Memang best bila dapat bercamping dengan famili, tambah pula lokasi yang dipilih tu cukup mendamaikan dengan suasana dan pemandangan yang sejuk mata memandang. Ada pula kelengkapan yang lengkap, cukup seronok setiap kali ada port baru untuk berkhemah.
Menjadi trend masa kini, ramai orang bercamping dengan keluarga, apa lagi bila makin banyak tapak perkhemahan disediakan dengan fasiliti yang lengkap sama ada untuk piknik seharian atau untuk bermalam. Seperti yang dikongsikan oleh Aidaa Azman menerusi Facebook Family Camping Malaysia apabila dia dan keluarga sempat camping di Kebun Chenta yang terletak di Mantin Negeri Sembilan sebelum Ramadan baru-baru ini.
Lagi menarik menurut Aidaa, lokasi tersebut juga dibuka untuk pengunjung ketika bulan Ramadan ini. Ikuti perkongsiannya:
Puasa dah nak tiba, hati masih membuak buak nak bercamping walaupun baru je balik camping
Pikir punya pikir, decide dengan husband and our friends (we call ourselves the bearcamp), “ok jom pergi mantin!” Not our first time here, but it will always be a place for us to find serenity and peace.
Untuk yang belum pernah sampai ke sini, saya recommend korang untuk datang and rasai sendiri apa yg kami alami ehhe. Macam tajuk review saya ni, sekali datang memang akan jatuh cinta dengan tempat ni.
Rate tapak adalah RM 60 untuk satu tapak satu malam, day trip pun ada cuma i tak sure price nya berapa. Segala sampah mesti la dibuang ke dalam plastik sampah yang korang bawak sendiri, dan semua sampah harusla di bawa balik dan dibuang di luar daripada campsite. Ada deposit sampah rm 30/35 (lupaaa) yang co akan collect, to make sure the campsite bersih dan bebas sampah. But refundable after checkout if tapak korg ditinggalkan dalam keadaan yang bersih. So please be a responsible camper, dan keep any campsite u visit, or places u visit clean from any trash
Ok sambung. Toilet nya bersih, (ni yang paling impress sekali) ada yang duduk ada yang cangkung. Showers dengan air yg sejuk and laju! Campsite yang bersih, di jaga rapi. CO yang always on site, menjaga keamanan dan keselamatan campsite ni.
Tapak campsite jenis berpasir, so i would suggest to bring your groundsheet. Ada sungai di kebun chenta, selalunya kami pergi cetek, tapi for the first time ever, masa kami pergi baru ni, ada parts yang dalam sikit, so untuk kami mak mak dan bapak bapak ni mmg syok la mandi hahaha anak anak di tempat cetek, kami berendam tak jauh dari mereka. Boleh tgk video kami mandi sungai (disclaimer : jgn tiru aksi dlm video) biasa la bapak budak bila dah lama pendam nak berseronok, dia lupa diri
To conclude my review untuk our 3rd stay here in kebun chenta sekali datang pasti jatuh cinta. Our favourite spots dekat dengan toilet belakang tenang sejuk mendamaikan! Kebun chenta tak accept any walkins ya, so kalau nak booking. Boleh contact +60 17-388 0316 dani. Bulan puasa pun dorang buka untuk korang datang, so apa tunggu lagi gais!
Tanjung Malim sebuah pekan yang terletak di selatan negeri Perak Darul Ridzuan. Pekan ini bersempadan dengan negeri Selangor dan bersempadan topografi dengan negeri Pahang. Dikenali sebagai Bandar Pendidikan, di sinilah terletaknya Universiti Sultan Idris (UPSI) yang telah melahirkan ramai cendekiawan dan juga golongan profesional.
Bukan sahaja terkenal sebagai Bandar Pendidikan, Tanjung Malim juga turut dikenali sebagai bandar automotif dan juga bandar belia. Tak hanya itu, tempat ini juga mempunyai banyak tarikan lain untuk dilawati oleh para pelancong.
Kat bawah ini ada tujuh tempat menarik di Tanjung Malim atau turut dikenali sebagai Bumi Muallim untuk anda kunjungi. Kalau berkesempatan bolehlah singgah!
7 TEMPAT MENARIK DI BUMI MUALLIM
Bumi Muallim atau juga dikenali sebagai Tanjung Malim, Perak sinonim dengan gelaran bandar pendidikan oleh kerana kewujudan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah melahirkan ramai cendikiawan dan golongan professional. Pada mulanya, Tanjung Malim berasal dari tanjung iaitu kawasan yang wujud hasil daripada hakisan tanah yang luas kemudiannya menjadi penempatan penduduk kerana kedudukannya yang strategik bersempadanan dengan negeri Selangor.
Tanjung Malim kini menjadi tarikan pelancong dari dalam mahupun luar negeri kerana keindahan alam semula jadi. Tempat ini juga disifatkan sebagai syurga makanan terutama buat pelajar kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Berikut merupakan tempat yang boleh anda kunjungi di bumi Muallim;
Cape Cafe
Cape Cafe tidak asing lagi buat warga Tanjung Malim kerana terkenal dengan jualan hidangan berharga RM1.70 dan telah beroperasi di daerah ini sejak 5 tahun yang lalu. Menariknya, terdapat lebih 40 menu sajian makanan yang lengkap dengan minuman, snek dan pencuci mulut. Nasi ayam penyet, nasi lemak, nasi putih rendang ayam, bakso, chicken chop, kek bronis merupakan antara menu yang menjadi tumpuan utama pengunjung. Rata-rata pengunjung amat berpuas hati dengan layanan dan rasa masakan meski harganya sangat murah. Nak makan di kedai tapi poket kosong? Jangan risau, Cape Cafe kan ada!
Lokasi : No 13 Jalan Anggerik Desa, Taman Anggerik, Tanjung Malim Waktu Operasi : Setiap hari (10.30 pagi – 8.00 malam)
2. Restoran Lapako
Restoren Lapako merupakan kedai makan berkonsepkan gerai-gerai dalam satu bangunan yang menawarkan menu sajian ‘street food’. Restoran ini menjadi tumpuan utama pada waktu malam tidak mengira golongan umur. Pelbagai jenis makanan dan minuman yang ditawarkan seperti Shell Out, makanan barat, makanan Thailand dan banyak lagi buat pengunjung. Meskipun dikunjungi oleh ramai pengunjung, penghantaran makanan adalah sangat laju dan tidak perlu menunggu dalam waktu masa yang lama. Lebih menarik lagi, nyanyian secara live didendangkan oleh penyanyi tempatan untuk menghiburkan pengunjung yang datang. Surau dan tandas turut disediakan di sini bagi memudahkan pelanggan untuk solat selepas atau sebelum menjamu selera. Setiap malam jalan hadapan Restoran Lapako dikawal oleh anggota RELA yang bertugas untuk melancarkan urusan keluar masuk kereta di parkir.
Lokasi : Lot 4618, Jalan Slim Baru, 35900 Tanjung Malim, Perak. Waktu Operasi : Setiap hari (8.00 pagi – 12.00 pagi)
3. Muzium Pendidikan Nasional
Bangunan Suluh Budiman merupakan sebuah bangunan yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana dibina sejak tahun 1922 yang kini menempatkan Muzium Pendidikan Nasional. Pada asalnya, bangunan ini merupakan sebuah maktab untuk latihan perguruan yang dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC) dan kini telah menjadi ikon utama buat warga UPSI dan warisan negara apabila Tuanku Bainun berkenan untuk merasmikan Muzium Pendidikan Nasional pada 19 Julai 2011.Muzium pendidikan yang pertama negara ini dipulihara dengan kos yang tinggi iaitu berjumlah RM9.8 juta dan boleh diiktiaf sebagai mercu tanda kegemilangan pendidikan tanah air. Bangunan Suluh Budiman juga digambarkan banyak berjasa kepada pembangunan negara dan bangsa kerana kebangkitan nasionalisme pejuang kemerdekaan bermula di sini. Oleh yang demikian, pembukaan muzium ini merupakan satu penghormatan kepada dunia pendidikan negara melalui pameran khazanah lama serta terbaharu yang melambangkan pencapaian sistem pendidikan di Malaysia dari era sebelum atau selepas kemerdekaan dikecapi.
Lokasi : Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjung Malim, Perak Waktu Operasi : Setiap hari (9.00 pagi – 4.00 petang)
4. Go Kart dan Akademi Memanah
Bagi pengunjung yang gemar dengan aktivit lasak, ini lah tempatnya! Litarnya terletak berdekatan dengan stesen komuter memudahkan pengunjung untuk datang ke sini selepas turun dari kereta api. Hujung minggu merupakan waktu kemuncak buat pengunjung kerana kebanyakan mereka meluangkan masa bersama keluarga di sini sambil melakukan aktiviti lasak dan mencabar. Kelengkapan dan keselamatan di tempat ini amat dititikberatkan serta stafnya juga sangat ramah dengan pelanggan. Selain go-kart dan memanah, terdapat juga ruang makan dengan pelbagai jenis hidangan menarik serta tawaran harga yang amat berpatutan. Hanya RM10 sahaja dikenakan untuk 3 lap go-kart. Tunggu apa lagi? Ayuh datanglah sekarang!
Lokasi : Go-Kart & Akademi Memanah Tanjung Malim, Lot 1770, Mukim Ulu Bernam, Tanjung Malim, Perak. Waktu operasi : Isnin hingga Ahad (10.00 pagi – 7.30 petang)
5. Teratak Riverview
Teratak Riverview merupakan kawasan perkelahan yang terkenal di Tanjung Malim yang terletak di sempadan Perak-Selangor. Kawaan ini dibuka sejak tahun 2008 yang telah menempatkan kira-kira 18 chalet, asrama dan tapak perkhemahan yang selesa dan selamat buat pengunjung. Harga chalet disini bermula RM100 hingga RM150 semalaman amat berbaloi kerana pelanggan dapat melihat keindahan air sungai yang jernih dari tingkap sahaja. Bagi yang gemar berkhemah, sewa tapak perkemahan hanya RM8 seorang dan RM20 seunit khemah untuk 2 hari 1 malam. Berbaloi bukan? Flying fox, Abseilling dan Water Tubing merupakan aktiviti pilihan utama pengunjung di sini. Jambatan gantung juga tidak kurang peminatnya kerana ia membolehkan pengunjung menghayati permandangan di Teratak Riverview dengan lebih luas. Air sungai jernih yang mengalir di bawahnya menarik kebanyakan pengunjung. Namun begitu, hanya 10 orang sahaja dibenarkan melintasi jambatan dalam satu masa dan ianya digunakan secara bergilir atas faktor keselamatan. Teratak Riverview bukan sahaja lokasi tumpuan untuk datang bersama keluarga, malahan menjadi pilihan utama institusi swasta mahupun kerajaan untuk melakukan aktiviti coaching, kem motivasi atau gathering di sini.
Berikut merupakan aktiviti yang boleh dilakukan di Teratak Riverview;
1. Paintball
2. Meredah hutan
3. Rentas halangan
4. Mandi-manda
5. Berkelah
Kemudahan yang disediakan;
1. Tapak perkhemahan
2. Hostel
3. Ruang makan
4. Surau
5. Kemudahan BBQ
Lokasi : Teratak Riverview Kampung Simpang Empat Dalam, 35900 Ulu Bernam, Perak Waktu Operasi : 24 jam
6. Art Street
Seperti di Pulau Pinang juga, Art Street di Tanjung Malim menjadi daya tarikan untuk penggemar fotografi dan selfiegrafi. Deretan lukisan mural di sisi bangunan perniagaan ternyata berjaya mengindahkan dan memberi nilai tambah terhadap imej pekan ini. Pembaharuan ini telah mengembalikan keceriaan kedai-kedai yang usang hasil usaha kreatif daripada pelbagai agensi termasuklah Majlis Daerah Tanjung Malim. Sejarah negara, animasi kanak-kanak, ekspresi belia dan haiwan merupakan tema yang dipamerkan pada lukisan mural 3D ini. Selain itu, barisan pemimpin negara juga turut dipaparkan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka di samping dapat memberikan maklumat kepada masyarakat. Jika datang ke sini, jangan lupa singgah di Art Street ya!
Lokasi : Lot 6, Jalan Douglas, 35900 Tanjung Malim, Perak Waktu operasi : 24 jam
7. Kolam Air Panas Ulu Slim
Kolam Air Panas Ulu Slim yang bersuhu setinggi 104 darjah celcius menunjukkan ianya bukanlah tempat yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Oleh sebab itu, kebanyakan pengunjung yang datang akan membawa telur untuk direbus di sini kemudian makan bersama kicap. Persekitaran kawasan kolam ini juga bersih dan dibangunkan oleh Majlis Daerah Tanjung Malim yang dilengkapi dengan kemudahan seperti pondok, tempat istirehat, tempat merebus telur dan jambatan laluan berjalan kaki di atas kolam. Selain itu, kolam ini turut menjadi tumpuan bagi peserta-peserta ekspedisi merentasi Banjaran Titiwangsa dari Raub Pahang.
Lokasi : Kolam Air Panas Ulu Slim, 35800 Slim River, Perak Waktu operasi : 24 jam
Sesungguhnya, bumi Muallim mempunyai banyak tempat menarik untuk diteroka dan dilawati. Seperti peribahasa Melayu iaitu hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Siapa lagi yang akan memajukan industri pelancongan dalam negara jika bukan kita, rakyat Malaysia.
Artikel ini disumbangkan oleh Fara Atira bt Ibrahim pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Hari ini ramai yang memilih untuk menginap di hotel atau resort yang mempunyai kelainan daripada kebiasaannya. Disebabkan itu pelbagai konsep dan reka bentuk penginapan yang kreatif serta unik wujud sejak akhir-akhir ini disebabkan 'ada' permintaan.
Antaranya penginapan yang berkonsepkan kabin atau kontena yang sangat menarik untuk di cuba. Di negeri Se;angor sendiri telah wujud beberapa penginapan sebegini. Jom la cuba bermalam!
Kasturi Kabin
Berada tidak jauh daripada bandaraya Kuala Lumpur, penginapan kabin dalam suasana alam yang dikelilingi pepohon hijau ini terasa begitu tenang. Bawa yang tersayang lari sebentar dari kesibukan bandar ke tempat penginapan sebegini! Lokasi: Jalan Pansoon, Kampung Padang, 43100 Hulu Langat, Selangor
Nafas Cube, Serdang
Nafas Cube terletak dalam kawasan pertanian milik MARDI iaitu di MAEPS, Serdang.Terdapat pelbagai jenis penginapan yang tersedia mengikut citarasa pengunjung. Bagi anda yang merupakan peminat agro pelancongan, menginap di sini adalah pilihan terbaik. Lokasi: Jalan MAEPS 4/1, 43400 Serdang, Selangor
Sarang By The Brook, Kuala Kubu Bharu
Penginapan di kontena atau kabin ini terletak di kawasan yang dikelilingi landskap hijau yang tenang. Selain itu, konsep warna serta kemudahan di sekelilingnya bertemakan alam semulajadi. Bagi anda yang ingin melarikan diri daripada kesibukan kota, di sini la lokasi percutian terbaik. Lokasi: Jalan Seruling 20, Kuala Kubu Bharu 44000, Selangor
Farm Ville Cafe & Homestay, Kuala Selangor
Berada di persekitaran sawah padi, penginapan dalam kontena ini pasti memberi kelainan dan kepuasan yang berbeza. Kemudahan kolam renang yang disediakan pasti mengujakan tetamu yang hadir bersama si kecil.
Lokasi: 11304, Jalan Tepi Sawah, Sekinchan, 45400 Sekinchan, Selangor
The Kabin, Kuala Selangor
Terletak berhampiran Pantai Remis, Kuala Selangor. The Kabin menyediakan penginapan kontena sesuai untuk individu, pasangan dan berkumpulan. Terdapat kemudahan kolam renang di tengah-tengah kawasan utama ‘hotel kontena’ ini. Lokasi: Jalan Haji Zainal, Jeram, 45800 Kuala Selangor, Selangor
Sekinchan Padi Box Homestay, Kuala Selangor
Sekinchan Padi Box penginapan dalam kabin yang berwarna-warni serta mempunyai permandangan sawah padi yang luas terbentang. Pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini antaranya berbasikal mengelilingi kawasan sekitar. Lokasi: Jalan Tali Air 4, Kampung Parit Empat, 45400 Sekinchan, Selangor
Sumber Gambar: Google Image
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Popular Jambatan Angkat Kuala Terangganu apabila baru-baru ni tular lagi sekali gambar pemandangan sturktur ikonik di negeri Darul Iman itu.
Gambar yang di ambil oleh saudara Fadzil Ismail itu menggunakan dron di perkarangan Pesisir Payang, Kuala Terengganu ketika beliau dan rakan-rakan berada di situ, menunggu azan maghrib untuk berbuka puasa.
Apa yang menjadikan gambar tersebut begitu cantik sehingga barisan admin Libur juga asyik melihat keindahan jambatan tersebut adalah suasananya begitu unik dan selalunya persekitaran sebegitu hanya kelihatan di luar negara. Gambar yang diambil daripada atas itu memberikan persepsi yang lain berbanding gambar yang diambil daripada aras biasa.
Tambahan lagi, waktu gambar ini diambil juga sangat tepat kerana tona warna yang ada dilangit gambar tersebut membuatkan Jambatan Angkat Kuala Terengganu itu kelihatan begitu klasik dan memang iras dengan jambatan angkat yang terletak di Kota London.
Di samping itu, perkarangan Pesisir Payang itu juga membuatkan ramai wargamaya yang ingin berkunjung ke sana untuk berbuka puasa bersama-sama keluarga dan sahabat handai kerana kelihatan persekitarannya yang cukup bersih dan sesuai untuk dijadikan lokasi berbuka puasa bersama.
Rata-rata wargamaya yang memenuhi ruangan komen mengajak kenalan mereka untuk berbuka puasa di sini. Ada juga diantara mereka yang mencadangkan agar dibuatkan satu surau yang memudahkan umat islam untuk menunaikan ibadah solat di situ.
Dalam pada itu, tidak kurang juga wargamaya yang mengambil kesempatan untuk menasihati agar orang ramai yang berkunjung ke situ tidak membuang sampah sesuka hati dan menjaga kebersihan yang ada agar dapat dimanfaatkan oleh orang-orang yang seterusnya.
Jadi orang sekitar Kuala Terengganu, jom kita berbuka puasa di sini. Tapi kena ingat, jaga kebersihan ya!