Buat masa ini, negara masih mengalami musim tengkujuh. Malah banyak resort-resort yang menawarkan aktiviti snorkling dan diving masih menutup resort mereka untuk menerima kunjungan pelancong. Kebiasaannya pada Mac, barulah aktiviti snorkling dan diving berlangsung meriah kerana para penyelam sudah menunggu beberapa bulan untuk melepaskan gian mereka.
Bagi yang ada plan bercuti ke Sabah selepas Perintah Kawalan Pergerakan berakhir, Sipadan Kapalai Dive Resort yang terletak di Semporna Sabah yang mendapat julukan Maldives Malaysia pasti antara destinasi pilihan.
Sipadan-Kapalai Dive Resort terletak beberapa minit sahaja dari Pulau Mabul dan Pulau Sipadan dan sejam perjalanan melalui bot dari jeti Semporna. Resort ini terletak di atas Lautan Celebes yang terkenal dengan 'syurga' dunia di bawah laut antara yang terbaik di dunia selain dikelilingi pulau-pulau yang bukan calang-calang kecantikannya.
IKLAN
Mempunyai air yang biru jernih, Sipadan Kapalai Dive Resort ini hanyalah resort didirikan di atas kayu-kayu sahaja dan hanya ada tebing pasir tanpa pesisir pantai sebagai mana pulau lain. Dikatakan dahulu ia sebuah pulau namun telah ditenggelami air laut dan hakisan lain mengakibatkan tidak ada tanah di sini dan tidak ada pantai di sini.
Yang ada hanyalah resort mewah ini yang didirikan di atas pulau ini menggunakan tiang-tiang kayu. Walau pun begitu, di tebing pasir cetek di Ligitan Reefs ini merupakan lokasi banyak ikan dan hidupan laut yang eksotik berenang dengan bebas di sana sini.
IKLAN
Dari banyak review pengunjung, ramai berpuas hati dengan resort ini. Bilik airnya luas dan lebih menarik boleh lihat binatang seperti penyu berenang di tepi bilik air ini. Malah biliknya juga amat luas, sesuai bagi yang ingin berbulan madu dan melakukan aktiviti snorkling.
IKLAN
Walau berada di atas laut, tetapi pengunjung tidak boleh buka pintu dan terus terjun ke dalam laut ya. Hal ini dilarang kerana pihak resort ingin menjaga kehidupan laut yang sering berenang di sekeliling resort ini dan ada check-check point untuk melakukan aktiviti renangan di sini.
Dengan pemandangan indah, angin sepoi-sepoi bahasa, candle light dinner selain melihat matahari terbit dan terbenam ditambah pemandangan sangat indah, sudah tentulah bagi yang memilih ke sini perjalanannya sangat berbaloi-baloi. Sumber gambar : Sipadan Kapalai Dive Resort
Terletak di kaki Gunung Muntahak, Air Terjun Kota Tinggi nyata memberikan keterujaan buat pengunjungnya. Dengan jarak kira-kira 34 meter dari gunung, keindahan semula jadi kawasan ini menyegarkan dan memberikan ketenangan pengunjung. Lokasi ini ditutup kira-kira 2 minggu yang lalu untuk kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan, kini dibuka kembali kepada umum dengan perlaksanaan harga tiket terbaru.
Air Terjun Kota tinggi ini sangat sesuai dikunjungi keluarga kerana mempunyai kawasan air terjun yang landai. Ia juga dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk gelongsor air buatan manusia yang menambahkan keceriaan pengunjung terutama kanak-kanak.
OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Namun berkunjung ke air terjun ini, pengunjung dilarang sama sekali untuk membawa makanan sendiri. Jika lapar, anda boleh membeli makanan di gerai yang disediakan. Selain aktiviti mandi-manda, Air Terjun Kota Tinggi ini juga merupakan destinasi sesuai bagi si pencinta alam.
Berikut ada lah harga terkini untk tiket masuk ke Air Terjun Kota Tinggi untuk rujukan dan makluman pengunjung.
Bukan Warganegara:
Dewasa- RM 15
Kanak-Kanak – RM 10
Warga Emas (60+) – RM 3
Parkir :
Kereta Warganegara – RM 3
Kereta Bukan Warganegara – RM 5
Bas – RM 5
Motorsikal / Basikal Warganegara- RM 1
Motorsikal / Basikal Bukan Warganegara : RM5
Cara Ke Sini:
Air terjun ini kira-kira 15 kilometer (km) di utara pekan Kota Tinggi. Untuk ke sana menerusi Lebuh Raya Utara-Selatan keluar di persimpangan Kulai kemudia pandu terus ke jalan utama menuju Kota Tinggi. Dari pekan Kota Tinggi, ikut Jalan Lombong dan cari papan tanda menunjukkan arah ke air terjun.
Selepas tamat PKP kawasan pantai di sekitar negeri selatan semenanjung Malaysia kembali bernyawa dan menjadi tumpuan apabila kembali dibuka kepada kunjungan orang ramai dan peniaga untuk beroperasi.
Bagi yang bercuti ke negeri Johor atau Negeri Sembilan bolehlah singgah ke pantai-pantai ini yang turut jadi tumpuan penduduk sekitar untuk bersantai bersama teman dan keluarga.
Pantai Port Dickson
Pantai ini cukup popular dalam kalangan warga Kuala Lumpur dan Selangor kerana jaraknya yang agak dekat. Malah ia juga menjadi tumpuan penduduk dari negeri jiran terdekat Melaka dan juga ‘orang nogori’ sendiri yang suka berlibur di pantai ini. Terdapat beberapa pantai yang popular di sini seperti Pantai Teluk Kemang dan Blue Lagoon yang terletak arah selatan dari bandar Port Dickson.
Mencari lokasi penginapan ideal? Ada deretan hotel di sepanjang 18km pantai Port Dickson, dari hotel lima bintang hingga ke hotel bajet. Pelbagai restoran dan gerai juga tersedia menjual makanan dan minuman pada harga yang berpatutan.
Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini selain daripada mandi laut seperti menunggang jetski, menaiki banana boat atau pun mencuba sukan parasailing. Lautan manusia di pantai Port Dickson setiap kali hujung minggu sebelum ini membuktikan ia merupakan pantai kesukaan pelancong domestik.
Pantai Tanjung Bidara
Untuk merehatkan fikiran, lokasi percutian yang menarik dan menyajikan panorama indah pastinya menjadi pilihan. Selalunya percutian di pantai menjadi pilihan ramai kerana suasana persekitarannya yang tenang sambil mendengar alunan bunyi ombak yang damai.
Jika anda berkesempatan singgah di Melaka Bandaraya Bersejarah, jangan lepaskan peluang singgah di Pantai Tanjung Bidara yang terletak di daerah Alor Gajah.
Terletak lebih kurang 70 km dari Masjid Tanah, Pantai Tanjung Bidara turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, padang permainan kanak-kanak, surau, medan selera, tandas awam dan bilik mandi untuk keselesaan para pengunjungnya.
Bagi yang gemar memancing pula, Pantai Tanjung Bidara tetap menjadi destinasi tumpuan memancing pesisir pantai dengan habuan seperti ikan gelama, siakap, kerapu, jenahak dan pari.
Walaupun usia kewujudan kawasan Pantai Tanjung Bidara dipercayai sama dengan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan berusia lebih 500 tahun, persekitaran kawasan di sini masih tetap terpelihara. Malah, jika dulu ia terkenal sebagai kawasan yang digeruni lanun dan perompak, kini Tanjung Bidara menjadi lokasi percutian menarik di Melaka.
Pantai Desaru
Merupakan kawasan pesisiran pantai di Johor, dua kilometer dari Bandar Penawar. Pantainya putih dan bersih. Pelbagai aktiviti pantai boleh dilakukan di sini untuk seisi keluarga yang ingin lari dari kesibukan kotaraya.
Setiap minggu kelihatan ribuan warga Singapura menjadikan destinasi ini sebagai tempat riadah hujung minggu mereka. Terdapat berpuluh pilihan tempat penginapan yang menawarkan kira-kira 5000 bilik daripada pusat peranginan terkemuka hingga hotel bajet yang mesra keluarga.
Ia juga kian menjadi tempat pilihan peluncur ombak semasa musim monsoon Laut China Selatan. Aset utamanya tentulah pantai yang bersih sepanjang 25 kilometer sesuai untuk sebarang aktiviti rekreasi air dan sukan pantai.
Anda tahu tak Taman Eko Rimba Kledang Saiong? Kalau tanya pada diorang yang tinggal dekat Ipoh, mungkin tahu lah kan Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni dekat mana, sebab taman eko rimba dekat je dengan ibu negeri Perak tu.
Ada orang pernah tanya pada Libur, apa lagi tempat-tempat yang best nak jalan-jalan dekat Ipoh. Yela, Ipoh memang dah banyak produk-produk pelancongan yang menarik tapi diorang nak cari satu tempat yang boleh lepak dalam sehari dua, mandi sungai, bbq, main gitar sambil nyanyi-nyanyi. Ala, tempat yang boleh buat short-vacay, dapat dalam semalam pun jadi!
Jawapan Libur, ada! Memang ada satu tempat yang menarik kalau korang nak buat aktiviti-aktiviti macam tu di Ipoh dan tempatnya – Taman Eko Rimba Kledang Saiong lah! Menarik tempat ni dan kita perlu mempopularkan tempat-tempat ni untuk manfaat kesejahteraan kawan-kawan travel kita mencari lokasi short-escape.
Okay, meh Libur sharekan dekat korang sikit benda-benda menarik yang ada dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni. Tempat ni, terletak di Daerah Kinta dan berkeluasan lebih kurang dalam 2,188 hektar. Tak jauh pun dari bandar Ipoh, lebih kurang dalam 5 kilometer je nak pergi. Sebab tu, Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni popular untuk yang tinggal sekitar Ipoh.
Jarak perjalanan 5 kilometer, berapa minit sangat la nak drive kereta tu. Kalau korang jenis yang bawa kereta-kereta mahal, jangan risau kereta korang rosak. Nama je Taman Eko Rimba Kledang Saiong tapi jalan raya yang menghubungkan tempat ni dengan jalan besar cukup selesa – Myvi pun lepas.
Boleh la bawa family atau kawan-kawan korang yang nak cuti sekejap-sekejap dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni tapi ada sikit la bayaran yang dikenakan. Dulu percuma, sekarang je kena bayar dalam RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Pelancong asing RM5. Okay la, tak adalah mahal sangat nak masukkan?
Bayaran RM2 paling mahal tu pun, kalau korang nak tahu, kemudahan asas yang disediakan untuk pengunjung pun berbaloi tau. Cerita betul ni, bukan cerita berbayar – jangan sangka Libur buat promotion pulak dekat tempat ni. Tapi memang okay pun fasilitis yang diorang siapkan dekat sini, haha. Antaranya tempat letak kereta, tandas, tempat persalinan, tempat BBQ, kafeteria, laluan pejalan kaki, trek berbasikal, tapak berkhemah, pondok wakaf, surau serta papan tanda informasi.
Tarikan yang ramai kata berbaloi untuk datang adalah Taman Nepenthes atau Taman Periuk Kera. ada lebih kurang 77 spesis periuk kera yang ada dekat taman ni. Banyaknya? Kenapa banyak sangat? Sebabnya, Taman Nepenthes ini adalah tempat pemuliharaan dan pemeliharaan spesis-spesis periuk kera yang ada di negara kita. Kalau tak ada tempat ni, habis la cucu cicit kita tak dapat tengok periuk kera dah. Dapat tengok dekat YouTube je nanti.
Kalau korang nak masuk ke Taman Nepenthes ni, ada cukai pintu korang kena bayar. RM5 pukul rata untuk semua orang dan RM2 untuk pelajar atau budak-budak sekolah. Okay what? Diorang jaga cantik kot tempat ni. Bagi muka sikit la untuk diorang jana ekonomi diorang sikit. Hehehe. Tapi kalau korang tanya Libur, Libur masuk taman ni bila ada mak ikut sekali je. Kalau tak ada, hehehe kitorg lepak luar jela.
Okay, kita masuk balik cerita Taman Eko Rimba Kledang Saiong tadi. Aktiviti – kalau korang nak lepak bermalam dekat sini, Libur cadangkan korang camping sebab ada tapak khemah disediakan untuk berkhemah. Ada satu kawasan lapang yang boleh muat lebih kurang 100 orang nak camping. Kalau korang pergi dalam tiga, empat orang satu khemah, best sangat la.
Korang pernah camping dalam hutan tak? Kalau tak pernah, pengalaman tu korang kena cuba sebelum terlewat usia dah nak try. Perasaan camping dalam hutan ni memang syiok. Bunyi unggas, bunyi pokok, sejuk, selesa. Semua ada! Lagi-lagi pagi lepas subuh tu korang jangan tidur. Bunyi burung memang best kalau korang dengar, sambil-sambil langit membiru matahari nak sampai. Syahduu beb..
Cumanya korang kena tahu satu benda penting ni, kalau korang nak camping dekat sini, korang kena minta kebenaran daripada Jabatan Hutan Daerah Kinta/Manjung dulu. Ini no telefon diorang, 05-3661 228. Korang kena minta izin dulu, kalau tak tiba-tiba Ranjer hutan tengok ada orang camping tak tentu pasal, kena tembak dengan senapang gajah. Hehehe tak ada lah, gurau je. Tapi memang prosedur nak camping kat sini, korang kena roger Jabatan Hutan Daerah Kinta/Manjung dulu.
Selain khemah, apa lagi yang korang boleh buat adalah trekking dekat bukit dalam kawasan Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni dan berbasikal. Berbasikal ni kalau korang ride dengan anak-anak – the best bonding time ever within your family! Tak tipu. Mesti korang akan jadi the best parent untuk anak-anak korang.
Ada juga sungai dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni. Boleh la nak mandi sungai dekat sini sambil-sambil berkelah, sambil bbq. Sebut pasal bbq, Libur ada sebut tak dekat sini ada tempat bbq? Dekat sini ada tempat bbq tau! Korang bawa je peralatan apa yang ada, datang sini buat bakar-bakar. Pun layan tau untuk release tension.
Satu pantang larang yang korang kena tahu bila datang dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni, korang tak boleh nak petik, bawa balik sebarangan pokok yang ada dekat sini. Bukan ada hantu ikut balik ke apa, tapi memang undang-undang tak membenarkan korang berbuat macam tu. Come on, jagalah alam sekitar sikit. Untuk keselesaan orang lain juga nanti kan? Hehe. Lagi satu yang korang tak boleh buat adalah memancing. It’s a big no-no bila datang ke Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni sebab diorang nak jaga populasi hidupan air dekat sini.
Info best untuk bakal mempelai yang nak melangsungkan perkahwinan, tak nak try ke buat majlis korang dekat sini? Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni boleh diadakan majlis perkahwinan. Class kau jah kalau kahwin dekat sini, kahwin dalam hutan, gitteww.. Makcik jiran sebelah rumah nanti pun mesti soksek-soksek cerita pasal kau kawin dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong. Hahaha!
Okey lah. Cukup setakat tu je Libur bercerita ni. Nanti kalau ada cerita lain dan tempat-tempat lain, Libur kongsikan lagi dekat korang semua. Kalau ada yang nak ke Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni roger-roger la ya! Selamat bercuti!