Ada sesetengah mercu tanda yang cukup dikenali hanya melalui bentuknya. Tak perlu tengok nama negara pun, orang sudah boleh agak lokasi itu berada di mana.
Antaranya ialah patung-patung terkenal dunia yang bukan sekadar jadi tarikan pelancong, malah membawa kisah sejarah, budaya, agama dan identiti sesebuah negara. Ada yang menjadi simbol kebebasan, ada yang dikaitkan dengan legenda, dan ada juga yang terkenal kerana saiznya yang luar biasa.
Berikut antara patung paling terkenal di dunia yang sering menjadi tumpuan pelancong.
Statue of Liberty antara patung paling ikonik di dunia. Terletak di Liberty Island, New York, patung ini merupakan hadiah persahabatan daripada rakyat Perancis kepada Amerika Syarikat.
Nama rasminya ialah Liberty Enlightening the World dan ia dianggap sebagai simbol kebebasan serta demokrasi. Patung ini didedikasikan pada 28 Oktober 1886 dan kemudian diisytiharkan sebagai National Monument pada tahun 1924.
Bagi ramai pelancong, belum lengkap lawatan ke New York kalau tidak bergambar dengan patung ini dari jauh atau menaiki feri menuju ke Liberty Island.
Christ the Redeemer berdiri megah di puncak Gunung Corcovado, Rio de Janeiro. Patung Jesus Christ ini bukan saja menjadi simbol Brazil, malah antara imej paling dikenali di dunia.
UNESCO menyatakan landskap Rio de Janeiro, termasuk pemandangan teluk, Sugar Loaf dan patung Christ the Redeemer, mempunyai pengiktirafan yang sangat tinggi di seluruh dunia.
Dengan tangan terbuka menghadap bandar Rio, patung ini sering dianggap sebagai lambang keamanan, kasih sayang dan perlindungan.
Patung Moai di Pulau Easter atau Rapa Nui memang unik kerana bentuk wajahnya yang panjang dan misteri. Patung batu besar ini dibina oleh masyarakat Rapa Nui dan menjadi antara tinggalan budaya paling menarik di dunia.
Menurut UNESCO, Rapa Nui National Park menjadi bukti kepada tradisi arca dan seni bina monumental yang kuat, imaginatif dan berkembang dalam masyarakat Polynesia yang pernah hidup terpencil lebih daripada seribu tahun.
Pulau ini terkenal dengan hampir 1,000 patung Moai yang masih wujud, menjadikannya destinasi impian bagi peminat sejarah dan arkeologi.
Great Sphinx of Giza adalah salah satu patung purba paling terkenal di dunia. Bentuknya sangat unik, iaitu gabungan kepala manusia dan badan singa.
Patung batu kapur besar ini terletak berhampiran Piramid Giza dan dipercayai berasal dari zaman pemerintahan Raja Khafre. Encyclopaedia Britannica menyifatkannya sebagai patung batu kapur besar berbentuk sphinx yang kemungkinan besar berasal dari era Raja Khafre.
Selain piramid, Sphinx menjadi antara sebab utama pelancong mahu melihat sendiri kehebatan tamadun Mesir purba.
Patung David karya Michelangelo ialah antara arca paling masyhur dalam sejarah seni dunia. Ia dipamerkan di Galleria dell’Accademia di Firenze, Florence.
Menurut galeri tersebut, karya ini dihasilkan oleh Michelangelo Buonarroti antara tahun 1501 hingga 1504 menggunakan marmar putih, dengan ketinggian sekitar 517 sentimeter.
Patung ini menggambarkan watak David daripada kisah Bible dan sering dianggap sebagai lambang keindahan seni Renaissance Itali.
Tugu Negara ialah antara monumen paling penting dan terkenal di Malaysia. Terletak di Kuala Lumpur, tugu ini dibina bagi memperingati jasa perajurit yang gugur ketika mempertahankan negara.
Patung gangsa ini memaparkan sekumpulan askar dalam posisi penuh simbolik, melambangkan keberanian, pengorbanan, perpaduan dan kemenangan. Bagi rakyat Malaysia, Tugu Negara bukan sekadar lokasi bergambar, tetapi tempat yang mengingatkan kita tentang harga sebuah keamanan.
Lokasinya juga mudah dikunjungi kerana berada tidak jauh dari Taman Botani Perdana dan beberapa tarikan utama lain di Kuala Lumpur. Jadi kalau mahu bawa anak-anak belajar tentang sejarah negara, Tugu Negara memang antara tempat yang sesuai untuk dimasukkan dalam senarai lawatan.
Bagi rakyat Malaysia yang pernah ke Singapura, Merlion antara lokasi wajib singgah. Patung separuh singa dan separuh ikan ini menjadi simbol paling dikenali di negara tersebut.
Merlion Park terletak di kawasan Marina Bay dan menjadi lokasi popular untuk bergambar. Laman rasmi Visit Singapore menyebut Merlion Park sebagai rumah kepada patung ikonik separuh singa dan separuh ikan itu.
Rekaan Merlion dikaitkan dengan identiti Singapura sebagai “Lion City” dan sejarah asalnya sebagai perkampungan nelayan.
The Thinker adalah patung lelaki sedang duduk sambil meletakkan tangan di dagu, seolah-olah sedang berfikir secara mendalam. Karya Auguste Rodin ini sangat terkenal dalam dunia seni.
Patung ini sering digunakan sebagai simbol pemikiran, falsafah dan renungan manusia. Walaupun kelihatan ringkas, ekspresi tubuh pada patung ini menjadikannya antara karya seni paling dikenali di dunia.
Ushiku Daibutsu di Ibaraki, Jepun, terkenal kerana saiznya yang sangat tinggi. Patung Buddha gangsa ini menjulang setinggi 120 meter termasuk tapak dan platform teratai.
Menurut Japan Guide, Ushiku Daibutsu ialah antara patung Buddha tertinggi di dunia dan pengunjung juga boleh menaiki lif ke bahagian dek pemerhatian di dalam patung tersebut.
Bagi pelancong yang suka melihat struktur besar dan unik, patung ini memang memberi pengalaman yang berbeza.
Manneken Pis di Brussels, Belgium, mungkin antara patung paling kecil dalam senarai ini, tetapi popularitinya cukup besar. Patung budak lelaki kecil sedang membuang air ini menjadi salah satu simbol paling terkenal di Brussels.
Tarikannya bukan pada saiz, tetapi pada keunikan dan kisah rakyat yang mengelilinginya. Patung ini juga sering dipakaikan kostum khas mengikut acara tertentu, menjadikannya lebih menarik kepada pelancong.
Kebanyakan patung terkenal dunia bukan sekadar besar atau cantik. Ia menjadi popular kerana ada cerita di sebaliknya. Ada yang melambangkan kebebasan, ada yang membawa nilai keagamaan, ada yang mewakili seni, dan ada juga yang menjadi identiti sesebuah bandar.
Sebab itu patung seperti Statue of Liberty, Christ the Redeemer, Moai dan Merlion bukan hanya tempat bergambar. Ia juga menjadi cara untuk kita mengenal sejarah dan budaya sesebuah negara.
Kalau suka melancong sambil belajar sesuatu yang baru, lokasi-lokasi ini memang menarik untuk dimasukkan dalam senarai impian. Bukan sekadar cantik dalam gambar, setiap satunya ada kisah yang membuatkan ia kekal dikenang sampai hari ini.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!