Pattaya destinasi untuk liburan dan bersantai di pesisiran pantai yang popular di Thailand. Terletak 147 kilometer dari tenggara Bangkok, lokasi pusat peranginan ini menjadi destinasi percutian cukup mengujakan yang perlu dijengah jika ke Thailand. Bagi pengunjung yang berkeluarga, bawa anak-anak berkunjung ke Teddy Island (Teddy Bear Museum Pattaya) yang menempat sebuah muzium patung beruang yang begitu mengujakan.
Dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 10 malam, muzium yang menjadi salah satu daya tarikan Pattaya ini mempamerkan lebih 2000 pelbagai koleksi patung beruang.
Muzium ini terbahagi kepada 12 bahagian mengikut konsep dan tema tersendiri, iaitu ruang yang mempamerkan bermacam-macam Teddy Bear dengan berbagai-bagai gaya bersesuaian dengan tema pada setiap bahagian. Antaranya Zon Zaman Dinosor, Zon Afrika, Zon Musim Sejuk, Zon Bawah Laut, Zon Eropah, Zon Seni, Zon Jenaka dan lain-lain lagi.
Muzium ini sesuai dikunjungi oleh semua golongan dan pencinta Teddy Bear. Bagi yang bukan pengumpul patung, muzium ini tetap menjanjikan keseronokan kerana dapat bergambar bersama patung-patung yang comel ini. Jangan lepaskan peluang bergambar pada setiap sudut tau!
Pengunjung yang datang ke muzium ini diingatkan supaya tidak lupa untuk mencuba semua aktiviti interaktif yang terdapat di setiap sudut muzium. Tidak terhad kepada kanak-kanak sahaja, orang dewasa juga boleh mencuba dan berseronok di sini.
Teddy Bear merupakan patung yang menjadi kesukaan ramai lebih dari 100 tahun lalu. Ia dinamakan Teddy Bear sempena kisah perjalanan Presiden ke-26 Amerika Syarikat, Theodore “Teddy” Rosevelt yang pergi memburu beruang. Pada masa itu, presiden pergi berburu dengan beberapa orang pengawalnya. Sehingga hampir tamat perjalanan, Rosevelt tidak berjaya menembak walau seekorpun beruang. Lalu salah seorang pengawalnya menangkap seekor beruang dan mengikatnya di sebatang pokok serta mempersilakan presiden untuk menembaknya. Namun demikian, Rosevelt tidak mahu menembaknya kerana perbuatan itu bertentangan dengan prinsipnya sebagai seorang pemburu.
Cerita ini tersebar luas dan memberikan idea kepada Morris Michtom dan Margarete Steiff untuk menghasilkan patung Teddy Bear buat pertama kalinya di bawah syarikat The Steiff Co. Di muzium ini, pengunjung akan melihat beberapa koleksi dari syarikat penghasilan patung yang paling terkenal dan berjaya dalam mencipta dan memasarkan patung beruang tersebut. Jadi apa lagi, jangan ketinggalan untuk menjengah Muzium Teddy Bear di Pattaya ini.
San Francisco merupakan negara ke 23 bagi Salleharon Ahmad lawati dan meninggalkan pengalaman terindah. Rupa bumi yang curam di Lombart Street boleh membuatkan otot kakinya terseliuh.
Kunjungan ke taman- taman botani, muzium sejarah, seni binaan, persembahan yang mengagumkan juga makanan yang lazat, segar dan murah menjadi tarikan pelancong. Usah ditanya tentang aktiviti membeli-belah kerana di sini terdapat semua yang anda inginkan.
Eksplorasi California
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle – Tacoma ke Lapangan Terbang San Francisco mengambil masa kira-kira tiga jam. Hotel diduduki tidak jauh dari Union Square yang menjadi tumpuan pelancong seakan-akan Dataran Merdeka. Terdapatnya tugu Admiral George Dewey setinggi 25.9 meter.
Beliau merupakan simbol kemenangan dan kecekalan seorang tentera Amerika di medan perang. Pusat membeli-belah sekeliling Union Square saling tak tumpah seperti berada di Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur atau Orchard Road di Singapura. Cuaca yang dingin bersama angin lembap membuatkan persekitaran amat selesa dan nyaman.
San Francisco Farmers Market merupakan bangunan lama tersergam indah di tepi teluk yang juga merupakan jeti feri ke tanah seberang. Di sini, petani-petani berpeluang membuka bazar atau kiosk bersaiz kecil untuk memasarkan hasil pertanian mereka. Juga terdapat pengusaha keju tradisi yang mengusahakannya secara kecil-kecilan.
Mewah dengan sampel yang diberikan kepada semua pengunjung, penulis mengambil peluang untuk meratah keju yang sedap dan wangi. Terdapat juga keju yang diperbuat dari susu kambing. Di satu sudut lain pengusaha kerja tangan menjual beg, apron, alas meja dan napkin berlukisan tangan.
Memandangkan perut sudah mula berkeroncong,restoran makanan Mexico diterjah untuk menikmati sup sayuran bersama jalapeno juga kepingan taco berisi avocado ranum bercampur kekacang merah. Tambahan jeruk jalapeno membuatkan hidangan lebih pedas berapi. Enak sungguh menghirup sup panas dalam suasana sejuk dingin tepian jeti.
Destinasi seterusnya ialah Golden Gate Bridge. Ia merupakan mercu tanda San Francisco dan menjadi idaman ramai untuk menyaksikannya di depan mata. Perasaan teruja ketika jambatan gantung sepanjang 1.6 kilometer berwarna merah mula kelihatan dari jauh. Jambatan ini menghubungkan Semenanjung San Francisco dengan Marin Country.
Beruntung kerana ketika itu dapat menyaksikan kabus dingin yang lembap hasil pertembungan lautan Pasifik yang dingin memasuki Teluk San Francisco. Lebih mengujakan apabila kabus ini menyelubungi Golden Gate Bridge ketika perjalanan pulang ke hotel. MonumenThe Lone Soldier juga menjadi tumpuan pelancong untuk mengabadikan kenangan. Monumen ini ialah ukiran mirip Rear Admiral William Thompson iaitu merupakan CEO pertama Memorial Tentera Laut Amerika yang banyak berbakti dan berusaha menjadikan impian sebuah memorial untuk tentera laut terbina dan menjadi realiti.
Fisherman’s Wharf merupakan tempat lepak yang paling digemari. Tulip yang tidak pernah dapat ditanam di Malaysia seakan menggoda dengan pelbagai warna. Fisherman’s Wharf merupakan jeti untuk bot nelayan dan pelancong. Di sini juga popular dengan singa lautnya. Lebih 50 ekor singa laut berkumpul dan berjemur di sini.
Hidangan Fish and Chip yang segar dan murah di sini jangan dilepaskan . Air “lemonade” segar juga percuma untuk dinikmati. Satu kegilaan apabila berpeluang menikmati roti segar dari kilang roti popular “Boudin Sour Dough”. Rotinya dibentuk pelbagai rupa dan comel. Rasa yisnya segar dan berbau harum.
Pelancong dapat menikmati pemandangan yang jelas dan indah Pulau Alcatraz. Pulau ini merupakan penjara yang amat ditakuti banduan kerana kekebalan sistem kawalannya. Kini ia telah dikosongkan dan pelancong boleh membayar untuk melawat ke penjara tersebut.
Kepelbagaian budaya dan cuaca membuatkan San Francisco terlalu dekat di hati penulis sebagai pengembara.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Pelayaran reakreasi merupakan aktiviti yang banyak disediakan di destinasi tumpuan pelancong untuk bersiar-siar melihat panorama indah menggunakan pengangkutan air. Selalunya kapal dan bot persiaran bersaiz kecil dan sederhana digunakan sebagai tarikan produk pelancong di kawasan tersebut.
Nak dikatakan terlalu mahal, rasanya tidaklah terlampau tinggi bayaran dikenakan. Tetapi harga yang dibayar berbaloi dengan kemudahan dan kepuasan pengunjung yang teringin bersiar-siar bersama tersayang. Ada beberapa destinasi yang terkenal dengan aktiviti ‘cruise’ ini di Malaysia seperti:
Cruise Tasik Putrajaya
Bagi pengunjung yang mahu melihat sekitar Putrajaya dengan lebih menyeluruh, belayar dengan Cruise Tasik Putrajaya adalah pilihan yang tepat. Menerusi tasik yang berliku itu, pelawat boleh mengambil pelayaran persiaran untuk melihat keajaiban mercu tanda bandar dan pemandangannya. Untuk berlayar sambil menikmati pemandangan Putrajaya, pengunjung mempunyai dua pilihan kaedah pengangkutan apabila mengambil pelayaran Cruise Tasik Putrajaya iaitu dengan bot persiaran penumpang atau perahu berupa gondola yang dibentuk seperti perahu tradisi Melayu.
Antara mercu tanda yang dapat disaksikan ketika belayar termasuk Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi, Monumen Alaf Baru Kebangsaan, Masjid Putrajaya, dan Istana Hinggap Sultan Selangor. Selain bangunan, pengunjung berpeluang melihat keunikan sembilan jambatan yang cukup popular buat sesiapa yang berkunjung ke Putrajaya antaranya jambatan Seri Saujana, Seri Wawasan, Seri Gemilang dan Seri Perdana.
2. Sarawak River Cruise
Di Kuching, bot persiaran yang megah menyusuri Sungai Sarawak pasti mencuri tumpuan ramai khususnya pengunjung yang sedang bersantai di tebing Kuching Waterfront. Penumpang akan dibawa menyusuri Sungai Sarawak selama satu jam setengah bermula di Kuching Waterfront, melepasi Jambatan Tun Salahuddin dan berakhir di Kubah Ria sebelum berpatah balik ke tempat permulaan. Bagi penumpang yang memilih pakej bersantai, mereka akan dijamu dengan pelbagai sajian tradisional seperti linut, sayur keladi dan ikan bakar selain makanan lain atas permintaan pelanggan. Bagi setiap perjalanan bot persiaran memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang penumpang untuk menampung kos operasi.
Bot ini mengambil dan menurunkan penumpang di enam lokasi terpilih di sepanjang Sungai Sarawak iaitu di Jeti Sungai Bedil Besar, Pengkalan Sapi, Kampung Boyan, Tebingan Kuching, Kampung Lintang dan Kampung Paroh.
3. Melaka River Cruise
Jika ke Melaka, jangan lupa untuk memilih aktiviti menyelusuri Sungai Melaka menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise tidak kira pada siang atau malam hari. Anda berpeluang menikmati pemandangan bangunan dan rumah kedai peninggalan era Belanda, rumah-rumah tradisional Melayu dan banyak lagi pemandangan yang menarik peninggalan sejarah warisan dunia dengan aktiviti pelayaran ini. Tidak cukup dengan itu, pelbagai tarikan baru turut diwujudkan di sepanjang sungai antaranya kincir air dan air pancut muzikal untuk mempopularkan lagi Sungai Melaka di pentas antarabangsa.
Paling menarik, penumpang pasti teruja dapat melihat beberapa ekor biawak sebesar depa berkeliran dicelahan pokok payau bakau dan berpeluang melihat kakitangan Melaka River Cruise memberi haiwan ini makan sekitar waktu pagi dan petang. Sepanjang perjalanan selama 45 minit itu, cruise ini akan melalui tujuh jambatan iaitu jambatan Kampong Morten, jambatan stesyen bas espress lama, jambatan Hang Tuah, jambatan Pasar, jambatan Kampong Jawa, jambatan Chan Koon Cheng dan jambatan Tan Kim Seng.
Setiap jambatan yang dibina terdapat beberapa kisah menarik yang pasti akan dikongsi oleh pemandu Melaka River Cruise kepada pengunjung. Jika pelayaran bermula dari Taman Rempah ke Muara Sungai dan ia akan berakhir di Taman Rempah semula. Begitu juga sebaliknya, jika naik di Muara Sugai tengah bandar Melaka akan ke Taman Rempah dah pusing semula ke lokasi asal.
4. Sunset Cruise Port Dickson
Port Dickson yang terkenal sebagai pantai peranginan negara bagi pelbagai aktiviti riadah turut menggamit pengunjung dengan aktiviti menarik iaitu menaiki feri menyusuri Selat Melaka. Bersesuaian dengan namanya, Sunset Cruise Port Dickson, perkhidmatan feri ini akan membawa pengunjung belayar sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam.
Pelayaran yang merupakan produk pelancongan di Negeri Sembilan ini menjadi tarikan ramai pengunjung pantai peranginan termasuk pelancong yang inginkan kelainan memandangkan pelayaran tersebut membawa penumpang sejauh 13 batu nautika dari pantai menyusuri Selat Melaka. Pengalaman pelayaran ini akan bermula dari Jeti Penumpang Jabatan Laut, Port Dickson seterusnya menyusuri pantai-pantai utamanya sehingga ke perairan antarabangsa apabila keindahan matahari dipertontonkan ramai.
5. Pelayaran Sungai Kilim Geoforest Park
Antara daya tarikan alam semula jadi di Langkawi yang menarik untuk mengisi masa percutian anda ialah menyaksikan khazanah hutan bakaunya. Kebanyakan hutan bakau terletak di lokasi Kilim Geoforest Park dengan sejarah kewujudan menjangkau 400,000 tahun. Pengunjung yang ke sini boleh memilih untuk menyusuri hutan bakau Sungai Kilim dengan menggunakan bot sebagai pengalaman percutian. Keindahan persekitaran hutan bakau ini membolehkan Kilim terpilih sebagai lokasi penggambaran untuk banyak filem tempatan dan antarabangsa.
Pelancong yang mengambil pakej menyusuri Sungai Kilim juga berpeluang di bawa ke Gua Kelawar yang menganjur sejauh 60 meter dengan dua pintu masuk yang saling bertemu. Ia dihuni beribu-ribu kelawar buah. Jambatan kayu dibina untuk memudahkan pelawat keluar masuk. Pengunjung dinasihatkan memakai sandal kerana sebahagian lantai di pintu masuk gua ini digenangi air. Selepas melawat gua, berehatlah sementara di dangau sambil mengambil peluang melihat persekitaran hutan bakau dari jarak dekat.
6. River Cruise Sungai Kuantan, Pahang
Bagi memberi kelainan, buat pengunjung yang berada di Pahang, bawa keluarga anda mengintai aktiviti larut malam di Kuantan iaitu dengan menyusuri Sungai Kuantan menaiki River Cruise untuk melihat lebih dekat ribuan kelip-kelip yang hinggap di pokok berembang di tepi sungai.
Sepanjang menyelusuri sungai itu, tiada sebarang cahaya melalui kamera atau lampu suluh dibenarkan bertujuan mengelak habitat tersebut daripada berasa terganggu dengan kehadiran pengunjung. Lokasi ini semakin mendapat sambutan selepas orang ramai mengetahui tentang kewujudan habitat serangga itu di situ. Dengan bayaran kurang dari RM40, pengunjung dapat menikmati panorama itu selama kira-kira sejam.
7. TTI River Cruise, Terengganu
Terengganu menawarkan satu lagi aktiviti menarik kepada pengunjungnya iaitu pelayaran menyusuri Sungai Terengganu. Melalui pelayaran ini pengunjung akan dibawa menyusuri sungai berkenaan untuk melihat kehidupan nelayan dan rakyat Terengganu.
Mereka juga akan dapat melihat beberapa bangunan dan seni bina Terengganu seperti Jambatan Sultan Mahmud, Bazar Warisan, Kampung Cina, Pengkalan Keropok Losong dan Hotel Ri-Yaz Resort. Perkhidmatan pelayaran ini disediakan sebagai aktiviti sampingan untuk pengunjung selepas melawat Taman Monumen untuk menyusuri Sungai Terengganu sejauh kira-kira dua kilometer yang mengelilingi Pulau Duyong dan kampung sekitarnya.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Kalau ada masa anda boleh cuba buat carian di laman sosial mengenai Pulau Rawa. Kecantikkan dan keunikan pulau ini memang tidak boleh disangkal lagi. Macam tidak percaya lokasinya hanya di negara kita sahaja.
Pulau Rawa merupakan antara pulau yang tercantik ada di Johor. Pulau Rawa sering dihebahkan dalam laman sosial atau mulut ke mulut oleh pengunjung yang pernah menjejakkan kaki ke sini ibarat Maldives kepada Johor dek kecantikan perairannya persis di negara kepulauan itu. Pulau ini juga sangat ‘seksi’ dan sesuai untuk pasangan berbulan madu tau.
Tanya siapa sahaja pasti teruja melihat pasirnya yang memutih dan airnya biru menghijau bagai cermin boleh terus nampak ke dasar laut. Selain itu, aktiviti snorkeling juga amat mengujakan dengan air yang jernih. Anda pasti teruja kegirangan dapat melihat ikan-ikan kecil berwarna-warni serta batu karang yang indah.
Aktiviti yang boleh dilakukan jika bercuti ke Pulau Rawa, selain snorkeling ialah bersantai dan bersiar-siar, selam skuba, berkayak, mengelilingi pulau dan merentas hutan. Jangan lepaskan peluang untuk mendaki ke puncak bukit Pulau Rawa ini yang hanya mengambil masa pendakian kira-kira 15 minit. Dari situ anda boleh melihat keindahan matahari terbit dan pemandangan Laut Cina Selatan yang terbentang luas.
Ketika ini, hanya ada dua resort di Pulau Rawa iaitu Rawa Island Resort dan Alang’s Rawa. Menginap di kedua-dua resort ini memang menjadi idaman setiap pelancong kerana kedudukannya berhadapan dengan laut. Menariknya, Rawa Island Resort ada menyediakan gelongsor khas kepada tetamunya yang mahu berseronok dengan aktiviti air sambil mandi laut di tepi pantai.
Jika mengimpikan percutian ke Pulau Rawa, anda perlu membuat tempahan lebih awal kerana faktor lokasi penginapan yang terhad. Jangan sesekali anda berangan untuk walk-in sahaja ke sini memang tiada harapanlah untuk bercuti di Pulau Rawa nan indah ini.
Pakej yang ditawarkan di kedua-dua resort ini selalunya termasuk penginapan, perkhidmatan bot laju ulang alik, sarapan dan makan tengah hari, makan malam dan barbeku untuk sekali. Apa yang menarik resort menyediakan pelbagai aktiviti berkonsepkan free and easy yang menyeronokkan dan tidak terikat pada waktu. Ini bermaksud anda boleh menyusun sendiri jadual aktiviti mereka dan meneroka mengikut masa yang sesuai.
Cara ke Pulau Rawa:
Jika anda dari Kuala Lumpur teruskan perjalanan ke Mersing menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, keluar di Plaza Tol Air Hitam. Teruskan ke Kluang dan ikut laluan ke Mersing.
Setiba di Mersing, terus ke Terminal Feri Mersing dan ambil perkhidmatan bot laju terus ke Pulau Rawa.