Perkasakan Bahasa Kebangsaan Di Kawasan Tumpuan Pelancong Terutama Lapangan Terbang

Share

Libur terbaca satu hantaran facebook daripada seorang wargamaya yang bernama Khalid Pattali, dan perkongsian beliau itu menarik perhatian Libur untuk dibaca.

Intipati hantaran tersebut adalah luahan hati beliau terhadap penggunaan bahasa inggeris yang terlalu meluas, melebihi bahasa kebangsaan. Seakan-akan membuatkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa kelas kedua di tanah air sendiri.

Contoh yang diambil oleh Khalid ini adalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan nak tahu lagi apa yang ditulis oleh beliau, jom kita baca hantaran tersebut.

“Setiap kali nak keluar/balik Malaysia inilah pemandangan yang buat aku rasa sedih. Aku tahu bahasa inggeris penting, tapi janganlah kau jadikan bahasa melayu kelas kedua di pintu masuk Malaysia.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur adalah pintu masuk utama orang luar ke Malaysia. Tunjukkanlah jati diri Malaysia iaitu bahasa Melayu. Biar orang kenal. Cuba kau pergi lapangan terbang Istanbul, Zurich, Athen, Tokyo, Jeddah, Paris. Tengok bagaimana mereka bangga letakkan bahasa mereka sendiri.

Pengurusan Malaysia Airports boleh pergi ke IKEA. Tengok bagaimana syarikat luar ini menitik beratkan bahasa Melayu. Setiap papan tanda mesti bahasa melayu disusuli terjemahan bahasa inggeris.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur adalah sebahagian identiti Malaysia. Membawa nama Malaysia di mana semua rakyat Malaysia mestilah tahu berbahasa melayu. Jika kita sendiri segan berbahasa melayu siapa yang nak angkat bahasa kita.

Aku sedar ramai yang lebih selesa berbahasa inggeris atau bahasa rojak. Aku pun kadang2 rasa janggal sebut sesuatu perkataan dalam bahasa melayu.Tapi tolong jaga bahasa melayu kita sama ya. Biar zaman & teknologi berubah, tetapi adat, budaya & bahasa kita cuba pertahankan.”

Hantaran tersebut mendapat banyak perkongsian dan rata-rata komen wargamaya yang lain turut bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh Khalid.

Malah tak kurang juga yang tidak bersetuju dengan hantaran Khalid tersebut kerana dikatakan tidak menunjukkan sisi lain di lapangan terbang yang ada menggunakan bahasa kebangsaan dalam papan tanda mereka.

Daripada pendapat Libur sendiri, ada benarnya juga kerana inilah peluang terbaik untuk kita memertabatkan dan memperkenalkan bahasa ibunda kita kepada masyarakat luar. Dalam masa sama, mungkin penggunaan bahasa inggeris itu bertujuan untuk memudahkan pelancong mencari arah tujuan mereka.

Jadi apa pendapat anda semua? Adakah perlu kita menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa inggeris? Atau adakah setiap papan tanda perlu menggunakan dwi bahasa? Jom kongsikan kepada Libur du ruangan komen facebook.

IKLAN