Perasan tak kalau pergi bercuti, kita akan menginap di hotel atau resort yang digemari dan kebanyakan semua cadar serta tualanya berwarna putih.
Kenapa pihak pengurusan hotel memilih warna putih berbanding warna lain seperti untuk selimut yang ada juga berwarna-warni.
Menurut Mentalfloss, hotel suka menggunakan cadar putih supaya dapat mengesan kekotoran dengan lebih cepat.
Bayangkan jika katil mempunyai cadar yang lebih gelap, anda mungkin tidak dapat melihat sebarang kekotoran yang terdapat pada cadar tersebut seperti kutu busuk.
Oleh itu, dengan cadar yang berwarna cerah, anda akan lebih yakin dengan tahap kebersihannya yang mungkin baru saja dicuci.
Ads
Tambah sumber itu lagi, Westin merupakan pemula yang mempopularkan motif berwarna putih sekitar tahun 1990-an.
Idea tersebut turut mendapat sokongan daripada Erin Hoover, bekas Naib Presiden Reka Bentuk Hotel Westin dan Sheraton dengan mengatakan bahawa tempat tidur yang serba putih dapat menciptakan kesan halo.
Beliau menambah “Orang menganggap bilik telah diubahsuai sedangkan hanya tempat tidur yang telah berubah. Ia memberi kesan yang besar.”
Dari sudut logistik pula, cadar yang berwarna putih putih dapat memudahkan kerja-kerja pembersihan. Kedua-duanya, iaitu cadar dan tuala boleh diletakkan di dalam bekas basuhan yang sama tanpa takut warna akan luntur.
Ads
Hotel menggunakan teknologi dobi terkini, termasuk mesin ultrasonik yang dapat memecahkan kotoran.
Mereka juga membuat beberapa kali kitaran basuhan. Oleh itu, “kesan halo” adalah sesuatu yang mungkin anda perlukan untuk membuat tempahan.
Ketika diundang ke Perak bersama media lain sempena promosi Tahun Melawat Perak, hati berbaur suka untuk melihat tarikan dan keistimewaan yang ada di negeri ini. Biarpun penulis berasal dari Perak namun masih banyak lokasi yang belum diterokai. Kembara kali ini memberi pengalaman baru untuk mengintai lokasi pelancongan popular dan jadi tarikan.
Stesen Kereta api Ipoh
Stesen Kereta api Ipoh yang dibina pada 1914 ini masih utuh bukan sahaja sebagai bangunan bersejarah, tetapi juga bangunan yang berfungsi menerima kereta api elektrik untuk bandar ini.
Digelar sebagai Taj Mahal Ipoh, bangunan putih ini dibina oleh AB Hubback , arkitek sama yang membina bangunan stesen Kereta api Kuala Lumpur. Ia sepatutnya digunakan sebagai hospital, tetapi akhirnya diubah menjadi stesen kereta api yang menempatkan kafe kecil dan hotel 21 bilik (kini ditutup).
Jika ke kawasan dataran di hadapan stesen, anda akan dapat melihat tugu kenangan yang dibina bagi memperingati mereka yang meninggal dunia akibat kerahan tenaga kejam di zaman penjajahan Jepun ini.
Ipoh Town Hall
Ia merupakan sebuah bangunan yang bergaya Neoklasik yang direka oleh AB Hubback yang juga membina Stesyen Kereta Api Ipoh. Dahulu Ipoh Town Hall digunakan sebagai pejabat pos dan telegraf, namun kini ia menjadi lokasi untuk mengadakan majlis perkahwinan, konsert dan acara rasmi yang lain. Ia menjadi salah satu destinasi yang wajib anda kunjungi.
Concubine Lane
Membawa anda ke tahun 1892 di mana pekan lama Ipoh dibina semula pada tahun 1892 selepas hangus terbakar. Concubine Lane terdiri daripada beberapa lorong kedai yang masih mengekalkan seni bina dan kenangan terdahulu. Hari minggu meriah di Concubine Lane di mana anda boleh membeli pelbagai cenderamata, makanan, ais kepal, tau fu fah, gula kapas dan sebagainya. Di kawasan ini juga terletak banyak kafe-kafe hipster tumpuan muda mudi serta butik hotel dengan rekaan tersendiri.
Kinta Riverfront
Mini I-City ini juga terletak di tengah-tengah pusat bandar Ipoh. Bukan sahaja dilimpahi cahaya berwarna-warni lampu LED, Kinta Riverfront terletak di persisiran Sungai Kinta dan menjadi destinasi keluarga dan muda-mudi menghabiskan malam mereka. Penat berjalan, anda boleh cuba aktiviti berbasikal di sekitar kawasan Kinda Riverfront dan Taman DR Seenivasagam.
Lukisan Mural
Ipoh juga popular dengan tarikan terbarunya iaitu Street Art atau Seni Lukis Jalanan yang terdapat pada dinding bangunan sekitar Ipoh. Pelbagai lukis dinding jalanan atau mural anda dapat lihat di dinding bangunan di Ipoh.
Masjid Ubudiah
Masjid Ubudiah terletak di Bukit Chandan Kuala Kangsar . Direka oleh AB Hubback iaitu arkitek sama yang mereka Stesen Keretapi Ipoh dan Kuala Lumpur, masjid ini dibina dengan menggunakan batu marmar yang diimport khas dari Itali. Ia dibangunkan pada tahun 1913, tetapi pembinaannya tergendala dan hanya disiapkan pada 1917. Ini kerana marmar import itu lewat tiba kerana tercetusnya Perang Dunia Pertama.
Galeri Sultan Azlan Shah
Di sini anda bukan sahaja boleh melihat barangan peribadi pemerintah, tetapi belajar sejarah kehidupan mantan sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Di dalam bangunan yang merupakan bekas istana ini, anda dapat melihat pelbagai koleksi dan sejarah berkenaan Sultan Azlan. Ia bermula daripada waktu persekolahannya, karier beliau sebagai pengamal undang-undang serta minat mendalam beliau terhadap sukan hoki.
Anda juga dapat melihat cop mohor sultan, alat kebesaran seperti koleksi keris sehinggalah kereta diraja dan kereta peronda yang digunakan dalam gerombolan beliau.
Istana Kenangan
Istana Kenangan yang terletak di Kuala Kangsar tidak jauh dari Galeri Sultan Azlan Shah. Dibina pada tahun 1926 untuk Sultan Iskandar Syah oleh seorang tukang kayu Melayu yang bernama Encik Sepian, istana ini juga dikenali sebagai Istana Lembah disebabkan oleh lokasinya.
Menjadi kediaman rasmi sementara bagi keluarga diraja Perak dari 1931 sehingga 1933, sementara menanti Istana Iskandariah siap.Mulai tahun 1986, fungsi istana ini telah ditukar dari istana kepada muzium diRaja Perak.
Istana ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku. Dindingnya diperbuat daripada tepas dan atapnya diperbuat dari kayu papan. Jika dilihat dari atas, bangunan ini akan kelihatan seperti sebilah keris yang tersimpan dalam sarungnya,sesuai dengan fungsinya sebagai istana diRaja.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Semalam dunia digemparkan dengan kejadian di Jepun apabila Taufan Hagibis melanda negara matahari terbit itu. Ribut taufan yang dikategorikan sebagai ‘besar dan amat kuat’ itu yang pertama melanda Jepun sejak dari tahun 1991.
Beberapa jam sebelum ribut taufan itu melanda Jepun, telah tular di media sosial langit Jepun yang bertukar menjadi ungu, seolah-olah memberikan alamat bahawa satu bencana yang amat besar akan terjadi.
Video ni menunjukkan langit Jepun bertukar ungu beberapa jam sebelum Taufan Hagibis melanda.
Dikategorikan sebagai ribut taufan yang sangat dahsyat, Taufan Hagibis menjejaskan ratusan ribu penduduk di Jepun dan memusnahkan banyak harta benda seperti rumah, kenderaan, kapal, kereta api laju, lapangan terbang dan sebagainya.
Melalui laporan berita antarabangsa, dianggarkan lebih 600,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat dan terkini, angka korban akibat ribut taufan itu telah mencecah seramai 35 orang.
Selain daripada mangsa yang terkorban, dianggarkan hampir 20 orang masih hilang sehingga kini.
Untuk pengetahuan anda, Taufan Hagibis yang melanda Jepun itu bergerak pada kelajuan 216 kilometer per jam. Anda bayangkan angin dicampur dengan hujan yang berpusar menghempas tingkap, pintu dan dinding rumah anda selaju itu. Pasti ianya satu pengalaman yang paling ngeri pernah kita rasakan.
Di sini, Libur kongsikan kepada anda kompilasi gambar-gambar yang berjaya dirakamkan di Jepun selepas ribut Taufan Hagibis itu melanda beberapa kawasan sekitar Jepun.
Jika kita lihat, kemusnahan yang berlaku bukan biasa-biasa. Sama-sama kita doakan semoga rakyat Jepun kembali pulih seperti sediakala.
Pulau Langkawi tidak perlu diperkenalkan lagi. Destinasi ini sememangnya lokasi pelancongan negara yang terulung bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa. Umum mengetahui keindahan dan kemasyhuran pulau peranginan itu membuatkan ia sering menjadi bualan dan mendapat banyak pengiktirafan.
Boleh dikatakan ramai rakyat Malaysia sudah menjejakkan kaki di tanah yang terkenal sejarah kisah Mahsuri ini. Begitu juga dengan pelancong asing, rata-rata yang datang ke Malaysia pasti mempunyai kenangan tersendiri bercuti di Langkawi.
Kalau sebelum ini, Langkawi sudah pasti menjadi lokasi saban tahun yang akan penulis
kunjungi dan terasa dekat di hati. Namun, jujur penulis katakan hampir tiga tahun tidak
menjejakkan kaki di Langkawi, bukan tidak mahu tapi tidak berkesempatan. Namun jauh sekali melupakan pulau kesayangan Perdana Menteri kita sekarang ini.
Berkesempatan menjelajah Pulau Langkawi baru-baru ini selepas hampir tiga tahun tidak menjengah, penulis melihat ada banyak produk pelancongan yang baru dan lama sedang rancak berjalan menunggu kunjungan pelancong. Percutian penulis lima hari di pulau jolokan bebas cukai atau syurga membeli-belah ini memang cukup puas dan begitu berbaloi.
Nah! Ini cadangan aktiviti dan lokasi penginapan yang boleh anda lakukan ketika bercuti di
Langkawi.
Tidak basah, tidak sah lah percutian anda di Pulau Lagenda ini. Pernah dengar atau tidak ada sebuah pulau umpama syurga dunia berada di Langkawi? Haa..pulau yang dikenali sebagai NAAN Paradise 101, merupakan pulau persendirian untuk anda lakukan pelbagai aktiviti air atau pantai. Pulau ini hanya boleh diakses menggunakan perkhidmatan bot khas di Jeti Telaga Harbour Marina bermula dari jam 10 pagi hingga tengah malam setiap hari.
Antara pakej dan aktiviti yang disediakan adalah mencuba permainan air di Aqua Park, Banana Boat Ride, Parasailing, snorkel atau hanya beristirahat. ‘Pulau Syurga’ ini juga bersedia menerima tetamu yang ingin mengadakan majlis sambutan hari lahir, perkahwinan atau majlis berskala besar.
Island hopping adalah aktiviti wajib dilakukan di Langkawi. Rutin bagi aktiviti ini adalah menaiki bot laju dan berhenti dari pulau ke pulau. Namun, jika ingin kelainan dalam percutian anda, pilih untuk lakukan island hopping menggunakan pengangkutan air jet ski yang disediakan di Mega Water Sport. Paling best island hopping yang berdurasi 4 jam tidak terasa dek keseronokkan mengendalikan jet ski ini ketika membelah lautan.
Bukan itu sahaja, malah dengan menggunakan jet ski anda lebih mudah untuk di bawa ke lokasi lebih menarik yang susah diakses jika menggunakan bot. Tidak pernah membawa jet ski? Jangan risau, seorang staf terlatih akan membantu dan menemani anda sepanjang trip ini. Sebelum aktiviti bermula, anda akan diberikan sedikit taklimat, praktikal mengendalikan jet ski, keselamatan dan kelengkapan seperti kasut serta beg kalis air.
Di Langkawi, antara tarikan yang sudah lama di praktikan di sini adalah pengalaman merasai dan menaiki ‘Sunset Cruise’. Anda boleh dapatkan perkhidmatan daripada Fantastic Tour Services yang dilengkapi pakej makan malam pada waktu petang hingga ke malam. Sambil dihidangkan menu enak yang disediakan di atas kapal, mata anda pasti tidak henti menyaksikan keindahan alam dan lautan terbentang luas dari bahagian deck atas kapal.
Ternyata ia satu detik yang mengujakan dan sukar didapati di tempat lain. Anda juga boleh membawa pakaian bersesuaian sekiranya mahu merasai pengalaman jakuzi asli air laut yang disediakan di bahagian belakang bot cruise. Perjalanan lebih tiga jam mengelilingi lautan dan kemuncaknya adalah ketika menyaksikan matahari terbenam yang sangat mengasyikkan.
Kereta Kabel Langkawi terletak di Gunung Mat Chinchang adalah destinasi wajib cuba di Langkawi. Dari sini anda berpeluang melihat panorama gunung batu kapur zaman geologi Cambrian yang berusia 500 juta tahun. Jika cuaca baik, hampir keseluruhan Pulau Langkawi dapat dilihat dengan jelas dari aras tinggi.
Di sini terletak sebuah jambatan gantung berketinggian 100 meter yang boleh menampung 250 orang dalam satu masa menjanjikan pengalaman unik kerana dikelilingi gunung-ganang menghijau.
Selesai menaiki kereta kabel dan sebelum berlepas balik, jangan lupa untuk berkunjung ke Muzium 3D dan singgah ke premis Sri Kandi. Di sini anda berpeluang untuk mencuba pelbagai pakaian tradisional berserta aksesori sambil mengambil gambar kenang-kenangan di setiap sudut bangunan ini.
Bagi yang gemar mencabar stamina destinasi ini adalah pilihan terbaik buat anda kerana bentuk landskap pusat rekreasi itu yang berbukit menjadikan aktiviti mendaki lebih mencabar. Namun, cabaran mendaki ke platform lebih tinggi berbaloi kerana pengunjung diberi ganjaran dengan mencuba aktiviti ‘flying fox’ selepas mendaki dan ia memberi kepuasan dan keseronokkan serta lebih relaks.Pusat rekreasi ini bukan saja menawarkan aktiviti lasak, malah bagi mereka yang gemar menikmati alam semula jadi, ia pasti memberi pengalaman unik.
Pengakuan ikhlas daripada penulis, taman buaya di Langkawi ini adalah paling menarik yang pernah dikunjungi. Taman buaya ini begitu teratur dan kolam- kolam yang disediakan untuk setiap reptilia ini sangat bersih. Anda boleh melihat haiwan- haiwan di sini terjaga dengan begitu baik dan bebas bergerak dengan aktif. Terdapat sebuah pertunjukan buaya ‘giant’ yang penuh mendebarkan pada setiap hari mengikut masa tertentu. Tarikan paling menarik bagi penulis di sini pengunjung berpeluang untuk memberi anak-anak buaya makan seakan aktiviti memancing. Walaupun hanya anak buaya, tetapi rentapan setiap ekor daripada haiwan ini cukup kuat ketika sesi ini berlangsung.
Pengujung juga diberi kesempatan untuk bergambar dengan buaya sebenar. Uniknya, mulut buaya di sini langsung tidak diikat sebagaimana dilakukan di taman-taman buaya lain di seluruh dunia. Bagi pengurusan taman buaya ini, mengikat mulut buaya melanggar hak asasi haiwan tersebut. Terdapat juga pelbagai produk yang dihasilkan daripada kulit buaya yang dijual di sini.
Taman hidupan liar ini merupakan lokasi ideal untuk membawa keluarga bersiar-siar. Di sini menempatkan pelbagai jenis binatang dan spesies burung dari seluruh dunia. Antaranya adalah burung merak dan kakak tua. Pengunjung juga diberi peluang untuk memberi makan dan berinteraksi dengan haiwan yang ada di sini.
Paling unik terdapat sebuah kolam yang menempatkan puluhan ikan koi yang makan menggunakan botol susu. Bunyi semacam pelik bukan? Tapi itu yang boleh anda lihat di sini. Di luar kawasan pintu masuk terletak sebuah lokasi khas untuk pencinta kucing. Anda boleh masuk dan bermain dengan haiwan comel ini sepuas hati.
Aktiviti melihat paya bakau banyak dilakukan di negara kita. Penulis sendiri sudah banyak kali berpeluang mengikuti aktiviti ini, tetapi percayalah anda bakal jatuh cinta apabila mengambil pakej ini di sini. Lain daripada yang lain. Bukan sekadar melihat tumbuhan paya bakau semata-mata, tetapi anda di bawa untuk mengimbas sejarah peradaban lampau dan mengenali geografi negara anda dengan lebih lagi seperti Pulau Kubang Badak, Bukit Menora, Sungai Siam, Gua Pinang, Pulau Jemuruk dan Tanjung Buta. Anda akan di bawa untuk melihat lokasi pra sejarah di Bukit Menora.
Lokasi ini merupakan penempatan awal penduduk Siam pada abad ke-18 dan dikatakan sangat masyhur dan terkenal. Anda masih berpeluang melihat tapak kebuk arang lama yang dijumpai di Kampung Siam berusia lebih 100 tahun. Dalam trip ini juga, anda akan dibawa ke Gua Pinang iaitu tinggalan gua laut kuno yang terbentuk oleh proses ombak sekitar 6000 tahun lalu. Di sini terdapat banyak longgokan cengkerang kerang dan tiram pada dinding gua.
Galeri Perdana juga cukup sinonim dengan Langkawi. Galeri ini menempatkan pelbagai hadiah pemberian rakyat, ketua negara asing dan pemain pelbagai industri tempatan dan luar negara kepada Tun Dr Mahathir Mohamed ketika bergelar Perdana Menteri keempat dan ketujuh. Semua pemberian itu diterima ketika beliau memegang jawatan berkenaan pada 1981 hingga hingga kini.
Galeria Perdana bukan saja menyimpan pelbagai barangan atau cenderahati Perdana Menteri kita, malah ia antara lokasi terbaik untuk melihat hasil seni dan warisan dari seluruh dunia yang dihadiahkan kepada kita, rakyat Malaysia. Disebabkan cenderahati yang diterima terlampau banyak, maka pihak galeri tidak dapat untuk mempamirkan kesemuanya sekaligus. Dalam setahun, sebanyak tiga kali barang-barang di dalam galeri ini akan bertukar dari sebesar-besar jet pejuang hingga sekecil-kecil batu jed.
Bagaikan tidak lengkap apabila berada di Pulau Langkawi sekiranya tidak menjejaki sejarah silamnya di Kota Mahsuri. Rasanya semua mengetahui sejarah lampau Langkawi yang dikatakan disumpah oleh Mahsuri selama tujuh keturunan. Jangan lepaskan peluang menonton teater Mahsuri, menziarahi makam dan merakamkan gambar kenangan di binaan replika rumah serta mengenali sejarah jelitawan yang mati dibunuh akibat fitnah itu di Kompleks Kota Mahsuri.
Di sini terdapat sebuah perigi digelar Telaga Mahsuri dikatakan lokasi Mahsuri untuk membersihkan diri dan membasuh pakaian. Telaga ini dikatakan tidak pernah kering sejak dari dahulu walaupun ketika musim kemarau. Khasiat dari air telaga ini dikatakan mampu menyembuhkan masalah kulit dan memberi kesan awet muda.
Selama penulis mengenali Langkawi, sekali pun tidak pernah jejak ke sini. Selepas meninjau sendiri lokasi ini, bagi penulis satu kerugian besar jika pelancong yang datang ke Langkawi tidak berkesempatan ke Kompleks Kraf.
Kompleks Kraf Langkawi merupakan salah satu destinasi membeli-belah utama pelancong yang mecari produk kraf keluaran tempatan. Sememangnya tidak rugi untuk dikunjungi kerana terdapat pelbagai daya tarikan jualan hasil kraf setempat termasuk batik, anyaman, ukiran kayu dan logam, seramik serta aneka kraf lain.
Kompleks berkenaan juga mampu membuatkan pengunjung teruja dengan pelbagai persembahan dan aktiviti sampingan. Pada waktu tertentu, pengunjung juga boleh cuba lakukan sendiri pelbagai tutorial kraf seperti mencanting batik, menganyam tikar, membuat kuih tradisional dan banyak lagi.
Terdapat pelbagai pilihan penginapan di Langkawi daripada hotel berstatus mewah, inap desa (homestay) dan bilik kembara yang menawarkan kemudahan dan keistimewaan menarik kepada pengunjung yang ingin menikmati percutian santai dan menyeronokkan. Jika anda suka percutian yang lebih ‘havoc’ dan meriah di tepian pantai, anda boleh memilih lokasi di Pantai Chenang. Manakala, jika inginkan penginapan ditengah pekan Langkawi atau kawasan tumpuan membeli-belah, anda boleh memilih untuk menginap di Kuah.
(Pantai Chenang)
(Pekan Kuah)
Jom! cuti-cuti Malaysia..
Terima kasih pihak Persatuan Pelancongan Langakawi (LTA) & Lembaga Pembangunan Langkawi.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!