Tasik Kenyir yang terletak di Terengganu merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar.

Tasik Kenyir adalah tempat percutian hebat bagi pencinta alam semula jadi memandangkan ia dikelilingi hutan hujan tropika tebal. Dikelilingi hutan tropika yang luas, kawasan tasik buatan manusia ini terkenal dengan aktiviti utama iaitu memancing.


Bagi anda yang bukan kaki pancing, tetapi teringin untuk bercuti di Tasik Kenyir, jangan malu dan segan untuk ke sini. Tasik Kenyir punya tarikan aktiviti lain yang boleh dilakukan untuk semua peringkat umur. Pelbagai jenis penginapan juga disediakan bermula dari bertaraf tiga bintang meliputi chalet di atas pulau, resort terapung atau rumah bot. Jika memilih untuk menginap di rumah bot, kalian berpeluang untuk menyusuri sungai hingga ke kawasan air terjun pasti memberi pengalaman menyeronokkan kepada pencinta alam semula jadi.

  • Mandi Manda Air Terjun Tasik Kenyir



Salah satu produk pelancongan yang menarik di Tasik Kenyir ialah air terjun. Terdapat 14 lokasi air terjun termasuk yang popular iaitu Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok, Air Terjun Tembat, Air Terjun Sungai Buweh dan Lata Terap. Anda boleh pilih lokasi air terjun mana yang anda ingin singgah. Antara dua air terjun menjadi pilihan pengunjung di Tasik Kenyir ialah:
Air Terjun Lasir – Dengan ketinggian 500 kaki, Air Terjun Lasir merupakan air terjun tercantik dan paling sesuai untuk aktiviti mandi-manda, berendam dan berenang kerana ia mempunyai beberapa kolam yang luas. Air terjunnya cantik dan bertingkat-tingkat. Antara yang menjadi tarikan di Air Terjun Lasir ialah menara tinjau dan jambatan gantung yang menyeberang air terjun. Air Terjun Lasir terletak 16 km dari Pengkalan Gawi. Perjalanan dengan bot mengambil masa 30 hingga 45 minit.Aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung di Air Terjun Lasir ialah mandi-manda, berkhemah, merentas hutan dan mendaki.
Air Terjun Saok – Air terjun yang agak landai dan terletak lebih hampir dengan Pengkalan Gawi ialah Air Terjun Saok. Ia juga merupakan kawasan yang sering dikunjungi tetapi tidak mempunyai kolam-kolam yang besar sebagaimana Air Terjun Lasir. Taman Herba di Pulau Sah Kecil terletak tidak jauh dari laluan masuk ke kawasan Air Terjun Saok ini. Lokasi Air Terjun Saok ialah di Pulau Besar, Hanya 8 km dari Pengkalan Gawi. Perjalanan menaiki bot dari Pengkalan Gawi mengambil masa kira-kira 15 hingga 20
minit. Ia merupakan satu lagi destinasi popular untuk berkelah dan menikmati keindahan alam semulajadi.

IKLAN
  • Eksplorasi Gua Bewah



Tasik Kenyir dan Gua Bewah tidak boleh dipisahkan lagi. Jangan lupa untuk singgah ke Gua Bewah untuk melihat sendiri kesan-kesan peninggalan sejarah dari zaman purba zaman Mesolitik & Neolitik.

IKLAN
  • Santuari Kelah, Tasik Kenyir



Santuari Kelah yang terletak kira-kira 21 kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi, dibangunkan dan diselia oleh Ketengah selaras usaha pemuliharaan spesies ikan kelah yang semakin terancam selain mempromosi aktiviti rekreasi sebagai galakan tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.
Pengunjung pasti terpengun melihat beribu-ribu kelah, malah ikan-ikan ini tidak berganjak walaupun menyedari kehadiran manusia. Ikan kelah di sini sentiasa menanti kehadiran pengunjung untuk menghulurkan makanan berupa palet ikan. Selain memberi ikan kelah makan, anda juga berpeluang untuk memegang ikan ini.
Berkuatkuasa awal Mac 2019, kadar harga tiket masuk ke Santuari Kelah di Sungai Petang, Tasik Kenyir adalah sebanyak RM25 untuk pengunjung dewasa. Bagi kanak-kanak pula bayaran yang dikenakan adalah RM15 manakala kalangan bukan warganegara, sebanyak RM45 (dewasa) dan kanak-kanak (RM25). Kadar berkenaan meliputi tiket masuk, pertukaran bot dari Kompleks Santuari ke Hentian 1 di Sungai Petang di samping barangan cenderahati dan snek.

IKLAN
  • Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir



Bagi yang ingin melihat dan berinteraksi dengan si gajah boleh berkunjung ke Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir atau Kenyir Elephant Conservation Village (KECV). Kebanyakan gajah di KECV rata-ratanya adalah anak gajah yatim piatu. Gajah berkenaan sangat manja, begitu terlatih, selain 'mendengar' kata atau arahan daripada gembala mereka. Pengunjung di beri peluang untuk memberi gajah makan serta mandi bersama anak gajah. Ianya sesuatu yang menyeronokkan!

  • Pulau Bebas Cukai Tasik Kenyir



Tasik Kenyir memiliki tarikan untuk kaum wanita apabila diisytiharkan sebagai Zon Bebas Cukai dengan aktiviti penjualan barangan yang dikecualikan cukai bermula tahun 2017 lalu. Pusat jualan di sini terdiri daripada lima premis perniagaan antaranya coklat, bagasi, minyak wangi, pinggan, mangkuk dan peralatan memasak. Penjualan yang dijalankan ini tidak membabitkan aktiviti jualan barangan berduti tinggi seperti rokok, produk petroleum, kenderaan dan produk minuman beralkohol.