Setiap anak mesti bercita-cita nak membalas semula jasa kedua orang tua apabila besar satu hari nanti dan sekiranya ada rezeki, tidak salah sekiranya kita meluangkan sedikit masa dengan berjalan, mengerjakan haji atau umrah, belanja makan dan sebagainya.
Jika anda ada perancangan sedemikian untuk membawa mereka berjalan-jalan, tak kisah dalam atau luar negara, di sini ada beberapa tips yang boleh anda ikut. Sedikit sebanyak boleh memberikan keselesaan kepada kedua orang tua dan juga kepada anda.
Pastikan jadual perjalanan tidak terlalu padat
Orang tua seperti ibu bapa kita kebanyakkannya sudah berumur dan tenaga mereka juga tidak lagi seperti waktu muda. Tidak seperti kita, ibu bapa yang sudah berumur itu mudah letih dan penat. Oleh demikian, elakkan membuat jadual perjalanan yang terlalu padat dalam sehari untuk mereka.
Sekiranya anda merancang untuk ke 3-4 tempat, pastikan anda tidak terkejar-kejar bagi membolehkan ibu bapa dapat berjalan dengan santai dan selesa serta dapat rehat yang secukupnya.
Sentiasa perhatikan tahap kesihatan
Sentiasa periksa tahap kesihatan ibu bapa anda. Kalau mereka nampak letih dan lesu, sebaiknya anda ambil masa untuk mereka berehat. Sekiranya ibu bapa anda mempunyai penyakit, ambil tahu mengenai sakitnya itu dan perhatikan simptom yang ada pada mereka.
IKLAN
Jika anda membawa mereka melancong ke luar negara, pastikan anda tahu status cuaca di sana sama ada musim sejuk, panas, luruh atau musim bunga dan pastikan ibu bapa anda mempunyai pakaian yang bersesuaian untuk dipakai di sana.
Ambil gambar kenangan bersama mereka
Bukan selalu anda dapat bawa ibu bapa anda keluar melancong dan semestinya mengambil gambar adalah satu perkara yang penting untuk merakam momen-momen indah anda bersama mereka. Sekarang tidak lagi susah seperti zaman dahulu kerana semua telefon pintar sekarang dilengkapi dengan kamera pinhole.
Jadi, ambillah gambar kenang-kenangan bersama ibu bapa anda dan abadikan momen-momen bahagia itu sementara masa masih ada. Bila mereka tiada satu hari nanti, gambar-gambar inilah yang akan menjadi pelepas rindu anda pada mereka.
IKLAN
Elakkan kawasan yang terlalu padat dan ramai orang
Apabila sudah berumur, selalunya kita lebih gemar akan suasana yang tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk manusia. Ibu bapa anda kemungkinan tidak selesa dan stress apabila perlu bersesak-sesak dengan ribuan manusia.
IKLAN
Pastikan mereka sentiasa gembira dan tidak stress. Jika tidak pasti, bertanyalah pada mereka.
Jaga makan dan minum mereka
Bagi anda yang sudah biasa travel, anda mesti tak berapa kisah dalam soal makan. Tapi berbeza sekiranya anda bawa orang yang berumur kerana soal makanan adalah perkara yang sangat penting. Soal makan juga antara penyumbang utama kepada keselesaan mereka sepanjang percutian, terutamanya mereka yang mempunyai penyakit.
Anda faham-faham sahajalah, kalau dah berpuluh tahun makan makanan Malaysia, tiba-tiba ke Jepun, takkan sekelip mata mereka boleh makan sushi, kan? Jadi pastikan anda peka dengan permakanan mereka sepanjang percutian.
Diharapkan tips yang dikongsikan ini sedikit sebanyak membantu kepada anda yang ingin membawa ibu bapa anda travel. Ingat, tujuan kita membawa ibu bapa adalah untuk menggembirakan hati ibu bapa, maka rancanglah dengan sebaiknya.
Selalunya kalau kita berpeluang travel atau singgah di mana-mana tempat yang menarik, pasti kita ingin merakam gambar kenangan secantik dan sebaik mungkin. Lagi-lagi kalau anda seorang wanita, gambar mesti nampak kurus, tirus, ramping dan macam-macam gaya yang boleh nampak ‘elok’ di mata umum.
Namun tidak buat wanita bernama Stephanie Leigh Rose ini. Dia ingin membuat kelainan dalam setiap foto yang dibidik dengan gaya sedang ‘mati’ di setiap lokasi menarik yang dijejak.
Menarik dan kreatif juga gaya dan aksi si Stephanie ini hasilkan. Mana tahu lepas ini, gaya sebegini menjadi ikutan dan tular buat orang ramai yang inginkan kelainan.
Dia juga sempat merakam kenangan di hadapan bangunan ikonik yang musnah terbakar baru-baru ini. Jom lihat gambar-gambar yang dikongsinya dalam media sosial miliknya yang kini memiliki hampir 54.6k pengikut tersendiri.
Macam mana, menarik tak? Libur rasa ada yang tiru aksi-aksi ini nanti. Silap-silap jadi ‘trend’ akan datang. Yang rasa nak terkenal cepat boleh la ambik idea kreatif macam ini untuk tontonan ramai 🙂
Aktiviti selam skuba di Malaysia sememangnya mempunyai pengikutnya tersendiri kerana boleh dikatakan terdapat pulau tertentu dalam negara yang sentiasa dipenuhi golongan berkenaan. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti air, terlibat dengan aktiviti selam skuba merupakan pengalaman sukar digambarkan dengan kata-kata tatkala berada dalam dunia marin.
Namun begitu, apa juga hobi dan kegemaran yang kita suka lakukan pasti ada risiko dan cabaran yang perlu anda ambil tahu. Begitu juga dengan aktiviti selaman. Kebanyakkan ‘divers’ sendiri ramai tidak tahu mengenai masalah dekompresi, juga dikenali sebagai ‘penyakit penyelam’.
Mengikut penjelasan pakar perubatan, dekompresi berlaku disebabkan gas nitrogen yang terlarut dalam tisu badan melalui tekanan persekitaran yang rendah. Ia akan bertukar menjadi buih apabila nitrogen meresap ke dalam badan.
Ini ada perkongsian menarik daripada sumber page Facebook Aku Menyelam Untuk Hidup untuk anda yang bergelar penyelam atau bakal penyelam.
Simptom-Simptom DECOMPRESSION SICKNESS (DCS). Sila Klik
Bila Diver datang dalam keadaan lemah dan sakit dan menunjukkan tanda-tanda DCS kami berasa sangat kasihan. Biasanya kami tidak beroperasi pada hari cuti, tetapi bagi kes DCS,rawatannya tidak boleh ditangguh.
Lebih cepat dirawat lebih cepat kesan pemulihannya. Lebih lama ditunggu atau ditangguhkan maka semakin besar risiko kepada penyelam yang sedang sakit.
Pasukan perubatan diaktifkan dan dipanggil hadir ke klinik. Pemeriksaan segera dilakukan oleh pegawai perubatan pakar penyakit selam .
Rawatan terus dijalankan didalam kebuk mampatan tinggi. Selesai rawatan,penyelam menunjukan perubahan yang sangat baik,sembuh dan sihat seperti sediakala. Penyelam pulang dengan gembira seperti ketika sihat.
Dalam kes ini mujur penyelam dan rakan-rakan sekelilingnya ada pengetahuan dan ada kesedaran tentang bahaya DCS dan kenal akan tanda-tanda dan aduan dan tahu dimana hendak mendapatkan rawatan. Kerana kebijaksanaan dan kepekaan mereka maka ia telah menyelamatkannya dari menjadi lebih teruk lagi.
Selesai rawatan, nasihat dan ingatan diberikan berdasarkan pengalaman kami. Nasihat sebagai tanda sayang.
Jika masih ingin jadikan menyelam sebagai sumber pedapatan tolonglah jaga kesihatan dan jaga keselamatan diri dan rakan-rakan ketika aktiviti selaman. Melihat penyelam pulang dalam keadaan sihat dan gembira semula maka kami PUAS.
Jika anda atau rakan-rakan menghadapi masaalah DCS selepas selaman bolehlah hubungi kami untuk khidmat nasihat dan rawatan.
Healing Chambers Of Asia Sdn Bhd |No.3.Pesiaran Titiwangsa 3, Taman Tasik Titiwangsa, Setapak 53200, Kuala Lumpur | 03-40233333 | www.healingchambers.com.my
– Menyelam bukan sekadar hobi,ia seni kemahiran bagaimana untuk terus hidup –
Kapal terbang merupakan alat pengangkutan udara moden yang tidak dibincangkan berkenaan hukum-hakam berkaitannya oleh para fuqaha terdahulu. Akan tetapi, ia tetap tidak terkeluar dari sifatnya yang merupakan sebuah alat pengangkutan yang mana telah terdapatnya perbincangan mengenai hukum-hakam berkaitannya yang telah disebut oleh para fuqaha seperti hukum solat di atas unta, sampan atau kapal, dan sebagainya. Dalam edisi kali ini, kami di Bayan Linnas akan cuba memberikan penjelasan berkenaan suatu isu iaitu solat di atas kapal terbang serta hukum-hakam yang berkaitan.
Dalam menghuraikan isu ini dengan lebih lanjut, kami akan membahagikannya kepada beberapa isi penting.
PERTAMA: MASA PERLEPASAN Di antara perkara yang diambil kira dalam isu ini ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.
Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.
Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.
KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.
KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام
Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.
Surah al-Baqarah (144)
Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).
Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi.
KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.
KELIMA: TAYAMMUM Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:
فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا
Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih
Surah al-Maidah (6)
Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)
KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1- Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.
2- Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.
(Surah al-Taghabun: 16)
Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.
KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.
Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.
Pendapat ulama:
Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”
KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.
(Riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut.
(Riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.”