
Ada berita baik buat anda yang memiliki motosikal berkuasa tinggi atau pengusaha motorsikal jenis ini. Selepas ini kemungkinan besar anda boleh sewakan motorsikal berkuasa tinggi anda kepada pelancong luar jika tidak digunakan untuk sementara waktu.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya mengeluarkan permit khas bagi pelancong asing yang ingin menyewa dan menunggang motosikal berkuasa tinggi di negara ini.
Sebelum ini timbul masalah apabila pelancong asing tidak dibenarkan menyewa dan menunggang motosikal berkuasa tinggi meskipun mereka mempunyai lesen memandu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak akan menulis cadangan ini kepada KSU (Ketua Setiausaha) Kementerian Pengangkutan agar dipertimbangkan sebagai salah satu usaha menggalakkan lebih ramai pelancong yang gemar menunggang motorsikal berkuasa tinggi ke Malaysia.
“Mungkin dengan inisiatif yang baik ini kita dapat membantu penunggang asing datang ke Malaysia untuk menyewa motosikal dan menunggang di jalan raya di Malaysia terutamanya di jalan pantai timur dan Borneo,” katanya.
Langkah menyediakan permit khas itu akan memacu ekonomi khususnya industri pelancongan juga akan membantu pemain industri motosikal berkuasa tinggi di negara ini dari segi sewaan motosikal kerana sememangnya terdapat banyak permintaan daripada pelancong asing.
Namun begitu, langkah keselamatan dan undang-undang jalanraya perlu seiring diperkenalkan buat warga asing yang kurang biasa dengan selok belok jalan di Malaysia jika cadangan ini diguna pakai kelak.
Sumber: Bernama
‘Indah Khabar Daripada Rupa’. Pengalaman Seram Sekeluarga Check In ‘Hotel Cantik’ Di Taiping

Setiap kali anda hendak menempah mana-mana lokasi penginapan seperti hotel, resort atau chalet, dapatkan dahulu review daripada pengunjung yang pernah datang sebelum ini berkenaan tempat tersebut.
Berbuat demikian mungkin dapat menghindarkan anda daripada pengalaman yang tidak menyeronokkan. Antara laman sesawang dan aplikasi yang boleh anda lihat adalah Trivago, Foursquare atau Booking.com
Ini perkongsian daripada saudari Aida Syafiza Adanan di laman sosial Facebook pengalaman buruknya ketika menginap di sebuah hotel di Taiping, Perak. Malah pengalaman tersebut bukan terjadi kepada dirinya sahaja, malah ramai pengunjung lain. Semoga menjadi pengajaran kepada anda yang lain agar membuat semakan atau ‘review’ daripada pelanggan lain sebelum membuat apa-apa tempahan penginapan.
Hari ini baru ada kekuatan untuk nak review sejenis hotel ni. Pengalaman yang aku rasa sampai mati tak boleh lupa kot. Gambaq-gambaq ni aku ambik dari Google, sebab terlampau seram nak keluaqkan henset nak videokan.
Bergerak dari KL untuk ke Taiping pukul 11 mlm lebih, disebabkan dah lewat sangat dan tak plan pun nak bermalam di Taiping, call kebanyakan hotel, semua tak angkat sampai la call hotel ni, depa angkat.. Dengan tak tunggu dah, terus confirm, sebab owner bagi 2 bilik rm100 ja..lagi pun tengok review dalam internet lawa kan?
Sampai sana pukul 2 pagi lebih ikut Waze, jalan masuk tu kiri kanan hutan. Siap ada kain merah pacak kat tepi jalan..daun-daun kering penuh. Elok sampai lobi,Jeluh muka..Allah! Teruknya.satu manusia pun tak ada..Rasa macam pernah terbaca tentang hotel ni di FB..Tapi tak sure lagi, call frontdesk, line telefon jadi pelik suara pun pelik.
Adik faizal pi ambik kunci di hujung mana hala nu..orang yang urus tak keluar sampai sudah. Masa tu rasa mcm nak lari cari hotel lain dah ,tapi dah mai pun ramai, ada anak kecik dengan letih. Naik jugak. Tekan lif 2,2 tak berfungsi kena naik tangga, dapat 1bilik tingkat 1..satu bilik lagi tingkat 2..Qabat naik tangga..
Syiling berlubang sana sini..lampu hujung kelam mcm dlm gambar bawah ni..penghujung koridor tadak dinding, terus nampak hutan..bilik tingkat 2, kena lalu air menitik bertakung atas lantai..TV tekan bukak, dia tutup sendiri..last-last pakat tarik wire kabel plug..Allah..pertama kali kena mcmtu.
Pakat tak lena sampai ke cerah. Yang ihsan, dari lobi dok tunjuk “tu..tu..”Naik bilik, atas katil tunjuk lagi.Toilet ada bekas air karat meleleh di bumbung.singki beretang. Sapa sorang tak berani bersuara apa. Tunggu sampai cerah.
Mangkit pagi, selak tirai nampak kolam renang terbiaq, berkeladak tak sangga. Di balkoni ada meja dengan kerusi lama. Meleding kena air hujan. Terus packing untuk check out. Jumpa technician dia dok bawah, budak tu gitau kata org keja ada 6 org ja situ. Memang tak dak roomservice. Tempat tu tutup lama dah..tapi dibukak semula untuk upgrade.
Lani tempat tu bukak untuk sewa harian, mingguan dengan bulanan..Budak-budak muda lapis remaja ramai pakat check in situ. Kereta motor banyak parking, tapi satu manusia pun tak kelih. Semua kereta mahal-mahal dan plate luar. Owner asal dah jual hotel tu. Setiap bilik ada owner yang berbeza. Hotel ni dalam aplikasi AGODA ada ya.
Moga-moga orang lain tak kena la. Saja buat review ni, sebab mau boleh tak mau orang lain pulak kena. Mau boleh elak, elak lah. Cukup sekali wei aku kena..Serikkkk! Orang Taiping, tolong info sat boleh?
Muslimah Yang Nak Travel Solo, Ikut Tip Wanita Ni Kongsi. InsyaAllah Semua Beres!

Dah banyak sempadan negara di seluruh dunia sudah dibuka, semakin hari pun makin banyak kelonggaran yang diumumkan bagi menggalakkan lagi aktiviti pelancongan selepas pandemik melanda.
Kalau ada geng muslimah yang plan nak travel solo, tip yang dikongsikan oleh Amalina Syafiqah ini boleh dijadikan panduan.
Pernah mengembara secara solo ke beberapa negara di Eropah beberapa tahun yang lalu, Amalina Syafiqah terpanggil untuk berkongsi tip buat anda terutamanya wanita muslimah yang ingin mengembara secara solo ke seluruh dunia.

Ikuti perkongsiaannya:
‘TIPS MUSLIMAH SOLO TRAVELLING’
Assalamualaikum semua.
Memandangkan sekarang dah boleh travel overseas, nak share dengan korang tips yang saya gunakan masa solo travelling ke beberapa negara Eropah dulu (London, Paris, Belgium,Berlin, Amsterdam, Czech Republic, Austria, Switzerland) in 2018. Rasanya boleh pakai lagi tips ni, insyaAllah.
Mula-mula rasa takut juga sebab tak pernah ada pengalaman solo travelling ni, especially dekat europe. Dahlah pakai tudung pulak tu Takut juga kalau ada apa-apa terjadi sebab islamophobia semua. Tapi alhamdulillah perjalanan saya selamat je
- Survey negara yang selamat untuk dilawati
– elakkan pergi ke negara yang ada high crime rates/ negara yang bergolak/ ada political instability
– do thorough research and reading regarding places that you would like to visit
– get to know nearest police station available and location of Malaysia embassy
- Visit public places
– melawat tempat yang ramai orang, elakkan kawasan yang sunyi / keluar lewat malam
– use other mean of public transports instead of taxi like tram/ train/ bus
- Stay dekat hostel/ hotel
– ramai travellers yang kita boleh jumpa, boleh dapatkan tips daripada mereka
– saya pernah stay dekat hostel in London, jumpa orang daripada China, German, France, England yang stay dalam bilik yang sama. Kitorang duduk atas lantai sama-sama masa tu (snacking time). Dapat soalan kenapa Islam suruh pakai tudung semua. In a way dapat explain dekat diorang pasal Islam pulak. Such a nice experience
- Beware of our belongings
– letak barang berharga dekat tempat yang selamat
– saya bawa anti-theft backpack untuk travel ke mana-mana. Alhamdulillah tak ada kecurian yang berlaku sepanjang travel tu
– boleh pakai belt bag dalam baju jugak. Saya asingkan kad bank, duit dekat tempat yang berbeza. Ada letak dalam purse/ belt bag/ anti-theft bagpack. Tak letak semua dalam purse sebab bahaya kalau kena curi/ tercicir
– saya siap fotostat passport in case passport tercicir. Nanti senang kalau ada apa-apa berlaku
- Join group tour
– kalau nak pergi ke kawasan pedalaman/ jauh dari city, better ambik group tour sebab lebih selamat
– dekat europe banyak free tour, boleh join jugak yang tu selain dapat jimat duit
– saya ambil group tour ke Mount Titlis, Switzerland (yang ni kena bayar)
– tapi yang lain banyak travel sendiri contoh naik train dari Vienna ke Hallstat, Austria
- Bawak travel iron
– dah nama perempuan kan, wajiblah kena ada iron
– tapi kalau nak senang beli je tudung travel tu, tak perlu gosok. Tapi saya tetap rasa travel iron tu wajib ada dalam luggage. Hahaha
- Inform other traveller kalau kita nak solat dalam bilik
– biasanya kalau stay dekat hostel, saya akan inform yang nak solat dalam bilik, as a courtesy. Tanya diorang O.K ke kalau saya solat dalam bilik sebab takut
menganggu. Alhamdulillah mereka semua hormat masa tengah solat tu.
- Jaga kebersihan bilik dan toilet, jangan basahkan lantai toilet
– yang ni memang kena jaga. Mereka tak suka lantai yang basah, so kena pandai-pandai. Kita kena tunjuk yang agama kita ni boleh bertoleransi dengan masyarakat lain yang berbeza agama dan budaya
– jaga kebersihan bilik dan diri. Kebersihan kan separuh daripada iman
- Jaga percakapan, tingkah laku
– mereka ni akan observe tingkah laku kita. Show your best muslimah side, sebab kita nak tunjuk yang Islam ni agama yang indah, bukanlah konservatif.
- Be punctual
– kalau join apa-apa tour kena punctual. Mereka tak suka orang yang tak punctual ni. Kena jaga imej kita yang bertudung
Rasanya tu je tips yang nak share dengan korang. Jangan rasa takut nak cuba benda baru. InsyaAllah banyak pengalaman manis yang kita akan dapat. Doa banyak-banyak sepanjang musafir minta Allah lindung. InsyaAllah semua O.K je . Yang penting, tetaplah jaga aurat kita sepanjang travel tu. Mereka ni pun akan respect our identity jugak
Travel Iron ni memang penting bila nak bercuti, Usha kat sini je!
Lepas Phuket, Thailand Bakal Buka 3 Lagi Pulau Peranginan Termasuk Koh Samui Pertengahan Julai Ini

Setelah membuka Phuket kepada pelancong luar bermula 1 Julai lalu, Thailand akan membuka tiga lagi pulau peranginannnya.
Pulau yang terletak di Surat Thani, selatan Thailang – Koh Samui, Koh Phngan dan Koh Tao kini sibuk membuat persiapan untuk menyambut pelancong asing yang lengkap divaksin bermula 15 Julai dalam usaha menghidupkan kembali industri pelancongan yang terjejas teruk.
Seminggu selepas pelancaran ‘Phuket Sandbox’ pada 1 Julai, Thailand kini beralih tumpuan kepada inisiatif ‘Samui Plus’ bakal menyaksikan pelancong antarabangsa dari negara berisiko rendah dan sederhana boleh mengunjungi pulau-pulau berkenaan tanpa menjalani kuarantin 14 hari di hotel.
Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) menyatakan permohonan Sijil Kebenaran Masuk (CoE) untuk ‘Samui Plus’ dijadual dibuka minggu ini.
Gabenor TAT Yuthasak Supasorn berkata, sekurang-kurangnya 1,000 pelancong asing dijangka tiba dan menjana sekitar 100 juta baht untuk 30 hari pertama pembukaan semula.
Program “Samui Plus”
Beliau menjangkakan ketibaan pengunjung adalah lebih sedikit di bawah program ”Samui Plus” kerana pendekatan ini mempunyai lebih banyak sekatan.
“Pulau-pulau itu akan menarik kumpulan pelancong tertentu yang sememangnya suka mengunjungi Koh Samui, untuk merasai pengalaman kesihatan dan kesejahteraan atau mereka yang ingin belajar menyelam,” katanya.
Inisiatif ‘Samui Plus’ sedang menunggu kelulusan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA).
Pada 1 Julai, Phuket sudah mula menyambut ketibaan pelancong asing yang lengkap divaksin di bawah projek perintis untuk membuka semula industri pelancongannya yang merudum akibat pandemik Covid-19.
Dalam lima hari pertama, sejumlah 32 penerbangan masuk dari Eropah, Timur Tengah dan Asia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, membawa 1,896 pelancong.
Thailand merancang membuka lebih luas pintunya kepada pelancong yang sudah divaksin untuk membantu merancakkan semula industri berkenaan.
Susulan syarat kemasukan yang ketat dan langkah kuarantin tahun lalu, ketibaan pelancong ke negara itu merosot kepada 6.7 juta tahun lalu berbanding hampir 40 juta pada 2019.
Pada 16 Jun, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha mengumumkan Thailand bakal membuka semula pintunya kepada pengunjung lengkap divaksin dalam tempoh 120 hari atau pada pertengahan Oktober.
Di bawah inisiatif ‘Samui Plus’, pelancong asing yang sudah divaksin dari negara berisiko rendah dan sederhana dikecualikan menjalani kuarantin tetapi harus tinggal di pulau terbabit selama 14 hari sebelum meneruskan perjalanan ke wilayah lain di negara ini.
Pelancong asing mesti memohon CoE dan membeli insurans perubatan yang merangkumi rawatan Covid-19 dengan kos sehingga US$100,000 serta negatif ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.
Perlu Vaksin Sepenuhnya
Selain itu, pelancong asing hendaklah divaksin sepenuhnya dengan vaksin diiktiraf Kementerian Kesihatan Awam Thailand atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak kurang dari 14 hari sebelum tarikh perjalanan.
Pelancong juga mesti menempah dan membayar penginapan hotel di Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan.
Bagi pengunjung yang tiba di Koh Samui, setelah disahkan negatif Covid-19, mereka mesti berada di bilik hotel selama tiga hari pertama, dan hanya dibenarkan meninggalkan bilik untuk ke kawasan yang dibenarkan.
Hari ke empat hingga tujuh, pelancong boleh melakukan perjalanan mengikut atur cara program lawatan di Koh Samui sahaja.
Pada hari ke lapan hingga ke 14 boleh berjalan-jalan di Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao.
Sekiranya disahkan negatif pada hari ke-15, barulah mereka boleh melancong ke wilayah lain di Thailand
Sumber: Bernama
Artikel Berkaitan:
Selain Island Hopping & Selaman Skuba, Ini Beberapa Idea Aktiviti Pulau Menarik Boleh Anda Lakukan!
Thailand Akan Buka Semula Phuket Untuk Pelancong Tanpa Kuarantin, Syaratnya Dah Divaksin
Berdepan Pasca Pandemik, Ini 10 Tip Kebersihan & Keselamatan Kita Harus Lakukan Dalam Flight