Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mahu Dunia Isytihar Perang Ke Atas COVID-19

Share

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu dunia mengisytiharkan perang ke atas virus Covid-19, hanya dua hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan wabak itu sebagai pandemik.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan langkah pencegahan dengan melaksanakan strategi berkesan, mengaktifkan segala sistem tindak balas kecemasan, termasuk keupayaan sistem mengesan dan penjagaan pesakit.

“Kita mesti mengisytiharkan perang terhadap virus ini. “Ini adalah masa untuk bertindak dengan lebih bijak dan cermat, bukannya panik. Walaupun situasi itu diklasifikasikan sebagai pandemik, ia adalah satu keadaan yang dapat kita kawal. Kita boleh melambatkan penularan, mencegah jangkitan dan menyelamatkan nyawa, tetapi ia memerlukan tindakan bersepadu semua pihak di seluruh dunia,” katanya.

Selain menjadi krisis kesihatan awam, virus itu turut menjejaskan ekonomi dunia PBB turut memberi amaran, dunia bakal menyaksikan pasaran kewangan terjejas teruk akibat ketidakpastian, rantaian bekalan global terganggu, pelaburan dan permintaan pengguna merosot dan risiko meningkatnya kemelesetan ekonomi.

Ahli ekonomi PBB menganggarkan krisis Covid-19 boleh mengakibatkan ekonomi dunia tahun ini kerugian sekurang-kurangnya AS$1 trilion atau mungkin lebih.

Sumber: Bernama

IKLAN