namun jasa baik Malaysia selama 12 tahun menempatkan pelarian Vietnam atau di Pulau Bidong, Terengganu bermula tahun 1978, jasa baik kerajaan membenarkan mereka menumpang di situ dibalas dengan demonstrasi berdarah pada awal 1990-an.
Tunjuk perasaan itu bermula apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat keputusan untuk mengeluarkan mereka dari situ untuk dihantar ke negara ketiga tetapi dengan bersyarat di mana melalui proses saringan di mana hanya yang layak sahaja akan dihantar ke negara ketiga manakala yang selebihnya akan dihantar pulang ke negara asal.
Pada ketika itu, Penguasa Penjara, Saidun Othman, adalah antara pegawai dan anggota keselamatan, yang berdepan detik getir bersama lima rakan setugas Jabatan Penjara, 15 anggota polis serta dua anggota tentera. Pasukan khas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri itu turut dibantu 30 Ikatan Relawan Malaysia (RELA), namun jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan saki-baki penghuni Pulau Bidong yang menyerbu pejabat menyerbu pejabat pasukan kita. Mereka marah dan menunjuk perasaan membantah keputusan PBB kerana mahu membuat saringan memilih yang layak ke negara ketiga. Mereka beranggapan semuanya layak dan tidak mahu dihantar pulang.
Demonstrasi itu berlanjutan selama seminggu disusuli dengan mogok lapar. Mereka enggan menyentuh makanan yang disediakan petugas Palang Merah Antarabangsa. Pada masa sama, banyak poster protes mula dinaikkan dan ada antaranya yang bertulis ‘hidup atau mati’, ‘Kami mahu keadilan,’; ‘Bebaskan kami’ dan ‘Kami tidak mahu pulang’. Sepanjang tempoh itu juga, petugas keselamatan terus berdiplomasi memujuk mereka supaya bertenang.
Kemuncak tunjuk perasaan itu memang mengerikan kerana ramai yang mencederakan diri sendiri. Menikam badan dengan senjata tajam. Mereka mahu menunjukkan tanda protes kepada PBB. Walaupun mereka tidak menyerang pihak kita, namun kita terpaksa hadap kerana bertugas di bahagian keselamatan.
Demonstrasi itu berakhir dengan aman selepas beberapa perundingan dan akhirnya, semua penghuni di Pulau Bidong dipindahkan ke kem Sungai Besi sementara menunggu proses menghantar mereka ke negara ketiga. Di sini penghuni diasingkan mengikut kategori keluarga, bujang, lelaki dan wanita, kanak-kanak serta ibu tunggal.
Unit keselamatan yang terdiri daripada pemimpin mereka sendiri telah ditubukan pada ketika itu. Ini bertujuan mengawal mereka supaya tidak bertindak ganas atau mengganggu ketenteraman penghuni lain. Jika ada yang melakukan kesalahan, mereka akan ditangkap dan dibicarakan. Jika bersalah, mereka akan dikurung di dalam bilik tahanan khas seperti ‘monkey house’.
‘Monkey house’ adalah bilik tahanan kecil yang cuma boleh memuatkan beberapa individu pada satu-satu masa dan mereka tidak boleh berdiri. Ini bermakna, sepanjang tempoh tahanan itu, mereka cuma boleh duduk atau berbaring saja dan langsung tidak dibenarkan balik ke blok penempatan.
Kita ingat dengan penutupan Pulau Bidong dengan menempatkan semua pelarian di Kem sungai Besi dapatlah menangani masalah pelarian ini namun tidak sama sekali kerana
kehadiran mereka di Kem Sungai Besi memberi masalah lebih besar kepada anggota keselamatan. Di dalam kem ini, mereka telah menunjukkan perangai mereka yang sebenar, mereka telah mewujudkan puak-puak samseng dan menindas rakan sepelarian mereka sendiri. Mereka juga mewujudkan pelbagai pusat hiburan dan pelacuran haram di dalam kem berkenaan, selain melakukan penyalahgunaan dadah.
Disebabkan hal ini pihak keselamatan telah mengambil keputusan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke dalam kem mereka untuk membanteras gejala yang tidak bermoral yang dilakukan mereka. Mereka membantah tindakan anggota keselamatan, hingga mencetuskan rusuhan besar pada Jun 1995 yang hampir menggugat kedaulatan dan keselamatan negara Malaysia yang telah memberi perlindungan kepada mereka selama ini.
Tindakan ganas kumpulan perusuh pada pagi 5 Jun 1995 menyebabkan tiga blok kediaman di Kem Transit Sementara Sungai Besi yang menempatkan lebih 4,500 pelarian Vietnam musnah sama sekali.
Yang menyayat hati, rusuhan ini mengorbankan seorang pelarian dan mencederakan lebih 10 anggota yang terlibat dalam operasi mengawal keselamatan iaitu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), bomba dan polis hutan (PPH). Tidak cukup dengan rusuhan yang berlangsung selama lebih 16 jam, kebakaran besar turut menggemparkan warga kota khususnya mereka yang tinggal di sekitar Sungai Besi dan Bukit Jalil.
Kepulan asap yang menjulang tinggi dikatakan dapat disaksikan dari jarak puluhan kilometer. Dalam operasi mengawal rusuhan itu, seramai 1,200 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada anggota polis, FRU, PPH, bomba, unit pengesan bom dan unit anjing pengesan dikerahkan ke tempat kejadian.
Serbuan awal polis ketika itu berjaya menemui pelbagai senjata tajam seperti lembing, parang, senapang panah dan pedang yang dihasilkan oleh kumpulan perusuh. Berdasarkan kenyataan rasmi Dewan Negara yang dibaca oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berhubung insiden ini, kekecohan dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati pelarian terhadap keputusan kerajaan yang mahu menghantar mereka pulang ke negara asal.
Menurut beliau dalam kenyataan itu, pelarian Vietnam cuba menunjukkan bantahan dan mendapatkan simpati dunia terhadap rancangan kerajaan menghantar mereka pulang ke Vietnam yang sudah dipersetujui oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR). Mereka juga masih menaruh harapan untuk dihantar menetap ke negara ketiga yang mereka anggap dapat memberikan perlindungan walaupun permohonan mereka ditolak oleh negara berkenaan.
Pilihan kumpulan pelarian ketika itu adalah untuk mendapatkan tempoh perlindungan lebih lama di negara ini sementara menunggu giliran dihantar ke negara-negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Kanada dan Eropah yang dikelola oleh UNHCR.
Bagaimanapun, atas syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh badan antarabangsa itu, keutamaan mengikuti program pemindahan ke negara ketiga itu hanya melibatkan pelarian yang mempunyai kelayakan profesional.
Tersepit dalam keadaan itu, sebahagian daripada pelarian turut berusaha meraih simpati antarabangsa sehingga mendapat perhatian dari negara luar. Kenyataan yang sama juga menyatakan pemberontakan berpunca daripada tindakan kerajaan membina pagar berangkai di kem berkenaan bagi mengasingkan kumpulan pelarian yang bermati-matian enggan dihantar pulang dengan puak yang lebih bertimbang rasa.
Ia merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk menghalang kumpulan hardcore daripada menghasut kumpulan pelarian yang lain. Dalam rundingan itu, kumpulan pelarian mendesak kerajaan supaya tempoh perlindungan dilanjutkan kerana mereka takut pulang ke negara asal.
Mereka tidak berani pulang kerana takut dikenakan hukuman mati oleh pemerintah komunis negara itu. Rundingan menemui jalan buntu sehingga tercetusnya rusuhan. Selepas tewas dalam ‘pertempuran’ dengan pihak berkuasa, beratus-ratus ‘kepala samseng’ ditahan dan dihantar ke kem tahanan sementara pelarian di Kerayong, Pahang.
Betapa susah dan mencabarnya Pasukan Khas di bawah MKN serta semua agensi keselamatan kita bagi menangani isu pelarian ini. Buat baik dibalas baik namun tidak sangka sebaliknya pula yang kita dapat. Tahniah kepada MKN dan juga semua agensi keselamatan kita pada ketika itu yang akhirnya berjaya menyelesaikan dan meleraikan masalah isu pelarian Vietnam ini.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...