Dengan menjulang semangaat kekeluargaan dan kekitaan, tema ‘Ikatan Mesra Raya’ oleh Sunway Malls memanfaatkan konsep medium pengangkutan dan tema Hari Raya suasana balik kampung yang tidak dapat dirasai oleh ramai individu pada detik ini.
Oleh kerana R&R merupakan lokasi tumpuan di lebuh raya PLUS dan menjadi perhentian bagi pengguna yang merentas jauh di seluruh negara, khususnya ketika musim perayaan dan percutian.
Sunway Pyramid sedang berganding bahu dengan operator lebuh raya yang terbesar di Malaysia, PLUS untuk berkongsi tip bagi menjamin pemanduan yang lancar, termasuk berkongsi sedikit sebanyak tentang keselamatan jalan raya dan penyenggaraan kereta sebagai persediaan untuk merentas ke luar negeri setelah sempadan antara negeri dibuka semula.
Dan untuk memberi ganjaran kepada para pembeli-belah sempena musim lebaran ini, Sunway Pyramid juga sedang berkolaborasi dengan syarikat automotif tempatan, Proton untuk menghadiahkan SUV popular keluarannya, Proton X70 yang hadir dengan aneka ciri-ciri pintar. Dengan perbelanjaan minimum RM100 dalam satu resit, pembeli-belah boleh membuat penyertaan untuk memenangi jentera baharu ini. Di samping itu, pembeli-belah yang membelanjakan minimum RM250 akan dihadiahkan baucar e-tunai F&B, pek GarrettTM Popcorn Festive, set L’OCCITANE En Provence dan Laneige sepanjang kempen tersebut.
Pengurus Besar Sunway Pyramid, Jason Chin berkongsi, “Umpama seluang yang tetap akan pulang ke pantai setelah melaut jauh, perasaan rindu untuk berada di samping keluarga sempena Hari Raya ini menjadi kesulitan bagi kebanyakan kita dengan terbentangnya segala liku cabaran dan batasan sejak tahun lalu.
Ads
“Oleh itu, kami ingin mewujudkan suasana yang dapat membuat para pengunjung berasa seperti didampingi insan tersayang walau di mana jua mereka berada menerusi pelbagai tawaran Hari Raya yang menarik, serta pengalaman membeli-belah yang selamat dan memudahkan.”
Selain itu, terdapat lebih daripada 1,000 peruncit di dalam pusat beli-belah tersebut yang boleh dikunjungi untuk membeli barangan keperluan Hari Raya masing-masing, termasuk pelbagai restoran untuk berbuka puasa, tawaran barangan melibatkan keperluan kediaman, gaya hidup digital dan busana baharu di bawah satu bumbung untuk meraikan musim lebaran ini.
Untuk membekalkan pengalaman membeli-belah tanpa sentuh, pembeli-belah dapat memasuki dan keluar dari tempat meletak kereta menerusi sistem Parkir Pintar (Smart Parking) tanpa tiket, dan menavigasi dalam masa nyata ke kedai yang diinginkan, serta menemukan surau dengan mudah menggunakan aplikasi mudah alih Sunway Pyramid. Langkah-langkah keselamatan juga dikerahkan dan ia melibatkan pensanitasian yang dibuat secara kerap, penggunaan pengimbas suhu berketepatan tinggi serta peringatan untuk mengamalkan penjarakan sosial agar pembeli-belah boleh berlapang dada.
Ads
Menaik taraf pengalaman membeli-belah
Sunway Pyramid sentiasa berusaha untuk menginovasi pengalaman membeli-belah yang konvensional, dan pada musim perayaan kali ini, Sunway Pyramid bakal memperkenalkan Hands-Free Shopping Service (Perkhidmatan Membeli-Belah Bebas Tangan) buat para pengunjung. Pengunjung tidak perlu lagi memikul barangan yang dibeli sepanjang masa di pusat beli-belah tersebut, sebaliknya khidmat ‘pick-up’ boleh dipinta oleh pembeli-belah untuk menyimpan barangan yang dibeli di lokasi yang selamat buat seketika melalui aplikasi mudah alih Sunway Pyramid. Pembeli-belah yang pertama kali menggunakan Hands-Free Shopping Service boleh menebus Kiehl’s Travel Kit yang eksklusif sementara stok masih ada.
Setakat ini, pembeli-belah dapat memanfaatkan perkhidmatan ini di lebih daripada 100 outlet peruncit yang terlibat, yang meliputi segmen elektronik, kecantikan, OOTD dan banyak lagi. Barangan yang disimpan juga akan dijamin selamat ketika pengguna terus meluangkan masa di Sunway Pyramid.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ‘Hands-Free’ ini dan untuk melihat senarai peruncit yang terlibat, sila layari https://www.sunwaypyramid.com/hands-free.
Ads
Bingkisan keihsanan
Sunway Pyramid juga mengambil bahagian dalam inisiatif Sunway Malls untuk memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan sempena Hari Raya ini. Menerusi kolaborasi dengan Woman Up oleh Kloth Cares, pembeli-belah boleh membuat sumbangan atau membelanjakan jumlah tertentu untuk menebus bingkisan Upcycled Raya Pouch di pusat-pusat beli-belah Sunway. Bingkisan tersebut disulam sendiri oleh warga komuniti B40, yang kebanyakannya terdiri daripada ibu tunggal dari komuniti yang kerentanan peluang ekonomi di Selangor.
Di Sunway Pyramid, pembeli-belah boleh menyumbang RM10 untuk membeli Upcycled Raya Pouch ini – sumbangan tersebut akan disalurkan kepada keluarga yang memerlukan di kawasan Subang yang telah ditentukan oleh Pejabat ADUN Subang Jaya.
Dengan mengitar naik (upcycling) fabrik, ia dapat mengurangkan lambakan sisa di tapak pelupusan sampah, serta mengangkat potensi golongan wanita dalam komuniti B40 untuk menjana pendapatan, justeru membantu merapatkan jurang ketidaksamarataan selain menggalakkan amalan kepenggunaan yang bertanggungjawab – sejajar dengan komitmen Sunway Group ke atas Matlamat Pembangunan Lestari PBB.
Foto-foto Sungai Melaka bertukar jernih dan kehijauan yang tular di media sosial minggu lalu menimbulkan keterujaan dalam kalangan warganet. Namun ada yang mengatakan gambar itu tidak benar dan telah disunting.
Sumber daripada Bernama mengakui, Sungai Melaka yang sebelum ini berkeladak dan berwarna coklat seumpama teh tarik, kini memang bertukar jernih dan berwarna kehijauan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Tinjauan di beberapa kawasan Sungai Melaka, terutama berhampiran kompleks bangunan Stadthuys dan Jalan Jonker mendapati Sungai Melaka telah kembali bersih, berwarna kehijauan, serta lebih bersih berbanding sebelum PKP, namun ‘kehijauan’ sungai itu tidaklah sejernih seperti yang tular di laman sosial. Mungkin teknik ambil gambar itu nampak air Sungai Melaka lebih jernih daripada yang sebenar.
Selain orang ramai, individu yang bertanggungjawab memberikan ‘nafas’ baharu kepada Sungai Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali turut meluahkan kegembiraan apabila Sungai Melaka kembali bersih dan meminta orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan itu untuk diwarisi generasi akan datang.
Menurut beliau, keadaan Sungai Melaka yang bersih itu menunjukkan pelaksanaan PKP oleh kerajaan mempunyai banyak hikmah untuk difikirkan dan diinsafi bahawa kerosakan serta kebinasaan yang berlaku adalah akibat kerakusan manusia.
“Bertambah bersih (air Sungai Melaka) terutama kawasan bandar boleh nampak ikan berenang dalam tu, tetapi jika kita tidak jaga akan kotor balik nanti. Jadi kita sama-sama jaga kebersihan Sungai Melaka. Keadaan Sungai Melaka bersih berikutan pertamanya tiada aktiviti seperti sebelum penularan COVID-19 berlaku di persekitaran dan sepanjang Sungai Melaka akibat PKP. Kedua di hulu Sungai Melaka juga segala aktiviti tidak rancak berlaku akibat itu. Ketiga segala aktiviti perjalanan bot persiaran tidak lagi beroperasi seperti biasa di sepanjang sungai itu dan keempat-empat bot persiaran menggunakan bahan bakar petrol dan sistem penyejukan enjin juga menjadi punca pencemaran kepada air sungai,” katanya.
Sungai Melaka sekitar tahun 80-an dan 90-an dahulu berwarna kehitaman dan berbau busuk, namun usaha kerajaan negeri terutama pentadbiran bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam, telah mengubah wajah Sungai Melaka sehingga dikenali sebagai ‘Venice of The East’.
Perlis yang merupakan negeri terkecil di utara Semenanjung, menyimpan pelbagai khazanah hutan yang amat berharga. Taman Negeri Perlis merupakan hutan sekunder yang terdiri daripada Hutan Simpanan Kekal Mata Ayer dan Hutan Simpan Kekal Wang Mu.
Lokasinya yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand juga antara sebab utama taman negeri ini merupakan destinasi yang perlu dilawati kerana terletak berhampiran lokasi destinasi membeli-belah Padang Besar dan Wang Kelian.
Ia juga merupakan hutan simpan tertua di negara ini dengan sebahagian besar Banjaran Nakawan terdiri daripada formasi batu kapur berusia kira-kira 500 juta tahun. Puncak tertinggi yang terdapat di Taman Negeri Perlis ini merupakan Gunung Perlis yang mempunyai ketinggian 733 meter. Jika berada di Gunung Perlis, anda sebenarnya berada di titik paling hujung di utara Semenanjung Malaysia.
Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini termasuk meneroka Gua Kelam. Taman Negeri Perlis juga terkenal dengan pembentukan gua batu kapur yang mempunyai laluan air bawah tanah iaitu Gua Kelam.
Sejarah Gua Kelam
Ada yang kata Gua Kelam merupakan laluan orang bunian pada masa dahulu. Tetapi kebenarannya Gua Kelam pada satu ketika dahulu menjadi salah satu tapak aktiviti perlombongan. Sejarah perlombongan di sini dianggarkan berusia kira-kira 100 tahun dahulu dan kawasan itu merupakan satu-satunya aktiviti perlombongan dalam gua yang dijalankan di negara ini. Hampir semua kesan peninggalan aktiviti perlombongan dapat dilihat dalam keadaan baik kerana barangan yang terdapat di situ tidak mengalami proses pereputan.
Namun hari ini, rata-rata pengunjung yang datang ke Gua Kelam adalah untuk menghayati keindahan alam serta berkelah bersama keluarga, selain melakukan aktiviti mandi sungai yang begitu menyeronokan.
Pengunjung boleh memilih lokasi untuk mandi-mandi di bahagian luar atau disebalah dalam di sebalik Gua Kelam. Jika hari hujan, pengunjung disarankan tidak sesekali untuk mandi di kawasan ini kerana arus air yang mengalir sangat deras dan boleh mengacam keselamatan.
Gua Kelam di namakan sempena dengan keadaan suasananya yang kelam menyelubungi gua ini dan kedudukannya di kaki bukit, selain suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini. Kelam mengikut loghat utara bermaksud gelap.
Menurut sejarah, nama Gua Kelam adalah gelaran yang diberikan oleh pelombong bijih timah sempena kegelapan gua itu sendiri. Mereka terpaksa menggunakan lampu karbid untuk menerangi kawasan dalam gua. Gua Kelam menyediakan laluan interpretasi gua sepanjang 1.5 km meliputi jalan di atas simen, tanah dan laluan anak sungai.
Maka untuk memudahkan pengunjung merentasi ke dalam gua ini, kemudahan sebuah jambatan gantung dengan cahaya lampu malap berwarna-warni yang menarik telah disediakan.
Ada aliran air bawah tanah sepanjang lebih kurang 400 meter mengalir melalui banjaran batu kapur dapat dilihat semasa melalui gua ini. Ia merupakan fenomena semulajadi yang terbentuk dengan sendirinya. Cukup mengkagumkan! Kalau bernasib baik anda berpeluang melihat pelbagai spesies haiwan seperti ular, kelawar atau labah-labah.
Secret Garden
Melepasi jambatan gantung di mulut Gua Kelam, mata pengunjung bakal dihidangkan dengan panorama hijau yang cantik dan menarik. Kawasan tersebut diberi nama Secret Garden dilatari dengan persekitaran landskap yang begitu terancang. Terdapat pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti ‘hub’ untuk bersantai, tapak perkhemahan, laluan penjalan kaki, dan kerusi rehat. Luangkan masa mengambil gambar kenang-kenangan bersama yang tersayang disekitar taman ini sebelum keluar dari gua.
Palembang, daerah yang tidak asing bagi pelancong terletak di Sumatera Selatan, Indonesia. Kota ini padat dengan 1001 kisah sejarah. Kalau masyarakat Malaysia, kita mengenali Palembang bermula dengan sejarah Parameswara, yang asalnya dari Kota Palembang, kemudian berkelana ke tanah Melayu dan membuka Melaka. Palembang menyimpan pelbagai cerita dan destinasi menarik yang boleh diteroka.
Antara lokasi unik yang ada di Palembang adalah sebuah pasar harian yang dikenali Pasar Pocong. Dengar nama pasar pun sudah seram ini kan untuk singgah di lokasinya betul-betul berada di kawasan tanah perkuburan.
Pasar Pocong terletak di Jalan Telaga Swidak, 14 Ului, Kecamatan Seberang Ulu I, Palembang dan sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Kota Palembang. Beroperasi dari awal pagi hingga tengah hari, Pasar Pocong ini sudah wujud hampir 17 tahun.
Dahulu, nama asal bagi Pasar Pocong ini dikenali sebagai Pasar Pagi Naga Swidak. Namun dek kerana ditempat di tengah kawasan tanah perkuburan, orang ramai mula menggelarkan ‘Pasar Pocong’ yang sinonim dengan kisah masyarakat di sana jika ada kawasan perkuburan pasti ada pocong (sejenis hantu).
Sejak itu Pasar Pocong sangat terkenal bukan sahaja buat penduduk tempatan malah penduduk luar dari daerah lain serta pelancong asing. Rata-rata berpendapat, selain namanya yang unik dan seram, sebab lain mereka datang berbelanja di sini kerana harga yang ditawarkan cukup murah berbanding pasar lain.
Tidak lari daripada perkara mistik, peniaga di sini juga seringkali dikatakan diganggu dengan kemunculan susuk lembaga yang menyeramkan. Namun belum pernah lagi terjadi perkara yang lebih buruk. Menurut ahli jawatankuasa yang menjaga kawasan tersebut, ini mungkin disebabkan niat peniaga yang menumpang ditempat tersebut hanya untuk mencari rezeki dan tidak lebih daripada itu.
Setiap minggu juga, setelah selesai urusan jualan, semua peniaga akan bersama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar agar lebih bersih dan kemas. Berbeza dengan sebelum ini, kawasan tanah perkuburan ini dibiarkan dengan semak dan lalang yang tinggi akibat tidak mempunyai peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan.